Jangan ikut ayah, sayang."
Azlan berusaha memujuk, mencangkung menghadap
anaknya, Izwan. Anak tunggal yang berusia lima tahun itu tidak henti
merengek-rengek. Ditarik-tarik seluar ayahnya tidak mahu melepaskan, tidak mahu
dirinya ditinggalkan pergi.
Air mata tumpah bagaikan hujan membasahi pipi
mungil anak kecil itu. Hingus turut mengalir dari hidung mulusnya. Dengan kedua
belah tangan, dengan penuh kasih-sayang, Azlan menyeka. Direnung anak semata
wayangnya dengan penuh rasa cinta. Bintang hatinya, hari ini dan selamanya.
"Ayah nak pergi kerja, sayang. Kalau ayah
tak kerja macam mana Iwan nak minum susu? Macam mana Iwan nak makan sedap-sedap
nanti? Cuba Iwan beritahu ayah."
Mengusap kepala anaknya, Azlan menantikan
jawapan. Namun tidak ada sepatah kata pun keluar dari mulut comel anak itu. Dia
hanya berdiam memandang ayahnya, sedaya berusaha melawan sendu.
Azlan meneruskan pujukan. Meneruskan memberi
keyakinan.
"Hah... jadi, ayah harus kerja, kan?
Betul tak ayah cakap? Betul tak?"
Aisha, isterinya hanya berdiam memerhatikan
Azlan terus membujuk. Berdiri di belakang anaknya, di wajah tidak
memperlihatkan apa-apa riak. Raut wajah seperti biasa, tenang tetapi mendung.
Kelelahan.
Bernikah di usia muda, di waktu itu Aisha baru
sahaja berumur sembilan belas tahun. Manakala Azlan tiga tahun lebih tua
darinya. Kini setelah hampir tujuh tahun menjadi seorang isteri, menjadi suri
rumah, Aisha sedar, bercinta di bawah satu bumbung, tidak seindah bercinta di
bawah pohon. Kenyataannya, tidak seperti yang diangankan. Begitu sekali berbeza
larinya. Jauh berseberangan antara alam khayalan dan kenyataan.
Lebih-lebih lagi Azlan hanya bekerja sebagai
pam atenden. Hanya mampu kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Kesempitan ekonomi yang ditanggung mereka, kadangkala membuat Aisha berasa
tertekan. Apa lagi apabila Azlan menghalangnya dari bekerja untuk meringankan
beban keluarga, kenyataan itu dalam diam terpaksa ditelan.
"Okey, Iwan dengar sini ayah cakap. Iwan
dengar baik-baik," anak kecil itu berdiam dan memberi telinga. Tangisan
sudah mereda. Sudah terpancing dengan bujukan Azlan. "Nanti ayah balik
kerja, ayah belikan Iwan gula-gula. Mahu?"
Izwan mengangguk perlahan, tetapi wajah tetap
kusam. Bersama sedu-sedan masih lagi bersisa, dengan mimik-mimik muka dia
bersuara. "Ayah, Iwan nak gula-gula yang besar sekali. Nak banyak-banyak.
Banyaaakk sekali."
"Nak yang besar? Nak banyak-banyak?"
menurut rentak, Azlan turut berkata dengan muka-muka. "Wahh... kalau gitu
ayah harus pergi kerja sekarang ni cari duit. Kalau tak ada duit, tak boleh
belilah, kan? Betul tak ayah cakap?"
Izwan,
matanya yang masih basah, perlahan membesar. Perlahan mulai bersinar. Mulai
hanyut di dalam imaginasi dunianya sendiri yang dicetus Azlan.
Azlan
tersenyum. Anaknya itu didakap. Erat-erat. Terasa seperti menghidu bau syurga
saat anak itu dicium. Terasa lengkap diri sebagai seorang ayah di saat Izwan
berada di dalam pelukannya. Terasa jauh lebih lengkap apabila dia dapat mencari
wang buat menyara keluarga, dan mampu menunaikan tanggungjawab sebagai seorang
suami juga ayah.
Walaupun kadangkala dia terpaksa bekerja
lembur hingga ke jauh malam, Azlan tidak peduli dan pernah berkeluh demi
mencukupkan keperluan keluarga. Azlan sedar, memikul tanggungjawab, itulah
sebenarnya cinta. Di situlah letaknya bukti cinta.
