Senyuman Azlan di hari itu bersinar mengalahkan sinar
mentari petang itu sendiri. Memanjang, meriah dan ceria. Namun pada masa yang
sama, di sudut hati paling dalam basah bagaikan gerimis yang turun di panas hari,
saat mengingatkan perpisahan yang bakal berlangsung.
Setelah lebih dari dua tahun bekerja di stesen minyak di
Jalan Story, hubungan antara kawan-kawan kerja terjalin sudah seperti sebuah
keluarga besar, susah senang selama ini sama merasa dan harungi, hati terasa
sebak apabila tiba-tiba mahu berpisah. Sayu Azlan mengitari stesen minyak itu
yang selama ini telah menabur jasa, menyumbang rezeki sedikit sebanyak buat
dirinya dan keluarga.
Zaid, sahabat Azlan, yang mana hubungan mereka selama ini
berlangsung seperti isi dan kuku, turut merasakan apa yang Azlan rasakan ketika
itu. Duduk berdua di satu sudut tersembunyi tempat mereka sering merokok, mata
Azlan yang agak berkaca, direnung.
"Tak sangka," suara Zaid seakan berbisik seperti
angin petang itu. Nada berat. Tidak ceria sama sekali seperti biasa.
"Tak sangka apanya?" tanya Azlan.
"Tak sangka kau
akan berhenti kerja. Tak sangka hari ni, hari terakhir kau dekat sini."
Azlan mengangguk ringan. "Sudah menjadi adat
kehidupan, Zaid."
"Maksud
kau?" tanya Zaid pantas. Rokok yang disedut, asapnya dihembus sedikit demi
sedikit. Memandang Azlan dengan tekun menantikan penjelasannya.
"Setiap pangkal pasti ketemu hujungnya. Setiap
pertemuan, pasti ada perpisahan."
Menunduk, Zaid senyum. Nipis. Dengan berat hati, setuju apa
dikatakan Azlan itu adalah sesuatu yang benar. Esok, tidak mungkin akan ada
pertemuan seperti hari yang sudah-sudah. Tidak akan ada lagi usik-usikan dan
gurau-senda. Tidak akan ada lagi gelak-ketawa yang dapat meringankan kerja yang
selama ini terasa berat dan membebankan. Esok, pasti akan ada rasa satu
kehilangan.
Zaid sedar, walaupun
kawan kerja yang lain masih ada, masih akan ketemu seperti biasa, namun tidak
sama seperti Azlan. Tidak ada dua kawan seperti Azlan bagi Zaid. Dia bukan
sahaja kawan setakat untuk teman ketawa, tetapi Azlan adalah seorang kawan yang
sanggup berkorban, bersusah-payah semata-mata kerana kawan. Azlan, adalah
seorang kawan berjiwa sahabat.
Azlan memaut bahu
Zaid. Menyusupkan pandangan menatap Zaid yang lagi menunduk. Dipandang secara
teliti wajah sahabatnya itu, "Tak kan sampai bila-bila kita nak kerja
dekat sini? Lebih-lebih lagi bila dapat kerja dan gaji yang lebih baik. Betul
tak?"
Zaid perlahan
mengangkat muka. Renungannya jauh. Seperti sahaja dia sedang merenung perbedaan
keberuntungan nasib mereka berdua. Di hati yang paling dalam, berat mengeluh.
"Aku faham, Lan... " ujar Zaid sesaat kemudian,
"Tak macam aku, kau ada anak-bini. Untuk aku yang masih bujang, kira masih
okey kerja di sini. Tapi untuk kau, aku yakin tak kan cukup."
"Memang betul,
Zaid. Selama aku kerja dekat sini, bukan kata aku dapat simpan duit, malah
bertambah-tambah pulak hutang."
Zaid ketawa kecil
mendengarkan, "Jujur cakap, aku hairan jugak tengok kau ni."
"Hairan? Kenapa pulak? Apanya yang kau
hairankan?" Azlan mengerutkan dahi.
"Selain bayar hutang kapcai kau, sebenarnya, apa lagi
ni yang kau ada hutang?"
