"Selamat tengah hari, tuan."
Reno memberhentikan langkah. Pantas menoleh.
Pembersih baru pejabatnya, seorang perempuan yang sudah agak berusia sekitar
setengah abad, tadi menyapa ketika dia berselisih jalan menuju ke pejabat,
ditujukan pandangan.
"Mak cik... " panggil Reno. Lembut,
ramah dan penuh hormat.
Namun
suaranya yang agak menggaung, menarik perhatian semua kakitangan yang ada di
meja masing-masing sedang tekun berkerja. Perempuan itu menoleh memandang Reno.
Terhenti seketika nafasnya saat mata mereka berlaga.
"Tunggu sekejap," arah Reno.
Senyum
manis dilayangkan ke arah orang tua itu yang tampak gelabah melihat Reno sedang
mendekatinya. Wajah yang sudah agak berkedut, tetapi kelihatan masih sihat dan
bertenaga, berubah memucat.
"Okey, awak orang semua boleh teruskan
kerja masing-masing," arah Reno lagi sambil menepuk tangan apabila melihat
semua kakitangan, mata tertuju ke arahnya. Seolah-olah seperti sahaja mereka
sedang menonton sebuah drama.
"Mak cik, ikut ke pejabat saya
sekejap."
"Ke pejabat tuan?"
"Saya. Ke pejabat saya."
"Tapi, tuan... saya baru saja dari
pejabat tuan, bersih-bersihkan."
"Ye, saya tahu tu, cik. Tapi saya ada hal
sikit nak cakap."
Mengangguk dengan berat, seberat langkah,
orang tua itu mengekori Reno ke pejabatnya sendiri. Hati berdebar,
menebak-nebak perkara apa yang Reno mahu bicarakan.
Ditarik
kerusi di hadapan meja sebaik mereka berada di dalam pejabatnya. Dengan ramah
Reno menjemput orang tua itu duduk sebelum dia sendiri duduk menghadap di
kerusinya yang empuk.
Reno sebentar mengitari ruang pejabatnya yang
agak luas juga. Reno senyum puas. Pejabatnya, tampak rapi dan kemas. Hawa
pendingin, dinginnya terasa semakin menggigit. Pembersih itu dipandang.
"Nama mak cik ni, Zaleha? Betul?"
Reno membuka mulut.
Orang tua itu perlahan mengangguk. Menunduk,
tetapi mata diangkat merenung Reno curi-curi.
"Setahu saya, mak cik baru kerja di sini,
kan?"
Orang tua itu mengangguk lagi dan berusaha
mengelak dari bertembung pandang. Reno menempiaskan senyum kecil, melihat aksi
orang tua itu yang seperti salah tingkah.
"Dah berapa lama?" Reno pura-pura
tidak tahu. Sedangkan dia sendiri yang memecat pembersih lama seminggu lalu,
kerana gagal menjalankan tugas dengan baik. Begitu juga dia yang ketika itu
sedang sibuk, memutuskan, mengarah Sofea mengambil orang tua itu atas saranan
Amru.
"Jika tak silap mak cik... hmm, ada dekat
seminggu mak cik kerja di sini. Tapi, baru dua kali saya nampak tuan. Pertama
kali nampak, tuan buru-buru keluar pejabat. Tak sempat pun nak menyapa."
Senyum, Reno mengangguk.
"Mak cik suka kerja di sini?"
"Suka. Sejauh ni mak cik suka sangat. Semua pekerja sini baik-baik,
termasuk tuan."
Menghela nafas, Reno menyandar. Orang tua itu
yang sedang menunduk, wajahnya diamati. Lurus-lurus. Entah kenapa, di hati
menjalar rasa simpati.
"Saya pun suka mak cik kerja di sini, dan
jika boleh mahu mak cik kerja di sini selagi termampu... "
"Syukur alhamdulillah... " orang tua
itu mencelah. "Terima kasih, tuan. Terima kasih banyak-banyak kerana sudi
terima mak cik bekerja di sini. Moga Allah murahkan lagi rezekinya."
"Terima kasih doanya, mak cik. Cuma...
mulai dari hari ini... " orang tua itu mengangkat muka memandang Reno. Apa
yang ingin diberitahunya, kedengaran mencemaskan. "Saya tak mahu mak cik
mulai dari sekarang panggil saya tuan lagi." ujar Reno tenang.
Suhu
darah orang tua itu kembali menurun ke paras biasa mendengarkan penjelasan
Reno. Nafas dalam-dalam dihela. Lega. Kiranya ada hal penting dan tidak baik
mahu diberitahu Reno. Sangka orang tua itu pada awalnya.
"Kalau bukan panggil tuan, habis nak
panggil apa? Bos?" tanya orang tua itu yang berasa agak pelik.
Reno tergelak mendengar balasan spontan orang
tua itu. Dia menggeleng. Apa yang termuntah dari mulut orang tua itu sungguh
mencuit hati. Membetulkan duduk, meluruskan badan, Reno merenung pekerja
barunya itu.
"Panggil saya Reno aja."
"Reno?
Panggil Reno aja? Itu... nama tuan ke?"
"Tak kan nama kucing pulak, kan?"
Dengan pantas orang tua itu menutup mulut cuba
menahan ketawa. Jawapan Reno seperti menggeleteknya.
Melihatnya, Reno senyum memanjang. Diam
memerhatikan tingkah orang tua itu yang keyakinan diri sudah pun mulai
menanjak.
"Maksud mak cik bukan gitu. Maksud mak
cik, tu nama betul tuan ke?"
"Mak cik panggil aja apa yang saya suruh.
