Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 33

Sofea memerhatikan Salleh Kausari yang sedang duduk menghadapnya, orang paling dipercayai di dalam mengurus segala 'shipment'. Terutama sekali 'shipment' ke Singapura, yang mana hanya kakitangan tertentu sahaja mengetahuinya.

"Saya ada hal penting nak cakap," lirih Sofea.

"Hal penting? Tentang apa tu, bos?" tanya Salleh Kausari sambil membetulkan duduk. Teruja, telinga diletak di tepi bibir Sofea. Tumpuan penuh diberi.

"Saya ada pekerja baru untuk menambahkan lagi kakitangan mengirim 'shipment' ke merata Johor dan Singapura."

Salleh Kausari mengangguk-angguk mendengarkan. Terus memasang telinga ingin mengetahui lebih lanjut.

"Awak sendiri tahu, semakin hari permintaan semakin bertambah. Pelanggan semakin ramai. Jadi kita perlukan kakitangan lagi untuk melicinkan semua urusan," sambung Sofea.

"Okey. Tapi... boleh ke orang ni dipercayai?" Salleh Kausari kedengaran ragu.

Sofea senyum. Pertanyaan Salleh Kausari itu bukan sahaja seolah-olah seperti mempertikai keputusannya, malah pertimbangannya juga.

"Awak tak yakin dengan pilihan saya?" pertanyaan Sofea ringkas, tetapi seperti menampar muka Salleh Kausari.

"Bukan saya tak yakin. Tapi, bos sendiri tahu dalam perkara ni kita harus berhati-hati. Orang-orang yang terlibat harus betul-betul yang boleh kita percaya. Bukan sebarangan orang," Salleh Kausari wajahnya serius.

"Salleh... saya dah lama pantau budak ni. Dari apa yang saya lihat, dari ciri-ciri dan penampilannya, dia seorang yang boleh dipercayai. Buat pengetahuan awak, sudah lama saya pantau dia."

"Tapi, bos... lihat di luaran saja belum mencukupi. Latar belakangnya kita harus tahu dulu siapa dia, dan bagaimana orangnya. Itu penting, bos."

Salleh Kausari dipandang Sofea lurus-lurus. Matanya tajam merenung. Apa yang dikatakan Salleh Kausari tidak ubah seperti menentang kemahuannya. Namun, Sofea tidak dapat menafikan apa yang dikata orang kuatnya itu adalah sesuatu yang benar.

Sofea kembali menyandar di kerusi empuk itu. Dalam-dalam nafas dihela. Fikiran melayang jauh menyinggah ke bayangan seseorang yang dia punya rancangan khas untuknya. Rancangan yang bergantung pada keadaan, mungkin akan dipergunakan seterusnya, atau jika keadaan tidak menurut sebagaimana yang dirancang, akan diketepikan sahaja.

"Apa yang awak cakap tu memang betul. Saya tak nafikan. Tapi... saya yakin budak ni boleh dipercayai. Kita boleh guna dia. Saya begitu yakin dengan firasat saya," kata Sofea lagi.

"Baiklah. Jika itu keputusan bos, saya menurut aja. Saya tak boleh buat apa-apa. Tapi sebaiknya, kita pantau dia lebih jauh lagi demi keselamatan kita semua."

"Itu sudah pasti. Itu saya ada fikirkan juga."

"Jadi bagaimana, bos? Apa yang harus kita buat?"

Sofea berdiam. Memikir-mikir apa yang harus dilakukan buat memastikan rancangannya berjalan lancar sebagaimana yang dia inginkan. Jauh akalnya mengembara memburu idea.

Begitu juga dengan Salleh Kausari, rapat-rapat mengunci mulut. Tidak berani dan tidak mahu mencadangkan apa-apa. Takut jikalau cadangannya nanti tidak disenangi Sofea. Menyerahkan segala keputusan bulat-bulat di tangan majikannya, baginya itu adalah satu langkah yang paling bijak.

"Awak ada apa-apa cadangan baik?" Sofea akhirnya membuka mulut.

"Saya?" terperanjat Salleh Kausari. "Hmm... tak ada, bos."

