"Ini khas untuk you, ikhlas dari I."
Sekuntum mawar merah
beserta sekotak coklat 'Lindtz', dan sekeping kad ucapan kecil berwarna hitam,
dihulur Reno di atas meja. Menyendengkan kepala, matanya tajam memanah.
Berbinar, merenung meninjau aksi Anna.
Perlahan Anna sambut pemberian itu. Senyuman tergantung di wajah
sudah cukup menceritakan apa yang sedang dirasa. Terasa bagaikan bermimpi Anna
di saat itu.
"I harap you
suka," lirih Reno. Suara garaunya menyeberangi meja membelai Anna yang
sedang duduk menghadapnya.
"Tentu, dear. Tentu! I suka sangat!" bagaikan ledakan
bunga api di dada langit malam, sinar mata Anna memancarkan cahaya. Mawar di
genggaman perlahan dicium. Terpejam mata saat menikmati keharumannya.
Meletak ke tepi coklat dan mawar itu, kad dibuka. Berdebar-debar
dada Anna. Anak mata merayap, merangkak pada apa yang tertera.
Penuh tumpuan dibacanya.
'Mawar ini, ku petik dari
lembah hatiku yang paling sunyi, buat dirimu yang telah mengembalikan rasa
rindu di hati'
Terpana Anna dengan madah yang baharu dibaca. Mengangkat muka,
renungan Reno dibalas. Rasa tidak percaya yang amat, dapat dilihat dengan jelas
di wajahnya.
"Betul ke dear, ini
you tulis untuk I?"
Pertanyaan itu Reno jawab
dengan senyum. Mengangguk, dikedepankan badan, kad di tangan Anna diambil
semula. Terperanjat Anna dengan tindakan Reno.
Dibaca seketika, lalu dikeluarkan pen dari saku blazer hitamnya.
Di coret di bawah kata-kata yang sudah sedia tertera. Dibacanya lagi.
Mendongak, lembut mencapai tangan Anna, lalu kad itu diletakkan kembali di
genggaman mulus itu.
"Baca," arah Reno ringkas tetapi mesra. Menopang dagu,
Anna ditatap.
Membalas renungan Reno,
sebentar kemudian kad itu dibaca Anna sekali lagi.
'Saat tibanya waktu, akan
kupetik hatimu dan kusulam ke jambangan hatiku menjadi satu'
Anna hilang kata-kata. Terpegun membaca. Terbuai! Mendekatkan
kad itu ke dada, Reno kembali direnung. Dalam! Tajam! Menusuk!
Begitu juga dengan
sendiri tanpa disedar, matanya berkaca. Tergenang air mata gembira di tubir
mata.
Reno senyum lebar. Senyuman yang sama di suatu ketika dahulu
pernah diukir untuk cinta pertamanya. Senyuman yang sama pernah disanjung dan
dipuja kekasih lama sewaktu masih bersama dahulu.
Ruang Restoran Salt and Pepper yang terletak di tingkat 5 hotel
Eden di Stulang laut, dikitari. Terlihat wajah-wajah penuh cinta di sana-sini
mengelilingi mereka berdua. Wajah-wajah gembira dan bahagia yang di suatu
ketika dahulu pernah menjadi miliknya.
"Dear... apa yang you tulis, betul ke itu yang you
maksudkan?"
Menyilang kaki, Reno menyandar. Sinar mata lembut meramas wajah
Anna yang tampak begitu jelita di malam itu. Anna di malam itu, tidak ubah
seperti bulan dipagar bintang. Indah dan menyenangkan. Perlahan dan dalam nafas
dihela, Reno bersuara.
"Buat pengetahuan you, kata-kata itu, adalah kata-kata dari
hati I. Kata-kata yang datang dari hati I yang paling dalam sekali. Jadi apa
yang you sudah baca, apa yang you sudah faham, bererti you sudah dengar suara
bisikan hati I yang sejujur-jujurnya."
"Jadi maksud
you?"
Terdiam seketika Reno.
Menyeringai malu-malu mendengar pertanyaan itu. Tiba-tiba mulut terasa berat
hendak menyatakan. Dalam-dalam nafas dihela, mengumpul semangatnya.
