Senyap sepi!
Apa yang kedengaran ketika itu hanyalah
detikan jam bagaikan berbisik di dinding yang dicat putih kesemuanya. Warna,
selari dan seirama dengan langit siling. Di dadanya tergantung dengan megah,
berkilau lampu chandelier klasik.
Di
bawah lampu itu, di katil berukuran 'King size' bertilam empuk, kelihatan dua
susuk sedang lena diulit mimpi. Ada dua biji bantal peluk besar duduk di
tengahnya. Menyempadankan, memisahkan mereka berdua. Wangian minyak aroma
terapi yang diganggang malam tadi, masih keras terapung keharumannya memenuhi
ruang kamar yang agak luas, kemas dan rapi itu.
Kesepian kamar tercemar apabila telefon bimbit
yang terletak di atas meja samping katil menjerit dengan lantang. Bergema kamar
dengan deringannya. Reno membuka mata. Berat dan perlahan. Berkeluh, tangan
dengan malas dijulur mencapai telefonnya.
"Hello sayang, selamat pagi."
Bagaikan hendak muntah apabila mendengar suara
di hujung talian lenggoknya sengaja dimanja-manjakan. Loya! Menggulung anak
mata Reno. Bibir dicebir.
"Ya, selamat pagi," jawab Reno
bagaikan tidak bertenaga. Dipaksanya bersuara. Mata yang separuh kantuk diseka
dengan jari-jemari.
Perempuan di sisinya, dilirik. Perempuan
berambut panjang keperangan kusut masai yang sedang lena diulit mimpi, selesa
di sebalik selimut putih bersih, diamati. Kagum dan pelik Reno dengan sikap
perempuan itu.
Walaupun sudah beberapa kali tidur bersama,
sekatil, namun dirinya tidak pernah diizinkan disentuh, dijamah. Alasan
kehormatannya kenapa dipagar rapi, ianya adalah untuk pemilik abadi. Reno bukan
sahaja kagum, malah hormati keputusan perempuan itu.
"You dekat mana? Senyap aja!" suara
di hujung talian bergema lagi di telinga Reno.
"I dekat rumahlah. Nak ada dekat mana
lagi pagi-pagi buta macam ni?" balas Reno. Muka dironyokkan. Rasa
terganggu di pagi hari Ahad mendapat panggilan yang tidak penting.
"You pecat Cik Ros?"
Reno mengurut dahinya. Efek minuman keras yang
dia dan Amru berpesta sakan semalam, benar-benar membebankan diri di pagi hari.
Kepalanya benar-benar terasa berat dan bengal.
Apa
yang ditanya, Reno berusaha mengimbasnya kembali. Dalam-dalam dia menggali apa
yang berlaku semalam.
"Ye, I dah pecat dia, dan I tak mahu
tengok muka dia dekat situ lagi," jelas Reno tidak lama kemudian apabila
tindakan yang diambil semalam melintas. Tegas dia bersuara.
"Kenapa sampai gitu sekali?" di
hujung talian pertanyaan diaju lagi.
Reno berkeluh. Berat dan panjang. Rambutnya
dijambak.
"I tak suka orang yang diberi amanah, dia
tak tahu pikul. I tak suka! Dah berapa kali I bagi amaran, tapi sama jugak!
Okeylah, jangan cakap pasal ni semua lagi boleh tak? Malaslah I nak bualkan
benda yang tak berfaedah pagi-pagi buta ni!"
"Okey okey I mintak maaf. Tak perlu nak
marah. Perkara kecik ni semua. Hmm, Reno... jumpa I dekat tempat biasa pukul
sepuluh nanti. Kita sarapan sama-sama."
"Pukul sepuluh nanti?" Reno
mengerutkan kening. Kepala yang masih mamai membuatnya seperti hilang arah.
"Ya, pukul sepuluh nanti. Sepuluh pagi!
Bukan sepuluh malam. Itu bukan sarapan, tapi 'supper'!"
Anak
mata Reno berlegar di dada siling, merayap bagaikan sedang menimbang duduk
perkara. Rambut lurusnya yang sudah jatuh ke dahi, disapu dengan tangan.
Perempuan di sisi sekali lagi dilirik.
"You dah dapat yang I suruh cari
tu?" tanya Reno. Suara seakan berbisik. Telefon bimbit itu dieratkan ke
telinga, penuh minat menanti jawapan.
"Jumpa nanti, kita boleh berbuallah.
Pukul sepuluh, ye."
"Cakap ajalah sekarang! Apa bezanya cakap
nanti dan sekarang?" Mahu sahaja Reno meninggikan suara, jika tidak kerana
akan mengganggu rakan ranjangnya yang sedang lena.
