Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 27

BARU tiga hari menetap di rumah umi dan abahnya, Aril mengajak Hannah pindah ke rumah mereka sendiri. Katanya dia mahukan hidup berdikari dan dambakan privasi. Aneh-aneh saja Aril ni. Terdetik di dalam hati Hannah ingin tahu rumah siapa yang dimaksudkan Aril. Rumah Aril sekwatu bujang ke? Tapi tidak mungkinlah. Bilik Aril terlalu sempurna untuk dia tinggal di rumah sewa.

Di dalam kereta, Hannah hanya mendiamkan diri. Dia sendiri tidak tahu kemana Aril mahu membawanya walaupun sudah berkali-kali dia bertanyakan Aril. Lebih baik dia melayankan diri daripada bertekak dengan Aril. Dengan Aril, dia pasti tidak akan menang. Lelaki itu ada saja caranya untuk mematikan kata-katanya.

Teringat segala pesanan umi kepadanya sebelum mereka berangkat pergi tadi. Kata umi, gelaran seorang isteri itu tidaklah hanya termaktub dalam surat nikah sahaja. Bukan hanya keperluan suami harus disediakan tetapi suami isteri harus melengkapi satu sama lain. Salah faham itu biasa tetapi jangan dijadiakn kebiasaan. Masalah suami isteri, janganlah berlarutan malah duduklah berbincang untuk mencari jalan penyelesaian.

Hannah tertanya diri sendiri. Bersediakah dia untuk menjalani perkahwinan ini? Memang dia terima untuk menjadi isteri Aril tetapi hatinya belum mampu untuk ungkap cinta kepada Aril. Mampukah dia mencuba?

Melihat Hannah tidak berganjak dari tempat duduknya, Aril membuka pintu dan mencapai tangan Hannah. Dia memimpin Hannah keluar dari kereta dan kini mereka berdiri di hadapan rumah itu.

“Rumah siapa ni?”.

“Rumah kitalah sayang,” jawab Aril ringkas namun jelas untuk Hannah fahami bahawa di sinilah dia akan melayari hidup barunya.

Hannah menolong Aril mengangkat beg-begnya dari but kereta. Selesai sudah mengangkat kesemua begnya ke dalam rumah, Hannah tercegat berdiri memandang sekeliling. Inikah rumah yang bakal dia tinggal berduaan bersama Aril? Dari hari pertama dia bernikah, kejutan demi kejutan dia dapat. Dia memandang Aril yang sedang berpeluk tubuh memandangnya. Aril memang lelaki yang tidak boleh dijangka.

“Awak ni pindah rumah ke pindah negeri?” ngomel Aril, memunggah beg-beg dari kereta.

Hannah mendengus.

Hannah mempersilakan diri sendiri untuk melihat rumah itu. Mulai hari ini, inilah rumah yang akan menjadi saksi kepada rumah tangga dia dan Aril. Melayari bahtera rumah tangga, menjadi tunggak cinta mereka.

Dia tidak boleh membayangkan hidupnya sekarang ini. Menjadi isteri kepada Aril. Namun, dia bukan sesiapa untuk mempersoalkan takdir. Mungkin Aril sudah tertulis untuknya sejak kali pertama dia berjumpa dengan Aril di Bali.

Aril mengajak Hannah menaiki ke atas untuk menunjukkan bilik mereka.

“Awak, bilik saya dekat mana?” tanya Hannah sebaik saja Aril sudah berada di lantai yang sama dengannya.

“Yang hujung tu,” Aril menunjukkan ke arah bilik yang dimaksudkan.

“Bilik awak?”

“Yang hujung tu juga,” jawab Aril selamba. Kemudian dia menyambung, “Saja kan nak uji saya?”

Hannah tergelak. Sekali-sekali, mahu juga dia mempermainkan Aril. Asyik dia saja yang dikenakan setiap masa.

“Bila awak beli rumah ni?” tanya Hannah. Rasanya bentuk rumah ini agak lain daripada rumah-rumah yang lain.

“Lama dah. Cuma tak ada teman nak tinggal sini.”

“Awak yang hias rumah ni ke?”

Aril menggeleng. “Ingat tak lelaki Cina yang saya bawa pergi kafe dulu? Ini kerja Mr.Vincentlah. Tapi arkitektur rumah ni, saya yang reka.”

“Patutlah...”

“Patutlah apa? Awak tu lambat sangat nak mulakan kerja dengan papa. Kalau tak saya dah ambil awak kerja untuk hias rumah ni.”

Hannah meneroka bilik itu. Dia suka dengan hiasan bilik ini. Sangat mententeramkan jiwa. Pandai Aril menghias dan mengubah rumah ini. Jika selama ini, dia mahu menghias rumahnya sendiri, kini dia tidak usah lagi. Serumah dengan lelaki yang bekerja sebagai arkitek membuatkannya terpegun dengan binaan rumah ini. Unik.

