Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 39

Telefon bimbit Reno menjerit sebaik dia melangkah masuk ke perut kereta, seusai pertemuan dengan Mr Wong. Diseluk poket blazernya, telefon bimbit itu dikeluarkan.

Reno senyum kecil, apabila melihat nama pemanggil melambai di muka skrin telefon bimbitnya. Tanpa lengah panggilan itu dijawab.

"Hello, Puteri Kayangan. Apa khabar?" suara Reno tenang bersenda.

"Hi, Reno. You dekat mana?"

Di hujung talian, pantas Dila membalas. Suaranya kedengaran cemas. Tegang! Buru-buru bertanya Reno ada di mana. Sehinggakan khabar yang ditanya pun tidak dijawabnya.

Reno dahi mengerut saat mendengar suara Dila. Nada suara tidak kedengaran seperti biasa. "I baru lepas jumpa kawan. Kenapa? Apa hal dengan you? Macam ada masalah je I tengok?"

"You boleh jumpa I sekarang?"

"Jumpa you sekarang? Apa hal, beb?"

"Nanti jumpa I cakap. Boleh tak?"

Reno melirik jam tangannya. Jam tangan jenama Suunto D9 pemberian Sofea tempoh hari, tiba-tiba menjadi jam tangan kegemaran. Sehinggakan jam tangan Rolex Oyster, lambang kedudukan di mata masyarakat yang sering digunanya dahulu, disimpan. Pemberian Sofea itu, sangat-sangat dihargai. Jam digital yang boleh digunakan untuk menyelam lautan, memberitahu hari sudah pun pukul 11.30 pagi.

"You nak jumpa dekat mana?" tanya Reno setelah memikir-mikirkan.

"Jumpa I dekat Skudai."

"Skudai? Skudai belah mana? Skudai ni besar, beb!"

"Dekat restoran mamak tu. Tempat kita dulu selalu makan nasi Briyani. Ingat tak?" "Kedai mamak tu? Hmm... okey. You tunggu, nanti I sampai." Reno bersetuju tanpa ada rasa keberatan, setelah sekali lagi memikirkan situasi dan keadaan.

Mematikan perbualan, menyandar dengan telefon bimbit masih digenggaman, pandangan ditebarkan ke luar. Jauh Reno bermenung. Bermenung memikirkan Dila. Memikirkan sikap buru-burunya tadi.

Pelik! Reno benar-benar merasa pelik. Dila sepengetahuan Reno, adalah seorang yang tenang. Buru-buru bukanlah sikap semulajadinya. Tetapi, kenapa tadi sikapnya berseberangan? Kenapa tidak setenang seperti biasa? Kenapa?

'Pelik betul, minah ni! Lain macam aja perangai dia hari ni aku tengok. Apa cerita?'

Mengetuk-ngetuk stereng berusaha meleraikan kegalauan yang bergayut di fikiran, enjin kereta lalu dihidupkan. Tanpa lengah, kereta mewahnya, BMW Convertible berwarna merah darah dipacu membawanya berlari meredah jalanraya ke tempat tujuan.

Reno senyum sebaik membelokkan keretanya tidak lama kemudian ke satu lorong, yang agak sempit disebabkan ada beberapa kereta diparkir di situ. Dila sudah kelihatan sedang menunggu di tempat yang dijanjikan, di satu sudut agak terpencil tempat mereka sering bersantai dahulu.

"Apa hal siang-siang buta call?"

Sapaan itu datang dari arah belakang, datang bersama anak kunci kereta yang dicampak ke atas meja. Tersentak Dila, saat kunci itu jatuh betul-betul di hadapan matanya.

Pantas Dila menoleh. Reno menitipkan senyuman saat bertemu mata. Seperti biasa, senyuman semula jadi Reno, memang manis.

"Apa cerita? You ada masalah ke apa?" tanya Reno lagi sambil menarik kerusi dan menghempaskan punggung. Wajah Dila yang tiba-tiba seperti bernyawa tanpa setitis darah, direnung. Rapi-rapi.

"Apalah you ni, buat I terkejut je!" Dila menjeling.

Reno senyum nakal. Dilepaskan kacamatanya, diletakkan di atas meja, mata melilau mencari pelayan restoran. Dijulang tangannya, melambai apabila ada salah seorang pelayan di situ menangkap pandangannya.

