Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 8

"Kau harus faham sikap perempuan. Jika dia menjauhkan diri, bukan bererti dia benci. Kadang-kadang dia saja nak tarik perhatian kau."

Mendengarkan, Amru dengan sendirinya menjulang kening. Bibir dicebir sedepa. Mengejek. Mata tajam memanah Reno yang sedang duduk menyandar di sofa dengan wajah tenang. Cuba merisik apa yang baharu dinyatakannya tadi.

"Engkau yakin?" tanya Amru.

"199% aku yakin."

"199%? Lagi 1% mana pergi? Apa cerita pulak?"

"Lagi 1%, mungkin dia betul-betul menyampah tengok muka kau!"

Alunan muzik sentimental yang sedang berkumandang mengapung di udara, menyantaikan lagi suasana yang sudah sedia santai. Perbualan yang sedang berlangsung di antara Amru dan Reno, berjalan rancak. Diselang-seli gelak-ketawa dan gurau-senda. Namun terhenti apabila ada susuk seorang wanita muda melangkah masuk ke pub itu.

Wanita berambut panjang keemasan mencecah bahu bidangnya, yang sedang berjalan menuju ke arah kaunter bar, memaksa Reno tidak memandang ke arah lain. Cara wanita itu berpakaian, mengenakan dress hitam pendek ketat melekat di tubuh yang gebu, sepertinya dia berasa senang ditelanjangkan oleh mata jantan Reno. Membiarkan maruahnya melurut ke tanah, dan berasa bangga.

Amru yang turut memerhatikan wanita itu, memaut bahu Reno. Diramas bahu kekar itu bagaikan memberi isyarat. Perlahan Reno mengalihkan pandangan. Mata Amru yang bersinar, disambut.

"Menarik dan menawan," ujar Reno sambil menjungkit-jungkitkan kening. Mengerti maksud senyuman Amru yang memanjang.

"Tak dinafikan," sokong Amru sambil memandang kembali perempuan itu yang sudah pun melabuhkan punggung di 'stool bar'. Matanya merayap ke segenap apa yang wanita itu dengan bangga sengaja pamerkan. Perlahan merangkak, meraba, meneroka sejauh mana mata mampu terjangkau.

"Reno," panggil Amru. Pandangan yang sudah kembali diarahkan ke perempuan itu, Reno patahkan. Amru dipandang lagi.

"Dua ratus ringgit," ujar Amru sambil menyeluk saku bajunya. Wang not dikeluarkan. Mengira, lalu empat keping not lima puluh ringgit dicampak di atas meja.

"Cukup?" tanya Reno. "Tak mahu 'better'?"

Amru senyum, membalas senyum sinis Reno. Memerhatikan wanita itu yang sedang berbual dengan 'bartender', Amru menyahut cabaran. Lagi sekeping not lima puluh ringgit dicampak di atas meja. Menindih wang yang sudah sedia ada di atas meja itu. Anak mata mereka sebentar bersilat.

"Jadi kau yakin lima ratus ringgit aku, akan beralih ke kocek engkau?" Jim Beam yang dicampur Coke, air kencing Iblis di atas meja itu Reno capai. Raut wajah tenang. Seperti sahaja jumlah yang akan berlipat jika dia gagal dengan apa dipertaruhkan, itu semua cuma hanya di celah kuku.

"Mungkin ya mungkin tidak. Namanya berjudi, keputusan sudah tentu tak pasti."

"Okey, bagus. Jawapan yang 'sensible'. Aku suka!"

Meletak kembali gelas itu ditempatnya, Reno menyeluk dompet di belakang poket seluar. Wang yang ada dikeluarkan. Meletak dompetnya di atas meja, wang itu dikira.

"Ini seribu ringgit. Apa macam?"

Reno gelak kecil. Gelak mengejek. Sudah menduga awal lagi Amru ada menghidangkan sesuatu untuknya. Dan dia sudah pun membuat persiapan, mengalu-alu Amru memasuki perangkapnya.

Sinar mata Reno yang sedang merenung Amru, keegoaannya jelas terpancar. Berapi-api! Seperti sahaja cabaran yang Amru hidangkan itu tidak lain hanyalah makanannya. Wajah rakannya yang berjanggut sejemput di dagu, diamati.

"Apa macam? Jadi?" Reno menggemakan cabarannya.

"Tenang, kawan. Tenang," balas Amru. Nafas dalam-dalam dihela.

Duduk menyilang kaki, Amru mengurut-urut janggutnya melihatkan tidak-balas Reno menyahut cabaran dengan melipat gandakan taruhan. Amru seakan sedang berfikir. Wang seribu ringgit yang dipertaruhkan Reno, memberi erti dia harus melipat-gandakan jumlah wang yang ditaruhnya tadi.

Wanita itu sekali lagi dipandang Amru. Diperhatikan lurus-lurus. Matanya menyelidik, setajam keris. Amru lalu mengeluarkan dompetnya. Wang yang dipertaruhkan tadi sebanyak dua ratus-lima puluh ringgit, kini jumlahnya sudah menjadi lima ratus ringgit. Sudah berlipat jumlahnya. Dua kali ganda!

