Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 12

"Hey, anak muda! Dengar sini baik-baik. Dengar! Hidup harus berilmu!"

Laungan Azlan menggema, memecah sepi pagi hari. Kening dijulang memandang anaknya sambil tersenyum.

Menyeringai Izwan di dalam gendongan ibunya. Gigi yang masih banyak rompong, ditayang. Bertepuk-tepuk tangan kegirangan seolah-olah mengerti apa yang dilaungkan Azlan. Sinar mata, menjerit bangga terhadap ayahnya.

Kian lebar senyuman Azlan. Terhibur melihat keletah anaknya. Terasa senang hati hendak meninggalkan rumah meyelesaikan urusan. Tangan tinggi dikibar, mengacung telunjuk sambil melirik manja.

"Belajar, sayang. Dengar apa yang ayah cakap. Harus belajar rajin-rajin biar jadi orang yang pandai! Ilmu tu penting, sayang," pesan Azlan penuh kasih-sayang.

Izwan mengepak-ngepak tangan keghairahan. Menyeringai seperti seekor anak kucing kekenyangan susu. Apa yang ditunjukkannya, seolah-olah dia mengerti maksud pesanan Azlan. Pagi yang ceria, bercambah saat Azlan melihat kelucuan anaknya.

"Ingat, sayang! Jangan lupa nanti belajar. Tak kan boleh berjaya dalam hidup jika kita tak berilmu. Ingat... jangan jadi macam ayah, sayang," Azlan melayangkan ciuman sambil memasang topi keledar. Pandangan dikalihkan ke isterinya.

"Sha, jangan lupa nanti ajar anaknya. Abang nak dia dah besar jadi anak yang pandai, berguna dan berjasa," pesan Azlan sebelum beredar seperti biasa di pagi hari itu.

Impian Azlan bukan satu rahsia. Sering dia meluahkan impiannya itu kepada Aisha. Dia yang sendiri gagal menjadi seorang yang berjaya gara-gara malas belajar dan ke sekolah, kini setelah dewasa, sedar betapa penting ilmu di dada. Dia tidak mahu Izwan menurut jejak langkahnya. Dia benar-benar mahu anak itu menjadi seorang yang berjaya kelak. Menjadi anak yang berguna dan berjasa.

Aisha melepaskan pandangan. Mata redup memerhatikan suaminya pergi meninggalkan dia dan Izwan berdua. Pergi meredah hari mencari sesuap rezeki buat keperluan keluarga. Sangka Aisha.

"Dengar tak apa ayah cakap tadi? Harus belajar rajin-rajin. Jangan main terus aja. Orang yang rajin belajar aja yang akan jadi pandai. Kalau nak jadi orang yang berjaya, harus pandai. Harus rajin belajar. Faham?" Aisha turut mengingatkan sambil mencium pipi mulus Izwan.

Mentari yang baharu sahaja menanjak panasnya bukan main lagi merusuh. Pancaran sinarnya, begitu sekali menggigit. Azlan yang hanya mengenakan kemeja T lengan pendek dan berseluar jeans, mana tubuh badan yang terdedah pada sinaran terik mentari, kulit terasa bagaikan disiat-siat.

Namun Azlan tidak mempedulikan. Jalanraya yang agak sesak dengan kenderaan, terus sahaja diredah. Penuh awas dan hati-hati, mencelah sana mencelah sini menuju ke arah tujuan. Sejak semalam lagi dia sudah pun bertekad, niat sudah bulat, untuk mencuba nasib walau apa sekalipun terjadi. Waktu jelas sudah kian singkat. Rancangannya ini, tidak boleh menemui kegagalan!

Tidak sampai pun satu jam dari Ngee Heng kampungnya, Azlan tiba di tempat tujuan, Mersing. Anak mata mengitari sekeliling rumah orang tuanya sebaik dia memarkir kapcainya di bawah pohon mangga yang ada di halaman rumah. Tidak seperti di jalanraya yang panasnya menggila, di kawasan rumah itu yang agak luas terasa dingin. Pelbagai jenis pepohon terpacak, menari-nari ditiup angin pagi.

