Reno memecut keretanya. Meredah jalanraya
yang di waktu itu agak sepi dan lengang, seolah-olah nyawa dan keselamatan
dirinya juga pengguna jalanraya yang lain, sama sekali tidak punya nilai dan
harga. Buru-buru berdesup ke tempat tujuan.
Sekejap-sekejap jam tangan dijeling.
Sepertinya, dia sedang mengejar sesuatu yang sangat penting. Namun matanya
tetap awas ditujukan ke arah jalanraya. Memecut dengan berhati-hati.
Palm Resort Golf and Country Club yang
terletak di Off Jalan Jumbo, Senai, menyambut ketibaan tidak lama kemudian.
Menggeleng-geleng Reno sebaik keluar dari perut kereta. Sendiri bagaikan tidak
percaya, dia cuma mengambil masa tidak sampai setengah jam dari pejabatnya di
kawasan bandar ke tempat yang berprestij itu.
Berdiri memandang jendela kereta, Reno
memperbetulkan duduk kacamata hitamnya. Memperkemaskan rambut dan blazer yang
dipakai. Membelek sebentar bayangannya lewat kaca jendela kereta itu, lalu
pantas melangkah ke tempat tujuan.
Reno memang berkarisma. Tampan, kacak dan
bergaya. Auranya menarik perhatian staf-staf perempuan di situ ketika dia
sedang berjalan ke tempat tujuan. Namun Reno tidak ambil peduli. Baginya, itu
semua adalah satu perkara biasa.
"Selamat pagi, Mr Wong."
Dengan penuh hormat Reno menyapa seorang
lelaki yang sedang duduk bersendirian bersarapan. Dalam-dalam Reno menghela
nafas. Jam tangan dilirik. Berasa lega sampai di Golfers' Terrace, salah sebuah
cafe yang terdapat disitu tepat pada waktu yang dijanji.
Lelaki yang disapa itu berbangsa Cina.
Usianya sekitar 50'an. Mendongak saat mendengar sapaan itu. Dengan senyum penuh
di muka, Reno menyambut pandangannya.
"Dah lama tunggu?"
Senyuman Reno tidak mendapat balasan.
Pertanyaannya juga tidak dijawab.
"Sila duduk," pelawa lelaki itu
ringkas, dan berbau arahan. Sikapnya sejajar raut wajah, dingin dan tegang.
"Terima kasih," lirih Reno sambil
menarik kerusi. Akur.
Berkemeja putih dan dikenakan suit serba
hitam, serta tali leher berwarna biru tua, raut wajah dan gaya lelaki itu tidak
ubah seperti ketua samseng di dalam filem-filem Hong Kong. Raut wajah serius,
dan miskin senyuman.
Reno menghulurkan tangan. Mereka bersalaman.
Dapat dia merasakan kekuatan lelaki itu saat tangannya erat digenggam.
"Awak sudah sarapan?" tanya lelaki
itu sebaik Reno duduk mengambil tempat di sisinya.
"Sudah tadi, Mr Wong. Terima kasih."
Mengangguk, lelaki itu menjulang tangan
memanggil pelayan cafe yang sentiasa bersiap menjalankan tugas melayani
kehendak pengunjung. Reno kembali dipandangnya.
"Awak apa khabar?" Lelaki itu
berbasa-basi.
"Seperti biasa, bagus selalu. Mr Wong
pulak apa khabar?"
Lelaki itu mengangkat mata dari pinggan
sarapannya. Pertanyaan Reno dibalas hanya dengan renungan.
Sekilas membalas renungan lelaki itu,
melepaskan kacamatanya, menyandar, Reno melontarkan pandangan di hadapan.
Saujana mata memandang, golf course yang
terbentang luas. Hamparannya, tampak hijau keemasan disimbah cahaya mentari
yang sedang menanjak. Pohon-pohon rendang yang menghiasi persekitarannya,
menari-nari melambai dibelai angin pagi, menambahkan lagi keindahan mata
memandang.
Di
cafe itu yang ruangnya lapang dan berkonsep terbuka, suasananya sunyi, tenang
dan aman. Sehinggakan derap langkah pelayan yang menghampiri meja mereka pun
boleh kedengaran.
