Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 16

Mencampakkan blazer di atas sofa kamar, katil yang bertilam empuk itu direbahkan badan. Mata Reno tertancap pada nota kecil yang berada di tangan, ditinggalkan buatnya.

Dibaca,

'I call you, tapi handphone you mati!'

Reno senyum nakal. Penuh senyumannya di muka.

Dikembalikan nota itu di atas meja samping katil, rokok 'Camel' tanpa filter yang terletak di situ dicapai. Dinyalakan. Berdenting saat lighter berjenama Dunhill keemasan itu kembali dikatup.

Membelek lighter itu sebentar, lalu diletak ke tepi. Diseluk poket seluarnya. Iphone yang sengaja dimatikan, dihidupkan kembali. Telefon bimbit itu direnung. Fikirannya sebentar melayang jauh.

Perlahan rokok itu disedut. Asap yang dihembus berkepul di udara, diperhatikan.

Teringat Anna. Teringat Sofea. Teringat...

Begitu juga telefon bimbit itu berdering beberapa detik kemudian. Mengejutkan Reno dari lamunan. Tersenyum melihat nama pemanggil yang tertera di muka skrin. Tanpa lengah dijawabnya.

"Hey, sayang! Apa khabar?" lidah Reno selembut benang sutera menyulam kata. Cuba memikat, mengikat hati Anna dengan kata-kata. "Kat mana ni you, sayang? Ingatkan tak nak call I?"

"Siapa yang tak nak call you? Siapa? Berapa kali I call tapi handphone you mati, tahu tak!" suara Anna mengguruh di hujung talian.

"Itulah, tak sedar pulak bateri dah habis."

Tenang Reno mereka cerita. Luahannya begitu sekali meyakinkan. Iphone dirapatkan, memberi telinga. Diri sudah bersiap-sedia menantikan jawapan. Menanti diri dibedil!

"You pergi mana ni tadi? Hah! Gitu-gitu aja tinggalkan I. Naik bosan tahu tak I tunggu you tadi!"

Suara Anna melengking serak-serak basah. Namun nadanya, kedengaran begitu manja. Asyik sekali Reno mendengarkannya.

Reno senyum. Senyumannya, memancar seperti mentari pagi memanjat hari. Ceria! Riang dan bersinar wajahnya dapat mendengar suara idaman hati. Tindakan Anna, awal lagi sudah pun dia menduga. Bagaikan ikan di kolam, sudah Reno tahu jantan betinanya.

"You marah I ke? Marah, ye sayang?" rokok yang sudah siap terselit di celah bibir, disedut dalam-dalam.

"Kalau kena you, you marah tak? Mungkin tak ye?" di hujung talian, semakin manja Anna kedengaran. Sengaja! Sengaja mengumpan menginginkan perhatian.

Asap rokok dihembus ke udara. Kepala mendongak menatap dada siling. Mata Reno merayap, berlegar, meliar di dadanya.

Terbayang wajah Anna yang manis lagi ayu sedang bermanja di kepulan asap rokok itu. Dia tampak cantik, indah dan menarik. Reno menghela nafas. Otak memutar ligat menggali kata-kata yang sesuai.

"Sudah tentu I akan marah, jika perkara itu wajar I marah," lirih Reno beberapa detik kemudian. Nada suara bebas riak. Tenang kedengarannya. "Jadi... jika you rasa I wajar you marah, silakan. I bertanggungjawab. I... "

"You pergi mana sebenarnya tadi?" belum pun sempat Reno menjelaskan, Anna memotong.

"Pergi mana? I tak pergi mana-mana pun." "Tak pergi mana-mana pun?" suara Anna meninggi. Diperdengarkan kemarahannya. "Kalau you tak pergi mana-mana, bila I bangun tadi kenapa you tak ada? You sembunyi? Sembunyi dekat mana? Dekat dalam almari?"

Secepat kilat Reno menutup mulut. Cuba menahan gelak. Terasa lucu apabila terbayang Anna berlagak seperti seekor singa. Namun di mata Reno, Anna kelihatan begitu sekali comel. Tidak ubah seperti anak kucing Parsi yang minta dibelai dimanja.

"Okey, I minta maaf. Bukan I sengaja. I... sebenarnya tadi pergi 'dating'," spontan kata-kata itu melompat dari mulutnya. Spontan juga Reno tergelak. Menggema ruang kamarnya yang sepi itu.

"You ni, I ketuk kepala you baru you tahu. Ishhh! Geram betullah I ni dengan you! Betullah! Geram betullah I! Sengaja nak sakitkan hati I kan? Kan?"

"Alaa you ni sikit-sikit pun nak marah. Nasib baik you sekarang tak ada depan I. Kalau tak, I cubit-cubit pipi you sampai you jerit-jerit mintak tolong," usik Reno. Bibir diketap.

"I ni bukan macam you, faham tak? You tu bolehlah hati kering! Tak ada perasaan langsung! Macam kayu!"