Sunyi. Sepi. Tidak ada satu kelibat pun kelihatan di luar dan di sekeliling rumah usang itu yang catnya sudah kusam dan menggelupas. Hanya sekawanan ayam sahaja kelihatan di sana-sini sibuk mengais rezeki. Membuka topi keledar, mengelap bintik-bintik keringat yang memenuhi wajah dengan saputangan 'Key' berwarna merah, Azlan menghayun langkah.

"Assalamualaikum... " Azlan memberi salam sebaik sampai di muka pintu.

Tanpa menunggu jawapan, pintu rumah yang terbuka luas bagaikan sedang menanti kehadirannya, Azlan masuk melangkah. Di ruang tamu, punggungnya dilabuhkan ke kerusi panjang yang sudah usang untuk melepaskan lelah.

Ruang tamu yang sudah hampir enam bulan matanya tidak menjamah, ke segenap penjuru pandangan menyapu. Tidak ada apa-apa perbezaan. Semuanya tampak seperti terakhir kali dilihat. Segala perabot dan perhiasan yang ada, duduknya masih lagi di tempat yang sama, seperti sahaja tidak ada tangan yang merasakan ada kepentingan apa-apa untuk dialih-alihkan.

"Eh, Abang Lan. Ingat siapa tadi," mesra sapa Idah, adik bongsu Azlan. Muncul apabila terdengar tadi ada suara memberi salam. Bibir mungilnya tidak lekang senyuman.

"Mak mana? Tak nampak pun," tanya Azlan sambil menyambut salaman adiknya.

"Mak dekat dapur tengah masak. Abang dah sarapan belum?"

"Tengah lapar ni," beritahu Azlan selamba sambil bingkas ke dapur, "Kau tak kerja hari ni?"

"Cuti tiga hari. Cuti tahun," jelas Idah sambil berjalan seiring Azlan menuju ke dapur.

"Suami kau kerja?" Idah hanya mengangguk, melayan basa-basi Azlan.

Berdiri di tangga menuju ke dapur, Azlan tersenyum lebar saat terpandang ibunya yang sedang sibuk memasak. Dapur tua berdindingkan kayu, beratap zink dan berlantai simen, entah bila terakhir kali diperbetulkan mana yang rosak, adalah tempat kegemaran ibunya menghabiskan masa. Jika tidak bersantai di meja makan, pintu dapur menjadi sasaran menikmati usianya yang semakin senja.

"Mak oii! Tengah buat apa tu?" sergah Azlan tiba-tiba.

"Opocot, mak kau berjambul!"

Tergelak Azlan melihatkan ibunya melatah. Menggeleng sambil melangkah menuju ke meja makan yang sudah usang terletak di tengah-tengah dapur.

"Kau ni, aku rejam kepala kau dengan sudip ni baru kau tahu! Budak bertuah! Memang mintak sangatlah kau ni!"

Kian lantang Azlan tergelak. Meja makan itu diketuk-ketuk, bagaikan bergendang.

"Mana Aisha dengan Iwan? Tak ikut sekali?" tanya ibunya sambil mengecilkan api dapur gas dan mendekati Azlan.

"Dekat rumah tak ikut. Mak apa khabar? Baik?"

"Macam gini jugalah aku tiap-tiap hari jadi penunggu rumah! Nak macam mana lagi? Kau pulak apa hal pepagi buta muka dah tercongok dekat sini? Lain macam aja aku tengok!" ujar orang tua itu sambil menarik kerusi. "Aisha, Iwan, baik?"

"Ye, baik-baik aja dia orang," jelas Azlan sambil menatap wajah ibunya yang sudah duduk menghadap. Seperti sahaja ibunya sudah mengerti apa yang diniatkan. Wajah yang tiga abad lagi sekurun, diamati. Terasa berat pula hati hendak memberitahu tujuan sebenar kedatangannya.