“Pintu ni, pintu bilik apa?” tanya Hannah.

“Bilik ni, kalau awak masuk awak tak boleh keluar balik.” Tipu Aril, selamba.

Hannah menggaru kepala yang tidak gatal. Kalau begitu, untuk apalah Aril buat bilik ini? Namun keinginan hati untuk tahu melebihi segala hal yang berada di fikiran.

“Saya gurau sajalah. Bilik ni saya reka khas untuk awak.” Aril menolak pintu gelangsar itu dan mengajak Hannah masuk.

Hannah memandang Aril tidak percaya. Bilik pakaian yang dia idamkan selama ini menjadi kenyataan? Bagaimana Aril tahu yang bilik pakaian ini adalah bilik idamannya?

“Tapi kan awak, baju saya tak adalah banyak sangat sampai boleh isi semua almari ni.”

“Tak apalah. Kalau awak merajuk, sekurang-kurangnya ada juga tempat awak sembunyi kan?” gurau Aril, tergelak. Hannah tergelak sama mendengar cadangan mengarut Aril.

“Aril, saya setuju jadi isteri awak bukan sebab harta atau kemewahan yang awak ada. Saya...”Hannah mengambil nafas. Sukar untuk meluahkan isi hati kepada orang yang kita tidak berapa kenal kan? “Saya perlukan masa untuk kenal hati awak, untuk cintai awak.”

Cinta adalah perasaan indah yang tidak ternilai walau ditukar dengan wang ringgit. Perasaan itu terlalu halus untuk ditafsirkan. Kita mungkin tidak sedar entah bila masanya kita sudah jatuh hati tetapi saat ia mula menyelami jiwa, percayalah tiada yang lebih indah daripada dicintai.

“Saya akan tetap tunggu dan saya akan sentiasa di sini. Having you as my wife is the best thing that has happened in my life.” Aril berjanji, meneliti Hannah Natasha yang sudah sah miliknya. Penat dia berlari mengejar Hannah dahulu namun semua itu berbaloi saat Hannah menyarung cicin, memegang pangkat isteri kepadanya.

“Jadi, lepas ni awak masih nak terus kerja dekat kafe tu lagi?” Aril bertanya.

Hannah mengganguk.

“Okey. Cuma boleh tak minta Haikal tukar awak syif pagi? Saya nak awak ada dekat rumah bila saya balik kerja. Dan...kalau awak tukar fikiran, awak nak gunakan sijil awak tu, bilang aje saya. Saya boleh recommend awak kepada kenalan saya. They are all top shots company, inclusive papa’s company.

“Awak ni kerja apa sebenarnya Aril? Takkanlah arkitek biasa boleh ada kenalan syarikat hebat antarabangsa?” Hannah agak musykil dengan jawapan Aril. Malah kalau dilihat umi dan abah juga mereka tidak kelihatan seperti calang-calang orang.

Namun, dia bersyukur kerana keluarga Aril tidak sombong meskipun mereka berada. Cara mereka melayan tetamu di majlis perkahwinan Hannah dan Aril tempoh hari saja menunjukkan sikap rendah diri mereka. Yang paling penting, hubungan antara mertuanya dan papa sangatlah baik.

“Dalam bidang ni, kita mestilah lebarkan sayap Hannah. Kalau malu untuk ke hadapan, sampai bila-bila pun tak akan maju.”

“Oh ya, saya nak tanya awak sesuatu. Haikal tu kan kawan baik awak tapi kenapa awak tak jemput dia ke majlis perkahwinan kita?” Hannah beralih topik.

“Saya akan beritahu awak bila sampai masanya. Buat masa ni, bila awak pergi kerja buat aje macam biasa. Tapi jangan bagi dia menggatal lebih sangat dengan awak ya.” Ujar Aril, memberi Hannah peringatan.

“Tengoklah macam mana.” Acuh tak acuh Hannah menjawab, ingin melihat respons Aril. Sengaja dia berlagak selamba berkata begitu.

“Tak apa, saya orangnya penyabar. Saya tak cepat melatah.” Kata Aril, tidak terasa dengan jawapan Hannah. Nak main-mainkan orang ya? Hah, ambil balik.

Hannah tertawa senang mendengar kata-kata Aril. Sajalah tu Aril hendak menunjukkan yang dia itu seolah-olah lelaki yang paling memahami di dunia. Dengan ekspresi wajah yang bersahaja, Aril memang pandai berlakon. Aril memang hebat bab mengambil hati wanita.

Memandangkan Aril sedang mengendalikan satu projek besar buat masa ini, Aril memohon maaf kerana bulan madu terpaksa ditangguhkan. Hannah tidak kisah, dia hanya menurut. Tidak menggesa mahupun memaksa.

Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.