"Hai, Puteri kayangan. Apa khabar?"
Dila disambut Reno penuh mesra sebaik dia
dengan lincah melompat ke dalam perut kereta. Begitu keharuman minyak wangi
'Estee Lauder', serta-merta mengganas menguasai setiap ruang kereta Reno.
Memasang tali keledar, Reno dilirik. Reno
membalas dengan mengenyit mata sambil tersenyum. Dila tidak mengendahkan.
Seperti biasa, bibirnya miskin senyuman. Senyuman Reno dibiarkan sepi tanpa
sambutan.
"Macam biasa, khabar baik. You pulak apa
khabar?" jawab Dila, santai dan bersahaja berbasa-basi.
"I macam gini jugak. Macam semalam, macam
kelmarin. Biasa-biasa aja."
Dila mengangguk dan meleraikan pandangan. Memperkemaskan
duduk, pandangan ditujukan ke hadapan. Menyelesakan diri untuk dihantar Reno ke
tempat kerja.
Penampilan Dila seperti malam kelmarin di pub
tempat mereka bertemu. Mencolok mata! Berpakaian dress ketat pendek berwarna
merah, kasut tumit tingginya sewarna. Dompet kulit kecil Bonia berwarna hitam,
kemas berada digenggaman. Sekilas Reno memandang, kereta mewahnya lalu dipacu.
Membawa mereka berlari ke tempat tujuan.
"Apa cerita hari ni you nak hantar I ke
tempat kerja? Apa hal?" Dila membuka suara sebaik kereta Reno keluar dari
lorong rumahnya menuju ke jalanraya utama.
"Kenapa? Tak boleh ke apa I hantar? You
tak suka?"
"Bukan tak boleh. Bukan I tak suka. Cuma
I rasa pelik!" mata tertancap ke arah jalanraya, Dila mencebirkan bibir.
"You lupa ke apa? Ke you pura-pura
lupa?" tanya Reno kemudian sambil menjeling Dila.
"Lupa? Apanya yang I lupa?"
memandang Reno, Dila mengerutkan kening. Raut wajah, bayangan cerminan hatinya.
Berasa tidak senang di hati yang paling dalam.
Wajah Reno pula bersinar melihatkan Dila
begitu. Diri seperti berasa senang melihatkan perempuan yang sentiasa kelihatan
seksi itu berasa tidak senang. Pertanyaan Dila dibiarkan tidak berjawab.
Dengan
mata tetap terarah ke jalanraya, tangan kirinya dilunjur membuka 'dashboard'.
Meraba-raba, lalu mencapai sekeping sampul surat kecil berwarna putih.
"Nah, ambik ni. You lupa yang you ada
pesan I?"
Seperti mawar di jambangan yang tiba-tiba
mekar, begitulah senyuman Dila di muka saat melihatkan apa yang disodor Reno.
Dengan pantas dicapai. Meraba-raba dengan jari mulusnya, sampul surat itu penuh
hati-hati dibuka.
Mata disusup, tajam mengintip isi sampul
surat itu. Dengan bantuan sinar lampu jalanraya yang baharu sahaja bercahaya,
dapat Dila melihat dengan jelas isi kandungannya. Begitu senyumannya merebak ke
seluruh muka bagaikan api liar yang menyala.
"Sukalah tu?" usik Reno mesra.
"Suka, ye suka. Tapi... I sekarang ni
belum ada duit. Macam mana?" mengangkat muka memandang Reno, Dila
bertanya.
"Bila-bila pun you boleh kasi,"
jelas Reno tenang tanpa memandang Dila, "tak kasi pun tak apa."
"Tak kasi pun tak apa? You biar betul?
Ini you ikhlas, ke sebenarnya you menggiat?"
"Agak-agak you mana satu?"
"Mana I tahu? Kalau I tahu untuk apa I
tanya you?"
"Tak apa, I kasi you pilih."
"Kalau nak ikut pilihan I, dah tentu nak
you ikhlaskan I tak payah bayar."
Memaling memandang Dila, senyuman manis Reno
titipkan. Pantas atas-bawah Dila dipandang. Ke arah jalanraya kembali ditujukan
pandangan sebentar kemudian.
"I ikhlas," lirih Reno, "kalau
you ingat nak kasi, you kasi. Kalau you ingat tak nak kasi, terserah pada you.
I tak kisah. I ikhlas."
"Betul ke apa yang you cakap ni?"
"Betul! Benda tak seberapa, untuk apa I
nak berkira dengan you? Dan kalau you nak tahu, I sebenarnya bersusah-payah
carikan. Tapi, kerana you, I tak kisah ni semua. Untuk you kawan lama I, ini
semua bagi I tak ada apa-apa."
Dila menjuirkan bibir seperti mengejek.
"Betul ye, you cakap ni? Bukan main-main?"
"Jaminan yang macam mana lagi yang you
nak? Tak percaya ke dengan apa yang I cakap? You cuba cakap, biar I tahu."
