Reno perlahan mengangkat muka. Dahi dikerut.
Dia yang sedang leka membelek hadiah pemberian Sofea, jam tangan menyelam jenis
Suunto G9 keluaran terbaru yang canggih, berasa hairan mendengar apa yang
dikatakan Sofea.
Apa
yang dikatakan, sama seperti apa yang pernah Anna katakan kepadanya sedikit
waktu dahulu. Apakah benar dia ini seperti kayu? Kening Reno perlahan bersatu.
"Apa you cakap tadi? Cuba ulang sekali
lagi."
"I cakap, I tengok you ni, betul-betul
macam tak ada perasaan. Macam kayu!"
"I macam kayu? Apa maksud you cakap
macam gini? You cakap I ni macam papan kan lagi baik."
Sofea
tidak menjawab. Hanya menentang mata Reno yang tajam memanah dengan senyuman di
wajah. Mengharapkan Reno mengerti apa yang dimaksudkannya tadi.
"Mana you tahu kayu tak ada perasaan?
Siapa beritahu you kayu tak ada perasaan? You dah selidik?"
Pertanyaan itu dijawab Sofea dengan gelak
kecil. Terasa lucu melihat Reno bertanya dengan muka-muka. Jus oren di atas
meja dicapai. Sambil menjamah, mata melirik Reno. Bersiap-sedia menantikan dia
berhujah.
"Buat pengetahuan you, I ni bukan tak
ada perasaan," Reno yang mengerti maksud pertanyaan itu, membuka mulut seperti
yang sudah dijangkakan Sofea. "I pun manusia juga macam you, ada perasaan.
Tapi... I tak kan pernah biarkan diri I dikuasai oleh perasaan yang
bukan-bukan. Perasaan-perasaan yang I rasa tak patut ada dalam diri I."
"Maksud you?"
"Maksud I, I tak mahu penjarakan diri I,
hidup dalam bayang-bayang. Hidup berlegar dalam khayalan yang belum tentu akan
jadi kenyataan."
Reno menyandar, tangan kiri di atas meja.
Tatapan Sofea yang sedang tekun mendengar, direnung. Jari-jemari perlahan
mengetuk-ngetuk meja itu bagaikan menyeru apa yang wajar disampaikan lagi.
"Sekilas ikan di kolam, I dah tahu
jantan betinanya," sambung Reno kemudian bersahaja sambil membetulkan
duduk. Suara jantannya menggaung di telinga Sofea.
"Apa maksud you tu? I tak fahamlah."
"Dah gaharu cendana pula. Dah tahu lagi
nak pura-pura," balas Reno sambil membuang pandang. Senyum sinisnya
mengundang Sofea membalas apa yang baharu dikatakannya.
"Eh, apa maksud you ni. I betul-betul tak
fahamlah! You jangan macam-macam boleh tak? Cakap ajalah terus-terang, tak
payah nak bermadah-madah sini."
Reno
tergelak. Nada mengejek. Dengan kedua belah tangan menopang dagu, wajah Sofea
yang tampak sudah tidak selesa, ditatap.
"Dah kenapa dengan you ni, hah?"
Sofea semakin berasa tidak selesa ditatap begitu.
"Salah tak kalau I cakap, selama ini you
sebenarnya ada hati dekat I?" lirih Reno tenang. Menyatakan tanpa ada
sedikit pun rasa bersalah. Renungan menantikan jawapan.
Sebentar sepi menerkam. Hanya lagu
sentimental yang terus mengapung ruang restoran itu sahaja yang kedengaran.
Restoran Rasanubari yang terletak di Waterfront City Stulang laut, menghadap
Selat Tebrau, airnya yang tenang itu bagaikan berkocak tiba-tiba.
Sofea memajukan wajah. Mata besar seperti
mahu menelan Reno bulat-bulat. Namun itu semua tidak menjejas Reno. Sedikit pun
tidak dapat merubah apa yang dinyatakannya tadi.
"Apa you cakap? I ada hati dekat
you?" Sofea memainkan peranan. Bersandiwara. Senyum sinis Reno dibalas
dengan yang serupa.
Reno mengangguk. Raut wajah penuh keyakinan.
Sinar mata tajam menghalang Sofea dari cuba melarikan diri dari bersemuka
dengan kenyataan. Memalang setiap laluan, setiap jalan keluar yang ada. Tidak
tahu sebenarnya, itulah yang dimahukan Sofea.
Sofea
terus sahaja bersandiwara, mempamerkan diri konon bersalah tingkah. Tanpa
pengetahuan Reno, di hatinya yang paling dalam sudah dihujani bunga. Renungan
tajam Reno yang sedang menantikan jawapan, disambut. Perlahan bibirnya mengorak
senyum. Sedar, ini adalah satu kesempatan untuknya meluah apa yang dirasakannya
selama ini.
Ya, inilah saat-saat yang dinantikan. Saat
dan peluang untuk memberitahu Reno apa yang selama ini tersembunyi di lubuk
hati. Biar Reno tahu dari mulutnya sendiri. Memang! Memang sudah lama dia
menantikan kesempatan ini. Kini, kesempatan yang dinanti sudah pun terbentang
di hadapan mata. Tanpa teragak-agak, Sofea memuntahkan.