"Ayah pergi kerja dulu, ye sayang. Iwan
duduk rumah jaga ibu. Iwan kan anak lelaki? Anak lelaki harus berani,
kan?" Azlan membisik di telinga comel itu. Izwan mengangguk, setuju dan
mengizinkan ayahnya pergi.
Mencium pipi anak itu, Azlan bingkas. Wajah
tidak bercahaya isterinya itu ditatap sebentar. Tidak segaris senyuman pun ada
bertukar. Masing-masing bagaikan memendam rasa.
"Abang pergi dulu. Jaga Iwan
baik-baik."
Aisha mengizinkan lewat sinar mata. Mencapai
tangan Azlan dan lembut diciumnya. Tanpa membuang masa Azlan beredar. Kapcai
yang terpacak di halaman rumah sudah bersiap membawanya berlari ke tempat
kerja, dipanjat. Memasang topi keledar dan mempertanggungjawabkan batang
hidungnya dengan kacamata hitam, wajah Izwan dilirik.
Terasa berat hati melihatkan wajah anaknya
yang seperti tidak merelakan dia pergi. Azlan menepis perasaan itu jauh-jauh.
Dipaksakan senyuman. Sekilas wajah isterinya dipandang. Anak mata mereka
bertemu. Entah kenapa, renungan Aisha bagaikan memberitahunya sesuatu. Sinar
matanya bagaikan mengirim pesan. Menepis juga perasaan tidak enak itu
jauh-jauh, kapcai itu dipacu meninggalkan kedua-dua orang yang tersayang di
belakang.
Seperti biasa, kenderaan-kenderaan yang
dahagakan minyak buat memastikan sampai ke arah tujuan tanpa sebarang masalah,
menyambut Azlan sebaik dia sampai di tempat kerja. Memakir kapcainya di tempat
khas, dia menuju ke stor. Nass, rakan kerjanya yang sedang menyalin pakaian,
melayangkan senyuman saat mereka bertentang mata. Senyuman itu tidak dibalas
Azlan.
"Hey, Lan... tadi Amir cari kau. Dia nak
jumpa," Nass memberitahu. Nada suaranya kedengaran cemas.
"Ada apa cari aku? Apa cerita?"
"Kau tanya aku, manalah aku tahu apa cerita. Mestilah pasal kerja. Tak kan
dia cari nak ajak kau pergi petik buah kelapa pulak. Kau ni pun, tak agak-agak
tanya."
Azlan
tidak menjawab. Sendaan Nass pun tidak diendahkan. Tidak terasa menggeleteknya
sama sekali. Dia terus sahaja menyalin pakaian. Tetapi di dalam hati
tertanya-tanya.
"Eh, Lan... entah-entah kau nak naik
pangkat tak? Mana tahu rezeki kau. Siapa tahu? Tapi kalau betul, jangan lupa
aku. ABC spesial baik punya!" usik Nass lagi dengan gelak-ketawa lalu
beredar meninggalkan Azlan sendirian.
Duduk di kerusi setelah menyalin baju seragam
kerja yang berwarna merah putih itu, Azlan bermenung. Jauh memikirkan apa yang
diingin penyelianya. Terasa benar-benar pelik. Semenjak dia bekerja di situ
hampir dua tahun lamanya, tidak pernah walau sekali dia dicari penyelianya
seperti ada sesuatu perkara yang sangat mustahak. Hatinya mulai menebak-nebak.
'Mungkin betul tak si Nass tu cakap aku nak
dinaikkan pangkat? Hmm, manalah tahu rezeki Iwan,' bisik hatinya.
Dengan senyuman kecil menggaris di wajah,
Azlan melangkah keluar. Langkah santai tetapi bersemangat dihayunkan ke pejabat
Amir. Bahang pagi hari dan bau minyak yang tiba-tiba menerkam, sama sekali
tidak terasa. Di hati penuh harapan, sendaan Nass itu akan menjadi satu
kenyataan.
Di sebalik pancaran sinar matahari yang
menyilaukan, kelihatan di hujung sana berdiri di tepi pam minyak, Zaid rakan
kerjanya melambai. Pantas Azlan membalas dengan isyarat tangan akan bertemunya
nanti. Tetapi lambaian Zaid semakin keras memanggil. Wajah tampak tegang. Mahu
tidak mahu, Azlan hampiri.
