Tawaran Sofea siang tadi terus sahaja
terngiang. Di sudut hati Azlan yang paling dalam sangat bersyukur mendapat
kerja menawarkan gaji sebegitu lumayan. Dua ribu ringgit sebulan, cukup banyak
baginya. Itu baru gaji permulaan kerja. Jika lagi lama bekerja? Pastilah gaji
akan bertambah. Pastilah bertambah lumayan. Senang hati Azlan mengingatkan.
"Iwan, ayah yakin tak akan dapat beri
Iwan kekayaan. Tapi ayah berjanji, akan berusaha meletak Iwan nanti di muka
pintu kejayaan."
Dicium Izwan yang sedang leka menyelak-nyelak
sebuah buku bacaan kanak-kanak di pangkuannya. Erat-erat Azlan mendakap buah
hatinya itu. Aisha yang duduk di sisi di kerusi panjang turut sama bersantai
seusai solat Isyak, tersenyum bangga mendengarnya.
Dikalihkan pandangan, Aisha isteri tercinta,
dengan penuh kasih-sayang Azlan tatap. Dengan perasaan yang sama, Aisha
menyambut. Sinar mata mereka yang penuh dengan cinta, bersatu, erat berpelukan.
Azlan melunjurkan tangan, mengetap bibir, pipi Aisha dicubit mesra.
"Kanak-kanak hari ini adalah pemimpin
esok hari. Mana tahu Iwan di belakang hari dipilih Allah menjadi pemimpin.
Betul tak, bang?" sahut Aisha sambil mencapai tangan Azlan dan
digenggamnya erat. Digesel lembut pipinya ke tangan kekar itu.
"Amiin. Ye, betul sangat tu, Sha. Mana
tahu kalau itu rezeki dia. Tuah ayam boleh dilihat di kaki, tuah dia siapa yang
tahu, selain Allah. Betul tak abang cakap?" balas Azlan.
"Betul, bang. Tapi ... walau sekali
seorang budak itu berpotensi, punya bakat dan harapan untuk menjadi seorang
yang berjaya, itu semua tidak akan menjadi kenyataan jika orang tuanya tak
berusaha. Dan tak beri perhatian yang sepatutnya. Akan jadi sia-sia segala
anugerah Allah padanya, bang."
"Abang tahu. Masa depan anak-anak di
tangan orang tua. Kita orang tua yang bentuk. Ketentuan Allah, boleh berubah
gara-gara tangan kita. Allah beri kita pilihan."
"Juga ujian," celah Aisha. Senyum di
bibir seperti mengusik.
Tersenyum Azlan. Mengerti maksud isterinya
itu. Di hati yang paling dalam, berat mengeluh melihat keadaan nasibnya selama
ini. Keadaan nasib yang tangannya sendiri telah mengukir.
Peluang yang ada, segala kesempatan yang
Allah pernah bentangkan di dalam perjalanan hidupnya yang sudah dipersiakan,
Azlan sedar, masa-masa itu tidak mungkin akan kembali lagi. Tidak mungkin
kehidupan ini akan menawarkan kesempatan dan peluang itu buat kedua kali.
Kini, dia terpaksa berusaha keras. Terpaksa
mengharungi mengadakan sebuah kehidupan yang diinginkan buat anaknya, dengan
jerih kepayahan.
Dipandang wajah Aisha kemas-kemas. Tangan yang
sedang digenggam isterinya dengan erat, Azlan rapatkan ke muka. Dikucupnya
lembut. Terpejam sebentar mata Azlan.
"Abang akan berusaha. Itu tanggungjawab
abang sebagai seorang ayah. Abang akan berusaha walau apa sekalipun terjadi,
dan memastikan Iwan akan menjadi seorang yang berjaya di suatu hari nanti.
Iwan, adalah amanah Tuhan buat kita. Abang tak akan persiakan. Abang
janji."
"Harus, bang. Harus!" lirih Aisha
sambil melentukkan kepala di bahu Azlan. "Kita tak ada pilihan lain, atau
Iwan akan mengalami nasib seperti abang."
"Abang tahu. Abang tahu tu, Sha. Abang
tak mahu Iwan merasakan apa yang abang rasa. Tak mahu dia jalan di tempat yang
sama abang pernah dan sudah jalan. Biarlah abang saja yang rasa itu semua.
Biarlah abang saja yang alami, asal jangan dia."
"Bang... " panggil Aisha lembut.
Diangkat kepalanya memandang Azlan, "jangan pernah kesal dengan apa yang
abang dah lalui. Itu semua pasti ada hikmahnya. Pengalaman itu berharga, bang.
Sesuatu yang duit tak akan boleh beli. Gunakan sebaiknya pengalaman itu semua
untuk Iwan. Jadikan sebagai panduan yang berguna untuknya menuju ke arah
kejayaan."
Azlan
hanya berdiam. Memberi telinga dengan penuh tumpuan tanpa sebarang suara. Izwan
di pangkuan, leka dengan dunianya sendiri, dibelai-belai rambutnya penuh mesra
dan kasih-sayang.
