"Dear, betul ke apa yang you cakap tadi
tu? Betul ke?"
Anna akhirnya bersuara setelah agak lama
memikirkan. Entah kenapa, sebenarnya, ada rasa bersalah menyinggah di sudut
hatinya yang paling dalam saat mendengar keinginan Reno.
"Ye, betul. I tak bohong. Jika ada
peluang dan diberi kesempatan, memang I nak sangat. Memang I nak memiliki cinta
you."
Terdiam
lagi Anna. Terkunci mulutnya. Apa yang diinginkan Reno, sama sekali di luar
dugaan. Sama sekali tidak disangka! Setelah lebih dari tiga bulan mengenali
Reno, inilah pertama kali Reno meluahkan isi hatinya.
Hati Anna tiba-tiba berdebar-debar. Dari
maklumat yang diterima dari sumber yang boleh dipercaya, dia kenal siapa Reno.
Dia tahu ramai kaum sejenisnya meminati Reno. Meletak hati padanya. Malah dia
tahu lebih dari itu tentang diri Reno. Cuma, sejauh ini belum lagi dapat dia
pastikan.
Namun bagi diri Reno pula, Anna begitu sekali
luarbiasa di matanya. Tidak sama dan sangat berbeza dengan perempuan-perempuan
yang pernah dia kenal dan menyinggah hidupnya. Walaupun sekali tidak dinafikan
mereka pernah tidur bersama, namun Anna tahu memagar kehormatannya. Reno
menghormati, kagum dan begitu teruja dengan sikap Anna. Sikapnya, gambaran
sebutir permata yang sukar dicari.
"Tapi, dear... I tengok selama ni
walaupun kita mesra, dan you begitu ambil berat tentang I, kenapa sekalipun I
tak pernah dengar you cakap yang you cintakan I? Kenapa tiba-tiba, dear?"
Sebentar Reno berdiam. Jauh dan dalam dia
memikirkan.
"Hmm... I takut sebenarnya, sayang. Bukan
I tak mahu, tapi I takut," jelas Reno jujur tidak lama kemudian.
"Takut? Kenapa, dear? Apanya yang you
takutkan?"
Bingkas
duduk di sofa, Reno senyum. Bersinar-sinar sorot mata mendengarkan. Namun,
pertanyaan Anna kedengaran agak berat mahu diterangkannya. Telunjuk kanan
didekatkan ke muka. Pipinya yang tidak gatal digaru.
Bayang-bayang yang berada di hadapan,
diperhati. Agak lama juga dia perhatikan. Seolah-olah di situ terletak jawapan
yang diinginkan Anna. Dalam-dalam Reno menghela nafas.
"Cinta itu tak dinafikan memang
indah," ujar Reno lembut memulakan bunga bicara. "Punya satu kuasa
yang sangat luar biasa dan sukar hendak dijelaskan. Andai di dalam kehidupan
ini tidak wujud cinta, kehidupan itu sendiri tidak mungkin akan ada. Kerana
cintalah, kehidupan ini tercipta. Jadi, jangan lafazkan cinta sembarangan jika
diri tidak mampu memikulnya. Cinta adalah anugerah besar, satu amanah berat
dari Tuhan, sayang."
"Jadi... maksud you... sebenarnya you tak
cintakan I? Gitu? Habis kalau gitu, tadi kenapa you nak hadiah macam tu?"
Anna menyelidik. Suara dengan sendiri sedikit meninggi.
"Bukan gitu maksud I... "
"Habis apa maksud you?" pantas Anna
memotong.
"Maksud I, belum masanya, sayang. Bukan I
tak cinta, tapi belum masanya untuk I ucapkan," lirih Reno. Bergetar suara
jantannya di telinga Anna. "I tak bohong cakap, memang ada rasa cinta
sebenarnya dekat you. Jujur kata, perasaan itu memang dapat I rasakan sekarang
ni."
"Lalu?" tanya Anna lagi, ringkas.
"Maksud I gini. Daripada sekarang I buru
bayang-bayang, lebih baik I buru cahaya. Biar nanti apabila cahaya itu sudah
diraih, sudah ada di dalam tangan, baik di dalam terang atau pun gelap,
bayang-bayang itu pasti sentiasa ada bersama setiap masa. Tetapi jika sekarang
ini bayang-bayang yang I buru, I yakin ia akan lari dari hidup I. I tak mahu
macam gitu, sayang."
Seperti bermadah Reno, tetapi maknanya sarat
dan padat. Menjelas berdasarkan pengalaman lalu. Pengalaman pahit yang pernah
dilaluinya di suatu ketika dahulu.
