Suasana yang tadi agak riuh-rendah
serta-merta senyap sebaik pintu kaca pejabat terbuka. Para kakitangan, dengan
sekelip mata tampak tekun bekerja di meja masing-masing.
Ruang pejabat yang terletak di sebuah
bangunan di kawasan Senai itu, tidak ubah seperti sahaja baharu disambar
garuda. Sepi tiba-tiba!
Melurutkan sedikit kacamata hitamnya, dengan
senyum tergantung di wajah, Reno melangkah masuk. Segak berjalan dengan
briefcase di tangan. Mata liar mengitari ruang pejabat yang ukurannya sederhana
besar.
Reno mengerti. Cukup tahu apa yang sebenarnya
berlaku tadi, tetapi dia memejamkan mata. Dia tidak ambil kisah. Dia sedar,
untuk menghasilkan yang terbaik di dalam pekerjaan, jiwa harus bebas dari
segala macam tekanan. Harus tenang. Hati harus riang dan senang. Sejauh ini,
dia sangat berpuas hati, kakitangannya tidak pernah menghampakan.
"Selamat pagi Reno."
Menggema ruang pejabat. Pecah sepi dengan
ucapan hormat dari semua kakitangan yang ada. Keceriaan jelas kelihatan
terpancar di wajah masing-masing. Menyimbah-nyimbah senyuman di bibir. Mata
bersinar-sinar menyambut kedatangan bos. Bos besar!
"Selamat pagi. Selamat pagi semua,"
balas Reno sambil menjulang tangan kanannya tinggi di udara. Suara garaunya
kedengaran tenang dan ramah. Senyuman, tidak lekang di bibir.
Sambil berjalan, mata Reno tertuju ke setiap
meja yang ada. Meja yang dipisah-pisahkan oleh penghadang, duduknya Jurukira,
kerani, setiausaha, dan juga budak pejabat.
Perlahan dengan santai Reno meneruskan
langkah ke pejabatnya sendiri. Diperhatikan semua yang ada di situ. Berasa
riang dan senang bekerja dengan seorang direktor yang begitu santai, baik hati,
ramah dan bersikap bertolak-ansur. Juga, punya paras rupa yang bagus.
"Selamat pagi Reno." Suara itu
menyambut sebaik Reno melangkah ke pejabatnya. Keningnya dikerut. Mata
ditujukan ke arah perempuan tua itu yang menyambutnya dengan penuh hormat.
Reno, rona wajah berubah. Serta-merta tampak
tidak enak. Dia berasa agak terperanjat melihat tukang pembuat kopi sedang
sibuk mengemas pejabatnya. Menyangkut blazer hitamnya di tempat penyangkut,
punggung lalu dihempas ke kerusi kerja.
"Apa yang Mak Limah buat dekat
sini?" tanya Reno sesaat kemudian.
"Lady bos suruh Mak Limah bersihkan
pejabat Reno. Tadi dia telefon beritahu," terus-terang perempuan separuh
abad itu.
"Lady bos suruh? Habis, Cik Ros mana Mak
Limah? Tak datang lagi ke apa?"
"Entahlah Reno. Apa yang Mak Limah tahu,
tadi lady bos cakap dia M.C lagi. Sakit kot."
"Sakit? Ke sakit cinta?" Reno
berkeluh. Muka tegang dan panjang. "Itulah kalau dah tua-tua begini masih
nak bercinta macam orang muda. Tak habis-habis sakit! Akhirnya tanggungjawab
pun ke mana! Terabai!"
Menyandar di kerusi empuk itu, Reno menggigit
kuku ibu jari kanannya. Renungan jauh seperti sedang memikirkan sesuatu. Dia
tahu pembersih pejabatnya sedang dilamun cinta dengan seorang pengawal
keselamatan yang sudah agak berusia juga. Menggeleng Reno mengingatkan itu
semua.
"Entahlah Reno. Mak Limah pun dah
nasihatkan dia suruh kahwin aja. Kalau dah ada yang suka, dan hati sendiri pun
dah suka, tak payahlah nak terus menjanda. Tapi dia buat tak endah. Mak Limah
ni bukannya apa, kesian kat anak-anak dia yang dah remaja tu. Takut tanggung
malu nanti mak dia jadi bahan kata orang."
"Tapi macam mana nak berumahtangga kalau
tanggungjawab macam gini pun tak boleh sempurnakan? Macam mana?"
Marah Reno. Wajah pembersih pejabat
menyinggah di ruang mata. Seorang janda beranak dua, yang usia mereka sudah pun
mencecah belasan tahun, sudah berapa kali Reno memberi amaran. Dia bukan sahaja
sering memonteng, malah sering lambat ke kerja.
Reno menggeleng. Berat mengeluh. Jari-jemari
mengetuk meja sambil memerhatikan perempuan tua itu mengemas, melakukan kerja
yang bukan skop tugasnya. Menyeluk poket, iphone S4 dikeluarkan. Jari pantas
mengirim SMS.