"Ambilkan encik ini Teh Cina
panas," arah lelaki itu sebaik pelayan itu tiba di meja mereka.
Mengenakan kemeja putih lengan panjang dan
vest berwarna hitam serta seluar yang warnanya serupa, pelayan itu lambang taraf
cafe tersebut. Sepatu kulit hitamnya, berkilau memancar.
Reno bertukar senyuman saat matanya bertemu
dengan pelayan berbangsa India itu.
"Saya ingat awak tak datang tadi,"
lelaki itu memulakan bicara sebaik pelayan itu pergi. Nada suaranya tajam dan keras.
"Mana boleh tak datang, Mr Wong. Janji
harus ditepati. Lebih-lebih lagi ini perkara penting Mr Wong mahu
bincang."
"Bagus. Saya tahu awak tak akan mungkir
janji. Saya tahu awak pasti datang."
Reno senyum sambil membetulkan duduk.
Menyelesakan diri cuba mengatasi ketegangan yang sedang mencengkam keadaan dan
perasaannya. Entah kenapa, hati berdebar-debar. Namun dia tampak biasa-biasa.
Raut wajahnya yang tenang, menyembunyikan apa yang sebenar sedang dirasa.
"Bagaimana bisnis awak sejauh ini. Maksud
saya itu Smack-O. Ada bagus?" tanya lelaki itu sambil mencapai kopinya.
Riak wajah tampak bersungguh-sungguh ingin tahu.
"Bagus, Mr Wong. Sejauh ini memang
bagus. Tak ada apa-apa masalah. Semua berjalan lancar."
Lelaki itu mengangguk-angguk bagaikan mengucap
tahniah. 'Croissant egg', hidangan sarapannya yang masih banyak bersisa,
ditolak ke tepi. Napkin di atas meja dicapai. Mulut dan tangan dikesat.
"Sofea pula bagaimana? Bagus jugakah?
Mesti bagus, kan?" mata lelaki yang tajam itu, memandang Reno sudah
seperti 'dart board'.
"Sofea? Dia seperti biasa, Mr Wong.
Semakin sihat dan semakin nakal."
"Semakin nakal?"
"Ya, Mr Wong. Dia sekarang semakin nakal.
Nakal sangat!"
"Wow! Saya suka. Saya suka!"
Terkekek lelaki itu tiba-tiba. Dengan rasa
senang ketawa mendengar penjelasan Reno yang bersahaja. Pecah sepi ruang cafe.
Suasana yang tadi agak tegang, serta-merta berubah menjadi santai dengan
sendaan Reno.
Reno
hanya senyum kecil. Namun di hati yang dalam berasa senang melihat tingkah
lelaki itu berubah dengan sekelip mata.
"Sudah lama saya tak jumpa dia. Saya
yakin dia mesti semakin cantik," sambung lelaki itu dengan senyum meleret.
"Ya, Mr Wong. Dia bukan saja semakin
cantik, tapi mungkin semakin rindu sama Mr Wong."
Lelaki itu terkekek lagi. Sehingga terkatup
matanya yang sepet dan kecil. Digenggam kedua tangannya erat-erat,
memperlihatkan rasa senang di hati.
"Betul! Betul tu, Reno. Sofea mesti
semakin rindu sama saya," telunjuk kanan digoyang-goyang ke arah Reno,
bersuara sambil ketawa. "Sebab apa dia semakin rindu? Sebab... dia banyak
sayang sama saya. Saya tahu itu!"
Reno
mengangguk setuju. Tenang, hanya tersenyum melayan ketawa lelaki itu yang
semakin menjadi-jadi. Mata bersinar-sinar memerhatikan keletahnya. Sememangnya
itu yang diinginkan Reno, melihat orang yang digantungkan perniagaannya, merasa
senang.
"Kenapa tadi awak tak bawak dia jumpa
sama saya sekali?" sambung lelaki itu setelah ketawanya reda. Anak mata
bergerak ke kiri-kanan memandang Reno mencari penjelasan.
