Teh tarik hangat yang disodor pelayan warung makan, menarik
perhatian Azlan. Aromanya seperti mempunyai satu kuasa luarbiasa. Pandangan
yang sedang erat terikat, dengan sendirinya terlerai. Azlan menjatuhkan matanya
ke minuman itu yang tampak begitu pekat dan menyelerakan.
Sofea senyum. Sinar matanya mesra memerhatikan Azlan. Raut
wajah kelihatan begitu bersemangat dan berkobar-kobar, seperti ada sesuatu yang
begitu penting hendak dibicarakannya. Tidak seperti awal tadi, sikap seperti
seekor singa.
Sebentar warung makan yang terletak di belakang stesen
minyak Jalan Storey tempat Azlan bekerja, Sofea kitari. Pelanggan di pagi itu
tidak begitu ramai. Keadaan agak lengang dan sunyi. Hanya beberapa meja sahaja
kelihatan dipenuhi.
"Awak boleh
memandu, kan Lan?" Sofea tiba-tiba bertanya mencari kepastian.
"Ye boleh. Cuma saya tak ada kereta aja. Tak mampu nak
beli. Tak ada duit," beritahu Azlan dengan gelak kecil.
Sofea mengangguk
mendengar penjelasan Azlan itu. Senyumannya melebar seperti diri sedang berada
di satu lorong yang gelap, tiba-tiba terlihat cahaya di penghujungnya.
Azlan, menatap Sofea dengan rasa kagum. Kagum dengan
penjelasan Sofea tadi tentang siapa dirinya yang sebenar. Dia memang sedar
sejak pertama kali bertentang mata, dari penampilannya, dia yakin Sofea adalah
seorang yang berkedudukan dan berpunya. Namun dia sama sekali tidak menyangka,
perempuan yang penampilannya seperti seorang peragawati itu adalah pemilik
sebuah syarikat courier.
"Bagaimana, Lan?" Sofea bersuara, berusaha
meyakinkan Azlan. "Awak nak tak kerja yang saya tawarkan tadi tu?"
Azlan menunduk. Rona wajah seperti memberitahu ada perkara
yang agak mengganggu. Telunjuk disinggahkan ke gelas teh leka bermain
mengelilingi bibirnya bagaikan sedang memikirkan sesuatu.
Azlan mengangkat muka memandang Sofea seketika kemudian.
Dari sinar mata yang terpancar, dapat Sofea merasakan Azlan seperti kurang
yakin dengan apa yang ditawarnya tadi. Seperti sahaja ada sesuatu yang
memberatkan hatinya.
"Buat pengetahuan awak, sekarang ni syarikat saya
sangat memerlukan pekerja. Banyak pekerjaan penting yang harus diselesaikan
cepat. Dan saya rasa, awak boleh buat kerjanya. Tak susah mana pun, Lan,"
kata Sofea lagi memberi keyakinan.
"Kerjanya, macam mana tu? Buat apa sebenarnya?"
tanya Azlan. Teh diteguk. Perlahan sedikit-sedikit sambil mata tajam merenung
Sofea menantikan penjelasan.
"Hantar-hantar barang ke semerata Johor. Sekali-sekali
kirim ke Singapura."
"Gitu aja? Senang juga nampak kerjanya. Tapi... macam
mana saya nak hantar barang ke Singapura kalau saya tak ada pasport?"
Teh yang sejak dari tadi terhidang, Sofea meneguk sedikit.
Wajahnya tampak tenang dan lega dengan tindak-balas yang diterimanya. Azlan
kembali dipandang. Diteliti setiap garis yang ada di wajah itu.
"Lan... saya
sebagai bos awak nanti, akan uruskan itu semua. Itu tanggungjawab dan tugas
saya. Awak tak perlu risau. Semua saya akan siapkan," Sofea,
sungguh-sungguh memberi jaminan.
"Jadi... maksud
awak, saya tak perlu keluarkan duit untuk buat pasport tu?"
Sofea mengangguk sambil tersenyum. Berusaha keras untuk
meyakinkan Azlan.
"Ye, Lan. Macam mana yang saya cakap tadi, awak tak
perlu risau tentang tu semua. Jika perlu, mungkin saya akan buatkan juga
pasport untuk anak-isteri awak."
"Pasport untuk anak-isteri saya?" terbelalak
Azlan. Penjelasan Sofea itu sama sekali tidak diduga. "Kenapa awak nak
buatkan pasport untuk mereka? Apa kena-mengena mereka dengan kerja saya?"
Bersinar mata Sofea mendengar pertanyaan itu. Dalam-dalam
nafas dihela. Dipandang Azlan rapi-rapi dengan senyuman kian melebar. Gelas teh
itu dicapai lagi.
"Awak tak mahu sekali sekala ajak keluarganya berlibur
dan berhibur di sana? Sambil menjalankan tugas, sambil melancung. Tak
mahu?"