Azlan memaksakan senyuman. Kini, gilirannya pula merenung
jauh. Rokok yang tersepit di jari, tanpa disedari menyinggah ke bibir. Bagaikan
sahaja ia bergerak dengan sendirinya.
"Zaid, kenapa selama ini aku diam-diam dan tak
beritahu kau, sebab... aku sebenarnya malu," jelas Azlan sambil menghembus
asap rokok yang disedut.
"Malu?" Zaid kening bersatu. "Apanya yang
kau nak malukan?"
Azlan menggeleng seraya menunduk. Sekilas, kesal terlihat
melintas di raut wajahnya. Ada sesuatu yang tidak enak jelas menggantung di
benak. Rokok disedutnya lagi. Dalam-dalam dan keras.
"Aku malu dengan kesilapan aku sendiri," jelas
Azlan perlahan. Asap rokok memenuhi mukanya sebaik dia membuka mulut.
"Apa pasal pulak? Kesilapan apa yang kau dah buat
sampai kau rasa malu?"
Dapat Zaid mendengar dengan jelas keluhan berat Azlan.
Wajah Azlan yang tiba-tiba berubah suram, ditatapnya lurus-lurus. Teruja ingin
tahu lebih lanjut.
Dalam-dalam Azlan menghela nafas. Rokok yang dipegang,
dibelek-belek. Seperti sahaja sedang membelek kelibat pengalaman enam tahun
yang lalu.
"Aku nak
ceritakan pada kau pun aku rasa malu sebenarnya. Tapi demi kebaikan kawan...
aku akan beritahu. Mana tahu pengalaman aku ada terselit pelajaran yang baik
untuk kau."
"Okey, ceritakan. Aku dengar. Apa yang aku tahu nanti,
itu rahsia kita berdua. Aku janji, tak kan ada orang lain yang akan tahu."
Azlan mengangguk. Dalam-dalam nafas dihela.
"Memanglah buat keputusan menurut perasaan, akan
berkesudahan dengan beban," luah Azlan. Kepala separuh mendongak ke
langit. Entah apa yang dilihatnya di situ.
"Jadi... ini kau cakap berdasar pengalaman, atau
apa?"
Rokok yang sudah hampir mencecah puntung itu Azlan sedut.
Asap terakhir yang bersisa, dalam-dalam ditarik. Lalu dilenyek puntung itu ke
lantai dengan kaki.
Perlahan, asap yang disedut itu dikeluarkan daripada mulut
dan lubang hidungnya, mengapung bagaikan seekor naga putih sedang menari-nari
di udara. Berdehem, melapangkan kerongkong, Azlan membuka mulut.
"Ye, dari pengalaman aku! Dan aku tengok, apabila kita
membiarkan diri dikuasai perasaan, memang tak dinafi, akan mematikan akal
fikiran yang punya kemampuan melihat kenyataan dan segala kebenaran,"
Azlan berhenti sebentar, apabila ada sebuah truck di jalanraya berhampiran,
memecut laju dan begitu memekakkan telinga.
Sambung Azlan
kemudian, "Aku sekarang baru sedar, bila kita terlalu menurutkan perasaan,
bererti kita harus tunduk dengan kemahuan, tanpa mengira apa yang bakal terjadi
di belakang hari nanti."
"Hmmm, okey,
aku faham apa yang kau cakap tu. Tapi... apa yang kau dah buat sampai nak
ceritakan pada aku pun kau rasa malu? Kenapa?"
"Kalau kau nak tahu, masa aku nak kahwin dulu,"
Azlan berhenti seketika di situ. Dia menggeleng, "Hmm... aku sebenarnya
berhutang."
Tercengang Zaid.
Membesar tiba-tiba mata. Sukar hendak percaya dengan apa yang baharu didengar.
Perlahan lalu bibirnya menyeringai. Sinar mata memberitahu Azlan, hatinya
sedang ketawa. Pandangan dilarikan jauh dari mata Azlan.
