Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 2


Ruang pejabat yang di dada dindingnya merata tergantung sijil-sijil serta segala macam pingat penghargaan dan penghormatan, yang tadi suasananya tegang, riuh-rendah dengan soal-jawab, menjadi sepi seketika. Hanya desiran penghawa dingin yang kedinginannya agak menggigit, kedengaran menghembus lembut. Sebentar anak mata mereka dibebaskan berbicara. Saling merenung, anak mata dibiarkan berlaga.

"Awak yakin ini satu info yang boleh dipercayai? Satu info yang sahih?" Tuan Kamarudin suaranya kembali menggaung. Keras dan tegas. Amru yang berada di seberang meja pejabatnya, duduk menghadap, dipandang tajam.

"Saya yakin, tuan. Saya begitu yakin ini adalah info yang boleh dipercayai," jawab Amru tenang. Dia yang hanya berpangkat sebagai ketua cawangan anti-narkotik, iaitu sub inspektor polis, berusaha meyakinkan ketua jabatannya, iaitu Superintendent Kamarudin.

"Amru," panggil Tuan Kamarudin, "Selama lapan bulan, sejak awak mendapat info tersebut, apa bukti yang sudah awak dapat gali di sepanjang penyiasatan? Apa bukti yang ada? Cuba awak beritahu saya."

Menyandar duduk di kerusi menyilang kaki, ibu jari menongkat dagu, telunjuk menggosok-gosok pipi, Amru merenung jauh. Merenung kes yang dia sendiri menawarkan diri untuk menyiasatnya. Begitu yakin dengan info diterimanya, tentang satu sindiket pengedaran dadah secara besar-besaran yang sudah berlangsung agak lama di kawasan Johor Bahru. Juga, sindiket tersebut dipercayai ada terlibat di dalam kes penyeludupan dadah ke Singapura dengan jumlah yang besar, Amru yakin adalah sesuatu yang benar. Dia begitu yakin sekali!

Benar! Apa yang diaju Tuan Kamarudin itu adalah sesuatu yang benar. Selama 8 bulan sejak dia memulakan penyiasatan kes tersebut, dan mengerahkan orang-orangnya termasuk dirinya sendiri menyamar untuk mendekati suspek-suspek berkenaan, tidak dinafikan memang sejauh ini tidak membuahkan apa-apa hasil. Tidak ada satu bukti pun yang dapat mengesahkan sindiket tersebut benar-benar wujud.

"Beri saya masa, tuan. Beri saya sedikit masa lagi," Amru membuka mulut. Nada suara seakan merayu.

"Amru, awak sendiri tahu, penyiasatan-penyiasatan seperti ini melibatkan kos yang tinggi. Lagi lama penyiasatan dijalankan, lagi banyak duit yang akan digunakan. Dan awak tentu sedar, duit-duit ini semua adalah duit rakyat. Jadi, jika ini cuma satu info palsu, kita bukan hanya membazirkan duit rakyat, malah membazir masa dan tenaga kita. Cuba awak fikirkan. Sudah lapan bulan, Amru. Hasil apa yang awak ada dapat selama ini?"

Berat Amru mengeluh di dalam hati. Kata-kata Tuan Kamarudin, benar-benar meletakkannya di satu persimpangan yang begitu sekali sukar. Satu persimpangan yang dia tidak punya lain pilihan selain meneruskan penyiasatan. Pada masa yang sama, memberi erti, dia terpaksa mencari jalan untuk membangkang kehendak ketuanya itu.

Untuk menutup kes tersebut di pertengahan jalan, baginya, itu adalah suatu perkara yang tidak akan dibiarkan daripada terjadi. Satu perkara yang mustahil! Jelas dapat dia mendengar suara hatinya yang paling dalam, menjerit mengatakan jangan memberhentikan penyiasatan! Begitu yakin info yang diterima adalah sesuatu yang benar. Yakin, sindiket tersebut benar-benar memang wujud! Namun Amru sedar, keputusan terletak di tangan orang atasan.

"Tuan," lirih Amru, "Beri saya sedikit masa lagi. Beri saya peluang untuk mencari bukti. Tuan harus yakin dengan apa yang saya yakini. Saya begitu yakin sindiket tersebut benar-benar wujud."

Apa yang dilihat Amru, usahanya untuk meyakinkan ketuanya seperti sia-sia. Usahanya itu, seperti tidak mendapat tempat di hati Tuan Kamarudin yang tidak memperlihatkan apa-apa riak. Tuan Kamarudin hanya berdiam tidak memberi sebarang respon akan rayuan Amru itu.

