Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 23

HANNAH merapikan dirinya di hadapan cermin. Hari ini, dia disuruh Haikal untuk menemaninya ke reunion kawan-kawan sekolahnya. Puas dia menolak tetapi Haikal tetapi memujuk. Kalau sudah berkawan dengan Aril, sedikit-sebanyak terikut juga perangai memaksa Aril tu. Mahu tidak mahu dia terpaksa ikut.

Telefon bimbitnya yang berbunyi menandakan ada mesej yang masuk. Hannah membacanya sekali lalu sebelum mencapai beg tangannya. Haikal sudah menunggu dia di depan rumah. Laju dia menuruni anak tangga kerana tidak mahu bosnya menunggu lama. Ya, dia masih beranggapan yang dia keluar bersama bos dan bukan teman mahupun yang lain-lain.

“Nak pergi mana tu Hannah?” tegur Encik Nizam melihat anak gadisnya tergesa-gesa keluar.

“Hannah nak keluar sekejap pa,”

“Dengan siapa? Aril?” tanya Encik Nizam. Anak daranya hanya ada satu, jadi haruslah dia awasi agar tidak ada perkara buruk yang terjadi.

“Err...tak. Dengan bos Hannah, Haikal.” Serba salah Hannah menjawab. Dia boleh mengagak apa yang bakal keluar dari mulut papa selepas ini.

“Kan senang kalau dah ada berkahwin. Nak keluar pun tak ada orang nak halang, nak pimpin tangan pun tak siapa boleh mengata. Dapat pahala lagi.” Encik Nizam memberi sepatah dua kata. Berharap ianya boleh merubah keputusan Hannah.

Hannah sekadar tersenyum. Dia menyalam papanya dan keluar dari rumah itu.Dia tidak faham mengapa papa bagaikan beria benar mahu dia berkahwin dengan Aril. Apa yang dipandang sangat Aril itu di mata papa? Selama dia mengenali Aril, Aril tidak menunjukkan sebarang tanda yang dia boleh menjadi suami kepada seorang isteri. Yang dia pakar, hanyalah untuk menyakitkan hati Hannah.

“Maaf, saya lambat. Papa borak sikit tadi.” Hannah meminta maaf sebaik sahaja dia memasuki kereta Haikal.

“Oh, papa awak ada dekat rumah ke?”

“Ha’ah. Kenapa? Awak nak jumpa dia?” Hannah sengaja menguji, mahu melihat sejauh mana lelaki ini tulus mahu berkawan dengannya.

“Eh, tak apalah. Lain kali sajalah,” tolak Haikal, segan. Dia sebenarnya belum bersedia lagi untuk berhadapan dengan papa Hannah. Mahu mengaku suka kepada Hannah pun dia belum berani lagi.

Hannah tersenyum kelat. Agak terkilan dengan jawapan Haikal. Teringat kata-kata papa tentang Aril. Kata papa, Aril seorang yang ikhlas kerana dia berani memperisterikan Hannah meski baru mengenal Hannah. Papa lebih suka begitu kerana dia tidak mahu Hannah ke hulur ke hilir tanpa ikatan yang sah. Jika sudah suami isteri, lainlah ceritanya. Hannah mengeluh kecil. Payahnya membuat keputusan! Tersepit antara kemahuan papa dan dirinya sendiri.

BERADA di antara manusia-manusia yang tidak dikenali membuatkan Hannah ingin saja meninggalkan tempat ini. Haikal pergi berjumpa dengan temannya seketika. Tinggallah dia di sini sendiri. Hish, kalau tahulah macam ni, tak ingin dia ikut. Duduk rumah lagi seronok. Boleh guling-guling baca novel.

Tiba-tiba suasana menjadi riuh dan bising. Hannah berpaling. Sudah kenapa orang-orang berkerumun di situ. Ada VVIP datang ke? Ataupun Adi Putra? Kalau Adi Putra, mahu juga dia menyelit di tengah-tengah. Matanya sedang fokus mencari punca kekecohan tersebut apabila dia melihat Aril di situ. Zafril punca mereka riuh sekampung?