"Maksud
awak?" berkerut dahi Azlan. Seperti tidak percaya dengan apa yang baharu
didengar. Seperti bermimpi.
"Maksud saya, awak dibenarkan berlibur setelah selesai
tugasnya. Setelah selesai mengirim barang yang dipesan pelanggan, awak tak
perlu buru-buru pulang. Awak bebas nak buat apa dengan masa yang bersisa di
sana. Dan syarikat akan beri juga sedikit duit poket untuk perbelanjaan awak
nanti."
Membuntang Azlan mendengar penjelasan itu. Sinar matanya
serta-merta menjerit meriah. Tawaran yang dibentangkan Sofea, begitu sekali
teruja dan menggoda. Melonjak-lonjak hati dengan sendirinya keghairahan.
Teringat Aisha. Teringat Izwan. Terbayang kegembiraan
mereka berpeluang berlibur di negara jiran tetangga nanti, yang selama hidup
tidak pernah mereka jejaki.
"Gajinya berapa
sebulan?" tanpa Azlan sedar, di dalam keghairahan, pertanyaan itu
menyembur dari mulutnya.
"Sebagai permulaan, saya akan beri awak dua ribu
ringgit sebulan."
"Dua ribu ringgit sebulan?" ternganga Azlan.
Diraba-raba lengannya bagaikan ingin mengingatkan diri sendiri yang dia bukan
bermimpi.
"Bukan itu saja, Lan... " suara Sofea mati di
situ. Teh yang sudah agak dingin itu dicapai. Diteguk sambil merenung Azlan.
Renungannya jauh, dalam dan menusuk.
Azlan spontan menegakkan badan. Berkobar dan tidak sabar
lagi ingin mendengar tawaran yang sedang menantinya. Dia yakin, tawaran yang
akan dinyatakan Sofea, pasti dapat memberinya keuntungan yang menjanjikan.
"Lan... "
panggil Sofea sambil meletak kembali tehnya di atas meja.
Pantas Azlan memajukan wajah menyambut mata Sofea.
Berkobar-kobar memasang telinga. Mata tidak berkedip memandang wanita muda di
hadapannya. Hati semakin berdebar-debar.
"Jika awak sudi
terima tawaran saya," sambung Sofea perlahan. Detik-detik yang dinantikan
Azlan, terasa begitu lama sekali tiba, "duit enam ratus ringgit yang awak
hutang saya tu, awak tak perlu bayar. Kira langsai."
"Kira langsai?
Kira saya tak perlu bayar? Betul ke apa yang awak cakap ni? Betul ke?"
Sukar Azlan hendak mempercayainya. Namun kegembiraan yang
amat sangat, di matanya, sudah bersiap mahu meledak. Hanya menanti saat sahaja
untuk meletus.
"Betul, Lan. Saya tak bohong. Saya janji tak akan
tagih. Dan bukan itu saja. Jika hari Isnin ini awak boleh memulakan kerja, enam
ratus ringgit juga saya akan beri sebagai pendahuluan gaji."
Seperti mahu melompat Azlan dari kerusi yang sedang
diduduknya. Melonjak sakan hati. Sememangnya, itulah yang diingin dan
diharapkan sangat selama ini, mendapat pekerjaan yang menawarkan gaji yang
bagus dan lumayan.
Azlan ketika itu, bukan sahaja tidak ubah seperti orang
mengantuk disorongkan bantal, malah disorongkan tilam dan selimut juga. Tawaran
Sofea, bukan sahaja begitu lumayan, malah memberinya peluang mengajak Aisha dan
Izwan bersiar-siar berlibur di Singapura. Memberi mereka kesempatan bergembira
melawat negara jiran tetangga.
Seketika Azlan
merenung nasibnya. Dia benar-benar seperti tidak percaya musibah yang selama
ini tidak henti memburu, dengan sekelip mata berubah menjadi satu keberuntungan
buat dirinya. Tiba-tiba sahaja, nasib yang baik menyelinap dan berpihak
kepadanya.
"Jadi
bagaimana, Lan? Setuju tak?"
Azlan, tajam
merenung Sofea yang sedang tersenyum menantikan jawapan. Dikalihkan pandangan
sesaat kemudian memandang stesen minyak yang dapat dilihat dengan jelas dari
tempat duduknya. Stesen minyak yang selama ini telah menabur jasa, memberi
sesuap rezeki buatnya dan keluarga. Azlan menggeleng-geleng.
Melihatkan gelagat Azlan, Sofea yang tadi senyum memanjang
dan mengundang, senyuman itu serta-merta mati. Berkerut dahi Sofea. Hairan
dengan sikap yang dipertontonkan Azlan.
Anak mata mereka
kembali berlaga sebentar kemudian.
"Saya rasa," lirih Azlan, "macam nak
berhenti kerja sekarang juga."