Sofea tersenyum melihat aksi Salleh Kausari yang menggeleng-geleng terus. Jari-jemari perlahan mengetuk-ngetuk meja, sambil memandang orang kuatnya yang memang memahami bagaimana operasi harus dijalankan dengan secara teratur dan licin.

"Cakap aja kalau ada. Saya akan pertimbangkan," Sofea memberi keyakinan.

Salleh Kausari gelak kecil. Semakin laju menggeleng. "Tak ada, bos. Tak ada."

"Awak ni dah kenapa? Nak saya cekik leher awak baru awak cakap ke apa? Hah!" Sofea meninggikan sedikit suara. Mata dijegil.

'Best jugak kalau bos cekik aku!' bisik hati Salleh Kausari. Gelaknya semakin menjadi.

"Cakap aja. Saya akan pertimbangkan," Sofea mengulangi. Berusaha meyakinkan.

Ketawa Salleh Kausari mereda. Perlahan-lahan. Menunduk, dalam-dalam dia memikir-mikir mencari jalan. Mengangkat muka tidak lama kemudian, Sofea kembali dipandang. Salleh Kausari membuka mulut memberi buah fikiran.

"Apa kata jika kita jangan beritahu dia apa barang yang sebenarnya dikirim? Macam mana? Apa pandangan bos?"

"Jangan beritahu dia? Lalu?"

"Ye, jangan beritahu dia. Pada masa yang sama, kita pantau orangnya bagaimana. Jika dia okey, benar-benar boleh dipercayai, baru kita beritahu."

"Kalau dia tak okey, dan rasanya tak boleh dipercayai, bagaimana pula?" Sofea merisik lebih dalam lagi. Ingin tahu jika cadangan Salleh Kausari boleh diguna pakai.

"Kita jadikan dia umpan. Kita korbankan dia."

"Jadikan dia korban?" Sofea mengangkat kening.

"Ye, bos. Macam biasa. Kirim ke Singapura, kereta dia jalan depan. Kasi dia bawak sikit, dan kita suruh orang kita kasi polis maklumat. Jadi, kereta belakang yang bawak banyak, senang-senang akan lepas. Macam mana?"

Begitu Sofea terbayang taktik kejam yang sering digunakan oleh para sindiket di dalam operasi penyeludupan. Memberi maklumat kepada pihak berkuasa tentang 'keldai' ada menyeludup dadah. Dengan cara seperti itu, ketika pihak berkuasa sedang sibuk menumpukan perhatian kepada suspek tersebut, yang menyusul di belakang 'keldai' itu, ada penyeludupan yang jumlahnya jauh lebih besar menyusup dengan begitu mudah.

Bayangan Azlan menerjah. Berlegar, bermain di benak Sofea. Dia yang tahu Azlan punya anak-isteri di sepanjang pemantauannya, tiba-tiba terasa tidak sampai hati hendak memperlakukan sebegitu terhadap diri Azlan. Salleh Kausari kembali dipanahnya pandangan.

"Azlan... eh! Salleh!" Sofea tersasul. "Saya rasa kita jangan buat gitu. Kita boleh gunakan dia untuk perkara lain tanpa menjadikan dia korban macam tu."

"Saya cuma beri cadangan. Keputusan di tangan bos. Bos sendiri tahu, ada masa-masa kita terpaksa melakukan sesuatu yang drastik. Terlibat dengan benda macam ni, macam-macam boleh terjadi. Kadangkala, kita terpaksa buat sesuatu yang kita sendiri tak mahu buat."

Terkunci mulut Sofea. Apa yang dikatakan Salleh Kausari, terngiang-ngiang terus di kepala. Azlan kembali terbayang. Menerjah ruang mata.

"Betul tak apa yang saya cakap tu, bos?"

Sofea mengangguk. Perlahan. Terasa kering kerongkongnya. "Saya akan fikirkan dulu," suara Sofea berat. Seakan berbisik seperti desiran penghawa dingin itu, yang kedinginannya terus sahaja menggigit kulit.


Previous: Bab 32
Next: Bab 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.