Suasana kembali tenang apabila Aril mengambil tempat sedikit jauh dari orang ramai. Di situlah pandangan empat mata bertaut menjadi satu. Terdetik di hati Aril mengapa Hannah berada di reunion sekolahnya. Adakah Hannah juga sama sekolah dengannya? Namun, hatinya bagai dikelar apabila melihat Haikal mengambil tempat duduk di sebelah Hannah.

Aduhai. Macam mana pula Aril boleh ada dekat sini? Memanglah dia tahu yang Haikal dan Aril itu berkawan rapat tetapi tidak tahu pula yang Aril ini satu sekolah dengan Haikal. Hannah bertambah menyesal dengan kedatangannya ke sini. Dia bagaikan rusa masuk kampung, sungguh!

Apabila para alumni dipanggil untuk bermain sebuah permainan, Hannah berkeras mahu menunggu Haikal di situ. Dia tidak mahu ikut serta dalam acara itu. Andai dia boleh angkat kaki, sudah lama dia meninggalkan tempat ini. Ketika dia menemani Aril, tidak pula Aril meninggal-ninggalkan seperti ini. Sedar yang fikirannya sudah jauh tersasar, dia cepat-cepat mematikan lamunannya. Buat apalah fikir tentang lelaki itu?

“Jom ikut saya.” Suara itu mengejutkan Hannah. Bagaikan mahu terlurut jantungnya. Bukankah semua orang telah menytertai permainan itu. Mengapa Aril masih ada di sini?

Hannah menggeleng-geleng kepala, seraya memberi jawapan kepada soalan Aril.

“Jom...”

“Nak pergi mana?”

Sedar yang Hannah tidak akan berganjak, Aril mengambil beg tangan Hannah, memegang tangan Hannah di bahagian ia dilapik dengan baju, mengajak gadis itu mengikutinya

“Eh awak nak pergi mana ni, nanti Haikal cari saya lah.” Meronta-ronta Hannah minta dilepaskan. Sudahlah begnya diambil Aril. Kan sudah dia kata, ikut suka hati dia saja memaksa orang.

“Masuk.” Arah Aril membuka pintu kereta bahagian pemandu. Pintu untuk Hannah langsung tidak dihiraukan.

“Saya tak naklah. Bagi balik beg saya tu.” Pinta Hannah dengan cubaan merampas kembali begnya tetapi gagal.

“Masuk dulu.” Arah Aril tegas.

Hannah memasuki kereta itu dalam keterpaksaan. Begnya menjadi mangsa di dalam hal ini. Memanglah dia mahu pulang tetapi bukan dengan Aril! Masuk saja dia ke dalam kereta, dia menghempas pintu itu kuat. Tanpa berlengah, Aril mengunci pintu itu supaya Hannah tidak boleh keluar.

“Kalaulah kereta saya ni dibuat dengan plastik, mesti dah hancur lebuh dek dihempas kuat.” Sindir Aril memandang Hannah.

Namun, gadis itu tidak menghiraukan kata-katanya. Wajahnya jelas marah dengan Aril.

“Beg saya mana? Bagi balik!”

“Awak tau tak awak perempuan yang paling beruntung sebab saya tak pernah bawa beg untuk mana-mana perempuan. Saya tak pernah buat begitu pada sesiapa. Awaklah yang pertama.” Luah Aril, menyedarkan Hannah betapa bertuahnya dia. Orang sudah merajuk, haruslah kita ambillah hati dia sikit.

Hannah mendengus dan menjeling. “Tak ada siapa pun suruh ambil beg saya.”

Aril tertawa kecil mendegar jawapan Hannah.

“Awak tambah comel bila awak marah.” Usik Aril, membuatkan Hannah lebih panas hati.

Ini sudah dikira culik! Sudahlah dia ikut tanpa rela, ini mahu memaksa pula. Ah, geram dia dengan Aril ni. Tadi di majlis ini, dia kerumuni perempuan keliling pinggang. Lelaki semacam itu mahu dijadikan suami? Jangan nak bermimpilah!

Aril memandu keluar dari tempat letak kereta tersebut. Hannah tambah risau. Bagaimana jika nanti Haikal mencarinya dan dia tiada? Habislah dia nanti! Ini semua salah Aril.

“Awak nak bawa saya pergi mana ni?” gesa Hannah tidak sabar.

