"Kau nak pendekkan ini cerita atau
panjangkan? Aku kasi kau pilih!"
Kata-kata itu, keras dan kasar menyambar Azlan
sebaik mereka bertentang mata. Menampar tepat di muka.
Bersemuka di satu sudut agak sunyi di tempat
Azlan bekerja, jauh dari orang ramai, Azlan sama sekali tidak menyangka
perempuan yang tempoh hari keretanya dicalar, boleh bersikap seperti seorang
samseng. Sedangkan, dia telah pun meminta maaf atas kesilapannya itu.
Gaya
perempuan itu, merenung seperti seekor singa betina sedang kelaparan. Garang!
Namun perempuan itu tidak dinafikan memang menawan dan menggoda. Dia yang
sedang berdiri menghadap Azlan, mengenakan 'Sun dress' berwarna merah bercorak
bunga-bunga, ketinggiannya menyerlah seperti seorang peragawati. Atas bawah
Azlan pandang.
"Mat... jangan sampai apa yang berlaku,
engkau tak kan lupa sampai bila-bila. Jangan sampai kau menyesal belakang hari
nanti! Ini aku ingatkan kau!"
Sambung perempuan muda itu lagi tanpa
teragak-agak. Berkata sambil telunjuk kanan diarahkan dekat ke muka Azlan.
Keras memberi amaran! Wajah yang sengaja dibengiskan, memberi isyarat, dia
tidak bersenda.
Azlan jadi cuak. Entah kenapa. Seluruh
badannya serta-merta terasa seram-sejuk. Dapat dihidu dengan jelas bau-bau
ancaman pada kata-kata perempuan itu. Tetapi kenapa dia harus diancam dengan
sebegitu rupa?
"Errr... apa maksud awak cakap gini? Apa
maksud awak tiba-tiba ancam saya? Awak dah kenapa ni?."
"Apa kau cakap? Apa kau cakap! Cuba kau
cakap kuat sikit biar aku dengar! Kau cakap sekarang!"
Perempuan itu yang raut wajahnya tampak
seperti orang Jepun, tiba-tiba suaranya meninggi. Matanya yang sepet, dijegil.
Melekat tajam sinar matanya di muka Azlan.
Dalam
dan panjang Azlan menghela nafas. Berserabut! Benar-benar berserabut Azlan di
saat itu. Dia tidak tahu mahu marah atau apa diherdik dengan sebegitu rupa.
Berdiam, perempuan itu diamati lurus-lurus.
Bau harum minyak wangi yang pastinya berjenama, terasa begitu dekat dengan
lubang hidungnya. Menyengat!
Begitu juga aksessori yang menghiasi dirinya,
anting-anting berbentuk bulat besar, cincin serta gelang dan rantai panjang
jatuh di dada, kesemuanya tampak berjenama. Berkilau dipancar sinar mentari.
Dompet Gucci yang erat digenggam, memberitahu Azlan dia ini memang seorang yang
berpunya. Kelas atasan!
"Apa kau cakap dengan manager kau? Kau
tak nak bayar ganti-rugi yang aku mintak?" kata perempuan itu lagi yang
berambut 'Bob' dan keperangan.
"Maksud awak... duit yang saya calarkan
kereta awak tu? Itu... yang awak kira saya hutang? Gitu?"
Azlan bertanya sambil mata sempat melirik
aksesori perempuan itu. Teringat isterinya. Terbayang jika dia yang memakai itu
semua. Pasti isterinya akan tampak secantik perempuan itu, atau mungkin lebih
cantik.
Berkeluh Azlan di dalam hati. Sedar, dia tidak
akan mampu mengadakan itu semua buat isteri tersayang. Sedar, itu hanya akan
wujud di dalam mimpi dan khayalannya sahaja. Mengesat peluh yang merintik di
mukanya, perempuan itu kembali dipandang.
"Jadi, kau betul-betul tak mahu bayar?
Kau dah fikir masak-masak? Tak menyesal?" tanya perempuan itu lagi.
Bergerak maju mendekati Azlan. Azlan, mengundur sedikit ke belakang.
"Awak ni sebenarnya siapa nak cakap macam
gini dengan saya? Kira-kira awak ni siapa nak ancam saya? Awak cuba
cakap!" melihatkan aksi perempuan itu yang dikiranya sudah melampaui
batas, Azlan jadi marah. Diri terasa dicabar. Hilang sudah rasa cuaknya.
"Siapa aku? Kau tanya, siapa aku?"
Perempuan itu tiba-tiba tergelak. Kuat
menggema di telinga Azlan. Sehingga melambung kepalanya ke belakang dia ketawa.
Berhenti seketika kemudian, mencekak pinggang, Azlan direnung lagi.
Raut
wajah perempuan itu serta-merta berubah. Anak mata mengecil. Tajam merenung.
Menusuk! Layaknya, sikapnya di saat itu, tidak ubah seperti mahu membaham Azlan
di situ juga.
