Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 34

Suasana di cafe itu tenang, aman dan damai. Pepohon yang menghiasi persekitaran, rendang melambai. Redup dan mendinginkan menari-nari dibisik angin senja, bagaikan mengucap selamat jalan buat mentari yang kian jauh menuju ke barat.

Terletak di satu sudut agak terpencil di kawasan Danga Bay, cafe itu memang santai. Di hadapannya, kelihatan dengan jelas Selat Tebrau. Wujudnya memisahkan dua Tanah Melayu, iaitu Singapura dan Malaysia. Airnya yang terhampar kelam, tenang tidak beriak, tampak keemasan disimbah sinar mentari yang hampir tenggelam.

Cafe itu sering dikunjungi Amru. Sama ada bersendirian bila punya kelapangan waktu, atau pun bertemu dengan orang-orang tertentu yang berkait dengan kerjanya. Di cafe itu juga tempat dia mencari ketenangan, mengketepikan sebentar segala beban kerja, atau juga ingin bersendirian mencari jalan, memecahkan kebuntuan kes-kes yang sedang ditanganinya.

Mengemaskan duduk, senyuman ramah dilayangkan Amru. Membalas senyuman pelayan berbangsa Bangladesh yang menghampirinya dengan minuman yang awal tadi dipesan.

"Terima kasih banyak, Saleem," ucap Amru ramah sambil mencapai minuman yang dihulur, 'Ice carrot milk'.

"Sama-sama, tuan. Silakan minum," balas pelayan itu ramah juga dan penuh hormat, dengan fasihnya berbahasa Malaysia.

Mengangguk, Amru memerhatikan pelayan itu beredar. Pelayan itu sudah dikenalinya lama. Pendatang secara haram atau pun menurut undang-undang, sudah entah berapa lama bermastautin di Malaysia, Amru tidak pernah mahu ambil tahu. Itu bukan tugasnya.

Memanjangkan tangan, 'Ice carrot milk' itu dikacau dengan menggunakan penyedut air. Terasa nyaman saat air itu meluncur membasahi tekaknya. Terasa 'Ice carrot milk' itu melekat di lidah dan kerongkongnya. Nikmat! Terpejam seketika mata.

"Teka ni siapa! Cepat, kalau pandai!"

Terperanjat Amru! Tiba-tiba dari arah belakang ada sepasang tangan menjulur menutup matanya. Amru mengerutkan kening. Dapat dirasakannya tangan itu mulus dan lembut.

Namun dia kenal milik gerangan tangan itu. Begitu senyumannya melebar. Akhirnya yang ditunggu, sudah berjanji akan bertemu di situ, tiba juga. Tepat pada masanya.

"Siapa ni? I tak pandai tekalah!" Amru gelak kecil. Bersenda. Tangan yang menutup matanya disentuh.

"Teka aja cepat!" suara itu kedengaran memaksa dengan manja.

"Ziana Zain! Kan? Betul tak?"

"Ziana Zain?" pertanyaan spontan itu datang dengan deraian ketawa. Pecah kedamaian senja. "Alahai you ni! Macam mana boleh sampai ke Ziana Zain pulak!"

Amru gelak juga. Nada suara itu kedengaran lucu, namun lunak menyinggah telinga.

"Teka cepat, ini siapa? Cepat!"

"Siti Nurhaliza! Betul tak? I yakin ini kali mesti betul, kan?"

"Siti Nurhaliza?"

Dengan sendiri tangan itu terlepas dari muka Amru, diiringi gelak kuat. Meluru ke hadapan Amru, dengan manjanya wanita muda itu menampakkan diri dengan membuat muka mengejek.

"Chhaakk!" riang dan ceria mengusik. "Ini dia Siti Nurhaliza!"

"Ini Siti Nurhaliza? Astaghfirullahalzim!" Amru buat muka terkejut dan menutup mulut menahan gelak.

"Aikk! Kenapa pulak sampai beristighfar ni?"

"Sebab you nampak macam Siti Tanjung Perak!" Amru gelak kuat.

"Ehh! Jauhnya you pergi! Hah! Nak pergi mana? Thailand? Australia? Bangladesh?"

Amru gelak semakin kuat.

"You ni I rasa memang mintak I tampar muka you, kan? Kan? Ada ke I ni macam Siti Tanjung Perak, hah?"

Dengan ketawa masih bersisa, Amru pandang perempuan muda itu yang sedang mencekak pinggang berdiri di hadapannya. Dipandang atas bawah kemas-kemas.

Dila membalas dengan merenung tajam. Namun aksinya, manis-manis manja.

"Nah, tampar," Amru menghulur muka. "Tampar cepat!"

"Eh! Betul? Betul ni you nak I tampar?"