"Betul yang you bersusah-payah pergi
cari?"
"Ye, betul tak bohong," tegas Reno.
Dila berdiam seketika. Reno dipandang
lurus-lurus. "Betul ikhlas tak payah bayar?"
"Nyawa I beri jaminan. Puas hati?"
"You jangan pulak nanti di belakang hari
you ungkit-ungkit ye. Siap nanti you, I kerjakan!"
"Ungkit di belakang hari? Eh! You tak
tahu ke yang I selama ni murah hati? Tak tahu?" begitu ketawa Reno pecah.
Terkekek-kekek. Menggema perut kereta dengan ketawanya.
Dila hanya berdiam. Sama sekali tidak terasa
ada hati untuk turut ketawa bersama. Di hati yang dalam tidak dapat menafikan,
Reno yang selama ini dikenalinya, adalah seorang yang sangat pemurah. Bermurah
hati dengan dirinya, juga dengan sesiapa di sekelilingnya.
Dikalihkan arah pandang ke jendela kereta.
Mendongak, langit malam yang baharu sahaja bertandang, pandangan Dila tujukan.
Di hati yang dalam berbisik, betapa dia berharap, menginginkan sangat,
gelak-ketawa Reno adalah gelak ketawanya juga. Namun dia sedar, Reno lebih senang
bergelak-ketawa sendirian. Tidak akan mahu berkongsi kebahagiaan dengan
dirinya. Selamanya!
Wajah Sofea menerkam pandangan. Rakan niaga
Reno yang dia sendiri perkenalkan kepadanya, pernah bertemu sekali-dua, entah
kenapa sangat dibenci Dila. Sepertinya, dia berasa tidak senang Reno berkawan
rapat dengan Sofea, walaupun Dila tahu antara mereka berdua, tidak punya
apa-apa hubungan intim yang berlangsung.
"Dila," panggil Reno beberapa saat
setelah ketawanya reda, "untuk apa I nak berkira dengan you? Untuk apa?
Selama kita berkawan, pernah ke you tengok I ni berkira? Pernah?"
"Ye, itu I tahu! I tahu you selama ini
tak pernah berkira."
"InsyAllah, tidak akan pernah, Dila.
Selagi I mampu, selagi I ada, I tak akan berkira. Baik dengan you, atau pun
dengan sesiapa. Duit, kita tak kan bawak mati."
"Baguslah kalau gitu," ujar Dila
tanpa memandang Reno.
"Dila, permata yang jatuh ke lumpur,
tetap permata. Nilainya tetap sebutir permata."
Dila
hanya mengangguk mengiyakan. Faham sikap Reno, dan faham maksud kata-kata itu.
Dila cukup kenal siapa diri Reno yang sebenar. Mengenalinya sejak dia masih
lagi bergelandangan hampir enam tahun lalu.
Tidak sampai pun lima belas minit perjalanan
dari Skudai, rumah Dila, hotel Blue Wave, tempat kerja Dila yang terletak di
kawasan Stulang Laut, menyambut mereka. Di hadapan lobi hotel itu, Reno
memberhentikan kereta.
Sampul surat yang diberi Reno, kemas-kemas
Dila selitkan ke dalam dompetnya. Mengangkat muka, Reno ditatap. Mata redup
Reno yang sedang memandangnya, Dila renung. Sebentar sinar mata mereka bagaikan
berbicara.
"Terima kasih, Reno. I pergi dulu,"
berat suara Dila meminta diri.
"Sama-sama. You hati-hati. Jaga diri
baik-baik. Apa-apa yang you perlu nanti, jangan lupa contact I."
"Tentu. Ada masa kita jumpa lagi. Dan
kalau ada apa-apa urusan yang you nak I selesaikan, beritahu I awal."
"Itu sudah pasti. Ada apa-apa urusan
yang sesuai untuk you nanti, I akan beritahu awal. Jumpa lagi. Kerja
baik-baik."
Dila mengangguk. Walaupun sebenarnya di hati
yang paling dalam ada rasa tidak senang dengan Reno, namun pada masa yang sama
diri terasa begitu berat mahu menghayun langkah pergi meninggalkannya.
Dipaksakan.
Reno
memerhatikan Dila melewati lobi hotel itu sehingga dia hilang dari pandangan.
Keharuman minyak wangi Estee Lauder yang masih lagi menyengat ditinggalkan
Dila, bagaikan sahaja memesan Reno, jangan pernah lupa akan dirinya. Juga
jangan pernah lupa, cintanya terhadap Reno sentiasa mekar.
Jam tangan dilirik Reno. Sudah hampir ke
pukul 7.45 malam. Teringat Sofea. Pasti dia sudah menunggu di tempat yang
dijanjikan, di lobi hotel Eden, di Stulang laut juga. Memasang gear tanpa
lengah, berdesup Reno seperti pelumba kereta ke tempat tujuan.