Sendirian di ruang tamu, Anna melepaskan lelah sekembali
dari rumah agam Reno. Nota yang tadi ditinggalkan di atas meja samping katil
untuknya, dibawa pulang. Diulang-ulang baca apa yang tertera tanpa jemu.
'I ada hal sikit. Jumpa lagi nanti, taman indah hatiku.'
Anna senyum memanjang. Kata-kata itu walaupun ringkas,
namun cukup padat untuk menambat hatinya. Perasaan Anna berbunga setiap kali
nota itu dibaca. Entah kenapa dengan Reno, dia menjadi begitu lemah.
Sama sekali Anna
tidak menyangka, Reno yang dia sendiri dekati, tanpa disedari telah membawa dia
ke satu daerah yang begitu sekali indah. Seperti sahaja, dia tidak dapat
menolak Reno membawanya ke satu daerah yang selama ini hati dan perasaannya
tidak pernah singgah.
Walaupun hakikatnya bukan ke situ tujuan dia mendekati
Reno, namun, dia bukan sahaja tidak berdaya menghalang, malah dirinya berasa
begitu sekali senang. Jelas, hati perempuannya rapuh apabila berhadapan dengan
seorang jejaka yang bernama Reno.
'Memang pandai you bermadah, dear. Suka I dengan kata-kata
indah you selama ini. Kagum I dengan you,' bisik hati kecil Anna yang bagaikan
sedang menari di taman bunga.
Mawar segar di tangan yang ditinggalkan juga buatnya tadi,
dibelek. Kemerahannya meriah menyala. Sinaran mata Anna memancar ke segenap
petak kelopak bunga itu.
Perlahan dirapatkan ke hidungnya yang mancung.
Dicium. Terpejam
mata saat keharumannya menusuk. Harum bak bunga yang sedang mekar di taman
kayangan.
Hanyut Anna! Jauh terbuai! Jauh diselimuti keindahan rasa
yang telah Reno tanam ke lubuk hatinya yang paling dalam.
"Wahhh... terbuai jauh nampak, kawan kita! Apa cerita?
Macam pelakon Tamil aja aku tengok kau ni tiba-tiba!"
Terperanjat Anna dari lamunannya yang jauh. Berderau darah.
Berlumba-lumba memecut ke kepala. Pantas dia menoleh.
Sofea!
Berdiri di muka pintu, Sofea menyambut Anna yang sudah
seperti salah tingkah. Di muka Sofea, ada senyuman mengejek. Hilang serta-merta
lamunan indah Anna. Hilang berkecai entah ke mana. Nota kecil itu pantas
disimpan ke dalam saku seluar. Secara sembunyi!
"Mawar dipetik
dari taman hati siapa tu? Ke dipetik dekat hutan belukar? Bukan main harum lagi
bau. Boleh tahan!"
Anna hanya tersenyum dengan usikan Sofea yang tampak
langsing dengan dress hitam panjang Gucci, jenama kegemarannya. Rasa
terperanjat yang belum reda, membuat Anna sebentar hilang kata-kata.
"Hmmm... memang boleh tahan sangat baunya! Sampai kat
sini lubang hidung aku disengat. Macam terkena sengatan kumbang jantan rasanya.
Hebat!" usik Sofea lagi.
Anna tergelak sambil menutup mulutnya. Membetulkan duduk,
Sofea dilirik. Menyinding manja menatap sahabatnya itu. Rambutnya yang panjang
mengurai dipintal-pintal.
"Kau jangan macam-macam boleh tak?" kata Anna
sebentar kemudian.
"Apanya yang
macam-macam? Betullah apa yang aku cakap! Padanlah sampai tak tahu nak balik
semalam! Dah kena culik dengan Dewa cinta rupanya," sambung Sofea selamba.
"Ada-ada ajalah kau ni nak usik orang. Ada aja ide
kau!" balas Anna. Dilayangkan senyum mesra sambil memerhatikan Sofea yang
sedang melepaskan kasut tumit tingginya.
"Eh, aku ni kan
juara dalam bab usik-mengusik. Kau tak tahu ke pura-pura tak tahu?"
Begitu ketawa Anna berderai mendengar kata-kata yang
disembur Sofea dengan begitu bersahaja. Hati berasa senang dengan sikap Sofea
yang gemar mengusik dan menyakatnya.