Amru buat muka mengejek. Berasa senang dapat bersenda dan mengusik Dila.

"I gurau ajalah. Sebenarnya jika dibanding Siti Nurhaliza dengan you, memang tak dinafikan you lagi cantik. Betul ni I cakap."

"Ada-ada ajalah you ni! Mengayat memang nombor satu. Menyampah!" Dila menjeling sambil menghempas punggungnya di kerusi menghadap Amru. Bibir dicebir manja.

Tidak seperti di pub malam kelmarin Dila tampak menggiurkan dengan dress hitam ketat pendek, petang itu dia tampak santai. Berpenampilan seorang Rocker. Berpakaian ringkas hanya dengan jeans, Tshirt dan bersepatu kulit Nike putih. Namun dia tetap kelihatan menarik dan menawan.

"Hmmm, you nak minum apa?" tanya Amru setelah Dila menyelesakan diri.

"Apa-apa pun boleh, asal bukan arak. Itu air haram!" kata Dila. Kelihatan ada segaris senyuman melintang di bibirnya.

Amru langsung memiringkan muka. Anak mata tajam memanah Dila. Kata-kata yang dituam, kedengaran panas dan pedas. Senyum terkena sindir dipamerkan Amru. Rona wajah sudah memerah.

Mengangguk-angguk berat seperti di dalam hati sedang menyumpah, mata liar merayap memandang Dila atas bawah. Dalam-dalam Amru menghela nafas.

"Habis, yang you pakai t-shirt dan jeans ketat gini tak haram? Nampakkan bentuk tubuh you yang gebu dan seksi kasi lelaki tengok, tak haram?"

"Okeylah kira! Daripada I pakai ketat-ketat, lepas tu kepala I tutup tudung, mana lagi bagus? Betul tak?" Dila menggoyang-goyangkan kepala ke kiri-kanan dan menyeringai.

"Dua-dua tak bagus! Perempuan pakai ketat-ketat tak bagus, pakai ketat-ketat bertudung lagilah tak bagus! Mencemarkan imej dan macam mengejek ajaran ugama. Jadi bahan gelak dan hinaan bangsa dan agama lain you tahu tak!"

Dila gelak kecil. Kata-kata yang dibedil Amru, datang bagaikan satu sepak-terajang tepat ke mukanya. Menyilang kaki, rambutnya yang panjang mengurai, hujungnya dicapai dan menutup sebahagian mulut. Di sebalik rambut itu, Dila menjuihkan bibir.

Bingkas, melontarkan pandangan sinis, Amru beredar ke bar kaunter. Dila perhatikan. Amru yang tinggi lampai, berbadan tegap, jalannya tegak dan mendada. Seperti selalu, teruja Dila melihatkan.

Menyandar, Dila mengitari. Pandangan dilepaskan jauh menyeberangi selat itu. Di hujung sana, di Tanah Singapura, kelihatan berbaris pohon-pohon bakau yang memenuhi persisiran pantainya, kian menghilang ditelan kegelapan hari. Seolah-olah dengan setia pada setiap masa menjadi benteng utama dari segala macam pencerobohan yang tidak diinginkan.

"Nah, air you!"

Terperanjat Dila dengan sergahan Amru. Matanya tajam menurut Amru kembali duduk di kerusi. Minumannya dicapai.

"Tapi I betul-betul kagum dengan you punya lakonan tu hari malam," akui Amru mengingatkan kembali peristiwa kelmarin bersama Reno di pub.

"Kagum? Hebat ke lakonan I?"

"Tak dinafikan! lakonan you kelas dunia! Mantap sekali. I sendiri tengok, I pun teruja. Macam tak percaya lakonan you boleh begitu bersahaja. You sepatutnya mesti jadi pelakon filem atau drama. You memang berbakat, I tengok."

"Ada-ada ajalah you ni! Memandai aja!" Dila menjeling, tetapi hati tersenyum.

"Betul ni I cakap. Lakonan you boleh menang Academy Award, kalau pergi bertanding. Cuma I bengang dengan you!"

"Kenapa you bengang dengan I pulak?"

"Kenapa you pergi ketawa malam tu? Gara-gara you, 500 ringgit I melayang you tahu tak!"

Dila menjeling lagi sambil gelak kecil. Renungan Amru dibalas. "Sebab dia kasi I lebih."

"Berapa?"

"500 ringgit." Amru menggeleng.

"Habis, you jumpa dia malam tu, dia cakap apa?"

"Jumpa siapa?" kening Dila melengkung.

"Jumpa siapa? Amru kembali menyoal. "Jumpa siapa lagi kalau bukan mamat kacak tu!"

"Oh! Maksud you... Reno, gitu?"

Amru mengangguk.


Previous: Bab 33
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.