Santai menyandar, menunduk, telunjuk kanan disinggahkan ke pipi
bagaikan sedang memikir sesuatu. Anak mata kemudian diangkat menatap Anna yang
sedang menantikan jawapan.
"I betul-betul nak ambil you jadi isteri I, jika diberi
kesempatan dan diizinkan Tuhan. I harap you sudi terima jika waktunya
tiba," Reno memberitahu. Nada suara seperti angin malam yang berbisik.
"Betul ke ni you
cakap?" sepantas kilat Anna bertanya.
"Suka? You
suka?"
"Tapi, dear..."
"Tapi? Okey, I faham," potong Reno. Wajah hampa
dipertontonkan. "Tak payah cakap lagi. Macam I mana layak dengan orang
macam you, kan? Betul tak?"
Reno berkeluh dan membetulkan duduk. Telinga dipasang di tepi
bibir Anna. Mahu dengar apa jawapannya.
"Bukan gitu maksud
I, dear."
"Habis kalau bukan gitu, apa maksud you yang sebenar?"
"Maksud I... bukan you yang tak layak dengan I, tapi I ni
yang sebenarnya tak layak dengan you," Anna menunduk. Rona wajah tiba-tiba
suram. Kembali mengangkat muka, Reno yang sedang merenungnya sinar matanya
ditangkap. "You sudi ke terima perempuan macam I untuk jadi isteri
you?"
"Kenapa pulak tak boleh? Apa salahnya?" tanya Reno. Di
majukan sedikit wajahnya cuba meyakinkan Anna.
Menatap wajah Anna di
saat itu, teringat Reno pertemuan pertama mereka beberapa bulan yang lalu. Dia
yang sedang duduk bersendirian di salah sebuah pub terkemuka di kawasan bandar,
didatangi Anna ingin berkenalan.
Bagaikan mahu runtuh
jantung Reno ketika itu saat anak mata mereka berlaga buat kali pertama. Anna
yang raut wajahnya saling tidak tumpah kekasih lama, di saat itu juga telah
merampas kembali hatinya dari terus hidup bersunyi-sepi.
Anna di mata Reno, dari
awal lagi sudah dilihat punya keistimewaan tersendiri. Ada sesuatu di dalam diri
Anna membuat Reno terpaut dan jatuh hati. Anna, berbeza sama sekali dengan
perempuan-perempuan lain yang pernah datang mendampingi, cuba mencuri dan
merawat hatinya. Bagi Reno, Anna adalah permata hatinya yang hilang.
"Dear... you sendiri tahu, I ni bukan perempuan baik mana.
Bukan perempuan baik-baik yang layak dijadikan isteri."
"Itu masalahnya?
Itu?" Senyum, menggeleng, kedua belah tangan Reno menyilang di atas meja.
Raut wajah Anna diteliti, "Apa you tak tahu ke, harimau yang liar dan
garang pun boleh jadi jinak, inikan lagi manusia?"
Anna tidak tahu apa yang
harus dikata lagi. Hanya berdiam memandang Reno. Teh Cina yang sejak dihidang
belum lagi disentuh, diteguk Reno sedikit. Pandangan Anna kemudian dibalas.
Mata yang basah itu, direnung. Lama.
"You harus tahu," sambung Reno sebentar kemudian.
"Tak semestinya jika hari ini seseorang itu jahat, nakal, liar, dia tak
ada kesempatan untuk berubah. Itu semua terletak pada kemahuan. Mahu atau tak
mahu saja. You boleh berubah jika you mahu. Begitu juga dengan I yang tak
sebaik mana pun boleh berubah jika mahu. Cuma... apa yang harus kita
takutkan... kita akan terlambat. Terlambat untuk berubah ketika kesempatan
masih ada."
Apa yang baharu dikatakan
Reno membuat fikiran Anna jauh mengembara. Menekur hilang kata-kata.
"Sayang... "
suara Reno mengejutkan Anna. Diangkat muka, Reno dipandang. "Andai you di
suatu hari nanti menjadi permaisuri hidup I, siapa diri you, hati you, adalah
sesuatu yang paling berharga alam ini pernah tawarkan buat diri I. Percayalah.
I bukan cakap main-main, sayang."
Reno mencapai saputangan
dari saku blazer. Saputangan putih lambang kesucian, dihulurkan kepada Anna
yang air mata sudah jatuh di sudut bibirnya.