"Saya Salleh. Salleh Kausari."
Dengan bangganya Salleh Kausari
memperkenalkan diri sebaik mereka berjabat tangan. Dipandang Azlan kemas-kemas
atas bawah. Tangan kekar Azlan yang berurat, erat-erat digenggamnya.
Berdiri di sisi Sofea menghadap Salleh
Kausari di seberang meja pejabatnya, Azlan tampak sebaya dengan orang kuat
Sofea itu. Mereka tampak sama tinggi, sama tegap, juga kekekaran.
Turut berdiri, Sofea memerhatikan kedua
pemuda itu bersemuka. Walaupun secara fizikal mereka kelihatan hampir serupa,
namun Azlan yang berambut pendek dan kemas, tampak kacak berbanding Salleh
Kausariyang berambut ala Gondrong dan berwajah bengis. Senyuman Azlan juga
manis.
"Saya Azlan," senyuman lega Azlan
masih meriah di wajah. Berasa lega Sofea tidak memperlihatkan rasa kurang
senang dengan kelewatannya.
"Sila duduk, Lan." Sofea dengan
ramah menjemput Azlan duduk di kerusi di sisinya sejurus kemudian.
"Terima kasih," lirih Azlan sambil
duduk menyelesakan diri. Begitu juga dengan Sofea dan Salleh Kausari, kembali
duduk di kerusi masing-masing.
"Kenapa awak lambat?" Sofea langsung
bertanya. Nada suara biasa-biasa.
"Saya sesat tadi ke sini. Kalau tak,
awal tadi dah sampai."
"Susah sangat ke nak cari tempat
ni?" Salleh Kausari mencelah. Tajam dan sinis!
Kata-kata Salleh Kausari itu dengan sendiri
menarik perhatian, juga pandangan Azlan ke arahnya. Begitu mereka bersemata.
Saling merenung.
"Biasalah. Kalau tak tahu memanglah
susah. Kalau dah tahu, susah pun jadi senang," balas Azlan tenang dan
bersahaja.
Memperkemaskan duduk, Salleh Kausari
menyandar. Anak mata turus-turus memanah Azlan. Sinar matanya, menyelidik dan
merisik. Ingin tahu siapa diri Azlan yang sebenar jauh lebih dalam.
Azlan mengalihkan pandangan, pura-pura tidak
nampak. Tidak mahu ambil tahu.
"Lan... " panggil Sofea lembut.
"Buat pengetahuan awak, Salleh Kausari adalah penyelia di gudang ini.
Semua pekerja di sini termasuk awak nanti, berada di bawah arahannya.
Tanggungjawab Salleh Kausari, buat memastikan semua urusan yang bersangkut-paut
berjalan dengan licin dan lancar tanpa sebarang masalah."
Azlan mengangguk mengerti. Salleh Kausari yang
sedang menongkat dagu memasang telinga, dilirik. Tanpa sebarang riak di wajah,
tanpa segaris senyuman, Salleh Kausari menyambut pandangan Azlan. Seketika anak
mata mereka bertembung lagi.
"Jadi... " sambung Sofea.
"Saya sangat berharap awak akan dapat memberi kerjasama yang sebaik
mungkin. Boleh?"
Azlan
senyum lebar. Sejuk hati mengingatkan kerja ini menawarkannya gaji yang
lumayan. "Boleh... errr... "
"Bos. Lady boss!" suara garau Salleh
Kausari mencelah. Memberitahu Azlan dengan tegas gelaran Sofea.
Sekilas memandang Salleh Kausari, Azlan
mengangguk dan kembali memandang Sofea yang lagi tersenyum.
"Boleh, bos. Boleh sangat. Saya akan
berusaha beri yang terbaik buat memastikan tugas Salleh Kausari akan jadi
tambah mudah. Dan memastikan semua urusan berjalan dengan lancar. Tapi... boleh
terangkan betul-betul apa tugas saya yang sebenar?"
Sofea dan Salleh Kausari saling memandang.
Senyuman turut bertukar. Sebentar ruang pejabat itu sepi dibiarkan berbicara.
Dalam ikatan renungan Sofea dan Salleh Kausari, tanpa dilihat Azlan, Salleh
Kausari mengangguk-angguk.
"Brader... " Salleh Kausari membuka
mulut, "Itu nanti aku akan terangkan pada kau. Semua kerja-kerja kau dan
apa yang harus kau buat, aku akan beritahu kau satu-persatu. Kau santai
aja."
"Terima kasih. Salleh Kausari. Terima
kasih banyak," ghairah Azlan. Berasa lapang dada mendengar apa yang
diberitahu Salleh Kausari.