Semakin galak Reno ketawa mendengar seranah Anna. Namun kata-kata itu sedikit pun tidak menjejasnya sama sekali. Rasa sayang terhadap Anna mengatasi segalanya. Rasa sayang yang sebenar-benarnya.

Dalam dia bergelak-ketawa, dapat dibayangkan Reno, Anna sedang mencebir-cebirkan bibir dengan manja. Sedar, Anna yang sebenar menginginkan perhatiannya. Itu sahaja.

Bingkas, Reno duduk di birai katil. Matanya jatuh di lantai. Matanya yang agak sepet dan berekor, seolah-olah sedang memerhatikan Anna di hamparan lantai itu.

"You ni manjalah, sayang. Tahu aja macam mana nak buat I geram. Memang pandailah you ni mintak I cubit pipi you," Reno mengusik dan memperdengarkan gelak kecil. Kuku ibu jari kanannya digigit, menantikan reaksi Anna.

"You jangan macam-macam boleh tak? I punya pertanyaan you belum jawab lagi. Pandai aja dia nak larikan topik. Menyampah! Memang betullah kepala you ni mintak I ketuk!"

Melompat lagi ketawa Reno. Terbahak kali ini. Anna, tanpa pengetahuan Reno, di hujung talian tersenyum.

"Okey, okey, I cakap betul-betul ni. Jangan ketuk kepala I, sayang," meluruskan badan, dalam-dalam Reno menghela nafas. "I yang betul tadi pergi jumpa rakan niaga I."

"Rakan niaga? You pergi jumpa rakan niaga?" Anna kening bersatu.

"Ye. I pergi jumpa rakan niaga. Berbincang pasal 'customer'. Ada beberapa hal penting yang nak diselesaikan. Mustahak."

'Rakan niaga?' bisik hati kecil Anna. Di bibir Anna ada segaris senyuman puas.

Begitu Sofea terbayang di ruang mata. Perbualan tadi kembali menerjah. Berlegar-legar di benak. Teringat Sofea memberitahunya ke mana dia pergi awal pagi tadi. Anna mengangguk mengerti.

Bingo!

"Hello, sayang. Kenapa diam?"

Suara garau Reno memecah kesepian yang sebentar bertandang. Terkejut Anna dari lamunan. Diperbetulkan kerongkongnya. Nafas dihela, berat dan dalam.

"Dear, birthday you bila?" tanya Anna tiba-tiba. Nada merisik.

"Aikk! You tak tahu ke?"

"Bukan I tak tahu, tapi... I ingat-ingat lupa."

"Birthday I kan bulan depan. You lupa ke itu hari I ada beritahu you? Lupa, ye sayang?"

"Bulan depan? Bukan bulan ni?"

"Eh, you ni! Bila pulak yang I cakap bulan ni?"

"Hmmm... tulah I ni pun ingat-ingat lupa. Ingat bulan ni."

"Bukan. Kenapa, you dah tak sabar nak kasi I hadiah ke? Kalau dah tak sabar, nanti bila harinya dah nak sampai, I ingatkan you, Okey?"

Reno senyum kecil. Begitu juga dengan Anna. Terasa lega mendengar kata-kata Reno yang sememangnya pandai mencuri hati.

"Sayang... I nak cakap sikit, boleh tak?" suara Reno selembut jari-jemari yang membelai sekuntum mawar.

"Cakap aja, I dengar."

"Hmmm... jika I nak hadiah yang paling berharga dari you, boleh tak?" sambung Reno dengan gelak nakal.

"Hadiah paling berharga? Berharga macam mana tu, dear?"

Sebentar Reno berdiam. Di hamparan lantai matanya berlegar. Bibir, senyum memanjang melilit hingga ke telinga. Pipinya digaru, sambil memikir bagaimana hendak diluahkan.

"Hmmm... berharga macam cinta yang ada di hati you paling dalam sekali. Cinta yang tidak ada duanya di dalam dunia ini. Boleh?" Reno akhirnya memuntahkan, jujur dan tenang.

Seperti disedut ke suatu daerah yang paling indah Anna mendengar permintaan Reno. Anna ketawa. Berderai dengan manjanya. Tetapi di sudut hati yang paling dalam tiba-tiba rasa bersalah.

Entah kenapa!

Sofea yang mungkin sekarang ini sedang sibuk mencari sesuatu untuk dihadiahkan buat rakan istimewanya, Anna terbayang. Anna senyum kesal. Benar-benar kesal! Tetapi malang, dia tidak dapat melakukan apa-apa.

Anna tidak punya pilihan. Tempat duduknya, tidak punya daya. Dia tidak punya apa-apa kuasa selain menurut kehendak yang bukan kehendaknya.

"Dear... betul ke ni, you nak hadiah yang macam gitu?" sebak hati Anna tiba-tiba mendapat tahu keinginan Reno yang jujur.

"Boleh ke kalau I nak? You boleh kasi ke?" pantas Reno jawab.

Anna berdiam. Jauh merenung sesuatu. Merenung masa hadapan yang tidak menentu. Tidak tahu, arah yang mana akan dituju.


Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.