Bab 3.
Bilah-bilah mentari menyusup di celahan
langsir yang berkibar di tiup sang bayu. Kicauan sang unggas menyemarakkan
suasana riang.Tangan kirinya menompang
dagu, pandangan terjurus kepada dia, ibu tercinta. Ingin bersuara, bertanyakan
ke manakah gerangan ingin tuju? Namun kotak fikirnya masih berlegar sejuta
resah. Kisah semalam menyelubungi hati, menghantui jiwa. Buat sekian kali,
tanpa sedar ahkirnya pecah juga kata-kata Siti.
“Ehhh mak… bukan main melaram
pagi-pagi ni, nak ke mana?” soalnya. Lantas dia bangun dari tempat duduk dan
berpusing mengelilingi meja makan sambil memerhati Siti Rozilah yang sudah tersipu
malu dengan pertanyaan anak gadisnya.
“Ya ALLAH…
Siti! Pening mak!” laung Siti Rozilah setelah melihat anak gadisnya yang
berlegar-legar mengelilingi dia. Malah kedua-dua tangan menepis-nepis tubuh
anak gadis itu yang masih mundar-mandir di hadapan dia. “Aikk, tak boleh ke…
mak nak berpakaian begini dalam rumah. Salah ke?” soal Siti Rozilah sambil
menjeling.
“Bukan tak
boleh, tapi hairan,” jawab Siti dan segera menghentikan perbuatan itu lalu
duduk di sebelah wanita yang cukup menawan. Wajah itu diperhati sehingga Siti
Rozilah menepis pipi Siti. Dia terkejut
dengan tindakan emaknya lalu terus menyoal. “Buat apa?”
“Ya ALLAH… Siti
oiiii. Intan payung mak ni. Tak kiralah nak buat apa pun, dan tak semestinya
asal melawa je kita nak keluar rumah. Dalam rumah pun boleh,” menceceh suara orang tua itu sambil bangun
membawa dulang yang sarat dengan cawan dan teko serta pinggan kuih yang mereka
bersarapan tadi ke dapur.
Suasana bengit dengan perbualan tadi
terhenti. Seakan malaikat menyusup lalu beserta bau bunga kemboja. Sunyi dan
sepi seketika.Siti bangun meninggalkan
meja makan dan menuju ke arah ruang tamu. Duduk di sofa menghadap peti
televisyen.`Remote control’ yang terletak di meja
kopi bersebelahan dengan dirinya dicapai dan mula menekan-nekan angka untuk
mencari siarannya.
Kedengaran bunyi derapan langkah kaki, sepantas
kilat dia berpaling, rupanya orang tuanya
sendiri.Dia mendongak ke arah orang tuanya sekilas,
Siti Rozilah membalas pandangan anak gadisnya dengan senyum simpul. `Aik! Orang tua ni…
sedari tadi senyum tak habis-habis,’ ngomel Siti dalam hati.
“Mak… mak kenapa ni?”
“Kenapa apa?” jawab emaknya sepatah.
“Taklah… dari tadi asyik senyum je,” balas
Siti sambil memandang orang tuanya yang tidak henti-henti dengan senyuman.
“Teringat kisah lama, Siti…” balas Siti
Rozilah. Siti angguk mendengar kata-kata emaknya.
“Mak… maaf ye kalau Siti tanya. Arwah abah
ada kerja lain tak selain pegawai polis?”
“Kenapa kau tanya? Cuba bagitau mak
perlukah mak menjawabnya,” sindir Siti Rozilah sambil meluruskan lipatan lengan
baju kebayanya.
Segera tangan kanannya menepuk bahu anak
gadisnya. Situ membalas tepukan emaknya dengan mencuit pinggang orang tua itu.
Dia tersenyum suka. Namun dari ekor matanya dapat Siti rasakan ada sesuatu yang
disembunyikan daripada dirinya.
“Kamu masih ingat kisah malam tadi ya?
Anggap sahaja itu gangguan tidur, sayang,” ucap Siti Rozilah sambil membelai belakang
rambut anak gadisnya.
“Tapi… mak. Semakin kerap dia mengusik…
semakin hati ini tertarik untuk mengetahuinya. Dia seakan membujuk Siti… mak!”
tegas Siti lagi. “Tak apa, kalau mak rasa berat hati hendak bagitau Siti. Tapi…
Siti tetap akan mencari jawapannya. Walau apa sekalipun!” ulang Siti lagi.
Siti menatap wajah emaknya, kelihatan raut
wajah yang gelisah. `Biarlah emak, pasti suatu saat aku akan tahu juga,’ pujuk
Siti dalam hati sebelum melangkah meninggalkan orang tua itu yang masih membisu.
