"Kenapa abang tengok Sha macam tu?"
Aisha memicingkan mata. Hairan melihat sikap
Azlan sebaik dia kembali duduk di sisi. Sambil menyodorkan botol susu ke mulut
Izwan, suami tercinta dilirik.
Azlan
menyambut lirikan Aisha itu dengan senyum nakal memanjang. Teringat tiba-tiba
mendapat kerja baru yang ditawarkan Sofea. Rasa senang yang mengulit, membuat
hati terasa ingin bersenda dengan yang tercinta di malam itu. Teh yang diteguk,
dikembalikan ke atas meja.
"Sini mari, duduk dekat sikit dengan
abang," arah Azlan. Mata tajam dan liar memandang Aisha yang hanya berkain
batik dan kemeja T labuh.
"Dah kenapa ni dengan abang? Hah?"
"Jangan banyak cakap. Sini mari duduk
dekat sikit. Jangan degil! Jangan derhaka dengan suami."
"Kenapa? Apalah abang ni!"
menjeling, suara Aisha manja sambil mendekatkan diri duduk di samping Azlan.
Bibir dicebir.
Mengusap kepala Izwan yang sedang leka
menyusu, wajah belahan jiwa yang selama ini dengan setia telah memperhambakan
diri sebagai seorang isteri, Azlan amati. Redup matanya meraba wajah yang
cantiknya masih menyerlah.
Aisha mengerutkan dahi. Azlan senyum.
Perlahan dicapai tangan Aisha lalu diramas sambil merenung wajah isteri
tercinta. Didekatkan ke mukanya sendiri, tangan yang selama ini tanpa
keluh-kesah telah merawat dan mengurus hidupnya. Memejamkan mata, lembut dan
mesra tangan itu Azlan kucup.
Aisha membiarkan. Memerhatikan sahaja tingkah
suaminya. Tersipu tersenyum dengan kemesraan yang ditunjukkan.
"Sha tahu tak apa abang rasa bila minum
teh yang Sha buat tu?"
"Entah. Tak sedap, ye?" Aisha gelak
kecil sambil meramas tangan Azlan juga.
"Agak-agak Sha, apa abang rasa?"
"Manalah Sha tahu. Abang yang minum,
bukan Sha."
Azlan
mengejek. Memuncungkan bibir, kepala digoyang-goyang seolah-olah sedang
mencumbui Aisha. Tergelak Aisha. Rasa senang dan bahagia melihat gelagat
suaminya.
"Okey!" mesra Azlan bersuara.
"Kalau Sha nak tahu... walaupun tehnya pahit sebab kekurangan gula, tapi
bila abang minum sambil menatap muka Sha yang jelita, teh tu terasa manissss
sangat!"
Kuat Aisha tergelak sambil menutup mulut.
Serta-merta! Izwan yang sedang leka meminum susu, menggeliat-geliat dalam
pelukan Azlan, menjengahkan kepala memandang ibunya. Terganggu mungkin.
Azlan menyeringai. Merasa senang melihat
isterinya ketawa dengan sebegitu rupa. Tangan Aisha yang masih lagi digenggam,
perlahan dan lembut dikucupnya lagi.
Membebaskan dirinya dari ketawa tidak lama
kemudian, Azlan yang sedang merenungnya, Aisha membalas dengan mencumbui wajah
suaminya itu dengan pandangan mesra. Agak lama dalam diam mereka berbalas
renungan.
"Sha dah tua, bang. Mana ada lagi manis
dan jelitanya. Entah mana pergi dah hilang, Sha pun tak tahu," dengan
kedua belah tangan, Aisha genggam erat tangan Azlan. Dibawa tangan kekar itu ke
pipi mulusnya, lalu digesel-geselkan perlahan. Azlan membiarkan.
Melepaskan genggaman tidak lama kemudian,
bahu Aisha dipaut Azlan. Dirapatkan tubuh mungil itu ke tubuhnya yang tegap.
Lembut dikucup mesra dengan rasa cinta ubun-ubun Aisha.
Aisha
mendongak menatap Azlan. Anak mata mereka langsung bertaut tanpa sebarang suara
dan sepatah kata. Namun sinar mata dalam diam jelas berbicara, tentang
kasih-sayang, rindu dan cinta.
"Sha... " suara Azlan memanggil
lembut, "tua atau muda, itu semua cuma ukuran masa. Tapi Sha yang sentiasa
di dalam pagar mata abang, tidak pernah akan dijamah masa. Tidak pernah akan
dimamah usia. Di mata abang, Sha sentiasa cantik, manis dan jelita. Selamanya,
sayang. Selamanya!"
Aisha
melentokkan kepala di dada bidang Azlan. Permukaan dinding di hadapan,
digantungkan pandangan. Berkaca matanya mengingatkan apa yang dikata Azlan
tadi.
Di
pelusuk hati yang paling dalam sangat bersyukur, Azlan dikurniakan Tuhan
menjadi jodoh dan teman hidupnya. Walaupun kehidupan mereka selama ini sering
dihimpit masalah kewangan, namun bukti cinta Azlan yang selama ini
bertanggungjawab sebagai seorang suami juga ayah, telah melapangkan segala.
