Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 13

Tangan yang menjurus dari arah belakang bersama sekotak rokok Marlboro, datang bagaikan tangan Malaikat membawa rezeki. Terperanjat Zaid. Dia yang sedang sibuk mengepam minyak ke kereta pelanggan, pantas menoleh.

Azlan mengenyit mata. Menyedekahkan senyuman sebaik mereka bertemu pandangan.

"Apa ni, brader?" tanya Zaid sebaik melihat rokok yang disodorkan Azlan di hadapan mukanya. Terasa pelik melihat aksi Azlan yang dicarinya sejak dari pagi tadi.

"Apa ni? Rokoklah! Tak kan roti canai pulak," jelas Azlan sambil gelak kecil. Wajah tampak ceria, "Aku belikan kau. Nah ambik."

"Murah hati kau? Apa cerita?" suara Zaid sambil menggantung kepala pam minyak itu ditempatnya.

"Ada rezeki lebih sikit okeylah bermurah hati. Ambik aja, jangan banyak tanya. Nanti aku ambik balik baru kau tahu!"

Azlan tenang memaut bahu Zaid. Pandangan dilepaskan mengitari sekeliling. Kenderaan kelihatan di sana-sini memenuhi ruang stesen minyak itu. Seperti biasa, kedai minyak itu sentiasa sibuk dengan pelanggan. Rakannya yang lain juga seperti biasa, sibuk dengan tugas masing-masing.

Zaid, sambil berjalan membelek rokok yang diberi Azlan. Wajah ceria sahabatnya, kemudian kembali dipandang. Jelas, wajah Zaid tampak risau. Seperti ada sesuatu duduk menggangu. Rokok yang didapatnya secara percuma pun tidak dapat memadam apa yang sedang menconteng perasaannya ketika itu.

"Mana kau pergi dari pagi tak nampak kau punya muka pun?" tanya Zaid. Kain buruk yang tersangkut di tepi pam, dicapai. Dibersihkan tangannya dengan kain itu.

"Aku ada hal tadi. Dah beritahu Amir, aku datang lambat sikit."

"Eh Lan, habis, duit tu apa macam? Kau jangan main-main, brader. Besok mesti nak 'settle'," tanya Zaid seperti tidak mahu memberi Azlan kesempatan bernafas. Seperti sahaja perkara itu sentiasa ada di tepi benaknya.

Wajah Zaid jelas melonceng kecemasan. Wajah-wajah pemberi pinjaman wang haram yang ganas dan bengis, bermain begitu sekali dekat di ruang matanya. Wajah Azlan lurus-lurus diamati. Direnung dalam-dalam. Di sudut hati yang paling terpencil sangat berharap jawapannya nanti adalah positif.

Azlan senyum. Aksinya tenang dan santai. Senyuman kelihatan seperti ada menjanjikan sesuatu yang baik buat semua yang terlibat. Azlan mengangkat tinggi kening membalas pandangan Zaid. Sengaja mengusiknya yang tampak gelabah.

"Jangan takut, brader. Ada tu semua. Jangan risau," suara Azlan datar tetapi nada kedengaran riang. Bahu Zaid diramas.

"Ada? Betul ada?" wajah Zaid sudah seperti anak kecil diolok-olok dengan gula-gula.

"Kan tadi aku dah cakap ada. Engkau tak percaya?"

"Mana tahu kau cakap main-main. Jadi betullah ada?"

Azlan hanya mengangguk. Memberi kepastian dan jaminan dia tidak berbohong.

Melihat raut wajah Azlan yang begitu meyakinkan, dan kata-katanya penuh bersemangat, Zaid turut tersenyum. Lega. Benar-benar lega! Tiba-tiba dada yang tadi seperti ada bongkahan batu besar membebankan, terasa lapang.

"Habis kerja nanti aku kasi. Aku nak pergi jumpa Amir sekejap. Atau duit tu kau nak sekarang?"

Zaid gelak kecil dengan acahan Azlan. Mengangguk memberi persetujuan diambilnya nanti duit itu seusai kerja.

Diperhatikan Azlan beredar dengan penuh semangat. Hari serta-merta berubah jadi ceria dengan penjelasan yang baharu didengar. Rokok digenggaman, dicium lalu disimpan ke poket seluarnya. Bersiul hati Zaid kegirangan.

Suasana di pejabat Amir sunyi dan sepi. Hanya bunyi mesin penghawa dingin usang kedengaran bagaikan berbisik dengan garau. Penghawa dingin yang sudah entah berapa lama tidak dirawat, seperti sahaja dengan setia menjadi teman bicara Amir yang banyak menghabiskan masa di situ bersendirian.

Menghadap Azlan, seperti biasa Amir tampak tenang. Wajahnya seperti seorang yang tidak pernah dirundung malang atau pun menghadapi sebarang masalah.

"Aku dah beritahu perempuan tu, Lan. Tapi dia tetap nak kau bayar jugak. Katanya, bila dia ada masa lapang nanti dia akan jumpa kau," Amir memberitahu.

"Apa dia cakap lagi?" tanya Azlan acuh tidak acuh seolah-olah itu cuma perkara kecil.

"Itu aja dia cakap. Tapi... betul ke kau tak nak bayar?"

"Encik Amir, saya yakin kalau Encik Amir ada di tempat saya, pasti Encik Amir pun tak kan bayar. Calar sikit macam tu dia nak tekan saya sampai enam ratus ringgit? Masuk akal ke? Cuba Encik Amir fikir sendiri, masuk akal tak? Kalau kena Encik Amir, Encik Amir bayar tak?"

