"Ikan tak mungkin dapat dikail tanpa
umpan. Tak mungkin!"
Ishak mengangguk setuju. Kata-kata yang baru
merangkak keluar dari mulut Amru, tidak dapat dinafikan kebenarannya. Duduk
menghadap Amru di pejabatnya, Ishak terus sahaja memasang telinga. Sedar, Amru
belum lagi selesai bicara.
Amru tampak muram. Kegelisahan bergayut terus
di hati sejak kebelakangan ini. Apa yang diinginkan, sejauh ini, belum lagi
menampakkan hasil. Sedangkan waktu kian suntuk. Jangkanya kian sempit dan
mendekat. Namun bukti yang kukuh, belum juga dapat digali.
Telefon
bimbit yang dipegang, dipusing-pusing di atas meja. Dibuatnya main-main. Namun
tumpuan bukan di telefon bimbit itu. Tumpuan yang sebenar, adalah apa yang
sedang direnungkan, kes yang begitu sekali rumit hendak diselesaikannya.
Amru menggeleng. "Tapi nampaknya... ikan
ini memang liat sangat. Memang jenis yang bijak! Tak makan umpan!"
Ishak tersenyum dan mengangguk setuju.
"Memang benar, tuan. Sejauh ini, nampaknya begitu. Saya pun tak boleh
menafikan, dia ini memang licik. Permainannya sungguh licin, tuan. Saya tengok,
dia ini seperti 'invisible'."
"Betul awak cakap, Ishak. Saya pun boleh
kata, dia ini memang macam 'invisible'. Tapi... "
SMS yang tiba-tiba masuk di telefon bimbit
Amru, serta-merta mematikan perbualan. Dikalihkan tumpuan. Sepertinya, pesanan
ringkas itu ada membawa khabar penting, melihatkan nama si pengirim.
SMS yang ditunggu-tunggunya!
Matanya tidak berkedip, merayap di muka skrin
membaca isi pesanan yang dikirim.
'Maaf,
tuan. Mungkin kali ini saya gagal. Sejauh ini, saya tak dapat gali apa-apa.'
Menyilang kaki, Amru menyandarkan kepala di
kerusi empuk itu. Hatinya semakin terasa berat dengan apa yang baharu diterima.
Berkeluh-kesah di hati paling dalam. Kesemuanya, kelihatan seperti tidak ke
arah sebagaimana yang diinginkan.
Dada siling ditujukan pandangan. Mata liar
berlari di setiap penjuru yang terjangkau. Memikir, mencari jalan keluar.
Mencari anak kunci yang dapat memecahkan dinding segala kebuntuan.
SMS itu dibaca lagi. Sebentar memikir-mikir,
lalu dibalas.
'Jangan
putus asa. Teruskan peranannya. Tapi hati-hati. Jangan sampai awak terbuai
dengan kata-katanya. Itu boleh membahayakan diri awak dan semua.'
"Tuan," panggil Ishak membuat Amru
kembali memandangnya. "Tak boleh ke kita terus tangkap aja dia? Kan senang?"
"Boleh. Tapi bukti apa yang boleh letak
dia di tali gantung? Kalau setakat nak sumbat dia ke penjara, kita tak perlu
susah-susah. Mungkin dari dulu pun boleh." Amru berhenti menghela nafas.
"Kalau kita tangkap dia sekarang, paling-paling dia cuma kena hukuman
ringan. Sejajar ke? Sedangkan info yang kita terima, dia adalah ahli kumpulan
sindiket besar. Jadi, saya mahu dia terima hukuman yang wajar."
"Betul apa yang tuan cakap tu. Saya
setuju sangat. Hukuman harus sejajar dengan kesalahan yang dilakukan. Baru
adil."
"Itulah sebabnya saya mati mati mahukan
bukti. Saya perlukan bukti kukuh untuk membuktikan yang dia tu benar-benar
bersalah. Jika tidak, dia akan terlepas begitu saja."
Amru
menggeleng berat. Kesal dan hampa jelas ada tergantung di wajahnya. Kerongkong
kelihatan bergerak-gerak menelan ludah. Bayangan suspek, terus sahaja berlegar
di ruang mata mengejek-ejeknya.
"Saya mahu lenyapkan dia dari muka bumi
ini!" kata Amru lagi bersungguh. "Orang yang macam gini, yang merosak
dan menghancurkan masyarakat, memporak-perandakan para remaja dan meruntuhkan
banyak keluarga demi kepentingan diri, tak layak hidup di samping kita. Tak
layak! Sama sekali tidak!"
"Betul, tuan. Itulah undang-undang dunia,
selagi tak ada bukti yang diketengahkan, selagi itulah yang ada buat salah pun
sampai bila-bila tak kan dikira bersalah."
Amru
mengangguk. Sangat setuju dengan apa dikatakan Ishak. Jauh dia merenung
mengimbas kembali kes-kes yang pernah dikendalikannya selama ini. Kes-kes
dipecahkan kebuntuannya dengan begitu mudah, tanpa sebarang masalah menggali
bukti yang diperlukan. Tetapi kes ini, sedang ditanganinya, tampak begitu
sulit. Tidak nampak sama sekali jalan untuk mengatasinya. Sehingga kadangkala
dia sendiri merasakan info yang diterimanya ini, adalah satu info palsu. Namun
nalurinya mengatakan sebalik.