"You ni, tak sabar sabar ye! Nanti I
pergi sana, I tampar muka you dengan bibir I, baru you tahu!"
Dengan pantas Reno merenggangkan telefon
bimbit yang sedang mencumbui telingannya, apabila di hujung talian menggaung
ketawa. Sekali lagi anak matanya menggulung.
"I nak beritahu you sekali tentang
'customer' baru kita kat Singapura tu. So, you pergi siap-siap sekarang. I
jumpa you nanti pukul sepuluh," jelas suara itu tenang penuh keyakinan.
"Hah, apa cerita dengan dia orang?"
"You turunlah! Nanti kita boleh bual
panjang."
"Kenapa
tak boleh beritahu sekarang? Apa masalahnya?" Reno jegilkan mata.
"Hello! Apa yang I nak beritahu ni
penting. Profesional sikit boleh tak? Apalah you ni!"
Reno menggeleng. Berkeluh keinginannya tidak
tertunai.
"Okeylah, jumpa sana! You tunggu nanti I
datang."
"Baik, hensem. I akan tunggu walau apa
sekali pun terjadi," berderai lagi ketawa di hujung talian memekakkan
telinga Reno.
Jam di dinding ditujukan pandangan sebaik
perbualan dimatikan. Jarum menunjukkan sudah hampir ke pukul sembilan pagi.
Dikalihkan pandangan menatap sebentar perempuan yang masih lena itu.
Membiarkannya, Reno bingkas menuju ke kamar mandi.
Seperti bunga layu disimbah air kembali segar,
begitulah tubuh Reno di saat air dingin yang menyimbah bagaikan hujan membasahi
tubuhnya yang berketak dan kekar. Kepala yang tadi terasa berat, kini ringan.
Muka sembabnya kembali bersinar.
Berdiri
menghadap cermin besar yang terlekat di dinding kamar, Reno mengangguk puas
melihat dirinya sendiri yang sudah pun bersiap. Penampilan, seperti biasa. Gah!
Tersenyum Reno tiba-tiba apabila teringatkan
sesuatu. Senyuman yang menyimbah di wajah, cukup menceritakan apa yang sedang
melintas di benak. Menjentik jari, tanpa lengah Reno bertindak.
Mentari yang sudah agak tinggi memanjat hari,
sinarnya lembut menjamah wajah Reno sebaik dia melangkah ke berandah. Angin
sepoi-sepoi menyapa, membisikkan rahmatNya. Udara nyaman dan segar. Perlahan
tanpa lengah diteruskan langkah ke taman yang menghiasi halaman rumah.
"Selamat pagi lambang cinta yang tidak
ada duanya," ceria suara Reno sebaik sampai di taman itu, seceria
senyumannya yang memenuhi wajah.
Mawar-mawar merah kelihatan bagaikan senang
menyambut Reno. Memekar segar dan indah. Bergoyang-goyang bagaikan menari saat
disapa hembusan angin pagi.
Penuh
hati-hati dilunjurkan tangan memetik sekuntum yang paling segar dan terindah,
lalu dibelek. Dicium mawar itu. Terpejam mata saat menikmati keharumannya yang
begitu mengasyikkan dan menusuk. Beberapa detik kemudian, ke kamar kembali
ditujukan langkah. Pantas dan lincah.
'I ada hal sikit. Jumpa lagi nanti, taman
indah hatiku.'
Mawar merah yang dipetik tadi di taman,
bersama kata-kata itu ditulis di sekeping nota kecil, lalu diletakkan di atas
meja samping katil. Tanpa mengejut perempuan itu yang masih belum lagi tersedar
dari lenanya yang panjang.
"Mimpi indah, sayang," ucap Reno
sambil merenung mesra perempuan itu. Mencangkung di tepi katil menghadap
perempuan itu yang masih dibuai mimpi, Reno memanjangkan tangan ingin membelai
rambutnya. Namun terhenti apabila mengingatkan perempuan itu hanya mengizinkan
lelaki yang dinikahi sahaja boleh menyentuhnya. Reno senyum, dan mematikan
niatnya.
"Kita jumpa lagi nanti jambangan hati
kiriman dari syurga," bingkas, Reno melayangkan kucupan lewat pandangan
lalu beredar.
Tanpa lengah, Reno meninggalkan rumah agamnya
yang tersergam di kawasan Danga. Kereta sport BMW model M6 Convertible warna
merah menyala, dipacu. Memancar badannya yang berkilat dipanah sinar mentari
pagi. Berdesup membawanya berlari ke tempat tujuan penuh gaya.