Begitu wajah kekasih lama melintas. Wajah yang
pernah dipuja, yang mana cintanya didamba dan diburu dengan sepenuh jiwa,
akhirnya yang ketemu tidak lain hanyalah hampa dan lara.
Reno tidak mahu peristiwa pahit itu berulang
buat kedua kali. Tidak mahu duka memalit hatinya sekali lagi. Dia sedar,
kesilapan itu adalah satu pelajaran. Tetapi mengulanginya, itu tidak lain
hanyalah satu kebodohan. Namun pada masa yang sama Reno tidak dapat menafikan,
sejak hadirnya Anna di dalam hidupnya, Reno tidak ubah seperti sedang berdiri
di gerbang taman bunga.
"Apa maksud you, dear? I tak fahamlah.
Betul I tak faham. Cuba you jelaskan sikit," suara Anna lembut ingin tahu
apa yang dimaksudkan Reno.
"Maksud I... I nak buru dulu apa yang I
impikan. Bila dah berjaya nanti, I akan beri you segala-gala yang wajar. Di saat
itu, I tak kan ucap cinta dengan kata-kata. Tapi I akan ucap dengan
perbuatan."
"Ucap dengan perbuatan? Kenapa tak dengan
kata-kata?"
Lebar senyum Reno mendengar pertanyaan itu.
Dalam dan berat nafas dihela. Bersila di atas sofa itu, dia menjelaskan.
"Kata-kata, siapa-siapa pun boleh
ucapkan, sayang. Sebab ia mudah. Tapi akhirnya, apa yang diucap jadi tak
berharga. Tak punya nilai sama sekali kerana apa yang diucap itu gagal
dilaksana. Untuk apa gitu? Apa faedahnya? Jadi untuk membuktikan cinta I pada you
itu cinta yang sejati, I akan ucapkan pada you dengan perbuatan. Memberitahu
you, yang I benar-benar cintakan you."
Begitu bunga-bunga di taman hati Anna memekar
dengan sendiri. Runtuh dan cair imannya sebagai makhluk yang bernama Hawa. Jiwa
Anna menjadi lemah. Hilang dayanya!
Keindahan mewarnai setiap sudut dan penjuru
halaman hati. Tanpa sedar, perasaan Anna menyanyi. Berlagu bagaikan kicauan
burung menyambut kehadiran pagi hari. Senyuman, bersinar seperti bulan penuh di
malam hari yang gelap gelita.
"Tapi,
biar I capai dulu apa yang I inginkan. Sesudah I dapat capai itu semua, orang
tua you akan I jumpa. I akan pinang you nanti untuk dijadikan isteri I yang
sah."
"Keinginan you? Apa tu keinginan you,
dear? Boleh I tahu?"
"I nak kumpul duit sebanyak yang
boleh!" Reno menekan.
"Nak kumpul duit? Apa lagi yang you nak,
dear? Rumah, you ada. Kereta, bisnis, semua you ada. Apa lagi yang you nak?
Dear, duit ni tak pernah akan rasa cukup selagi kita tak bersyukur. Cuba you
fikir betul ke tak I cakap ni."
Tersenyum, jendela berdekatan dilepaskan
pandangan. Jauh dilepaskan. Jendela yang dapat dilihat dengan jelas senja kian
menghilang, seolah-olah ada sesuatu di situ sedang Reno renungkan.
Dia mengerti maksud Anna, duit ini tidak
pernah akan cukup selagi tidak bersyukur dengan apa yang ada. Cuma Anna sahaja
yang tidak mengerti, siapa sebenarnya dia dan apa yang pernah dilaluinya di
suatu ketika dahulu.
"Kalau you nak tahu," Reno membuka
mulut. "I bukan datang dari keluarga yang senang. I ni datang dari
keluarga yang susah dan tak berpunya. Emak I bertungkus-lumus membesarkan
adik-beradik I yang empat orang, bila abah I seorang penoreh getah meninggal
dunia dalam satu kemalangan jalanraya, ketika adik-beradik I semua masih
hingusan. I tahu apa itu erti susah."
Reno berhenti seketika mengambil nafas. Mata
digantungkan di dinding di hadapan, sebentar merenung masa silamnya.
Anna di hujung talian berdiam hilang
kata-kata. Teruja mendengar secebis kisah sejarah kehidupan Reno. Telinga terus
dipasang.
"I
tahu apa erti dipandang rendah bila diri tak punya apa-apa," sambung Reno.
Suara tenang tidak dipengaruhi sebarang riak. "I tahu sangat apa erti
dipandang rendah dan hina. Tahu sangat-sangat rasanya. I dah lalui itu semua,
bagaimana hidup tak berduit dan tak punya apa-apa. Tapi, itu semua adalah satu
pengalaman yang sangat berharga buat I. Bukan saja mengajar, malah membakar
semangat untuk I terus mengejar cita-cita."