Sofea menghampiri dengan wajah mesra. Lenggok jalan seperti
seorang peragawati kelas dunia. Rapi dan teratur. Menyerlah keanggunan. Setiap
langkahnya, mata Anna menurut.
Sepertimana Anna mempunyai paras rupa yang menawan dan
menarik, begitu jugalah Sofea tidak kurang hebatnya. Boleh dikatakan, mereka
setara dari segi paras rupa. Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, baring
sama rata.
"Yang engkau
pulak dari mana? Siang-siang hari buta gini melawa sakan! Pergi 'dating'lah ni,
kan?" balas Anna sebaik Sofea melabuhkan punggung di sofa duduk di
sisinya.
Memaling ke sisi,
wajah riang Anna ditatap. Sofea tiba-tiba membuat muka mengejek. Anna membalas
dengan gelak kecil sambil mencubit manja peha gebu Sofea.
"Pergi 'dating' apanya? Aku pergi jumpa 'business
partner' akulah. Bincang pasal kerja. Memandai aja kau ni buat cerita.
Menyampah!" Sofea meninggikan sedikit suara. Anna, dijeling.
"Manalah aku tahu. Pagi-pagi buta pakai pun dah
mengalahkan artis, mestilah ada cerita kan? Betul tak?"
"Kau jangan
cakap orang! Yang kau tu pulak semalaman tak balik pergi mana? Merambu kat
taman ke kat hutan? Atau kau dating dengan orang utan! Ye?"
Bagaikan mahu melompat Anna. Bergegaran apartment itu
apabila ketawanya pecah. Diusap-usap perutnya yang nipis. Terasa lucu.
Benar-benar terasa lucu mendengar usikan Sofea yang dimuntahkan dengan selamba.
Sofea hanya tersenyum simpul. Anna yang sedang enak
bergelak, dipandang mesra. Walaupun usia perhubungan mereka berlangsung tidak
begitu lama, namun rasa sayang terhadap sahabatnya itu, dari hari ke sehari
tumbuh memekar. Anna yang lebih dua tahun muda daripadanya, di sudut hati Sofea
yang paling terpencil, dianggap Anna seperti saudara kandungnya sendiri.
"Tak kanlah
semua hal aku nak ceritakan pada kau, kan? Sama juga dengan kau, banyak benda
yang kau rahsiakan dari aku. Betul tak?" ujar Anna setelah ketawanya reda.
"Mestilah! Tak
kan sampai kain aku koyak-rabak pun aku nak kasi kau tahu! Kau ni pun.
Memadailah!"
"Tahu pun. Ingatkan kau tak tahu," jawab Anna.
Pantas tangan menyinggah ke mulut, menahan ketawa kecilnya.
Hati Anna di saat itu yang bagaikan sedang berada di taman,
sememangnya setiap saat diri berasa senang. Lebih-lebih lagi apabila Sofea
mengajaknya bersenda. Di mana-mana pandangan ditujukan, di situ ada keriangan.
Mata Sofea kemudian jatuh di mawar yang dipegang Anna.
Mawar yang merahnya bagaikan api sedang menyala, agak mencolok matanya. Sofea
mencebir.
"Mamat malang
mana ni yang kasi kau bunga? Mata dia buta ke apa!"
"Apa kau cakap? Mamat malang? Sedapnya mulut kau
berbual! Macam tak bersalah gitu, ye!"
"Alaa, bukan
dia dengar apa aku cakap pun!"
"Yelah, tu... ada-ada aja dia nak jawab!"
"Mestilah, aku kan ratu mulut!"
Sebentar ruang tamu itu dipenuhi lagi gelak-ketawa. Suasana
memang menjadi riang setiap kali adanya Sofea yang suka melawak. Sikap Sofea
yang bersahaja, sememangnya menyenangkan hati Anna.
"Bawak datang
sini bunga tu, meh aku nak cium baunya," Sofea meminta dengan muka
selamba.
"Nak buat apa
engkau dengan bunga ni?"
"Aku nak cium baunya. Manalah tahu aku boleh terbayang
muka dia. Nak tahu jugak hensem ke tidak orangnya. Meh bawak datang sini."
Anna menghulur
dengan senang hati. Dengan pantas dicapai Sofea.