Hanya asap rokok dihembus Reno menjadi
penghadang antara kedua anak mata yang sedang hangat bersilat. Asap itu
mengapung di udara, bagaikan menari mengiringi satu pertarungan klasik antara
dua pahlawan Nusantara.
Terkunci mulut Dila dengan pertanyaan Reno
tadi. Tergamam tiba-tiba. Menyedari Reno tidak senang perkara itu diungkit,
Dila jadi hilang kata-kata. Hanya mampu menentang dalam diam sinar mata Reno
yang tajam menikam.
"Apa you cakap tadi?" nada suara
Reno, jelas menggambarkan apa yang sedang dirasa. Lengan disilang memeluk tubuh
terus merenung Dila.
"Kenapa, you marah?"
"I tanya you, apa you cakap tadi?"
"Betul kan, apa yang I cakap tadi
tu?"
"I tanya youlah, apa yang you cakap
tadi!" suara Reno sedikit meninggi. Bertegas!
Menguncup anak mata Dila. Kecut! Serta-merta.
Melihatkan Reno memandang sudah seperti mahu menelannya, Dila jadi cuak.
Berdegup kencang jantungnya. Seolah-olah di saat itu, dia bukan sedang
berhadapan dengan seorang lelaki kacak dan tampan, tetapi seekor binatang yang
buas.
Reno
menggeleng. Berkeluh kecil di dalam hati. Rona wajahnya yang memerah, tidak
lama kemudian perlahan berubah. Menyurut melihatkan wajah Dila ketika itu
bagaikan minta dikasihani.
Teh dicapai, diteguk sedikit lagi. Berusaha
menenangkan diri. Dila yang sudah hilang kata-kata, terdiam kaku seperti patung
bernyawa, kembali direnung. Lama dan lurus-lurus direnung.
"Dila... " panggil Reno. Suaranya
kedengaran tenang tidak sekeras seperti tadi. "Itu dulu, Dila. Itu kisah
lama. Kisah silam! Kisah waktu I dalam keadaan terdesak. Tapi... sekarang ni
untuk apa I nak terlibat dengan tu semua? Untuk apa?"
Dari nada suara Reno, dapat Dila merasakan
kemarahan Reno mendingin. Sudah sejuk. Sudah kembali tenang. Di hati Dila yang paling
dalam, tersenyum. Tersenyum mengingatkan sikap Reno yang tidak pernah berubah.
Tidak berubah tetap seperti dahulu Reno yang dikenalinya. Marahnya cuma
sebentar. Tidak berlarutan dan berpanjangan.
Dihela nafas dalam-dalam, Dila cuba
membebaskan dirinya daripada rasa takut yang baharu tadi menjerut perasaannya.
Teh yang semakin dingin itu dicapai. Dengan kedua belah tangan gelas itu
dipegang. Diteguknya sedikit, berusaha mengawal perasaan dan mengembalikan
dirinya semula.
"You... jangan marah I cakap sikit,
ye," Dila akhirnya membuka mulut. Anak mata bergerak-gerak. Memantau
gerak-geri Reno pada masa yang sama.
"Cakap aja. I tak marah."
"Janji, ye?"
"I janji. Cakap aja apa yang you nak
cakap."
Lega Dila. Membetulkan duduk, mata jatuh di
hamparan meja memikir-mikir. Mengangkat muka, Reno yang sudah tampak tenang
kembali dipandang. Memberanikan diri, Dila bersuara.
"You tahu, dan I pun tahu... yang you
dulu ada mengedar benda ni. You tentu tahu betapa senangnya duit masuk bila
berniaga benda ni. Jadi... tak kanlah dengan begitu mudah you boleh tak mahu
libatkan diri lagi? Tak kanlah dengan senang-senang you boleh bebaskan diri you
dengan ni semua? Dengan bisnis you aja, boleh ke you dapat kereta dan rumah
mewah tu? Mustahil."
Reno menyandar. Raut wajah tetap tenang
memandang Dila yang sudah membuang muka. Rokok tersepit di jari disedut
dalam-dalam. Berdiam memikirkan apa yang harus dikata pada Dila untuk
meyakinkannya dia tidak terlibat dengan apa yang disangkakan.
Menoleh, restoran itu dikitari. Disedut rokok
itu lagi yang sudah hampir mencecah puntungnya. Dilenyek rokok itu di bekas,
Reno memajukan wajah. Begitu bau jantan Reno menyengat lubang hidung Dila.
Tergugat Dila! Tergugat jiwanya. Reno
dipandang. Tepat-tepat di muka.
"Kalau you nak tahu," Reno membuka
mulut, "Rumah yang I duduk tu, bukan I beli. Itu rumah I sewa, sebab Sofea
nak I duduk rumah yang macam gitu. Imej, katanya! Dan buat pengetahuan you
juga, kereta yang I pakai tu pun hutang. Sampai sekarang pun belum habis bayar!
Faham?"