"Maafkan I, dear. I tak berniat nak
menyinggung perasaan you. Maafkan, I," suara Anna mencelah dengan rasa bersalah.
"Tak ada apa yang nak dimaafkan. Betul
apa yang you cakap, duit tidak pernah akan cukup selagi kita tak bersyukur. Itu
memang I setuju dan tak menafikan. Cuma... mungkin sekarang ni, I belum lagi
mahu bersyukur!" Reno menjelaskan sambil senyum sinis.
"Belum lagi mahu bersyukur? Sampai bila
tu, dear?"
Mencebir, Reno mengangkat bahu. Seperti sahaja
Anna di saat itu sedang berada di hadapannya, memberitahu Anna pertanyaan itu
tidak dapat dijawabnya. Mata meliar mengitari dinding itu.
"Hidup ini pelik," Reno tiba-tiba
bersuara.
"Pelik? Kenapa pulak? Apanya yang
pelik?" Anna kening bersatu.
Reno senyum. Nafas dihela dalam-dalam.
Menggeleng sambil membetulkan duduk.
"Dalam hidup ini, kita hanya akan
dipandang jika berharta dan punya kedudukan. Kebanyakan orang akan suka kita
dan hormati bila kita ada itu semua. Tak kira samada dapat dengan secara halal,
atau pun haram, itu tak menjadi soal. Apa yang penting... kita berpunya. Ada
kedudukan, pangkat dan harta, diri pasti disanjung. Dipandang tinggi! Rata-rata
di dunia yang semakin moden ini, boleh dikatakan duit boleh beli apa saja.
Maruah diri pun sanggup dijual kerana duit!"
"Ye, dear, betul apa yang you cakap. I
setuju sangat. Melainkan keikhlasan dan kejujuran saja yang yang tak boleh
dibeli dengan duit," Anna menokok.
"Tak dinafikan. Itu memang benar
sekali," sambut Reno dengan senyuman penuh di wajah.
Sebentar masing-masing membisu bagaikan sedang
hanyut melayan perasaan. Sepi sesaat datang menyinggah, memeluk ruang waktu
seperti malaikat sedang melintas lalu.
"Sayang, bila tiba masanya kalau I petik
bunga di hati you, I tanam di halaman hati I, you suka?" tanya Reno
tiba-tiba. Kata-katanya kedengaran lembut mencumbui telinga Anna.
Seperti
disodor sejambak bunga ke tangan, perasaan Anna ketika itu. Seperti mahu
melompat kegirangan. Halaman hati tiba-tiba terasa terang-benderang dan
gemilang dengan sendirinya. Senyuman, seperti pelangi melintang di petang hari.
Terlupa
Anna siapa dia yang sebenarnya, hanyut dipukul arus kata-kata lembut Reno yang
bersulam sutera.
"Dear, I tak tahu apa lagi yang patut I
cakap. Betul, dear! Cuma I boleh beri jaminan pada you, bunga itu akan terus
mekar, segar mewangi menghiasi hidup dan mimpi-mimpi you untuk selamanya, jika
itulah kemahuan Allah. Itu saja yang I boleh cakap, dear. Selebihnya, I
berserah."
Lebar senyum Reno memenuhi wajah mendengar
pengakuan Anna. Berdehem membetulkan kerongkong, Reno bersuara. Padat, tepat,
dan menembusi jiwa Anna yang paling dalam.
"Sayang, nanti bila tiba masanya, cinta I
akan menghalalkan cinta you. Mensucikannya ketika I melafazkan akad, di hadapan
kedua orang tua you. I janji, sayang."
Terbuai Anna. Terbuai mendengar kata-kata itu.
Jauh!
"Sayang... " panggil Reno lagi,
"andai you benar ditakdir jadi isteri I, I nak you tutup aurat bila keluar
rumah."
"Dear... tentu, dear! Tentu! Kita orang
Islam, dan I tak mahu juga berpenampilan begini sampai bila-bila."
"Bagus. Tapi... di rumah, I nak you pakai
seksi. Boleh?"
"Hah? Pakai seksi? Kenapa, dear?"
membuntang mata Anna mendengar keinginan Reno.
Reno senyum. Memanjang!
"Gini, esok malam kita jumpa, okey tak? I
akan beritahu kenapa."
Lebar hingga ke belakang telinga senyuman Anna
mendengar pelawaan Reno. Itulah yang diharapkannya. Sangat-sangat diharapkan.
"Tentu, dear. Boleh sangat-sangat."
"Okey, esok malam I tunggu di tempat
biasa. Tepi pantai Stulang Laut, di bawah cahaya simbahan purnama."
Di hujung talian, kedengaran Anna gelak manja.