Daun pintu pejabat Amir yang keras dan kaku
itu bagaikan mengejek Azlan sebaik dia berdiri menghadapnya. Mencebirkan bibir
seolah-olah membalas ejekan itu, daun pintu perlahan diketuk. Telinga dipasang,
menantikan jawapan.
"Masuk masuk. Pintu tak kunci," kedengaran
tidak lama kemudian dari dalam ada suara menyahut dengan ramah. Menghela nafas,
tombol diputar. Azlan menjengahkan kepala sebaik daun pintu itu dikuak.
"Hah, Lan! Sini masuk. Baru tadi ingat
nak pergi cari kau, dah sampai pun. Panjang umur. Mari masuk," jemput
lelaki yang berusia awal empat puluhan itu dengan ramah sebaik mereka
bertentang mata.
Menutup pintu itu kembali, Azlan perlahan
melangkah masuk. Setiap langkah yang disusun meletakkan harapan tinggi,
berharap sangat khabar gembira yang akan diterimanya nanti. Mana tahu hari ini
adalah hari rezeki anaknya. Juga, dari raut wajah Amir yang seimbas dapat
diteliti, tidak kelihatan sedikit pun ada tanda-tanda berita buruk yang mahu
disampaikannya. Raut wajahnya seperti biasa, tenang dan bersinar.
Azlan melabuhkan punggung di kerusi
menyelesakan diri menghadap penyelianya. Diri sudah pun bersiap, menerima dan
menghadapi kenyataan. Yakin, berita gembira bakal didengar. Berdehem
membetulkan kerongkong, Azlan bersuara.
"Ada apa Encik Amir cari saya? Macam ada
penting sangat aja."
Amir tersenyum. Tidak bersuara. Menyandar di
kerusi, Azlan ditatap. Wajah Azlan yang tampak tenang diteliti. Menggeleng,
senyuman dimatikan. Nafas panjang yang dihelanya, dapat dirasakan Azlan.
Seperti sahaja di saat itu Amir sedang bernafas di hadapan mukanya.
Melihatkan aksi yang Amir pertontonkan, dan
perubahan pada raut wajahnya, perasaan Azlan tiba-tiba jadi tidak enak. Dia
seperti dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Seperti sahaja ada khabar
buruk sedang menantinya. Azlan perlahan mulai berasa resah.
"Ada apa-apa masalah ke Encik Amir?"
tanya Azlan. Perubahan raut wajah Amir membuat Azlan benar-benar jadi tidak
sabar ingin tahu apa sebab sebenar dia dicari.
"Engkau ingat tak perempuan itu hari...
"
"Perempuan? Perempuan yang mana?"
belum pun sempat Amir selesai menjelaskan, Azlan pantas memintas. Gerak gaya
jelas tampak dia berasa tidak selesa.
"Perempuan itu hari yang keretanya kau
calarkan."
"Perempuan yang saya calarkan
keretanya?" Azlan mengerutkan dahi cuba mengimbas kembali. Anak mata
bergerak ke kiri-kanan.
"Yang naik BMW putih itu hari."
Azlan memerah otak cuba mengingatnya kembali.
Sedaya dia berusaha. Sejak kebelakang ini, masalah-masalah yang datang menimpa
dirinya telah membuat dia jadi pelupa. Amir direnung. Dalam-dalam. Seolah-olah
wajah itu dapat mengembalikan peristiwa-peristiwa lalu.
"Owhh... ye baru saya ingat. Tapi kenapa
dengan dia tu, Encik Amir?"
"Dia call tadi. Dia nak engkau bayar duit
gantirugi."
"Gantirugi?"
Membuntang mata Azlan. Sukar hendak percaya
apa yang baharu diberitahu Amir. Dimajukan mukanya. Penyelianya itu dipandang
rapi. Tepat di muka!
"Dia nak saya bayar gantirugi? Kenapa
pulak? Kan itu hari saya dah mintak maaf dan jelaskan yang saya tak sengaja?
Dan dia pun sudah maafkan. Apa lagi yang gantirugi pulak ni?"
"Manalah aku tahu, Lan. Manusia ni, yang
tak teguh pendirian sering berubah-ubah fikiran. Hari ini cakap lain, esok
cakap lain. Orang yang macam ni, susah nak percaya cakap mereka."
"Gila betullah perempuan ni! Tak
cukup-cukup ke duit yang dia dah kumpul kat dunia? Nak bawak mati ke apa duit
ni semua!"
Menyandar di kerusi, rona wajah Azlan mulai
memerah. Darahnya seperti menyimbah ke seluruh muka. Azlan benar-benar marah.
Sama sekali tidak menyangka perkara tempoh hari yang dikiranya sudah pun
selesai, rupanya masih berlanjutan.
Dia memang tidak menafikan perkara itu terjadi
disebabkan oleh kecuaiannya sendiri. Buru-buru melakukan kerja sehingga kepala
pam minyak tergeser badan kereta mewah itu sehingga tercalar. Boleh sahaja di
waktu kejadian itu berlaku, dia berpura-pura tidak tahu-menahu, tetapi dia
ingin bersikap jujur. Mengaku kesalahan dan seterusnya meminta maaf, walaupun
pada awalnya pemilik kereta itu tidak tahu apa yang telah berlaku.