Azlan senyum kecil. Menahan malu dalam diam. Mengerti dan
faham dengan reaksi ditunjukkan Zaid. Menegakkan badan, melontarkan jauh
pandangan, nafas dalam-dalam dihela.
"Itulah akibatnya, Zaid. Kerana terlalu tunduk sangat
dengan perasaan. Akal fikiran jadi mati. Tak berfungsi langsung! Menurut aja
kehendak perasaan! Sampaikan cakap orang tua pun aku tak nak dengar."
"Habis, dengan
siapa kau berhutang?"
"Dengan siapa
lagi, Zaid, kalau bukan dengan keluarga sendiri. Kau ingat bila kau tengah
sesak, orang lain boleh bantu ke? Ah long bolehlah bantu!"
Serentak mereka
tergelak. Zaid mengangguk-angguk setuju, sambil mengacung ibu jari.
"Tapi... tak
kan sampai berkahwin pun kau nak berhutang? Maksud aku, kenapa sampai
berhutang?"
"Perbelanjaan
besar!"
"Okey. Tapi kalau dah tahu tak ada duit, kenapa nak
belanja besar? Belanja kecik-kecik sudahlah! Betul tak? Mesti meriahlah ni
majlis, kan?"
Meraup wajah, Azlan
mengangkat kening. Pandangannya jauh dilepaskan, merenung. Dan di dalam
renungan itu, dia kembali terlihat majlis gemilang perkahwinannya dengan Aisha
enam tahun yang lalu. Majlis yang dilalui bukan kerana atas kemahuan mereka,
tetapi kerana terpaksa. Gah melangkah, memasuki alam perkahwinan kerana ingin
memenuhi kehendak ibu Aisha.
"Aku rasa...
aku tak perlu ceritakan lebih lanjut. Sebab, ia melibatkan maruah orang lain.
Tak baik bukak aib orang. Cuma apa yang aku boleh cakap... kau jangan menurut
perasaan bila nak buat keputusan. Kau nanti pasti akan menyesal. Mungkin, akan
jadi satu beban juga buat kau di belakang hari nanti."
Azlan berhenti di
situ. Seketika, sepi dibiarkan menyapa. Zaid juga turut berdiam, tidak mahu bertanya
apa-apa. Memberi Azlan ruang untuk bernafas dan bertenang.
"Ingat, Zaid...
" sambung Azlan kemudian, "Jangan ikut perasaan. Nanti kau terpaksa
tunduk dengan kemahuan tanpa memikir akibatnya. Jangan sampai nanti kau jadi
macam aku, sanggup berhutang kerana nak sangat berkahwin. Fikir, Zaid! Fikir
panjang dan dalam sebelum buat apa-apa keputusan."
Zaid
mengangguk-angguk. "Terima kasih Lan, atas peringatan kau tu. Satu
peringatan yang baik buat aku. Terima kasih. Kau pulak, jangan kesal dengan apa
yang dah berlaku."
Azlan menggeleng,
"Kalau ikutkan rasa, memang aku kesal. Tapi bila difikirkan balik aku
sedar, apabila sesuatu yang tak baik berlaku, pasti ada terselit kebaikan jika
kita perhatikan betul-betul. Pengalaman memang guru yang terbaik."
Zaid mengangguk
lagi. Mengerti. Faham apa yang dimaksudkan Azlan itu, dan setuju dengan
kebenaran yang ada. Bahu kekar Azlan ditepuk-tepuk lembut, lalu menghulurkan
salaman.
Mengangkat anak mata, renungan Zaid disambut. Begitu juga
dengan salaman Zaid. Digenggam erat-erat tangan sahabatnya itu. Sinar mata
saling berpaut, berpelukan, berdakapan di dalam kasih-sayang seorang sahabat.
"Hmm... betul
tu, Lan. Pengalaman jadi tak sia-sia bila kebaikan yang ada, ditimba. Lan...
aku ucapkan semoga kau bahagia dengan Aisha hingga ke Jannah. Dan moga kerja
baru kau ni, akan melapangkan rezeki keluarga kau nanti," ucap Zaid
ikhlas.
"Aku pun harap begitu," balas Azlan.