"Hey, mat! Kau tanya, aku siapa? Kau
betul nak tahu aku siapa? Betul? Kau dah bersiap-sedia? Sudah?"
Melihatkan sikap perempuan itu senada dengan
apa yang dikatakannya, hati Azlan berubah rasa. Jadi tidak enak! Dapat dia
merasakan ancaman perempuan itu bukan main-main, tetapi sesuatu yang dia harus
ambil kira. Harus dia mengambilnya secara serius!
"Tapi... " dengan berat Azlan
membuka mulut.
"Tapi?" Azlan yang belum lagi habis
berbicara, pantas perempuan itu memintas. "Tak ada tapi-tapi sini. Senang
cakap, engkau nak pendekkan cerita boleh. Engkau nak panjangkan cerita pun
boleh. Mana-mana pun boleh. Terserah pada kau. Faham? Aku sikit pun tak ada
masalah!"
Terpana! Terkesima Azlan mendengarnya.
Kata-kata yang dihamburkan, sama sekali tidak mencerminkan paras rupa. Jauh
berseberangan!. Kata-katanya jelas mengkhianati penampilannya. Bukan sahaja
kata-kata itu bernada amaran serta berbau ancaman, malah dilempar ke arah Azlan
dengan begitu sekali keras dan angkuh.
Dari pemerhatian Azlan, rona wajah perempuan
itu yang kelihatan sombong serta kata-katanya yang penuh dengan keyakinan diri,
memberitahu Azlan secara tidak langsung, dia ini bukanlah sebarangan orang.
Bukan calang-calang orang!
Azlan
yakin, pasti berdiri di belakangnya, mengelilinginya, adalah orang-orang yang mampu
meletakkan dia di dalam bahaya. Mungkin bukan sahaja dirinya, malah keluarganya
juga. Azlan dapat menghidu itu semua.
"Okeylah," Azlan akhirnya mengalah.
Berkata seperti memaksa diri dan tidak rela. "Saya mahu pendekkan cerita.
Saya tak mahu panjang-panjangkan dan buat kepala saya berserabut. Saya akan
bayar. Tapi... saya mohon awak dengar dulu apa yang saya nak cakap."
"Okey, cakap aja. Aku dengar.
Cepat!" Perempuan itu melengking.
Sinar mata Azlan menguncup. Terpaku. Kaki
serta tangan seperti diikat tidak dapat bertindak dan melakukan apa-apa.
Perempuan itu yang bagaikan sudah bersiap mahu menerkam dirinya pada bila-bila
masa, entah kenapa membuat dia berasa gementar. Jantungnya berdegup kencang.
Berdebar-debar. Lagaknya, walau apa pun sekali terjadi, perempuan itu pasti
tidak akan melepaskan dia pergi dengan begitu sahaja.
"Saya sebenarnya bukan tak nak bayar.
Tapi buat masa ini... saya betul-betul dalam kesempitan. Saya banyak masalah.
Memang banyak masalah. Saya banyak hutang sebenarnya kalau awak nak tahu.
Jadi... dengan gaji saya yang tak seberapa, nak bayar hutang sana-sini, mungkin
saya boleh bayar duit awak secara beransur. Sikit-sikit saya bayar sampai
habis. Harap awak faham, anak-isteri saya pun perlukan makan-minum."
Azlan
menunduk. Berasa malu di hujung bicara. Malu merasakan dia adalah seorang
lelaki yang gagal. Terbayang wajah anak-isteri. Terbayang masalah yang kian
bertambah, akan turut dirasakan mereka juga. Akan turut mereka tanggung beban
yang semakin menggunung di pundaknya. Mengenangkan itu semua, basah hati Azlan.
"Azlan... "
Tiba-tiba Azlan terdengar namanya dipanggil.
Diangkat mukanya secepat kilat. Terkesima! Seperti tidak percaya apa yang
sedang disaksikannya ketika itu.
Perempuan itu tadi yang berwajah seekor singa,
kini sedang menatapnya dengan pandangan selembut sutera. Bilah-bilah sinar
matanya mesra membelai. Azlan jadi hairan dengan perubahan sikapnya yang
tiba-tiba.
"Macam mana awak boleh tahu nama
saya?" tanya Azlan. Kening dalam melengkung memerhati perempuan itu yang sedang
tersenyum. Sungguh manis senyumannya.
"Saya, Sofea," beritahu perempuan
itu sambil menghulur tangan.
"Saya mintak maaf kalau tadi saya ada
berkasar dengan awak. Harap awak dapat maafkan saya."
"Maaf, tangan saya kotor," Azlan
memberi alasan, menolak untuk bersalaman.
"Jom, kita kena teh sekejap
sambil berbual," pelawa Sofea ramah.
"Errr... maaf, bukan saya tak nak. Tapi saya
ni sedang waktu bekerja."
"Jangan takut. Saya akan call manager awak beritahu saya
ajak awak minum. Jom. Ada hal penting yang saya nak cakap."
"Ada hal
penting?" Azlan memincingkan mata.
Tersenyum manis, Sofea mengangguk.