"You lupa ke,
dear?"
Reno mengerutkan kening. Anna yang sudah tampak tenang, sudah
kering air mata, kemas-kemas dipandang. Tidak mengerti sebenarnya apa yang
dimaksudkan Anna.
"I lupa?" Reno melayangkan senyum. "Apanya yang I
lupa tu, sayang?"
"Owhhh... jadi kira ni memang lupalah?"
"Hmmm... " Reno
gelak kecil, seperti mengakuinya. "Cuba you cakap, mungkin I akan
ingat."
Sebentar Anna menunduk. Senyum, tersipu malu. Giginya yang
kelihatan bertaring, memaniskan lagi senyuman. Mulut tampak berat mahu
meluahkan.
Dalam-dalam menghela
nafas, mengangkat muka, Reno kembali ditatap. Tidak seperti berbual di telefon,
bila bersemuka, rasa malu mulai bermaharajalela. Anna memberanikan diri.
"Tadikan you cakap... hmm... nak beritahu kenapa I harus
pakai seksi di rumah bila dah jadi isteri you? You lupa ke?"
"Owhhh, pasal tu, ye," membetulkan duduk, Reno
menyeringai. Berbinar mata. "Bukan I lupa, cuma sebenarnya I nak beritahu
you nanti. Tapi memandangkan you ni dah tak sabar nak tahu, okeylah I beritahu
you sekarang."
"Eh, gitu pulak! I bukan tak sabar, tapi cuma teruja!"
"Samalah tu
maksudnya. Hati bergelora tak sabar nak tahu, kan?"
Begitu ketawa mereka bersama meledak. Seiring dan senada.
Seirama! Sinar mata mesra saling bertaut. Berkata-kata, meluahkan rasa yang terpendam
lewat pandangan.
"Okey, you dengar
sini baik-baik apa I cakap," ujar Reno. Raut wajah sudah serius.
"Pertama, you harus tahu lelaki ni sifat semulajadinya adalah 'visual
creature'. Tak seperti perempuan yang menerima pasangannya dengan pengaruh
perasaan, lelaki buat pengetahuan you, lebih berat kepada pandangan. Itu fitrah
lelaki."
"Okey. Jadi kenapa,
dear?" potong Anna ketika Reno sedang menghela nafas.
"Sekarang I nak
tanya. You suka tak jika nanti bila I dah jadi hak milik you, I makan di luar?
Suka?"
"Apa salahnya? Jika I sakit, sibuk tak punya masa nak
masak, apa salahnya sesekali you makan luar?"
Reno menggeleng-geleng dengan kata-kata Anna yang kedengaran
seperti cetek pengetahuan. Kembali menyandar menyilang kaki, telunjuk kanan mengusap
bibir, Anna dipandang. Agak lama.
"Kita jangan suka
terima sesuatu yang didengar secara bulat-bulat, sayang. Itu hanya menunjukkan
kecetekan akal fikiran. Kita harus berusaha meluaskan pandangan, dalamkan
pemikiran, barulah kita akan nampak dan faham sesuatu maksud itu lebih jauh
lagi. Teroka!"
"Apa maksud you, dear? Cuba you jelaskan biar I
faham."
Reno menggeleng lagi.
Berkeluh di dalam hati. Untung rasa sayang terhadap Anna menyimbah-nyimbah,
jika tidak, malas Reno mahu melayan pertanyaan yang tidak berfaedah. Membuang
masa!
"Apa yang I maksudkan tentang makan itu tak ada
kena-mengena langsung dengan masakan atau pun makanan. Tapi tentang diri you
dan I."
Anna mengerutkan kening. Reno mengerti maksudnya dan sudah
bersiap hendak menjelaskan lebih lanjut lagi.
"Maksud I... "
Reno menghela nafas. Berat dan dalam. "Andai I sudah jadi milik you, you
suka ke jika I tengok dan cari perempuan lain? Suka? Itulah yang I maksudkan.
Faham?"
"Tentulah tak suka,
dear. Perempuan mana yang suka pasangan hidupnya buat macam tu, kan?"
"Tak suka,
kan?" Reno menekan.
"Tentulah, dear!
Siapa yang suka?"
"Itulah sebabnya
bila you dah jadi isteri I, I nak you pakai seksi di rumah. Biar I tak pandang
dan cari perempuan lain. Untuk apa I makan di luar, jika isteri di rumah beri I
cukup makan?"
Menunduk, Anna tersenyum. Lebar dan panjang. Malu-malu. Begitu juga
dengan Reno tiba-tiba tersipu. Entah kenapa.
Sebentar kemudian, sinar mata mereka bergelut dan saling
menikam. Saling hunus-menghunus. Tajam dan dalam menembusi dinding hati.