Selebihnya, biar saya saja yang tahu. Saya tak berkongsi dengan siapa-siapa
tentang perkara peribadi. Maaf, cik."
"Eh, apa pulak minta maaf. Patut mak cik
yang minta maaf pada... "
"Reno... " Reno menyambungkan.
Mengangkat kening, anak mata dikalihkan saat terpandang Sofea tercongok di muka
pintu pejabat melambainya.
"Okey, sekarang mak cik dah tahu pun nama
saya. Mulai dari sekarang, saya tak mahu mak cik panggil saya tuan lagi. Saya
nak mak cik panggil saya Reno saja. Boleh?"
Dengan mata bersinar, orang tua itu
mengangguk. Senyumannya dibalas Reno mesra.
"Okey, mak cik pergi teruskan kerjanya.
Ada apa-apa masalah, beritahu saya. Bila-bila masa saya akan dengar, dan cuba
bantu."
"Terima kasih, errr... Reno. Terima kasih
banyak-banyak."
Reno
berdiri sebaik orang tua itu bingkas dan beredar. Senyumannya menemani orang
tua itu hingga ke muka pintu, sebelum menjemput Sofea masuk ke pejabatnya.
Bertukar senyuman dengan orang tua itu, Sofea
menyusun langkah. Tusukan sinar mata memandang Reno bagaikan sahaja mengirim
cinta. Meluahkan tanpa suara bagaikan sekuntum mawar yang membicarakan cinta
dengan bahasanya.
Pandangan itu, disambut Reno tenang sambil
menjemput Sofea duduk. Seolah-olah dia tidak melihat apa-apa.
"I dah dapat pekerja untuk kiriman ke
Singapura," Sofea memulakan bicara. Sinar mata merayap meraba wajah Reno
yang tampak segar di pagi hari itu.
"Memang lincah you ni. Terbaik! I tahu
dan yakin dengan kebolehan you. Hmmm, dapat dekat mana pekerja tu?"
Reno senyum memanjang. Senang hati
mendengarnya. Duduk menyandar menyelesakan diri, menyilang kaki, dengan tekun
dia memberi telinga.
"Dekat kedai minyak."
"Dekat kedai minyak?" Reno gelak
kecil. Telunjuk kanan menyinggah ke bibir seperti sedang membayangkan sesuatu.
"Dapat dekat kedai minyak tak apa. Asalkan jangan dapat orang minyak
sudah. Nanti habis pelanggan kita semua lari."
Sofea
hanya tersenyum dengan sendaan itu. Dalam diam, bibir Reno yang sedang terkuak
lebar, diamati dan nikmati. Bibir yang mampu memukau setiap lawan jenis apabila
melihatnya.
"Jadi, 'shipment' baru untuk ke sana bila
nak kirim?" sambung Reno. Pandangan menyelidik.
"Lagi dua minggu. Jadi buat sementara
waktu, biar dia kirim 'shipment' di daerah sini dulu."
"Dia boleh drive?"
"Dah tentu. Jika tak, I tak kan kasi dia
kirim 'shipment' untuk bahagian Singapura. Betul tak?"
Reno mengangguk setuju. Anak mata
bergerak-gerak, bagaikan sedang memikirkan sesuatu. "Reno... "
panggilan Sofea mengejutkan Reno kembali ke alam nyata. Pandangan yang
dikalihkan, jatuh ke sebuah bungkusan yang dihulur Sofea.
"Apa ni? Untuk I?" "Selamat
hari diPutera, hensem."
Membelek bungkusan itu, yang dibungkus dengan
kertas licin berwarna merah berbintik putih, Reno tersenyum dan menggeleng.
Sofea memerhatikan dengan rasa hairan.
"Kenapa dengan you? Tak suka ke hadiah
tu?"
Reno mengangkat muka memandang Sofea. Senyum
dilebarkan lagi. Bungkusan itu kemudian kembali dibelek. Seperti sahaja di saat
itu dia sedang merenung sesuatu yang agak memusyilkan.
"I
bukan tak suka, I suka," lirih Reno sambil memperkemaskan duduk.
"Cuma I rasa macam pelik gitu."
"Pelik? Kenapa pulak pelik? Hah, kan!
Sekarang I pulak yang jadi pelik."
Serentak mereka ketawa. Memiringkan kepala
memandang Sofea, telunjuk kanan meraba bibir, perlahan Reno bersuara.
"I
pelik bukan apa. I pelik sebab kita selalu menyambut hari yang semakin mendekati
mati dengan bergembira dan berseronok. Sedangkan persiapan menghadap Tuhan
mungkin belum tentu sudah cukup."
Begitu senyuman Sofea mati. Namun hati yang
sudah hilang arah, sudah tunduk dengan telunjuk nafsu dan perasaan, perkara
seperti itu tidak dihiraukan. Seperti tidak penting itu semua baginya.
"Reno," lirih Sofea manja,
"malam ni kita pergi dinner, okey?"
"Dinner malam ni?"
Begitu
apa yang baharu dibicarakan hilang entah ke mana. Begitu Anna melintas di
benak. Janji dengannya mahu bertemu malam ini bagaimana? Reno merenung jauh
memikirkan. Hati kecil turut berbisik mencari jalan keluar.
"Okey, boleh. Malam ni kita dinner
sama-sama."
Sofea
senyum lebar. Begitu juga dengan Reno, senyum lebar saat idea menyinggah.
Mengibarkan senyuman yang penuh dengan misteri dan rahsia.
'Pertemuan dengan Anna, boleh dilewatkan.
Boleh diurus!' bisik hati Reno.