Fail kertas berwarna hijau terletak di atas meja yang dibawa Amru tadi, Tuan Kamarudin capai. Dibelek-belek lalu dibuka fail itu. Satu-persatu dokumen-dokumen yang ada diselaknya. Anak mata merangkak memeriksa apa yang tertera.

Menutup fail itu dan diletak semula di atas meja, Amru kembali dipandang. Sinar mata Amru yang sarat menyuluhkan harapan, Tuan Kamarudin tentang.

"Awak sendiri tahu secara tak langsung saya terlibat di dalam kes ini. jelas Tuan Kamarudin, "Memberi awak keizinan menjalankan siasatan, memberi erti saya bertanggungjawab sepenuhnya. Dan awak sendiri tahu, di atas saya ada duduk orang yang lebih berkuasa daripada saya. Jadi awak harus faham itu semua."

"Saya faham itu semua, tuan. Saya faham. Tapi... saya mohon tuan beri saya sedikit masa lagi dan peluang untuk meneruskan penyiasatan. Saya akan berusaha keras untuk mencari bukti secepat mungkin. Saya begitu yakin sindiket ini benar-benar wujud, tuan."

Tuan Kamarudin menggeleng ringan melihat kecekalan orang bawahannya itu. Orang bawahan yang selama ini telah membuktikan kewibawaannya di dalam menggendali kes-kes yang diberi. Wajah Amru direnung lama.

Dilarikan pandangannya tidak lama kemudian ke arah fail itu, Tuan Kamarudin kelihatan bagaikan memikir-mikir. Berkerut dahinya. Menyandarkan kepala di kerusi empuknya, membuka kacamata dan menggosok-gosok matanya, Amru dipandang lagi.

Amru menyambut pandangan itu dengan penuh pengharapan. Kerongkongnya bergerak-gerak menelan ludah. Menantikan keputusan Tuan Kamarudin, dengan penuh debar. Nafasnya ditahan apabila melihat ketuanya itu membuka mulut.

"Baiklah," Tuan Kamarudin akhirnya bersuara. "Saya akan beri awak masa dan peluang lagi untuk meneruskan siasatan. Tapi... "

"Tapi apa, tuan?" Amru yang sudah ghairah, memotong. Jantungnya berdegup kencang. Memperbetulkan duduk, memajukan wajahnya, telinga kemas-kemas dipasang di tepi bibir ketuanya itu.

"Seperti yang saya cakap tadi, di atas saya ada pegawai yang lebih berkuasa daripada saya. Awak sendiri tahu, kedudukan saya yang lebih rendah, saya terpaksa dan harus patuh dengan setiap arahannya. Saya akan jelaskan kepadanya nanti tentang perkara ini. Dan... " Tuan Kamarudin berhenti di situ. Tangan dijulur mengambil fail itu kembali. Dibelek-belek dan diselak-selak lagi dokumen itu seperti ingin meyakinkan dirinya sendiri tentang kes tersebut.

"Awak harus terima," sambung Tuan Kamarudin kemudian, "Jika orang atasan saya di suatu saat nanti mengarahkan saya memberhentikan penyiasatan, kes ini awak terpaksa kuburkan. Itu awak harus terima dan faham. Saya pun tak boleh buat apa-apa lagi andai perkara itu terjadi."

Anak mata mereka berlaga. Agak lama. Amru lalu mengangguk-angguk, mengerti apa yang dimaksudkan ketuanya itu. Namun sekurangnya, apa yang telah dijelaskan, memberinya sedikit ruang dan nafas.

Bersendirian di pejabatnya, berdiri di tepi jendela, pandangan dilepaskan jauh ke arah jalanraya yang sedang sibuk di pagi itu. Pandangannya tajam dan menusuk. Segala info yang diterima 8 bulan lalu kembali menerpa mukanya. Berlegar di kepala.

'Kenapa Tuan Kamarudin tak mahu percaya dengan info ini? Atau sebenarnya dia yang betul, sindiket ini memang tidak wujud?'

Segala macam bentuk kenderaan yang sedang berlalu-lalang di bawah terik sinar mentari di luar sana, pandangannya menembusi itu semua. Amru hanyut. Tenggelam diheret oleh segala macam pertanyaan yang terus sahaja berkeliaran menghantui fikirannya.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.