‘Arghhhh… lebih baik duduk dalam bilik. Tv
pun tak ada rancangan yang bagus. Tak menarik langsung,’ bebel Siti.
Tombol pintu bilik ditolak, berkeriut
bunyinya. Perlahan-lahan dia menutup rapat dan mengunci dari dalam. Suis kipas
angin ditekan dan kemudian diputarkan kelajuannya. Ruang bilik yang panas tadi
sedikit demi sedikit mengalirkan haba kedinginan. Saat pandangan tertumpah ke
arah katil yang terhias cantik, `arghhh nyamannya kalau dapat berehat
seketika,’ akal nakalnya mula berbicara. Tanpa membuang masa, dia terus
menghenyak tubuhnya ke atas tilam empuk yang bercadar kain baldu berwarna biru
awan.
`Iskkk… kisah semalam pun tak dapat nak
dikesan. Tak boleh korek rahsia lagilah ni,” bebel Siti sambil terbaring
menelentang di atas katil, tangan kiri dibawa ke dahi, manakala tangan kanan
leka menatap skrin telefon bimbit. ‘Hai… Ninetology, bilalah dapatku tukar
dirimu menjadi Samsung note 3. Kalau tak dapatpun, cukuplah sekadar Sony,’
rungut Siti sambil tersenyum seorang diri.
Terkelip-kelip dia menatap telefon bimbit
itu. Sudah puas direnung dan belek, lalu diselitkan di tepi bantal. Kini, dia begitu
leka pula menatap siling sambil enak mengumpul awan, tiba-tiba angin dingin
mengejutkan dirinya dengan haruman bunga kemboja seperti malam tadi. Lantas
sayup-sayup kedengaran suara halus menyapa pendengarannya. Memincing
telinganya.
“Sitiiiii… sini… . Sitiiii… sini… .”
Melingas deria pandangan Siti ke serata
ceruk bilik, mencari si pemanggil yang menyeru dirinya beulang kali. Bantal
peluk semakin erat didakap. Badannya memusing kiri dan kanan serta matanya memandang
ke setiap penjuru bilik. Namun tiada kelihatan susuk tubuh yang memanggil dan
suara itu, semakin lama semakin nyaring. Terus langsung sayup-sayup dia
mendengarnya sehinggalah hilang suara itu. `Arghhhh… mainan syaitan di siang
hari,’ ungkap Siti lalu kembali menelentang di atas katilnya. Kelopak matanya
kembali terkelip-kelip memandang siling.
Sekali lagi, `Ya ALLAH… gerangan apakah
itu?’ Sepantas kilat pertanyaan itu terlontar dari bibirnya setelah dia
terlihat seakan kain putih sedang berkibaran melintas di hadapan, tetapi hilang
apabila digeselkan matanya dengan tangan. Pantas dia bangun dan duduk sambil
kaki terjuntai-juntai. `Kenapa semakin kerap kau menggangggu aku SYAITAN?” soal
Siti perlahan.
`HA… HA… HA… kerana engkau anak cucu Adam
wahai manusia yang bernama Siti Khalijah binti Rahman, ANAKKK CUCUUU ADAMMM.’
Membuntang bola matanya mendengar suara
itu. Entah dari mana datangnya suara itu menjawab pertanyaan darinya. Dia
bangun dan berdiri di tengah-tengah ruang bilik, lalu dibacakan Al-fatihah dan
Ayat Kursi berulang kali. Suara yang tadinya lembut, mendayu-dayu kini bertukar
nyaring dan mengilai-ngilai di segenap
ruang bilik.
`Siti… pandang aku. Pandang…’ Kedengaran
kembali suara itu memujuk dirinya agar melihat ke arahnya.
“Tidak! Pergi kau!! Sebelum aku henyak kau
dengan kata azimatku,” laung Siti sekuat hati.
“Siti! Siti!” Kedengaran suara cemas Siti
Rozilah menjerit-jerit sambil mengetuk pintu bilik. Segera dia berlari anak
membuka pintu yang terkunci tadi. Tombol pintu dipulas dan ditarik ke dalam,
terkuak sedikit daun pintu dan serta merta kepala emaknya tersembul.
“Bunyi apa tadi Siti? Meremang bulu
tengkuk mak tiba-tiba?” soal Siti Rozilah yang terus menolak tubuh anak
gadisnya ke tepi.
Terhoyong-hayang Siti mengimbangi tubuhnya.
Seperti seorang pegawai penyiasatan, orang tuanya menyelak kain langsir dan
mengintai-ngitai sekitarnya.
“Tak ada apalah mak. Tu… suara dari
telefon bimbit tu. Saja Siti guna nada dering gitu,” bohong dia. Emak
menggeleng.
