"Mana kau nak dengar dulu? Berita baik,
atau yang tak baik?"
Azlan senyum, tetapi senyumannya tawar dan
hambar. Bibir dipaksa-paksa tarik membalas senyuman Zaid yang memanjang
mencecah telinga.
Pagi-pagi buta sudah disarapankan dengan
pertanyaan sebegitu, pertanyaan yang tidak diketahui hujung pangkalnya,
ditambahkan lagi dengan masalah yang sedia ada, membuat Azlan sama sekali tidak
bersemangat hendak bersenda. Di dalam hati, berat mengeluh.
"Apa-apa ajalah!" balas Azlan
kemudian.
"Aku tanya kau ni betul-betul, brader.
Bukan gurau! Kau nak dengar yang baik dulu atau yang tak baik?" tanya Zaid
lagi, sambil memaut bahu Azlan keluar dari stor.
Bau petrol dan diesel menerkam keras,
menyengat lubang hidung sebaik mereka keluar dari stor. Bau yang sudah sebati
dalam kehidupan harian mereka berdua, sepertimana pekerja lain yang bekerja di
situ. Terpaksa tabah mengharungi, menyesuaikan diri untuk mencari sesuap
rezeki.
Kenderaan yang ada di pagi itu tampak agak
lengang. Tidak seperti biasa sering sesak di hari yang sudah-sudah. Hanya
beberapa buah kereta sahaja yang kelihatan sedang mengisi minyak. Namun, itu
semua tidak membezakan apa-apa bagi Azlan. Masalah yang terus membeban, membuat
perasaan sering terasa berat.
Sinar
mentari memancar terik. Bilah-bilahnya merusuh menikam mata. Menggigit kulit
tubuh, mengingatkan bagaimana nikmatnya memikul tanggungjawab. Untung angin
yang menghembus menyumbangkan sedikit kedinginan. Meredakan sedikit kehangatan
pagi hari itu.
"Ada bezanya ke?" tanya Azlan sambil
mereka berjalan menuju ke tempat pam minyak. Azlan yang bertubuh kekar seperti
seorang komando, tinggi dan tegap, membuat Zaid kelihatan kerdil berjalan di
sisinya.
"Tergantung pada penerimaan kau. Mungkin
ye mungkin tidak."
Azlan berdiam. Seperti sahaja sedang
menimbang-nimbang duduk perkara. Anak mata bergerak ke kiri kanan,
memikir-mikir.
"Cakap ajalah. Mana-mana pun boleh. Aku
rasa tak ada bezanya pun. Cakap aja!" tegas Azlan kemudian.
"Okey brader, dengar sini baik-baik. Kau
punya hutang, lagi tiga kali bayar habis," Zaid menjelaskan sambil
menepuk-nepuk bahu Azlan seperti mengucapkan tahniah.
'Lagi
tiga kali bayar baru habis?' bisik hati Azlan. Anak mata membesar.
Azlan memandang wajah Zaid yang memberitahu
seolah-olah itu adalah perkara kecil, perkara yang boleh diselesaikannya sambil
menutup mata. Begitu otak pantas berkira-kira, mengerjakan matematik.
Sebulan dua ratus lima puluh ringgit, kali
tiga. Tujuh ratus lima puluh ringgit. Itu kira jika bayaran tidak tertunda,
licin dan lancar. Jika bulan ini tertunda, sebulan tertunda sudah bertambah
lagi dua ratus lima puluh ringgit. Jadi seribu ringgit. Itu jika sebulan
tertunda. Jika dua bulan dan seterusnya? Jawabnya, bukan sahaja bunga jadi
berlipat-ganda, malah dia, keluarganya juga Zaid, pasti akan berada di dalam
keadaan bahaya.
Menyapu mukanya dengan telapak tangan kanan,
dalam dan berat Azlan menghela nafas, "Itu kira berita baik ke tak
baik?"
"Aku dah cakap tadi, tergantung pada
penerimaan kau, kan?"
"Kalau tergantung pada penerimaan aku,
jadi tak payahlah kau nak suruh aku pilih berita baik atau tak baik! Sama aja,
kan?"
Azlan, pandangan jauh dilepaskan. Sama sekali
tidak menghiraukan Zaid yang sedang bergelak. Sinar matanya suram dan kelam.
Sepertinya, di mana mata memandang, di situ kelihatan beban. Seolah-olah segala
beban di dalam kehidupan ini senang sekali mendekatinya. Bagaikan berasa senang
mendampingi setiap langkahnya.
Azlan mengangguk. Mengerti. Yakin berita
seterus yang akan disampaikan Zaid nanti, pasti tidak ada bezanya. Di dalam
keadaan seperti ini, sebenarnya, tidak ada satu berita pun dapat membuat diri
berasa gembira. Selain hanya berita mendapat durian runtuh. Satu berita
mustahil akan didengar khabarnya.