"Hah, Zaid apa cerita? Macam penting
sangat aja kau panggil," tanya Azlan sebaik dia mendekati. Bangku kecil
yang ada di situ, dilabuhkan punggngnya.
"Pasal pentinglah aku panggil nak
beritahu kau ni," Zaid berkata dengan wajah serius. Nada suaranya tinggi,
sehinggakan bunyi kenderaan mengaum di situ pun jadi tenggelam.
"Kenapa? Apa cerita?" tanya Azlan
dengan dahi berkerut. Seperti sudah dapat mencium ada sesuatu yang tidak kena.
"Eh Lan, duit tu macam mana? Ni dah dua
minggu kau tangguh. Tak kan lupa, brader! Bunga bukan saja tambah berlipat,
tapi aku yang jamin kau jugak nanti yang susah kena cari. Bahaya ni, brader!
Siapa nak pergi tanggung ni semua? Ni benda kau jangan main-main," ujar
Zaid cemas.
Terdiam
Azlan. Raut wajah berubah. Mulai tampak gelisah. Zaid dipandang lurus-lurus.
Cemas yang terpalit di wajahnya, Azlan mengerti alasannya. Wajar di dalam
keadaan sebegitu dia berasa cemas. Sebagai penjamin, dia mengerti, Zaid turut
bertanggungjawab di dalam soal ini.
"Zaid, tak boleh tangguh lagi ke? Sampai
minggu depan ke? Aku bukan sengaja tak nak bayar. Tapi... kau tahulah aku
sekarang ni betul-betul tengah tersepit. Dekat mana aku nak cekau duit?"
"Lan... kau ingat sikit. Sedangkan pinjam
bank pun kalau kau tak boleh bayar, habis harta kau dia orang angkut, inikan
lagi 'ah long'? Jangan cari penyakit, brader. Dengan 'ah long' ni kau jangan
main-main. Bukan saja harta aja dia orang boleh angkut, dengan nyawa kau sekali
pun dia orang berani angkut! Silap haribulan, dengan keluarga kau sekali nanti
dijadikan mangsa! Binatang ni apa dia orang peduli! Duit aja yang dia orang
ingat."
Kecemasan
di wajah Zaid kini sudah menjangkiti Azlan. Gerun mendengar apa yang mampu
dilakukan peminjam wang haram itu. Lebih-lebih lagi saat teringat anak-isteri,
hatinya jadi kecut. Malah bukan itu sahaja, dia juga tidak mahu Zaid turut
menjadi mangsa gara-gara membantunya.
Fikiran
Azlan jauh melayang, ke segenap pelusuk dan ruang akalnya cuba menembusi,
mencari lubang menggali wang untuk membayarnya. Tetapi hanya jalan buntu yang
diketemui. Di manakah dia harus mencari wang sebanyak lima ratus ringgit? Itu
belum termasuk lagi wang bunga yang bayaran pokoknya tertunda!
"Lan, apa macam... lusa boleh adakan tak
duit tu?"
Tersentak Azlan apabila Zaid tiba-tiba
bersuara mengingatkan. Darahnya berderau pantas memecut ke kepala. Seluruh
badan terasa dingin. Sebentar dunianya terasa gelap.
"Lan!" Panggil Zaid lagi, "Kau
dengar tak apa aku cakap ni? Kau jangan main-main, brader!"
"Aku dengar, aku dengar. Errr... gini
Zaid, aku akan usahakan. Nanti aku fikir dekat mana nak cari duit tu. Hmm,
okey, nanti aku jumpa kau lagi kita boleh bual panjang. Aku sekarang nak pergi
jumpa Amir sekejap. Ada hal."
"Aku tak tahu nak cakap apa lagi, Lan.
Cuma aku harap lusa duit tu kau boleh adakan. Kau sendiri tahu, apa-apa terjadi
aku pun kena. Harap kau faham."
Azlan mengangguk. Mengerti apa yang
dimaksudkan Zaid. Tanpa banyak bicara lagi, Azlan beredar dengan langkah berat
menuju ke pejabat Amir. Di sepanjang jalan dia menunduk, memikirkan di mana dan
bagaimana mahu mengadakan wang itu. Di dalam kekalutan, terlupa apa maksud
tujuan Amir ingin bertemunya.