Malam tampak begitu cerah. Bintang, kelihatan bersepah di
mana-mana. Bertaburan, bersinar dengan gemilang di segenap penjuru pelataran
langit bagaikan tumpahan permata.
Seusai menghantar Sofea ke kereta, dan melihat dia pergi
meninggalkannya sendirian, ke sebuah bangku di tepi pantai Selat Tebrau, Reno
tujukan langkah. Menunggu Anna yang sudah berjanji akan bertemu di situ.
Duduk di bangku, pandangan dilepaskan jauh. Merentasi hamparan
laut itu ke daratan di hujung sana, iaitu Singapura. Tempat di mana
perniagaannya makmur dan mendapat keuntungan besar. Tempat di mana pelanggan
setianya ramai, dan semakin hari jumlahnya semakin bertambah. Perniagaan yang
sudah diceburi sejak lebih dari lima tahun lalu, dari kecil-kecilan, sehingga
berkembang pesat dan lahirlah sebuah syarikat 'courier' yang diberi nama
'Smack-O'.
Bayangan Sofea melintas. Teringat kembali perkenalan mereka hampir
4 tahun lalu, ketika bertemu di salah sebuah pub tempatan. Dari perbualan yang
berlangsung, Sofea mendapati kepentingan dan arah tuju mereka serupa, lalu
ditawar Reno menjadi rakan niaga. Dari situlah, Sofea yang mempunyai ramai
kenalan di Singapura, perniagaan yang diceburi mereka berkembang.
"Encik... " terhenti lamunan saat terdengar ada suara
tiba-tiba menyapa. Reno menoleh.
Berdiri di belakangnya, kelihatan ada seorang lelaki tua berbangsa
India dengan wajah kusam, berambut putih kesemuanya kusut-masai, menyambut
pandangan. Penampilan dan pakaiannya yang sama sekali tidak terurus, begitu
menyedihkan. Jauh berseberangan dengan dirinya sendiri yang tampak gah.
"Maaf, encik. Saya lapar. Saya belum makan lagi satu hari.
Boleh kasi saya sikit wang buat beli makan?"
Wajah Reno serius memandang orang tua itu atas-bawah. "Mahu
beli makan atau mahu beli todi?"
"Beli makan, encik. Satu hari saya tak ada makan. Sumpah
cakap," jelas orang tua itu dengan kedua belah tangannya yang kurus
memegang perut. Menjelaskan sambil menggoyang-goyangkan kepala.
"Tak ada tak ada.
Saya tak ada wang. Saya sendiri juga satu hari belum lagi makan!"
"Encik... tolong
encik. Kasihan sama saya. Saya tak da cakap bohong. Ini perut satu hari kosong.
Satu hari tak ada makan."
"Kalau saya sendiri
tak ada wang, macam mana saya mahu kasi? Saya sendiri mahu makan tak ada wang,
siapa mahu tolong sama saya?"
Terpana orang tua itu
mendengarkan. Begitu juga dia menunduk. Mengelak dari terus bertentang mata.
Dengan wajah hampa, dia perlahan beredar.
Dari sinar lampu restoran
yang terletak di seberang jalanraya memancar bagaikan sedang berlangsung sebuah
pesta, yang mana pelanggannya sedang menikmati makanan-makanan lazat, dapat
Reno melihat dengan jelas wajah orang tua itu meminta diri dikasihani.
Wajahnya, jelas memperlihatkan dia sedang kelaparan.
Memerhatikan apa yang sedang berlangsung di hadapan mata, Reno
tersenyum. Senyum tawar. Terlintas sejenak di benak, tentang tidak keseimbangan
kehidupan ini ada tawarkan. Reno menggeleng.
'Di mana letaknya keadilan Tuhan?' bisik hati kecil Reno.
Matanya mula mengejar orang tua itu yang sudah pergi
meninggalkannya.
"Uncle... "
teriak Reno. Orang tua itu memberhentikan langkah dan menoleh.
"Tunggu!"
Bingkas, orang tua itu yang sudah beberapa tapak di hadapan,
Reno dekati. Pantas dia melangkah. Wajah suram itu ditatap, diteliti sebaik
mereka kembali bertentang muka.
Matanya kelihatan merah. Raut wajah mendung. Kulit mukanya yang
sudah kendur dan berminyak, menceritakan betapa diri sudah lama bergelumang
dengan kemiskinan dan kepayahan hidup. Tampaknya, sudah lelah menjalani dan
berdepan dengan itu semua.
"Uncle betul mahu
wang buat beli makan?" suara Reno tenang. Orang tua itu mengangguk.
"Bukan buat beli minum?"
"Adalah nanti kalau lebih wang boleh beli teh. Tapi beli
makan dulu. Perut lapar. Air, itu paip pun nanti boleh minum."
