Setiap arah yang dipandang tampak ceria. Di
mana-mana. Di setiap sudut dan penjuru. Begitu jugalah di wajah anak dan
isterinya, ceria kesemuanya.
Izwan berada di gendongan ibunya bagaikan
mengerti apa yang sedang dirasakan ibu dan ayahnya ketika itu. Riang dan ceria
sebaik bangun dari tidur seusai kedua orang tuanya menunaikan solat subuh.
Memekik-mekik kegirangan terus tidak henti.
"Iwan nak pergi Singapura? Nak? Kita
jalan-jalan di sana. Nak tak?" tanya Azlan yang sedang bersarapan. Aisha
yang berdiri di sisi menggendong Izwan, dilirik. Aisha membalas dengan
senyuman.
Terkinja-kinja di gendongan Aisha, Izwan
sambil menyeringai mengepak-ngepak kedua-dua belah tangannya dengan pantas.
Seperti sahaja dia mengerti apa yang baharu sahaja dikatakan ayahnya itu.
Terketawa Azlan dan Aisha melihat keletah lambang cinta mereka.
Azlan melunjurkan tangan mencubit pipi mungil
Izwan. "Nanti ayah ajak Iwan sama ibu ke Pulau Sentosa. Kita pergi
'Universal Studio'. Iwan mesti suka. Ayah janji."
"Wahh... dengar tak apa ayah cakap tu?
Nak bawak kita ke 'Universal Studio'! Wow! Mesti best!" sampuk Aisha. Dia
tampak terlebih ghairah daripada Izwan sendiri, mendengar apa yang baharu
dijanjikan Azlan. Kegirangan di wajah menceritakan betapa berkobar-kobarnya
ingin melihat Singapura yang begitu pesat membangun.
"Ye, ayah janji. Ayah janji kita akan
berhibur sekeluarga di sana nanti!"
Teringat Azlan akan janji-janji Sofea.
Teringat di saat mereka mematri janji, Sofea mengizinkannya membawa keluarga ke
sana menemaninya menjalankan tugas. Malah bukan itu sahaja, wang poket juga
turut diberi. Di hati paling dalam, senyuman melebarkan sayap.
Sepi! Aman dan tenang.
Begitulah keadaan pejabat Salleh Kausari
ketika itu. Pintu yang rapat terkatup, segala hingar-bingar sedang berlangsung
di luar sama sekali tidak kedengaran. Apa yang kedengaran, hanyalah desiran
penghawa dingin melekat di dinding di atas kepala Salleh Kausari yang sedang
duduk di kerusi pejabatnya menghadap Sofea.
Tepat-tepat di anak mata, Salleh Kausari
memandang Sofea, menantikan keputusan yang dijanji tempoh hari akan diberitahu
setelah nanti dipertimbangkannya. Sebentar lagi, Azlan akan melaporkan diri.
Jam di dinding menunjukkan sudah hampir ke pukul 8.30 pagi.
"Macam mana, bos? Apa keputusannya?"
Salleh Kausari seperti sudah tidak sabar mahu mendengarnya. Bersuara apabila
melihatkan Sofea hanya rapat-rapat mengunci mulut dari tadi.
Duduk menyandar di kerusi, dalam-dalam nafas
dihela. Sofea yang hanya mengenakan 'skinny jeans' dan T'shirt putih ketat
serta sendat, tampak santai dan ranggi. Namun, tumit tinggi dan cara
memperagakannya membuat dia kelihatan anggun.
"Saya rasa... " suara Sofea
kedengaran tenang. "Apa yang awak cadangkan yang kita jangan beritahu dia
barang apa yang dikirim... saya setuju."
Bersinar wajah Salleh mendengarnya. Berbesar
hati! Senyum ditarik panjang.
"Bos setuju? Okey, bagus. Hmm...
mengenai dijadikan umpan tu macam mana, bos? Dah fikirkan?"
Wajah Salleh Kausari tampak bersungguh-sungguh
bertanya. Sudah tidak sabar ingin tahu keputusannya.
Sofea hanya tersenyum. Tetap tenang.
"Itu saya rasa kita jangan fikirkan dulu.
Itu ada masanya nanti. Buat masa ni... saya ada rancangan lebih baik
untuknya."
"Rancangan lebih baik? Rancangan apa tu,
bos?" Salleh Kausari memajukan wajah. Telinga dipasang. Teruja!
"Semalam saya ada terima berita dari
apek. Boleh dikatakan... ia satu berita besar dan baik. Berita mengenai
perniagaan kita. Dan memandangkan buat masa ini tak ada sesiapa yang tahu selain
saya, rancangan ini biarlah saya simpan dulu. Bila tiba masanya nanti, saya
akan beritahu awak apa rancangan saya. Rancangan buat dia dan awak juga."
Terbelalak Salleh Kausari mendengarnya,
"Rancangan buat saya juga?"
"Ye, betul. Saya ada rancangan untuk
awak juga."
"Rancangan baik ke tak baik ni,
bos?"
"Nanti awak sendiri akan tahu.
Bertenang."
Mengangguk, Sofea senyum. Sendiri tersenyum.
Tersenyum mengingatkan segala rancangannya. Lebih-lebih lagi rancangan untuk Azlan.