"Ayah mana, mak?" Azlan perlahan memasang langkah untuk menjelaskan niatnya.

Nekad!

"Dekat biliklah rehat. Apa lagi yang dia nak buat?"

Azlan mengangguk. Pandangan dikalihkan ke arah Idah yang sedang sibuk menjerang air, sambil memikir apa yang harus dikatakan. Semangat diteguhkan. Nafas dihela panjang dan dalam.

"Hmm... mak," suara Azlan agak berat.

"Hah, ada apa? Nak pinjam duit?"

Azlan pura-pura terkesima. Mata sengaja dibeliakkan. Menggaru kepala, dia senyum kecil.

"Aikk! Macam mana mak tahu? Pelik betullah! Ada tertulis dekat muka Lan, ke?"

"Hey, Lan... yang mengandungkan kau, yang besarkan kau tu siapa? Kalau bukan aku! Engkau datang sini tetiba, pagi-pagi buta aja aku dah tahu maksud kau. Tak tahulah kalau kali ni aku salah rasa, yang kau datang ni sebenarnya nak kasi aku duit!"

Azlan hendak tergelak, tetapi ditahan. Ibunya yang berkata dengan muka-muka, terasa lucu dia melihatnya. Wajah serius dipamerkan.

Menghela nafas dalam-dalam, Azlan memberanikan diri bersuara.

"Boleh ke mak kasi pinjam? Nanti Lan dah ada duit, Lan bayar. Boleh?" nada suara Azlan merendah. Wajah minta dikasihani dipertontonkan.

"Berapa banyak yang kau nak pinjam?"

"Lima ratus ringgit."

"Lima ratus ringgit? Kau ni dah gila ke apa? Hah! Dekat mana aku nak cekau duit banyak tu? Dekat mana? Kalau lima puluh-enam puluh tu adalah. Kau ni... macam tak tahu pulak aku ni tak bekerja. Eh, Lan! Kalau adik-adik kau ni tak bekerja, tak makan aku, kau tahu tak!" ibunya menjeling.

Berkecai harapan tunggal Azlan mendengar apa yang dijelaskan ibunya. Hancur! Musnah! Satu-satu jalan yang akan dapat menyelamatnya dari diterkam bahaya, kini nampaknya bahaya itu kembali mengajaknya bersemuka.

Kerongkong Azlan terasa kering. Dunianya tiba-tiba gelap dan sempit. Galau! Walang! Wajah Zaid melintas di pandangan mata, wajah Aisha dan Izwan yang kini di dalam bahaya disebabkan perbuatannya.

"Itulah dulu aku cakap sebelum kahwin tu siapkan ekonomi dulu, kau tak mahu dengar. Memang tak salah kalau nak kahwin muda, tapi cinta ni, tak kan boleh tolong bila kau tengah sempit. Hidup zaman sekarang ni semuanya perlukan duit. Untung Aisha tu sabar orangnya. Kalau tak, tak tahulah apa aku nak cakap. Entah-entah rumahtangga engkau ni lama dah rebah," bebel ibunya, sesuatu yang Azlan sudah menduga.

"Nah bang, sarapan," Idah mencelah dengan nasi goreng panas bersama kopi disodorkan di atas meja.

Azlan mengangkat muka memandang idah. Diamati wajah adiknya itu lurus-lurus. Keningnya dikerut melihat sinar mata Idah bagaikan memberi isyarat.

Perlahan Azlan lurutkan matanya ke tangan Idah. Di genggamannya, kelihatan ada apa yang diharapkan Azlan sangat-sangat.

Idah memberi isyarat mata lagi, menyuruh Azlan berdiam dan mengambilnya secara sembunyi agar ibu mereka tidak mengetahui. Azlan perlahan mengangguk. Menunduk dia tersenyum. Harinya tiba-tiba kembali cerah. Bersinar dan bercahaya! Nasi goreng yang dihidangkan Idah, dengan penuh selera dilapah.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.