Reno mengangguk. Dapat
dibayangkan kepayahan yang ditanggung orang tua itu dengan jelas. Bergerimis
hati melihatkan. Reno menyeluk saku seluar mengeluarkan sekeping wang not.
Dicapai tangan orang tua itu, lalu diletakkan ke dalam genggamannya.
Melihatkan wang yang ada di genggaman, orang tua itu mengangkat
muka memandang Reno dengan rasa tidak percaya. Namun rona wajah kelihatan sudah
bersinar dan bercahaya. Rasa syukur jelas terpancar di wajahnya.
"Encik... ini sudah
banyak sangat. Saya mahu beli makan saja. Ini lima puluh ringgit, macam-macam
sudah boleh beli."
"Uncle... "
lirih Reno dengan senyum nipis. "Saya biasa hidup susah punya orang. Saya
tahu apa rasa hidup susah. Saya tahu bila tengah tak ada, sepuluh ringgit sudah
banyak besar. Dan bila tengah ada, seratus ringgit pun rasa kecik saja. Uncle
simpan saja itu wang semua, untuk buat beli makan nanti."
Orang tua itu merenung
Reno. Menusuk. Tajam dan dalam. Dia benar-benar merasakan diri bagaikan sedang
bermimpi. Reno di matanya ketika itu, seperti Sang Dewa dikirim dari syurga.
Reno senyum. Dia mengerti
maksud renungan itu. Dia yang sendiri pernah hidup susah bergelandangan di
suatu ketika, meninggalkan rumah dan kampung halaman di Melaka untuk merubah
nasibnya, mengerti apa itu kelaparan dan dahaga. Mengerti makna hidup ketika dalam
kesusahan. Mengerti betapa pentingnya wang di dalam kehidupan ini, yang menjadi
ukuran kedudukan di mata manusia.
"Tapi jangan beli
todi, ye uncle."
"Tidak, encik!
Tidak. Saya janji tidak beli todi. Saya beli makan. Sumpah cakap."
Pantas dengan kedua belah tangan, menunduk, orang tua itu
mencapai tangan Reno. Erat genggamannya bersalaman. Layaknya, Reno seperti
Menteri besar sedang disambut rakyat jelata. Tanpa lengah orang tua itu
beredar.
Melihatkan dia pergi
dengan rasa senang hati, Reno senyum. Lebar dan panjang. Betapa dengan
sendaannya tadi, telah membuatkan orang itu merasa, dia akan terus melangkah
merempuh malam ini dengan perut yang lapar.
'Di mana sebenarnya letak
keadilan Tuhan? Di mana?' bisik hati kecil Reno menggaung lagi sambil
memerhatikan orang tua itu hilang dari pandangan.
"Siapa orang tua tu,
dear?"
Pantas Reno menoleh saat
mendengar ada suara lembut menyapanya. Dengan senyum manja, lebar dan mata
bersinar-sinar, Anna menyambut.
"Yeay... ingat tak datang tadi," suara Reno riang.
Senyuman merekah mencumbui wajah Anna yang tampak jelita.
"Dah janji mestilah datang. Nanti kalau tak datang apa
pulak you cakap kan?"
Reno mengangguk setuju.
Malam yang cerah itu terasa kian cerah.
"Jom lepak dekat bangku tu sekejap," ajak Reno.
"Dah jumpa rakan niaga you?" tanya Anna sambil menurut
langkah Reno.
"Dah tadi. Makan malam dengan dia orang."
"Oh ye ke? Berapa
orang, dear?"
"Rakan niaga I
saorang aja. Tapi ada jumpa dua pelanggan sekali tadi bual pasal kontrak,"
suara Reno tenang. Memberitahu tanpa ada rasa bersalah sambil melabuhkan
punggung di bangku.
"Habis, you masih
lapar lagi ke, dear?"
"Kalau you lapar, I
boleh temankan you. Lagi seekor kerbau pun I masih boleh lapah, kalau you nak
tahu."
Anna gelak kecil. Berasa senang dan terhibur dengan sikap Reno
yang romantis dan suka bersenda. Tanpa Anna sedari, perasaannya terhadap Reno
seperti malam berganti siang. Berubah dengan sendirinya tanpa sedar. Semakin
lama, semakin dalam.
"Dear... 'birthday'
you betul ke bulan depan?" tanya Anna tiba-tiba.
Terpanggil Reno menatap
wajah Anna yang seperti was-was dengan apa yang diketahui. Diamatinya
lurus-lurus. Perlahan, rasa tidak senang menyelinap ke dalam hati.
"Senang kata gini; jika you tak percaya dengan apa yang I
cakap, lebih baik you jangan rapatkan diri dengan I. Okey? Buat pengetahuan
you, tak ada orang tahu bila hari lahir I selain you. Faham?"
"Alaa, dear... itu pun nak marah. I tanya ajalah, bukan tak
percaya."
Reno mengangguk. Pandangan dilepaskan jauh. Senyum kemenangan
dikibarkan.