Seusai mengirim pesanan, telefon bimbitnya
itu diletakkan di atas meja. Baru sahaja dia mahu membuka mulut memberitahu
sesuatu kepada perempuan tua itu, telefon bimbitnya berdering.
Reno tersenyum melihat nama pemanggil, rakan
'Scuba diving' yang dikenali di Pulau Aur hampir lapan bulan lalu, ketika
sama-sama mengambil lesen menyelam 'PADI Open Water', iaitu peringkat pertama
di dalam dunia menyelam. Perkenalan itu, tumbuh mekar hingga menjadikan mereka
rakan rapat.
"Selamat pagi, kawan. Wahh... cepat juga
kau balas. Mengkagumkan! Memang hebat betullah kau ni." suara Reno tenang,
menjawab panggilan itu sambil bersenda.
"Aku kau tahulah, 'EXPRESS'! Esok
hantar, hari ini sampai!" jawab Amru di hujung talian dengan gelak-ketawa.
Begitu juga Reno, turut tergelak mendengar lawak bodoh itu.
"Maaf, bukan aku tak nak call, tapi
takut ganggu kau. Aku tahu kau ni orangnya macam mana. Memanjang je sibuk.
Harap kau faham," jelas Reno sambil mengurut dagu.
"Arghh! Perkara kecik tu semua. Tak jadi
masalah pun."
"Okey, bagus! Jadi, agak-agak kau macam
mana, boleh tolong carikan tak yang aku nak tu?" tanya Reno
bersungguh-sungguh.
"Okey, itu aku tak boleh janji. Sebab
kau sendiri tahu aku ni sibuk terus. Tapi aku akan usahakan. InsyAllah. Aku
cuba. Hmm... umur sekitar berapa kau nak? Lelaki ke perempuan?"
"Tak kiralah lelaki ke perempuan, mak
cik ke pak cik, muda ke tua, asal rajin dan bertanggungjawab, kira dah okey.
Kerja pun bukannya susah dan berat mana."
"Okey, aku akan usahakan. Aku cuba
nanti. Habis, malam ni macam mana? Jadi ke tak jadi jumpa tempat biasa?"
menggaung suara Amru, rakan Reno, bertanya di hujung talian.
Memusingkan kerusi menghadap dinding, Reno
senyum kecil tetapi sinis. Dia dapat merasakan rakannya itu ada merancang
sesuatu buat dirinya malam nanti. Reno cukup mengerti dan kenal sikap Amru yang
suka mencabarnya. Tetapi dia tidak tahu apa yang diinginkan Amru sebenarnya.
Namun dia sudah bersiap. Sudah bersiap-sedia
untuk bertindak-balas. Memikir ke hadapan seperti seorang pemain catur
'Grandmaster', untuk mematahkan rancangan lawan.
"Sudah tentulah jumpa. Itu sudah pasti.
Dah janji, kan? Nanti janji tak dikota apa pulak kau kata. Betul tak?"
jawab Reno bersahaja dengan mengangkat kening. Terbayang apa yang bakal berlaku
malam nanti.
Kedengaran di hujung talian ketawa berderai
seperti mengejeknya. Ketawa penuh keyakinan diri yang dia sahaja mengerti apa
maksud sebenar di sebaliknya.
Tetapi Reno bertenang. Mempamerkan sikap
semulajadinya, tidak menggelabah menghadapi tekanan. Dia hanya mengangguk
ringan dengan senyum kecil. Dia tahu dia sudah pun bersiap-sedia untuk
menghadapi lawannya malam nanti. Menghadapi rancangan Amru yang sudah pun
disiapkan untuknya.
"Aku kenal kau, Reno. Cukup kenal siapa
tu Reno," di hujung talian ketawa pecah lagi. Lebih memekakkan telinga
Reno dari ketawa yang tadi.
"Baguslah kalau kau tahu siapa Reno.
Siapa yang tak kenal Reno, betul tak?" balas Reno sinis. Senyum penuh di
muka. Bersinar-sinar raut wajah.
"Itu sudah tentu! Cakap aja Reno, siapa
yang tak kenal? Semua orang kenal. Betul tak?" balas Amru sinis juga.
"Okey Reno, kalau gitu jangan lupa malam nanti, kita berdua aja."
"Sudah pasti! Itu sudah pasti! Jumpa
malam nanti."
Reno menjeling jam di tangan sebaik mematikan
perbualan. Wajah tiba-tiba berubah. Perempuan tua itu yang lagi sibuk berkemas,
tidak dihiraukan. Dibuka fail di atas meja di hadapannya.
Mata tidak berkedip, melirik menurut telunjuk
yang seperti memandunya di fail itu. Terhenti di satu catatan, Reno mengurut
dagu. Keningnya berkerut. Sekali lagi jam tangan dijeling. Tanpa lengah,
menutup kembali fail itu, pantas Reno bingkas dan mencapai blazernya. Ada hal
penting yang harus diselesaikannya.
"Mak Limah, bila lady bos datang beritahu
dia saya keluar. Ada hal penting nak diuruskan. Apa-apa suruh dia SMS saya
saja. Jangan call," pesan Reno, sebelum menghilangkan diri sepantas kilat.