Dia yakin, begitu yakin, Azlan sangat berguna dan boleh dipergunakan untuk
kepentingan dirinya juga perniagaannya.
'Masanya akan tiba!' bisik hati Sofea.
Salleh
Kausari turut mengangguk-angguk dengan senyum lebar mendengar apa yang
dijelaskan Sofea. "Jadi... sekarang apa bos nak saya buat?"
Sofea berdiam. Sebentar memikir-mikirkan.
"Awak beri dia list tempat-tempat yang
nak dikirim di merata Johor. Awak terangkan dia skop pekerjaan. Tentu awak tahu
nak beritahu dia apa. Dan kalau tempat-tempat dalam list tu dia tak tahu di
mana, awak bawak dia ke situ tunjukkan. Boleh?"
"Boleh, bos. Jangan risau. Itu semua
perkara kecik. Tutup mata pun saya boleh uruskan. Tapi... di kawasan Singapura
pulak macam mana, bos? Nak saya tunjukkan juga?"
"Itu biar saya uruskan nanti. Awak buat
aja dulu apa yang saya suruh. Apa-apa yang tak begitu pasti, awak tanya saya
saja. Okey?"
"Baik, bos. Tak ada masalah. Saya yakin
semua akan berjalan dengan lancar. Macam mana yang bos mahukan."
Sofea mengangguk-angguk. Berpuas hati dengan
jaminan yang diberi oleh orang kuatnya.
Jam tangan dijeling. Jam tangan yang talinya
sudah lusuh berharga 25 ringgit dibeli di pasar malam, jarumnya bukan seperti
berdetik, tetapi berlari. Jarumnya dengan pantas bergerak, terasa memecut
menghampiri ke angka 9.
Muka Azlan bersimbah keringat. Basah!
Berkeringat bukan kerana dijilat terik sinar mentari, tetapi gelabah sesat di
jalanan hendak ke arah tujuan. Gelabah kelewatannya nanti akan menjejas imej
sebagai pekerja di mata Sofea. Daerah Pasir Gudang yang jarang-jarang sangat
dia pergi, alamat yang diberi Sofea untuknya, bukan main sukar lagi hendak
dicari.
Di bawah terik sinar mentari pagi Azlan
memecut kapcainya. Meredah sana meredah sini mencari alamat yang diberi. Jarum
jam juga terus berlari. Memecut tanpa menghiraukan debaran di dada Azlan.
Begitu juga dengan Sofea, sekejap-sekejap jam
tangan dijeling, sekejap-sekejap pula jam di dinding. Waktu yang dijangkakan,
yang dijanji, sudah pun melebihi 45 minit. Namun kelibat Azlan masih juga tidak
kelihatan.
"Mana orangnya, bos? Dah pukul berapa ni
sekarang , tak nampak-nampak bayangnya pun!" tanya Salleh Kausari, kali
ini sudah masuk yang ketiga kali dia bertanya.
"Tak apa tunggu dulu?"
"Tunggu? Belum start kerja dah macam
gini, macam mana ni, bos?"
"Kita kasi dia lagi 15 minit.
Sabar."
"15 minit? Jika 15 minit pun tak
sampai?"
"Saya akan halau dia balik rumah dan
suruh dia bayar duit ganti rugi calarkan kereta saya."
Salleh Kausari tersenyum. Mengangguk-angguk
setuju. "Kata bos, orang ni boleh dipercayai. Tapi, hari pertama mula
kerja dah tunjuk sikap macam gini, nak percaya macam mana?"
Sofea, jari-jemari mengetuk-ngetuk meja. Jam
di dinding dijeling lagi. Sudah hampir satu jam lewat, namun kelibat Azlan
tidak juga kelihatan. Di wajah Sofea, rasa bengang perlahan mulai merangkak.
'Mana
budak ni? Apa hal tak timbul-timbul? Apa cerita?' detak hati Sofea.
Kesabarannya semakin menipis.
Telefon bimbit dikeluarkan dari poket depan
seluar. Sofea akhirnya mengambil keputusan menelefon Azlan. Dia sendiri sudah
tidak sanggup menunggu lagi.
Tanpa
lengah telefon bimbit itu diberinya nyawa. Mencari-cari nama Azlan di 'contact
list' dengan wajah tegang, lalu membuat panggilan.
"Hello Azlan, awak di mana?" Suara
Sofea menggaung sebaik panggilannya dengan pantas dijawab. Menggema pejabat
Salleh Kausari.
"Ni saya di luar pejabat," jawab
Azlan di hujung talian.
Pantas
Sofea menoleh ke arah pintu pejabat. Begitu juga dengan Salleh Kausari, menurut
arah mata Sofea.
Di luar, dari pintu pejabat yang separuh
berkaca, dengan keringat merintik penuh di muka, Azlan melambai. Senyumnya
lebar dan memanjang menyambut pandangan Sofea juga Salleh Kausari.
Sofea tersenyum, membalas senyuman Azlan
dengan wajah ceria. Salleh Kausari yang sedang turut tersenyum, Sofea arahkan
pandangan.
Sofea mengenyit
mata di saat anak mata mereka bersatu. Salleh Kausari mengangguk.