"Okey, apa berita lagi satu? Cakap
aja."
"Aku pelik! Benar-benar pelik!" Zaid
memuntahkan tanpa lengah.
Azlan memicingkan mata. Dahinya yang luas
berkerut. "Pelik? Apanya yang kau pelikkan?"
"Albert telefon aku tadi... "
"Albert telefon kau?" Azlan
memotong. Rona wajah tiba-tiba memucat mendengar nama itu. "Apahal dia
telefon kau?"
"Pelik, sebab dia selama ni tak pernah
telefon aku," Zaid memberitahu dengan mimik muka.
"Okey, tu aku tahu. Tapi apa dia cakap?
Pasal aku ke?" Azlan yang mendengar dengan penuh tumpuan, hati semakin
berdebar.
"Ye. Dia cakap pasal kau!"
"Hah? Dia cakap pasal aku? Apa yang dia
cakap?"
Azlan
dilirik. Wajah pucat itu sekilas Zaid pandang. Dia sedar apa yang sedang
difikir dan dirasakan Azlan. Debaran dada sahabatnya itu seperti bergendang di
tepi telinganya.
Wajah
bengis Albert, tubuh badan dipenuhi tatu sentiasa dikelilingi konco-konco yang
tidak kurang bengisnya, melintas ruang mata Azlan. Dia sedar, bahaya yang mampu
dituam samseng-samseng ini ke mukanya.
"Sebenarnya," kata Zaid lagi.
"Dia telefon aku cakap pasal kau, itu tak begitu pelik... "
"Habis, apanya yang pelik?" sinar
mata Azlan yang tajam merenung Zaid, sungguh menceritakan apa sedang
dirasakannya ketika itu.
Dalam-dalam Zaid menghela nafas.
Menggeleng-geleng. Raut wajah yang ditunjukkan, memberitahu Azlan, yang dia
sendiri tidak percaya dengan apa Albert ada katakan kepadanya.
Azlan semakin cemas. Semakin tidak sabar
menunggu Zaid memuntahkan semua. Memuntahkan kebenaran! Detik-detik yang
bergerak, terasa seperti merangkak. Begitu lambat!
Tepat-tepat di muka, Zaid kemudian merenung
Azlan. Hairan! Pelik! Itulah yang dirasakan Azlan ketika itu. Azlan benar-benar
hairan dan pelik melihatkan ada segaris senyuman di bibir birat Zaid.
Kenapa
Zaid tersenyum? Ada berita gembirakah ingin disampaikannya? Mustahil! Mana
mungkin dia yang berhutang dengan si pemberi pinjaman wang haram, ada pula
berita baik mahu disampaikan?
"Wehh!" Azlan menyergah. Terperanjat
Zaid. "Apa yang dia cakaplah!"
"Errr... dia cakap, kalau kau tak ada
duit nak bayar, jangan paksa diri," spontan Zaid meluahkan.
"Eh, brader!" Azlan mendekati Zaid
yang sedang duduk di bangku tepi pam minyak. "Engkau ni bergurau ke apa?
Engkau ingatkan kelakar?"
Zaid menggeleng, "kenapa? Kau tak percaya
ke dengan apa yang aku cakap? Kau ingat aku buat lawak?"
"Eh, Zaid! Macam mana aku nak percaya
dengan kau punya cakap? Mustahil dia akan cakap gitu! Dia orang ni berniaga
duit, kau tahu tak?"
Membuang muka, Zaid berkeluh. Raut wajah
tampak bengang. Marah apa yang diberitahunya, disangka hanya satu sendaan.
Azlan kembali dipandang sebentar kemudian.
"Kau lupa ke apa yang aku cakap tadi, aku
sendiri pelik dengan apa yang dia beritahu? Lupa?" Zaid mengangkat kening.
"Itu aku ingat! Tapi tak kan dia cakap
macam gitu?"
"Habis, aku nak cakap macam mana lagi
kalau dia dah cakap macam gitu? Kau ingat aku ni saja ada-adakan cerita?
Gitu?" Zaid menjeling. Tajam dan sinis.
"Okey, Zaid! Kau tengok sini!"
Perlahan Zaid kalihkan pandangan. Mata
bundarnya membalas renungan tajam Azlan. Sejajar, setajam dan saling menikam.
"Ada apa?" tanya Zaid ringkas.
"Kau tak bohong, kan?"
"Apa kata, kalau kau telefon dia sendiri?
Jadi kau boleh tahu kalau aku ni bohong atau tak! Okey?"
Azlan
terdiam. Hilang kata-kata. Dia tidak dapat menafikan apa yang dikata si
peminjam wang haram itu memang benar-benar pelik, jika apa yang dikatakan Zaid,
adalah benar.