"Bukan saya tak mahu bawak dia tadi
jumpa sama Mr Wong. Tapi Mr Wong sendiri tahu, kita ada hal penting dan rahsia
yang mahu dibincangkan."
"Bukan rahsia besar macam mana pun. Ini
perkara nanti dia akan tahu juga. Dia kan awak punya bisnis partner.
Betul?"
Tersengih Reno. Telunjuk kanan disinggahkan
ke pipi. Menggaru sambil mempamerkan wajah bersalah.
"Ya, betul Mr Wong cakap. Hmmm... saya
minta maaf. Lain kali saya akan bawak dia sekali. Jadi, Mr Wong boleh jumpa
sama dia. Saya yakin, dia pun pasti mahu jumpa sama Mr Wong."
"Tak apa. Perkara kecil," ujar
lelaki itu lalu meneguk sedikit kopinya. "Reno, kalau awak nak tahu, saya
sudah ada beli satu resort di Phuket. Sekarang itu tempat masih lagi
'renovate'. Nanti bila sudah siap, 'opening ceremony', saya mahu awak datang
sama Sofea. Kita 'celebrate' sama-sama."
"Di Phuket? Kenapa beli di Phuket, Mr
Wong?"
"Dekat sama rumah saya maa! Betul?"
Reno
tersenyum sipu. Dia sedar, pertanyaannya itu kedengaran bodoh. Baharu sahaja
Reno mahu membuka mulut bersuara, pelayan tadi muncul kembali dengan apa yang
dipesan.
Reno menyandar. Dikunci mulutnya. Menahan
sebentar apa yang ingin dikata. Senyuman mesra dilayangkan sekali lagi buat
pelayan itu sebelum dia beredar.
Sekilas Reno mengitari ruang cafe itu.
Pengunjung yang ada kelihatan tidak begitu ramai. Hanya memenuhi beberapa meja
sahaja, bersantai dengan dunia mereka sendiri jauh dari mejanya.
"Mr Wong," panggil Reno. Nada suara
bagaikan berbisik penuh hormat. "Apa hal penting yang Mr Wong mahu
beritahu sama saya?"
Lelaki
itu senyum. Tajam memandang Reno. Menyilang kaki menyandar, wajah Reno diamati
lurus-lurus. Bulat-bulat matanya menelan Reno.
Hati Reno kembali berdebar. Aksi lelaki itu,
secara mendadak berubah, membuat Reno berasa tidak selesa. Terasa waktu
bagaikan merangkak di saat itu.
Membatuk kecil melapangkan kerongkongnya,
dengan suara tenang lelaki itu memberitahu.
"Sekyen A, bahagian Melaka, lagi 3 bulan
mendatang akan jadi kawasan awak."
Pantas Reno memajukan wajah. Anak matanya
perlahan-lahan membesar. Reno, benar-benar seperti tidak percaya dengan berita
yang baharu disampaikan lelaki itu. Tiba-tiba perasaannya bercampur-aduk. Suka,
juga serba-salah.
"Bagaimana dengan Leo, Mr Wong? Apa kata
dia pula nanti?"
"Reno... " suara lelaki itu lagi.
Kali ini nada suara kedengaran tegas. "Siapa yang buat keputusan? Siapa?
Leo atau saya?"
Reno berdiam tidak menjawab. Hanya menentang
mata lelaki itu yang sedang merenungnya tajam.
"Boleh tak kalau saya cakap, Leo saya
mahu lenyapkan dia dari ini dunia? Boleh?" sambung lelaki itu lagi.
Getaran suaranya seperti mencabar, memaksa Reno memberitahu siapa yang lebih
berkuasa di antara mereka semua.
Di meja itu Reno menjatuhkan matanya,
membayangkan apa yang didengar. Mengangguk-angguk sesaat kemudian mengerti apa
yang dimaksudkan lelaki itu tadi.
Memang benar, segala keputusan ada di tangan
lelaki itu. Mr Wong, dia yang menentukan, dia juga yang memutuskan apa yang
dikehendakinya.
"Tapi awak harus hati-hati," ujar
lelaki itu lagi. Wajahnya serius. "Itu kawasan bahaya."
Reno kembali mengangkat muka. Rona wajah
tiba-tiba memucat.