"Jangan takut, Lan. Kerja awak mudah aja.
Cuma hantar-hantar barang. Nanti Salleh Kausari akan jelaskan lebih lanjut skop
kerja awak," celah Sofea cuba meyakinkan Azlan.
"Syukur alhamdulillah. Terima kasih
banyak, bos. Terima kasih kerana beri saya peluang bekerja dengan bos. Syukur
sangat."
"Sama-sama, Lan. Mengenai pasport awak...
saya ingat... lusa saya hendak uruskan. Jadi... anak-isteri awak 'free' tak
nanti? Jika 'free', lusa kita boleh pergi buat."
"Anak-isteri saya? Mereka selalu 'free',
bos. Mereka dekat rumah aja tak ke mana-mana. 'Free' selalu mereka tu!"
Azlan senyum memanjang. Terbayang Singapura.
Teringat Pulau Sentosa. Teringat 'Universal Studio'. Wajah riang anak-isteri
serta senyum-tawa mereka, berlegar-legar di ruang mata.
Sofea turut tersenyum sambil melirik jam di
dinding. "Okeylah, kalau gitu, saya jalan dulu. Ada urusan lain yang nak
saya selesaikan. Nanti, apa-apa saya akan 'contact' awak, Lan. Salleh Kausari nanti
akan jelaskan tentang skop kerja awak lebih lanjut. Saya jalan dulu."
"Baik, bos. Jumpa lagi. Baik-baik
jalan," balas Azlan.
Mengangguk, Sofea bingkas. Begitu juga Azlan
dan Salleh Kausari turut bingkas tanda hormat. Sofea melangkah tanpa lengah,
disusuli Salleh Kausari menemani 'Lady boss' ke luar pejabat.
Dari
kaca pintu pejabat itu, Azlan dapat melihat dengan jelas di luar pejabat, Sofea
membuka mulut berkata-kata dengan wajah serius. Layaknya, seperti sahaja sedang
memberi Salleh Kausari arahan. Kelihatan, Salleh Kausari pula hanya sekadar
mendengar dan mengangguk-angguk.
Seperti anak panah meninggalkan busur,
begitulah Salleh Kausari kembali ke pejabatnya dengan pantas sebaik Sofea
beredar. Duduk di kerusi menghadap Azlan lagi, Salleh Kausari menghulurkan
tangan ingin bersalaman, buat kedua kali!
Terpana
Azlan melihat sikap Salleh Kausari yang dikira pelik. Keningnya melengkung,
rapi-rapi memandang Salleh Kausari. Hairan! Benar-benar hairan dengan sikap Salleh
Kausari. Tidak faham apa maksudnya yang sebenar. Menahan nafas, perlahan Azlan
melunjurkan tangan di tengah-tengah meja menyambut salamannya itu.
"Brader jangan kecik hati kalau suara
aku tadi keras masa bercakap," lirih Salleh Kausari sebaik tangan mereka
bergenggaman erat.
"Suara keras? Bila? Tadi?" semakin
dalam melengkung kening Azlan. Di bibir, dengan sendiri menggaris senyuman
nipis.
"Ye, tadi. Harap kau faham, brader.
Depan bos, aku kena tunjuk sikit ketegasan aku. Nanti apa pulak dia cakap.
Kan?"
Melepaskan tangan dari salaman, Azlan
mengibarkan tangannya. "Arghh... perkara kecik tu semua. Tak ada masalah
pun. Aku faham, jangan risau."
Salleh Kausari menyandar. Menyilang kaki
menongkat dagu, Azlan dipandang. Menusuk pandangannya. Seperti sahaja sedang
membaca diri Azlan yang tidak kelihatan di luaran. Membaca siapa diri Azlan
yang sebenar, yang tersembunyi dari penglihatan mata.
Azlan hanya berdiam, dan membiarkan. Namun,
jadi salah tingkah pula lama-lama direnung Salleh Kausari sebegitu. Dalam-dalam
menghela nafas, membetulkan duduk, akhirnya Azlan membuka mulut.
"Kenapa kau tengok aku macam gitu?"
Salleh Kausari perlahan mengangkat anak mata
menangkap pandangan Azlan. Matanya tajam memanah. "Kau tak menyesal nanti
kerja dekat sini?"
"Menyesal? Kenapa aku nak menyesal? Aku
cari rezeki halal untuk anak-bini aku."
Tanpa menumpulkan renungannya, tanpa
meleraikan pandangan, Salleh Kausari mengangguk-angguk.
"Baiklah... aku akan beritahu apa kerja
kau nanti," lirih Salleh Kausari. Tenang.