Dila mencebirkan bibir. "Mustahil you
dengan Sofea tak ada terlibat dengan ni semua. Kalau tak, macam mana you dengan
dia boleh dapat duit bukak syarikat? Betul tak? Atau sebenarnya you memang tak
nak tolong I?"
"Memang you ni betul-betul seorang
manusia!"
"Betul seorang manusia? Memanglah I ni
betul manusia. Tak kan olok-olok! Apa sebenarnya maksud you ni?"
Dila mengerutkan dahi. Mengangkat-angkat muka
mencabar Reno agar memberi penjelasan.
Dinyalakan Reno lagi sebatang rokok, dan
membiarkan Dila menantikan penjelasannya. Asap rokok itu disedut dalam-dalam
sambil memerhatikan Dila. Seolah-olah cuba menenangkan diri dari apa yang
sedang menggelodak di sudut hatinya yang paling dalam.
"Cuba you jelaskan apa yang you cakap
tadi, yang I ni memang manusia. Apa sebenarnya maksud you?" Dila sudah
tidak sabar, melihatkan Reno berlengah-lengah.
Separuh mendongak, sedikit demi sedikit Reno
menghembuskan asap rokok yang disedut. Sengaja. Sengaja membiarkan Dila terus
tertunggu-tunggu penjelasannya.
Gelas teh dicapai. Teh yang sudah dingin itu,
Reno luncurkan ke kerongkongnya. Meletak kembali gelas teh ke atas meja,
memiringkan muka, Dila dipandang. Disinggahkan rokok ke bibir tanpa mengalihkan
arah pandangan.
"Apa yang I maksudkan adalah... "
Reno akhirnya bersuara. "You ni suka berburuk sangka."
"I berburuk sangka? Berburuk sangka ke,
atau sebenarnya betul?"
"Berburuk sangka!"
Dila pantas membuang muka. Buang muka bukan
sahaja tidak puas hati mendengar apa yang dijelaskan Reno, malah benci
seolah-olah Reno berpihak kepada seorang yang sangat dibenci dan tidak
disenanginya, iaitu Sofea.
Sama ada Reno mengerti apa yang sedang
dirasakan Dila ketika itu, atau pun sebaliknya, sikap yang ditnjukkan Dila sama
sekali tidak dipedulikan. Tidak ada apa-apa riak yang ditunjukkan Reno. Raut
wajahnya tenang-tenang dan bersahaja.
"Kalau you nak tahu... Sofea tu bukan
calang-calang orang macam kita. Dia tu anak orang berada. Datang dari keluarga
yang kaya-raya. Itu sebab dia boleh hantar I pergi ambil kursus bisnis dan
tanggung semua perbelanjaan. Syarikat ni walaupun I seorang pengarah, tapi
sebenarnya syarikat ini adalah milik dia. Dia yang keluar semua modal dan beri
I gaji yang cukup lumayan. Itu sebab untuk apa I nak terlibat dengan ini semua?
Untuk apa? Apa yang I ada sudah mencukupi."
Dila sepantas kilat kembali memandang Reno.
Sinar mata setajam panah.
"Owhh! Jadi kira dengan ini semua dia
beli cinta you? Gitu? Beli cinta you dengan harta dan kedudukan? Ye?"
Reno senyum melihat Dila menjegilkan mata.
Sekilas Reno melirik ruang restoran dan memantau keadaan. Takut jikalau
herdikan Dila itu, didengar pelanggan. Rokok di jari dibelek. Dengan senyuman
terus menggaris bibir, mengangkat muka memandang Dila, Reno bersuara.
"Jika cinta I boleh dibeli dengan harta
dan kedudukan... itu bermakna anugerah Tuhan yang paling besar untuk sekian
alam, tidak punya apa-apa makna dan nilai."
Reno
berhenti di situ. Sebentar. Menyandar memandang Dila terus. Memerhatikan reaksi
dan menjemput Dila terus bersilat mata dengannya. Rokok tersepit di jari
perlahan menyinggah bibir dengan sendiri. Bersepahan asap rokok yang disedut
apabila Reno membuka mulut.
"I
bukan manusia yang macam gitu. I tak kan gadai cinta I yang berharga dengan
kebahagiaan palsu! Tak akan pernah! Dan buat pengetahuan you lagi, I dengan
Sofea tak ada hubungan cinta. Tak pernah ada! Faham?"
Dila yang sekali lagi membuang muka, perlahan
menggerakkan pandangan ke arah Reno, apabila mendengar telefon bimbit Reno
memberitahu ada SMS masuk. Melihatkan Reno tersenyum ketika membaca apa yang
dikirim, Dila berusaha mencuri-curi pandang apa yang sedang Reno baca.
Pantas Reno menangkupkan telefon bimbitnya
apabila menyedari. Dila dipandang. Terperanjat Dila.
"Beb... " panggil Reno. "Apa
yang dah ditakdirkan you tak kan dapat, usaha macam mana pun you tak kan dapat!"
Reno senyum. Lebar, panjang dan sinis. Senyum
penuh makna, yang hanya dia sahaja mengerti akan maknanya.