Ishak yang sedang duduk memeluk tubuh, Amru
pandang. Penghawa dingin pejabat yang kedinginannya hanya sederhana, tampak
begitu menggigit baginya. Dia yang sanggup berkorbankan nyawa dan keselamatan,
juga kesihatan demi kepentingan masyarakat, seluruh tubuh badannya yang kurus
itu diamati Amru.
Pegawai
yang terpaksa dipasang, menyusup dan bergaul dengan lingkungan penagih dadah
untuk menggali info lebih lanjut dari bawah, keadaannya sekarang ini adalah
gambaran keruntuhan para remaja. Amru sedar, sejak dari dahulu sudah sedar,
malapetaka ini tidak boleh dibiarkan terus berleluasa. Amru bertekad, bersumpah
sejak mula dinaikkan pangkat mengetuai unit, akan terus memerangi gejala ini.
Habis-habisan!
"Bila
terakhir kali awak pergi check-up?" Amru membuka mulut. Ciri-ciri seorang
ketua dapat didengar dari nada suaranya.
"Semalam, tuan." Amru mengangguk.
Menongkat dagu, Ishak dipandang rapi-rapi. Pandangannya menyelidik, ingin
memastikan Ishak orang bawahannya sentiasa di dalam keadaan terkawal.
"Kes selesai nanti, saya akan hantar awak
ke pusat Serenti."
Pecah
ketawa Ishak mendengar sendaan ketuanya. Sekilas dia melirik keadaan diri
sendiri. Raut wajahnya tenang, seolah-olah reda tugasnya itu memerlukan
pengorbanan.
"Errr, tuan. Agak-agak tuan, dia pun ada
hisap tak benda haram jadah ni?"
"Dia hisap benda ni?" Amru ketawa
kecil sambil menggeleng. "Orang yang macam dia ni tak bodoh. Tahu benda ni
tak menguntungkan hidup. Tahu yang hisap benda ni tak ubah macam bunuh diri
secara perlahan. Orang macam dia ni sedar, hanya orang bodoh saja hisap benda
ni. Mereka sedar, benda haram jadah ni akan meruntuhkan kehidupan. Akan
memporak-perandakan segalanya. Hidup akan hilang arah sehingga lenyap moral dan
imej di mata masyarakat. Mereka sedar, ini adalah agenda komunis mahu
menghancurkan masyarakat, terutama sekali para remaja. Apabila remaja iaitu
pemimpin esok hari sudah dapat dihancurkan, maka mudahlah nanti komunis boleh
tawan negara dan bangsa kita. Orang macam dia tak bodoh."
Menyandar, Ishak yang sedang memasang telinga
disedekahkan senyuman. Amru sedar, Ishak yang baharu juga ditukarkan ke
bahagian anti-narkotik, pengetahuannya tentang ini semua tidak sedalam mana.
Namun dedikasi yang ditunjukkan pegawai rendahnya itu cukup mengkagumkan.
"Ishak," lirih Amru, "Orang
yang seperti ini, pengedar dadah, di kepala otak mereka cuma duit saja. Mereka
tak kan hisap benda ni. Sebab mereka tahu, sesiapa yang hisap benda ni, duit
setinggi gunung pun lama-lama akan jadi rata. Hisap dadah ni macam makan nasi.
Malah lebih teruk! Sudahlah tiap hari nak, malah jumlah yang diperlukan semakin
hari semakin bertambah banyak. Itulah sebabnya, dadah ni adalah ibu segala
jenayah! Tapi dengan mengedar dadah saja, hidup dengan cepat boleh kaya-raya.
Tapi untung apa, jika leher sentiasa dekat dengan tali gantung?"
"Memang wajar mereka digantung sampai
mati, tuan. Mencari kekayaan di atas penderitaan orang lain, itu dikira zalim.
Saya memang tak setuju cara seperti ini. Itulah sebabnya saya sanggup jalankan
tugas yang diberi dengan sebaiknya," ujar Ishak.
Amru
bingkas menuju ke jendela. Kedua tangan menyeluk saku jeansnya, pandangan
dilontarkan jauh ke luar sana. Hatinya yang sedang dicengkam kegalauan, sebak
mengenang nasib anak bangsa, yang tidak bersalah menjadi mangsa. Dan akhirnya,
seluruh keluarga terpaksa juga menanggung nasib yang tidak kurang malangnya.
Gara-gara pengedar dadah mahu mengaut kekayaan dengan cara mudah.
Menoleh, Ishak yang sedang memandangnya,
disatukan pandangan. Erat terikat. Jelas dapat dilihat Ishak di waktu itu,
sinar mata Amru memancarkan ketidakpuasan hati. Merah menyala sinar mata Amru.
"Ishak," lirih Amru, "Apabila
seseorang itu terlibat dengan dadah, bererti bukan saja dia yang menjadi
mangsa, tetapi seluruh keluarganya turut menanggung beban. Ishak, kita tidak
boleh duduk diam. Kita harus perangi gejala ini habis-habisan. Kita cari bukti
dan kirim nyawanya ke neraka!"
"Siap, tuan! Saya sentiasa bersiap!"
Mengangguk, Amru kembali menghadap jendela.
'Tapi di mana buktinya? Di mana?' gaung hati
kecil Amru yang paling dalam.