Aisha,
benar-benar bahagia hidup di samping Azlan. Tidak pernah dia berasa kesal
dengan segala beban ekonomi yang dihadapi selama mereka berumahtangga. Dia sedar
dan mengerti, kekayaan yang sebenar-benarnya, ada terletak dan tersembunyi di
dalam lipatan dan pelukan cinta sejati.
"Di mata abang... tak ada perempuan yang
lebih cantik dan menarik dari Sha," puji Azlan sambil membelai-belai
rambut Aisha.
"Abang pun sama. Pada Sha, tak ada lelaki
yang pernah Sha jumpa, pandai mengayat lebih dari abang," kata Aisha
sambil gelak kecil.
Azlan senyum lebar dengan sendaan itu.
Dikucup lagi ubun-ubun Aisha. Perlahan dan lembut ditindihkan kepalanya ke
kepala yang dipuja. Digesel pipinya mesra di rambut yang selembut sutera itu.
Lengan mulus Aisha diramas.
"Sha nak tak pergi Singapura?"
Tersenyum Aisha mendengar pertanyaan itu.
Memejamkan mata di dalam pelukan Azlan, negara jiran itu terbayang di benak.
Senyumannya melebar. Aisha sedar, dengan keadaan ekonomi mereka yang sekarang
ini, ajakan Azlan hanya akan wujud di dalam mimpi.
"Sha, abang tanya ni. Sha nak tak pergi
Singapura?" tanya Azlan lagi apabila melihatkan Aisha tidak menjawab
pertanyaannya tadi.
"Bila abang nak bawak Sha pergi? Malam
ni?" suara Aisha dengan gelak kecil lagi. Sinis kali ini.
"Hey! Abang tanya betul-betul ni. Bukan
main-main!"
"Tahu. Sha pun bukan main-main juga. Sha
cakap betul-betul ni," gelak Aisha kian nyaring.
"Sha... " panggil Azlan.
"Tengok abang sini."
Aisha
mengangkat muka. Lembut dan manja. Di bibir, digariskan senyuman mengusik.
"Hah, dah tengok ni. Ada apa?" Aisha
langsung bertanya. Anak mata memanah.
Azlan menyambut dengan senyuman. Renungan
Aisha, tetap seperti dahulu tidak pernah berubah. Tetap segar. Sesegar renungan
di malam pertama perkahwinan mereka.
Rambut Aisha yang jatuh menutup sebahagian
mata, dengan telunjuk Azlan menyelak menyisipnya ke celah telinga. Dengan
telunjuk juga, Azlan membelai kening Aisha. Diusapnya perlahan sambil meramas
wajah Aisha dengan renungan penuh cinta.
"Abang ada berita baik nak beritahu,
Sha," ujar Azlan seketika kemudian.
"Berita baik?" melengkung dalam
kening Aisha mendengarnya. "Berita baik apa tu, bang?"
"Kalau Sha nak tahu, abang dah dapat
kerja baru. Hantar-hantar barang. Gajinya jauh lebih bagus dari yang
sekarang."
Aisha
membetulkan duduk. Pantas dan ghairah. Anak matanya membesar, menatap Azlan
dengan rasa tidak percaya. Rapi-rapi wajah suaminya itu diamati.
"Betul ke ni abang cakap? Jika betul, Sha
sangat bersyukur kepada Allah, bang."
"Abang bukan main-main cakap, sayang.
Abang tak bohong. Pernah ke selama ni abang ada berbohong dengan Sha?
Pernah?"
Dengan
mulut ternganga Aisha mengangguk. Setuju sangat dengan apa yang dikatakan
Azlan. Selama ini, selama Aisha mengenali Azlan, suaminya memang seorang jujur
dan berkata benar.
"Sha dan Iwan, tak lama lagi akan
jejakkan kaki ke Singapura. Sebab kerja abang ni, sekali-sekali kena hantar
barang pelanggan di sana."
"Jadi?" Aisha sudah semakin
ghairah.
"Bos izinkan abang bawak Sha dan Iwan.
Jadi, sama-samalah nanti kita akan bersiar dan berhibur di sana. Abang nak
sangat bawak Sha dengan Iwan ke Pulau Sentosa. Melawat 'Universal
Studio'," penuh kemeriahan sinar mata Azlan memberitahu. Terbayang
kebahagiaan yang sedang menanti mereka sekeluarga.
"Tapi, bang... " nada suara Aisha
menurun.
"Jangan risau," pantas Azlan
memintas. Mengerti apa yang dirisaukan isterinya. "Abang tahu apa yang Sha
fikirkan. Sha tenang aja."
Dengan
senyuman menyimbah-nyimbah di muka, Azlan menatap wajah Aisha. Impiannya selama
ini ingin menjengah negara jiran itu dengan seisi keluarga, melihat dengan mata
kepala sendiri apa yang ada ia tawarkan, akan menjadi satu kenyataan tidak lama
lagi.
Singapura, tidak lama lagi bukan hanya sekadar
wujud di dalam khayalannya sahaja. Singapura yang selama ini terasa begitu jauh
gara-gara kesempitan ekonomi yang ditanggung mereka sekeluarga, tanah itu
semakin mendekati. Akan dijejaki tidak lama lagi.
Iya,
tidak lama lagi!