Azlan menggeleng setelah agak lama berdiam.
Dia akhirnya sedar, walaupun dia berasa tidak puas hati, berasa kesal dan
marah, tetapi dia tidak dapat melakukan apa-apa lagi. Perkara sudah pun
terjadi. Untuk memutarkan masa kembali, itu adalah suatu perkara yang mustahil.
Mahu tidak mahu, dengan berat rasa dia menelan kenyataan itu.
"Baiklah Encik Amir, saya pun tak boleh
buat apa-apa lagi kalau itu yang dia mahu. Berapa yang dia mintak saya bayar
ganti rugi?" Suara Azlan berat seberat nafasnya. Sudah mengalah dan
berserah.
"Enam ratus ringgit."
"Enam ratus ringgit?" Terbeliak
Azlan. Kecut perut mendengarnya. Jumlah yang diminta sama sekali tidak
dijangka. "Calar yang tak seberapa gitu dia mintak enam ratus ringgit? Dia
ni manusia ke pontianak nak hisap darah saya! Tak masuk akallah, Encik Amir!"
"Entahlah, Lan. Aku pun tak tahu apa nak
cakap. Dan dia nak kau langsaikan duit tu dalam hujung minggu ni juga. Lagi
cepat lagi bagus katanya."
"Hujung minggu ni? Lagi cepat lagi bagus?
Dia ni dah gila ke apa? Dia ingat saya ni apa? Kerja jadi pam atenden ni gaji
ribu-ribu macam menteri? Gitu?"
Amir hanya mengangkat bahu. Dia mengerti
perasaan Azlan, dan tahu masalah hidup yang sedang dihadapinya, tetapi dia
tidak dapat melakukan apa-apa. Tidak dapat membantu. Dia hanya sekadar
menjalankan tugas menyampaikan pesan, dan selebihnya, itu masalah Azlan bukan
masalah dirinya.
Semangat Azlan rebah. Jika tadi berkobar, kini
tidak bermaya dan berdaya. Begitu juga dengan harapannya. Berita baik yang
disangka akan diterima sebaik melangkahkan kaki ke pejabat Amir tadi, rupanya
jauh panggang dari api. Keberuntungan yang diharapkan, rupanya musibah
menggelanggang. Sebentar Azlan memejam mata mengenangkan nasib yang menimpa.
Mengenangkan nasib malang yang tidak pernah jemu memburu langkahnya.
"Jadi, bagaimana Lan... engkau boleh
selesaikan tak duit tu hujung minggu ni?"
Mata Azlan terasa perih saat memandang Amir.
Perasaannya seperti dihiris-hiris. Dengan keadaannya sekarang yang sarat
dihimpit ekonomi, dia tidak tahu bagaimana mahu menerangkan kepada Amir lagi.
Sedangkan, bukan Amir tidak mengerti keadaan sebenar dirinya. Berat Azlan
berkeluh.
"Enam ratus ringgit Encik Amir, mungkin
kecil bagi mereka yang berada. Tetapi bagi saya yang terkial-kial gali sana
gali sini untuk mencukupkan keperluan keluarga, enam ratus ringgit tersangatlah
besar jumlahnya. Dekat mana saya nak cekau? Dekat mana?"
Terbayang wajah anak-isteri. Terbayang dengan
wang yang sebanyak itu, pasti dia dapat membelikan mereka gelak-ketawa. Pasti
dia dapat mengadakan kebahagiaan dengan jumlah wang sebanyak itu.
"Lan... " panggil Amir lembut,
"aku cuma berharap kau dapat selesaikan secepat mungkin. Biar perkara tak
berlarutan."
"Encik Amir... saya tak mahu bayar. Apa
jadi sekali pun saya tak mahu bayar. Saya tak peduli! Saya bukan cakap
main-main. Saya tak mahu diri saya ditipu. Saya tak suka!"
"Jadi... ini keputusan engkau? Dah fikir
panjang?"
"Ye, ini keputusan saya, dan tak perlu
saya nak difikir-fikirkan lagi. Saya tak kan biarkan diri ditipu dengan
perempuan yang macam tu. Perempuan kemaruk duit!"
"Baiklah, kalau kau dah cakap gitu aku
pun tak boleh nak cakap apa lagi. Aku cuma berharap semua berjalan dengan
baik-baik aja. Nanti aku akan beritahu orang tu. Okeylah Lan, pergi buat kerja
kau. Hati-hati lain kali."
Azlan mengangguk perlahan. Di dalam hati bukan
sahaja menyumpah-nyumpah, malah kesal. Kesal bersikap jujur tetapi berakhir
dengan musibah. Mengeluh, dengan berat dia bangun, dan perlahan beredar.
Berdiri di luar pejabat Amir, Azlan melepaskan
pandangan. Kesibukan kenderaan yang dahagakan minyak untuk meneruskan
perjalanan, kembali menyambut. Di saat dia terlihat di hujung sana Zaid
melambai-lambai memanggil, dia sedar, hari ini bukan untuknya, bukan untuk
isterinya, juga hari ini bukan rezeki untuk anaknya.
Dengan
keluhan berat, dia pergi mendapatkan Zaid, yang sedang menanti dengan masalah
yang akan menambahkan lagi beban di pundaknya.