"Itu kereta masih baru, Lan. Kereta mahal pulak tu."

"Saya tak peduli! Baru ke, lama ke, kereta mahal, kereta murah, saya tak kan bayar. Biar dia jumpa saya nanti, saya akan cakap dengan dia. Encik Amir... kalau lima puluh-enam puluh ringgit tak apa. Bolehlah saya mampu juga bayar. Ini sampaikan enam ratus ringgit? Memang perempuan gila dia ni! Dekat mana saya nak cari duit tu? Itu aja dah lebih dari setengah bulan gaji saya. Anak-bini saya nanti nak makan apa?"

Azlan menggeleng. Wajah Amir direnung. Seperti sahaja sedang menanti Amir membalas kata-katanya. Tetapi Amir hanya berdiam tidak menjawab. Azlan sudah bersiap, jika apa yang nanti keluar dari mulut Amir memihak perempuan itu, Amir pasti akan dibidas.

Tidak sepertimana 'Ah long' yang telah membuatnya walang sehingga sanggup menebalkan muka menemui ibunya untuk meminjam wang, itu adalah kerana dia sendiri yang gatal meminjamnya, dan dia harus bertanggungjawab dengan apa cara sekali pun untuk mengadakan wang itu kembali. Dia bukan ditipu walaupun jelas 'bunga' yang ditekan mencekik darah. Namun itu adalah persetujuan antara dua pihak jika mahu wang bertukar tangan. Tidak ada paksaan. Pilihan di tangan dan atas kehendak sendiri.

Tidak seperti perempuan itu, Azlan merasakan jumlah ganti-rugi yang diminta adalah satu penipuan. Sengaja mahu menjerut lehernya. Keputusan Azlan muktamad! Dia tidak mahu membayar jumlah yang diminta. Lagi pun, Azlan yakin, perempuan itu tidak mungkin boleh meletakkan dirinya juga keluarga di dalam keadaan bahaya, sepertimana yang mampu dilakukan oleh pemberi pinjaman wang haram itu.

"Baiklah, Encik Amir, saya pergi buat kerja dulu. Jika perempuan tu datang cari saya, beritahu dia saya ada dekat luar," ujar Azlan setelah agak lama menantikan jawapan Amir yang sudah pun mematikan suara.

Azlan tanpa lengah melangkah dengan gusar keluar dari pejabat Amir. Hatinya bersarang benci dengan perempuan itu. Manusia yang dikiranya tidak punya hati perut dan sewenang mahu menindas orang sepertinya.

Sinar mentari dan bau hapak minyak diesel dan petrol yang mengapung di udara, kembali menyapa dan menyengat lubang hidung Azlan sebaik dia melangkah keluar dari pejabat itu. Matanya suram memerhatikan rakan-rakan yang sedang sibuk menjalankan tugas. Tugas yang saban hari dengan tabah dan tanpa ada rasa jemu dipikul bebannya, hari ini terasa begitu sekali berat hendak dia melaksanakan.

"Zaid... " panggil Azlan sebaik dia mendekati sahabatnya itu, "Eh, aku tak ada semangat betullah hari ni nak kerja."

"Tak ada semangat? Kenapa pulak?" tanya Zaid sambil melabuhkan punggung di bangku yang ada di situ.

"Entahlah. Aku pun tak tahu kenapa. Aku ingat nak rehat sekejaplah. Kasi semangat datang balik. Boleh?"

"Pergi aja. Tak apa aku jaga dulu ni semua," Zaid memberi jaminan dan mengizinkan.

"Eh, betul ke apa, brader?"

"Betullah! Nak cakap main-main untung apa aku dapat. Pergi aja."

Azlan merenung anak mata Zaid tepat-tepat. Bukan untuk mencari kepastian atau keikhlasan apa yang dikatakan, tetapi merenung penuh kekaguman. Kagum dengan jiwa sahabat yang dipamernya sejak pertama kali mereka mula berkenalan di tempat kerja.

Walaupun mereka sering bertekak mengenai perkara-perkara remeh, kadangkala bercanggah pendapat, itu semua sedikit pun tidak menjejas hubungan. Tidak pernah mereka membiarkan perasaan-perasaan negatif menyimbah dan membanjiri hubungan yang sudah terjalin. Seiring masa, hubungan mereka bertambah rapat.

"Lan... " baru sahaja beberapa tapak Azlan melangkah, Zaid memanggil. Azlan menoleh. "Apa gunanya jadi kawan kalau tak boleh sikit-lebih-kurang, tak boleh tolak-ansur. Betul tak? Hari ni hari kau. Esok-lusa mungkin giliran aku. Hidup ni macam tayar, brader."

"Tayar ke roda?" balas Azlan.

"Mana-mana pun bolehlah, asal kau bahagia!"

Azlan gelak kecil dengan sendaan Zaid. Mengangguk setuju apa yang dikatakan, Azlan meneruskan langkah menuju ke satu sudut yang agak sunyi dan terpencil berdekatan dengan tandas awam stesen minyak itu.

Lega!

Azlan terasa aman dapat kembali bersendirian melayan perasaan. Jauh dari hiruk-pikuk kehidupan yang menyerabutkan jiwa dan begitu melelahkan.

Perempuan itu, yang mahu menyedut darahnya, jauh-jauh diketepikan. Itu semua cerita kemudian!

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.