"Salah ke jika I ada hati dekat you?
Salah ke? Macam mana you cakap tadi, kita manusia ada perasaan, jadi salah ke I
ada hati dekat you?"
"Jadi betullah apa yang I cakap tadi,
you ada hati dekat I?" "Ye, betul. Memang I ada hati dekat you. Salah
ke? Tak boleh?"
Reno menghela nafas dalam lalu menyandar.
Pandangan dijatuhkan ke hamparan meja yang hidangannya belum lagi tiba selain
minuman. Pandangan jauh dan dalam bagaikan dia sedang memikirkan sesuatu. Reno
mengangkat muka beberapa detik kemudian.
"Tak salah... " getar suara Reno.
"Tapi... "
"Tapi?" Sofea pantas memotong.
"Ada tapi-tapi lagi? Jadi salahlah kira?"
"I tak cakap salah. Mana ada I cakap
gitu. Ada perasaan dekat seseorang itu bukan satu kesalahan pun. Itu fitrah
manusia. Kadangkala perasaan seperti itu tak dinafikan dengan sendirinya wujud
di dalam diri. Tapi, apa yang menjadi satu kesalahan... bila perasaan itu
dibiarkan tak terkawal. Itu yang salah. Buruk nanti padahnya."
Sepi serta-merta kembali mengambil tempat.
Anak mata mereka sebentar berlaga. Bergelut. Apa yang baru sahaja dikatakan
Reno, bagaikan mengejut Sofea dari lenanya yang panjang. Jelas, kata-kata itu
ada benarnya.
Mengalihkan pandangan, hamparan laut yang gelap
pekat itu ditujukan arah. Fikiran Sofea sebentar melayang jauh. Dia tidak dapat
menafikan perasaannya terhadap Reno yang sudah lama tumbuh, sukar hendak
dikawal. Semakin lama, semakin menjalar sebegitu dalam. Sehingga kadangkala ke
tahap menyusahkan diri sendiri, memuja dan merindui di dalam diam.
"Tapi... you percaya tak jika I cakap,
sebenarnya I pun ada hati dekat you?"
Pantas Sofea membawa lari pandangannya
kembali ke arah Reno. Mata bersinar. Renungan menyelidik, rapi di setiap
garis-garis halus wajah Reno. Seperti tidak percaya dengan apa yang baru
didengarnya.
"You ada hati dekat I? Nak kiamat dunia
agaknya. Macam susah aja I nak percaya," Sofea menjeling. Pandangan
kembali dituju ke arah laut itu.
Spontan Reno tersenyum. Mengerti tingkah-laku
yang dipamerkan Sofea. Sedar Sofea mahu mendengar lagi apa yang akan
dikatakannya. Diangkat Teh Cina minuman kegemarannya yang masih hangat dan
dihidu keharumannya sebelum meneguk sedikit. Meletak kembali teh itu di atas
meja, Reno meneruskan bicara.
"I memang dah tahu you tak kan pernah
percaya dengan apa I cakap. Terpulang pada you. Tapi I cakap betul. I tak
bohong. Cuma... perasaan yang wujud itu, I tak kan biarkannya menguasai diri I
buat masa ini."
"Tak kan biarkan perasaan menguasai diri
you?" terpanggil Sofea kembali menatap wajah Reno. "Kenapa? Sebab I
ni business partner you? Gitu?"
"Bukan sebab you ni business partner I
atau apa... " "Kalau tu bukan alasannya, habis apa?" potong
Sofea dan seterusnya membuang pandang. Diri sudah kian jauh diterjang oleh
pergolakan perasaannya sendiri.
"Sofea... " panggil Reno.
"Tengok I. Tengok I sini. Sofea... "
"Apalah... I dah puaslah tengok muka
you. Dah naik jelaklah!"
"Sofea... tengok sini!" paksa Reno.
Mengalah, perlahan Sofea mengalihkan
pandangan, kembali menatap wajah tampan Reno yang dipuja selama ini di dalam
diam. Anak mata mereka bertaut. Sepuasnya Sofea mengambil kesempatan merenung
anak mata yang hitamnya sepekat malam.
"Sebabnya kalau you nak tahu... I tak
mahu perasaan yang belum tentu menjanjikan apa-apa untuk hidup I, menjadi tuan.
Walaupun sekali jika dalam diri I ada rasa cinta pada you, atau pun pada
sesiapa, I akan cengkam perasaan itu erat-erat. Walaupun sekali apa yang akan
terjadi, I tak kan biarkan perasaan itu menguasai diri I. Sofea... perasaan
seperti itu tidak mempunyai apa-apa makna selagi tidak ada apa-apa ikatan yang
sah! I tak mahu menjadi mangsa cinta, begitu juga I tak mahu memangsakan diri
you. I harap you faham."
"Jadi maksud you, antara kita ni ada
harapan? Gitu?"
Reno menunduk. Di hamparan meja itu
dijatuhkan matanya. Jari-jemari perlahan mengetuk-ngetuk, bagaikan sedang
memikir sesuatu. Menghela nafas, anak mata diangkat. Tajam memanah Sofea yang
sedang menanti, mengharapkan jawapan.
"Jawapannya... ada di tangan Tuhan,'
jawab Reno tenang.