"You nak makan apa?" tanya Reno kepada Dila yang jari-jemari sedang leka bermain di bibir gelas tehnya.

"Tak mahu. I dah makan tadi kat rumah," jelas Dila tanpa memandang Reno. Mata tetap melekat di gelas teh itu.

Reno mengangguk dan memerhatikan Dila. Wajah ayu itu jelas tampak muram, memberitahu Reno ada sesuatu yang tidak kena. Walaupun Reno sedar, seperti selalu Dila memang lokek senyuman dengannya, tetapi hari ini sinar wajahnya tidak seperti biasa. Sama sekali berbeza.

"Ya, encik mahu makan apa?"

Pertanyaan itu menarik perhatian Reno, lalu mengalihkan pandangan ke arah pelayan berbangsa India peranakan yang sudah pun tercegat di sisinya.

"Kasi saya Teh tarik satu," beritahu Reno.

"Makan?"

"Makan tak mahu. Minum aja."

Dila kembali dipandang sebaik pelayan itu pergi mengambil pesanan. Matanya tajam menyelidik. "Apa hal sebenarnya you panggil I ke sini?" tanya Reno sejurus kemudian. Dila mengangkat muka. Menoleh, dan mengitari ruang restoran itu. Walaupun pelanggan agak ramai di waktu makan tengah hari, namun duduknya jauh dari meja mereka yang terletak di satu sudut agak terpencil bersebelahan sebuah lorong jalan. Reno yang sedang menantikan jawapan, Dila pandang.

"I nak mintak you tolong," kata Dila tanpa teragak-agak.

"Okey. I akan tolong jika I mampu. Tolong apa tu?"

Sekali lagi Dila mengitari. Melakukan satu kitaran yang pantas. Reno kembali dipandang, tepat-tepat di mukanya.

"Kawan I nak setengah kilo," Dila langsung memuntahkan tujuannya.

"Setengah kilo? Setengah kilo apa? Beras? Gula? Ke tepung?" Reno gelak kecil. Sinis. "Pergilah cari kat pasar raya! Tanya I buat apa?"

"I cakap betul-betul ni, bukan main-main! You ni dah kenapa?" suara Dila seakan berbisik.

"I pun sama. Cakap serius. Bukan bergurau."

"Reno. I... "

Dila terhenti di situ apabila pelayan tadi kembali mengirim apa yang dipesan Reno. Dalam-dalam nafas dihela, sementara menanti pelayan itu beredar tidak lama kemudian.

"Reno... janganlah nak sembunyi-sembunyi. I kenallah you siapa."

"You memang kenal I... tapi you tak tahu siapa I."

"Apa bezanya?" Dila kerutkan dahi, "Entah apa-apalah you ni!"

Rokok 'Camel' yang tersimpan di poket kemeja Reno capai. Dikeluarkan sebatang. Berdenting pengorek api jenama Dunhill saat rokok itu dinyalakan. Dalam dan keras rokok itu disedut.

"You kenal Tun Dr Mahathir?" tanya Reno sambil menghembus asap rokok itu langsung ke muka Dila. Pantas Dila mengibas-ngibas asap itu dengan kedua belah tangan.

"You kenal?" Reno ulang pertanyaannya.

"Tentulah I kenal! Siapa yang tak kenal?"

"Ye! Tentu you kenal. Tapi selain you kenal dia sebagai bekas Perdana Menteri, you tahu siapa diri dia yang sebenar?"

"Itu memanglah betul. Tapi, I kenal you Reno. I tahu siapa you!"

"Siapa I?"

"Siapa you? I tahu yang you ni dulu tokan!"

Reno menelan ludah. Restoran itu dikitari, buat memastikan apa yang baharu dikatakan Dila tadi, tidak ada yang mendengar. Keadaan seperti biasa. Seperti tadi, masing-masing sedang leka menjamu selera.

Teh tarik yang sejak dari tadi terhidang, dicapai. Diteguknya sedikit membasahi tekak. Meletak kembali gelas teh itu di atas meja, restoran itu sekali lagi dikitari.

Sebentar kemudian, Dila yang sedang memandangnya dengan penuh berharap, Reno tikam anak mata itu dalam-dalam dengan sinar mata yang tajam.

"Apa you cakap tadi? Apa you cakap, beb? Cuba you ulang lagi sekali biar jelas I dengar!"


Previous: Bab 38
Next: Bab 40

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.