"Jadi, apa taruhannya?" tanya Reno sebaik air kencing Iblis itu diteguk sedikit lagi. Meluncur lahar di tekaknya yang sudah sebati dengan dosa. Bibir yang sudah basah diseka dengan pergelangan tangan kanan. Berkocak air kecing Iblis di dalam 'Rock glass' itu.

"Aku nak kau buat dia ketawa!"

"Ketawa saja?" Reno gelak kecil. Kening diangkat. "Itu saja?"

"Ye, itu saja. Aku nak tengok boleh tak kau kasi dia ketawa," kata Amru. Suara penuh yakin Reno akan gagal dan seterusnya kalah dalam pertaruhan itu. Raut wajah dan penampilan perempuan itu yang tampak sombong dan berlagak, begitu meyakinkannya.

"Aku ingatkan, kau nak suruh aku bawak dia balik."

Sebentar wajah wanita itu yang tampak serius sejak dari tadi, dilirik. Reno ketawa penuh keyakinan. Begitu juga dengan Amru, turut ketawa sambil menepuk-nepuk lembut bahu Reno.

"Bawak balik, itu pusingan kedua. Itu pun kalau pusingan pertama kau boleh lepas," tekan Amru. Yakin berdasarkan pesona yang ada pada diri wanita itu, Reno akan menghadapi kesukaran.

Reno mengangguk. Ruang pub yang agak luas dan agak lengang dikitari sebentar. Wanita itu yang sedang bersendirian menikmati minumannya, Reno panah dengan sinar matanya. Meneguk sedikit membasahkan lagi tekaknya dengan air kencing Iblis itu, Reno bingkas. Keyakinan dirinya membuak-buak.

Penuh gaya Reno melangkah dengan kedua belah tangan menyeluk saku seluar ke arah wanita itu. Setiap langkahnya diperhatikan Amru, santai di tempat duduk yang agak terpencil di satu sudut pub itu.

"Dila!" panggil Reno sebaik perempuan itu didekati.

Perempuan itu mengalihkan pandangan ke arah Reno yang sudah pun tercegat di sisinya. Reno yang mengenakan kemeja 'Arrow' berwarna kelabu dilepaskan ke luar, berseluar tempah hitam dan sepatu kulit 'Timberland', dipandangnya atas bawah. Wajah Dila seperti biasa, tampak dingin, sepi dan miskin dari sebarang senyuman.

"Okey, Dila. Hari ini you punya tugas mudah."

"Sekarang you nak I buat apa?" tanya Dila. Sinar mata suram dan tidak ramah.

"I nak you ketawa."

"Ketawa saja?"

"Ya! Ketawa saja. Itu saja!" Reno memberitahu dengan tegas, tetapi gayanya tampak santai. Sedar, Amru dari jauh sedang memantau gerak-gerinya.

"Minum you habis, you belah. Malam nanti I jumpa you dekat tempat biasa. Upah you nanti I kasi lebih sikit," beritahu Reno. Nada suara tegas mengarah.

"Berapa?"

"Lima ratus."

"Murah hati you?"

"Apa, selama ni hati I tak murah ke?"

Dila tidak menjawab. Jus oren di atas kaunter bar dicapai lalu diteguk sedikit. Sinar lampu yang memancar samar-samar, membuat Dila tampak jauh lebih jelita dibandingkan ketika dia bertemu Reno malam semalam di warung makan.

"Dila," panggil Reno lagi.

Dila dengan wajah tegang menoleh memandang Reno. Anak mata mereka bertemu dan saling merenung.

"Tak dinafikan, you memang nampak menarik dan seksi bila pakai macam ni. Tapi you setuju tak kalau I cakap, walaupun you ni berpakaian, tapi sebenarnya you bertelanjang?"

Sebentar Dila berdiam bagaikan sedang merenung sesuatu. Jus oren yang sedang dipegang, diteguknya lagi. Meletak gelas itu kembali di kaunter bar, matanya melirik pakaian yang dipakai.

Mengangguk setuju beberapa detik kemudian, tanpa lengah Dila memainkan peranan. Peranan yang diarah, sudah dirancang Reno semalam di warung sebaik Amru memberitau mahu bertemunya di pub itu. Tempat mereka sering bersantai dan berfoya-foya. Tempat di mana mereka sering bertaruh dan membuktikan siapa lebih hebat dan handal di antara mereka berdua.

Amru yang dari jauh menyaksikan adegan itu, menyandar. Raut wajah jelas tampak hampa. Sedar, pertaruhan ini dia sudah pun kalah apabila melihatkan Dila menutup mulutnya lalu ketawa besar.

Reno menoleh memandang Amru. Mengenyit mata, senyum lebar disedekahkan. Senyuman puas dapat mengalahkan Amru, pesaingnya dari segala segi. Baik dari paras rupa, penampilan, juga setiap apa yang dicitakan mereka. Bagi Reno, pertaruhan ini bukan semata-mata kerana wang, tetapi kepuasan hati. Berasa puas dapat mengatasi Amru di malam itu.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.