"Bang... " kata Aisha lagi,
"sebagai manusia, abang belum gagal lagi. Selagi kita masih bernyawa,
peluang untuk mencapai kejayaan tetap ada, bang. Tidak pernah terlambat selagi
kita masih bernafas. Ye, mungkin sebagai seorang anak, abang memang gagal.
Gagal untuk menyempurnakan cita-cita dan keinginan orang tua abang. Tetapi
sebagai orang tua, abang belum gagal lagi. Peluang dan kesempatan masih luas
terbuka untuk abang raih kejayaan. Jangan persiakan lagi kali ini, bang. Atau
abang baru benar-benar menjadi manusia yang gagal, apabila Iwan nanti menjadi
anak yang gagal."
Dinding di hadapan, sopak sana sopak sini
keadaannya, gambaran hidupnya sendiri, Azlan perhati. Kelihatan di situ ada
persoalan yang tidak beres.
Aisha kembali dipandang. Diamati wajah
isterinya lurus-lurus. Mungkin persoalan yang tidak beres itu dapat Aisha
memberikan penjelasan yang diinginkan. Dalam-dalam nafas dihela.
"Sha... " suara Azlan lembut,
"tapi kegagalan hidup abang, wajar ke orang tua dipersalahkan? Sedangkan
selama ini mereka telah menjalankan tugas mereka dengan baik sebagai orang tua.
Jadi, patut ke mereka dipersalahkan?"
"Bang, tak dinafikan banyak orang tua
telah menjalankan tugas mereka dengan baik sebagai orang tua. Tapi setakat
memegang peranan sebagai orang tua terhadap anak, itu belum mencukupi... "
"Maksud, Sha?" Azlan mencelah.
Kening mengerut.
"Maksud Sha... orang tua peranannya
harus lebih dari hanya menjadi orang tua saja. Harus menjadi kawan kepada
anak-anak. Lebih-lebih lagi ketika mereka baru melangkah ke alam remaja. Tahap
yang mana mereka baru mahu mengenal dunia. Tahap yang mana banyak hal-hal yang
mereka mahu tahu dan kenal. Itu tahap yang paling bahaya, bang. Tahap kritikal!
Tahap penentuan arah tuju mereka."
Dicapai tangan Azlan, Aisha meramasnya manja.
Renungan Azlan, renungan penuh pengharapan, disambut mesra dengan kelembutan
dan rasa cinta.
"Bila Iwan sudah masuk alam remaja
nanti, kita harus menjadi kawannya. Harus menjadi seorang kawan yang baik,
bang. Agar nanti dia tidak keberatan mahu berkongsi rasa. Tidak segan-silu
hendak berkongsi rahsianya. Sebab kita bukan saja adalah orang tuanya, malah
sudah dianggap sebagai kawan baik dan rapat. Kawan-kawan di luar, bukan tak
bagus. Tapi abang sendiri pasti tahu mereka macam mana."
Dinding di hadapannya, Azlan kembali tujukan
pandangan. Di situ, dia merenung jauh dan dalam kata-kata Aisha. Begitu zaman
remajanya melintas ruang mata, juga bayangan kedua-dua orang tuanya.
Benar
kata Aisha itu. Dia sangat setuju. Orang tuanya walaupun ketika itu dengan
begitu amanah menjalankan tugas yang dibebankan, namun Azlan dan
adik-beradiknya tidak pernah dianggap sebagai kawan, selain anak. Tidak ada
hubungan sama sekali sebagai kawan. Memeluk Izwan erat-erat, kepala anak itu
dicium.
"Iwan dah besar nanti nak jadi kawan
ayah?" memutar muka Izwan menatapnya, Azlan bertanya.
"Iwan nak susu. Iwan haus. Itukan kawan
Iwan," balas anak kecil itu yang tidak mengerti apa-apa yang diperbualkan
orang tuanya tadi.
Pecah ketawa Azlan melihatkan kelucuan
anaknya. Begitu juga Aisha, tidak dapat menahan rasa gelak.
"Buatkan abang kopi sekali, Sha,"
pesan Azlan sebaik Aisha bingkas ke dapur.
"Kopi? Kopi mana ada lagi, bang. Dah
lama habis."
"Dah habis? Hmmm... tak ada buntut kuali
tu Sha kerik ajalah. Asal hitam, kopilah tu," senda Azlan disambut Aisha
dengan ketawa lagi.
"Sha buatkan abang teh, ye?"
Azlan mengangguk, setuju tawaran Aisha dengan
senyuman mesra.
Ditinggalkan sendirian dengan Izwan, anaknya
yang sedang didakap, kepala anak itu Azlan rapatkan kepalanya. Mata redup
merenung dinding di hadapan. Merenung masa hadapan Izwan.
"Kejayaan hak semua orang, sayang,"
Azlan membisik ke telinga Izwan, "tapi cuma milik mereka yang berusaha
saja. Hanya mereka yang bersungguh-sungguh akan berjaya. Belajar rajin-rajin,
nak. Kejayaan perlukan ilmu."