“Dah, kalau gitu jom tolong mak masak. Temankan
mak. Entah… jadi takut pulak mak, ni. Tukar ajelah nada dering tu. Haaa… apa kata kalau
kau guna nada dering lagu Hail Amir, apa-apalah lagunya…”
Tergelak Siti mendengar usikan emaknya. Sambil
menepuk-nepuk bahu orang tuanya, sambil menolak agar segera keluar dari bilik
dan dia turut mengekorinya dari belakang.
“Macam-macamlah emak ni…” luah Siti sambil
menoleh ke belakang memerhati ruang bilik sebelum pintunya dikatup rapat.
Sisa azam bertekad dalam jasad nan rapuh.
Jiwa telah menongkah arus waktu, dalam hati tersemat rasa penuh ingin tahu.
Lewat ruang tamu, sunyi, sepi dan suram terus menguasai alam. Derap kaki
melangkah, terhenti seketika. Siti Rozilah yang terlebih dahulu menghilang diri
dan kini hanya dia sendirian. Merinding
bulu roma dengan tiba-tiba, lalu dibawa tangan kirinya meraba-raba belakang
tengkuk. Sepantas kilat bayangan itu melintas lagi dan dia tertegun tanpa
sepatah kata. Diam-diam `dia’ menonjolkan wajahnya yang penuh darah dan lumpur.
Bau hanyir menguasai sekitar diri Siti, loya tekak seakan ingin memuntahkan
segala isi perutnya waktu itu.
Seperti biasa, Siti terus menuturkan
bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Semangat anak cucu Adam yang tidak gentar
dengar gangguan syaitan dia pertahankan. Perlahan-lahan bayangan itu terus
menghilangkan diri. `Alhamdulillah,’ tutur Siti perlahan. Bergegas dia berlalu
meninggalkan ruang tamu dan segera meninjau emaknya di dapur.
`Demi orang tuaku, akan kubuang ingatan
ini terhadap peristiwa tadi. Namun tidak kuhenti mencari. Akan kugali selagi
tidak aku temui jawapannya. `Pasti!!’ laung Siti dalam hati.
“Mak, kita nak masak apa ni?” Tegur Siti
setelah menghampiri orang tuanya. Dia yang berdiri di belakang wanita yang
sudah menjangkau limapuluh tahun dan merapatkan tubuhnya sambil dagunya
diletakan di bahu wanita itu.
“Apa kata kita masak lauk kesukaan arwah
abah kau, asam pedas ikan sembilang?”
“Ikan sembilang?” Soal Siti. Tangan
kanannya menggaru-garu pelipis kanannya. “Okaylah tu… sedap juga.”
“Habis Siti? Siti kan tak makan ikan
sembilang?” soal Siti Rozilah. Dia berpaling dan merenung wajah anaknya.
Sambil tersenyum Siti membalas soalan emaknya.
“Tak apalah mak… yang penting tekak mak tu… kan tadi mak cakap, mak ingat
kenangan lama.”
Di sisi almari dapur dia melihat sebungkus
plastik warna merah jambu. Lalu dibukanya, kelihatan sayur kacang bendi dan dua
biji terung bulat. Lalu dia membawanya ke sinki dan membasuh bersih. Dia
sendiri tidak tahu sejak dari kecil lagi entah mengapa apabila emaknya menyebut
tentang ikan sembilang, hatinya tiba-tiba diserang bimbang. Dia merasakan seakan
ikan itu sedang memerhati dirinya dan tersenyum ke arahnya.
GERUN!
“Siti… Siti, minta mak kacang bendi dengan
terung tu. Isk… berangan pulak anak dara ni,” tegur Siti Rozilah sambil menepuk
bahu anaknya.
Teguran Siti Rozilah dibalas dengan
lirikan manja. Sayuran tadi segera dihulurkan. Menggeleng emaknya melihat
tingkah laku anak bongsunya. Anak semata wayang yang masih lagi belum berpunya.
Anak yang menjadi kemanjaan arwah suaminya. Anak… anak yang mempunyai
sejarahnya sendiri.
“Mak… mak!” panggil Siti setelah melihat
emaknya seperti orang sedang berkhayal memikirkan sesuatu. Tercengang-cengang Siti
Rozilah setelah mendengar panggilan anaknya.
“Siti… kenapa panggil mak?”
“Dah tu… Siti tengok mak dok tenungkan
kuah asam pedas tu tak berganjak-ganjak. Kalau ye pun teringat kat arwah abah,
tak kanlah sampai macam tu sekali. Mak ni ada rahsia sesuatu ye… dengan Siti?”
Tebak Siti.
“Iskkkk… mana ada,” pantas emaknya
menjawab sambil mengacau kuah asam pedas yang mendidih. Segera ditutupnya api
dapur.
“Betul?” tanya Siti sambil menyondol bahu
emaknya dengan bahunya.