"Jadi kira di rumah I kena pakai ketat-ketat dan pendeklah,
dear?" Anna mengkedip-kedipkan mata.
"I dah cakap dengan you tadi, jangan terima sesuatu itu
bulat-bulat. Seksi yang sebenar bukan letaknya pada pakaian yang ketat-ketat
dan pendek. Itu seksi yang cuma mengundang nafsu."
"Habis seksi yang
sebenar letaknya di mana? Yang macam mana, dear?"
Sebentar Reno berdiam. Kuku ibu jari kanan digigit, seperti
sedang memikirkan sesuatu. Menghela nafas, Reno membetulkan duduk.
"Seksi yang sebenar jika you nak tahu, bukan terletak dekat
tu semua, tapi letaknya dekat keyakinan diri. Yakin dengan apa yang you ada,
yakin dengan apa yang Tuhan kurniakan pada you, di situlah letaknya seksi
seorang perempuan. Dari situ dengan apa yang you ada, you guna dengan sebaiknya
untuk pikat dan senangkan hati pasangan hidup you."
"Jadi... kira I
pakai apa saja pun boleh nampak seksi asal ada keyakinan diri? Gitu ke,
dear?"
"Pakai apa saja asal
dapat mengundang kekaguman pasangan you. Bersih, kemas, nampak menarik, dan
penuh keyakinan diri, itulah seksi," berhenti di situ, Reno senyum. Diteruskan
beberapa detik kemudian. "Tapi kalau you nak pakai ketat dan pendek,
okeylah kan! Lagi pun, you bukan hak siapa-siapa. You hak I. Cuma bila keluar
rumah, janganlah dedah sana dedah sini. You harus ada rasa malu dan mesti tutup
aurat. Sebabnya, you bukan hak umum!"
Spontan tangan Anna menutup mulut. Pecah gelaknya begitu sahaja.
Senyum, Reno kitari ruang restoran itu. Takut kalau-kalau ketawa Anna
mengganggu ketenteraman pelanggan yang ada. Pandangan kembali ditujukan ke arah
Anna yang sudah menunduk malu.
"Sayang... "
panggil Reno mesra. Anna mengangkat mukanya kembali. Anak mata lembut bersatu.
"Ada lagi satu perkara penting yang I nak you tahu, andai you jadi isteri
I."
"Apa tu, dear? Cakap
aja I dengar," rasa teruja Anna jelas kedengaran di nada suaranya.
"Andai you ditakdirkan jadi isteri I... " Reno
terhenti di situ seperti memikirkan sesuatu, "I tak mahu you salin pakaian
depan I. Jangan sekali-sekali you salin pakaian depan I. I tak mahu gitu. Dan I
tak mahu you tanpa seutas benang pun di tubuh tanpa sebab tertentu. You tahu
apa maksud I."
"Tapi dear... jika
ikatan kita sudah sah, kan halal? Jadi apa masalahnya?"
Telunjuk menggaru batang hidung, Anna direnung. Senyum yang
dilayangkan Reno, sarat dengan makna. Penuh misteri dan rahsia. Anna di
seberang meja pula, kelihatan sudah tidak sabar mahu mendengar penjelasan Reno
yang seterusnya.
"You sendiri pasti
tahu... sesuatu perkara yang sudah menjadi biasa, sudah terbiasa, sudah sering
dilihat, walaupun sekali nilainya tetap ada, tetap berharga, tapi rasa
terujanya pasti akan berkurangan. Atau nasib tak baik akan hilang. I tak mahu
macam gitu dekat you, sayang. I tak mahu."
Perlahan bibir Anna mengukir senyuman. Mengangguk perlahan,
memberi isyarat dia mengerti apa yang Reno maksudkan. Di saat itu, di mata
Anna, Reno tidak ubah seperti Dewa cinta yang baharu turun dari kayangan,
melebarkan sayap menghangatkan kedinginan malam.
"Sayang... "
sambung Reno, "I nak rasa teruja I pada you sentiasa berapi. Bahangnya tak
pernah padam seperti gunung berapi yang sarat dengan lahar. Sampai bila-bila,
sayang."
Anna pantas menutup mulut. Bertambah malu. Tersipu! Menunduk
menggeleng-geleng. Melarikan pandangan dari Reno yang mengusik dengan sinar
mata
. "Sayang... " panggil Reno lagi.
"Apa lagi? Tak
mahulah cakap tu lagi! Malulah I," jelas Anna. Suara dimanja-manjakan.
"I bukan nak cakap
pasal tulah!" Reno menjeling.
"Habis, nak cakap
apa?"
"I nak cakap, yang I ni tiba-tiba jadi lapar bual panjang
dengan you. Kita makan ye?"
Sambil tergelak, Anna mengangguk setuju.