“Relakslah. Saya tak akan apa-apakan awak. Saya tak sukakan tempat yang ramai orang dan saya pasti awak pun terasa tersisih kan?” Aril berteka. Dia boleh lihat dari raut muka Hannah. Dia ke reunion tersebut setelah didesak rakan-rakannya. Jika ikutkan, memang orang-orang tidak akan melihat dia di majlis begitu.

“Kalau tak nak bagi beg, bagilah telefon. Saya nak bilang Haikal, saya dah balik.”

“Tak penting pun...”

“Eeii, awak ni kan!” tangannya sudah berada di awangan. Ingin saja dia hadiahkan buku lima kepada Aril. Yang berada di keadaan sulit ini adalah dia, senanglah untuk Aril kata tidak penting.

“Tangan tu nak buat apa tu? Nak tumbuk ke nak belai pipi saya?” Aril menunjuk jari ke tangan Hannah, menyakitkan lagi hati yang sedia terbakar itu.

Hannah melepaskan nafas berat. Sungguh, dia tidak tahu harus apa lagi dengan Aril. Orang bersungguh-sungguh marah, dia boleh berlawak pula. Gila agaknya dia ni! Tak faham perasaan orang betul. Sabar sajalah dengan lelaki ini.

Setelah itu, kereta itu dihuni sepi. Tiada seorang di antara mereka yang membuka mulut untuk berbicara. Iyalah, asal buka mulut pasti bergaduh tetapi kalau senyap begini, bosan pula. Aril melirik ke arah Hannah yang kelihatan gelisah.

Sudahnya Hannah melentokkan kepalanya di cermin kereta. Tidak tahu kemana arah tuju Aril kali ini. Suka-suka hati dia saja mahu mengajak dia kesana kemari. Pergi dengan Haikal, pulang dengan Aril pula. Dia sedang membayangkan Haikal yang sedang panik mencarinya merata-rata. Terbit pula perasaan bersalah kerana meninggalkan Haikal begitu saja. Ini semua salah Aril.

“JOM turun.” Suara Aril mengejutkan Hannah dari lamunan.

Hannah memandang luar tingkap. Mereka berada di perkarangan masjid Putrajaya.

“Kita Maghrib dekat sini dulu ya.” Aril mengajak, lembut dan tidak memaksa. Tidak seperti tadi.

Hannah mengganguk malu. Malu kerana sudah terlanjur memarahi Aril tadi. Rupa-rupanya Aril mahu mengajak dia ke masjid untuk bersolat Maghrib. Menyesal dengan kata-katanya tadi. Sebaik sahaja Hannah keluar dari kereta, Aril membuka kompartmen di tempat duduk penumpang untuk mengambil songkok lipat yang disimpan di situ.

Melihat Aril memakai songkok bagaikan berdiri di hadapan Aril yang berlainan. Bagai bukan Aril yang tadi. Sedikit sebanyak, hati kecil Hannah terusik dengan sikap Aril. Dia sedar dia tidak seharusnya mempersoalkan niat Aril ke sini kerana niat kita, hanya ALLAH saja yang tahu.

Tiba di tangga, mereka berpecah untuk ke ruang solat masing-masing. Aril sempat memesan supaya tunggu di tempat yang sama. Katanya lagi, Hannah pasti tidak boleh lari dari dia kerana beg tangan Hannah masih ada di dalam keretanya. Tengoklah tu. Baru hendak berbaik, disakatnya lagi. Tambah geram Hannah dibuatnya.

Untung mereka dapat berkesempatan untuk bersolat Maghrib berjemaah. Usai solat, Hannah memanjatkan doa. Dia bermohon agar diberi petunjuk andai benar Aril adalah jodoh yang tepat buatnya. Doa senjata orang Islam. Bukan sahaja dalam waktu kesusahan tetapi setiap masa kerana doa itu lebih baik daripada kata-kata.

Andai terlihat seseorang yang tidak elok kelakuannya, janganlah mengata dan menghina, malah doakan agar dia diberikan taufik dan hidayah untuk berubah suatu hari nanti. Doa kita mungkin tidak dimakbulkan dengan segera tetapi ALLAH sentiasa mendengar. Maka dengan itu, janganlah berputus harapan denganNYA.

Hannah agak tersentuh dengan perilaku Aril yang menjaga solatnya. Yang setiap wanita harapkan pada seorang lelaki untuk dijadikan suami adalah seorang imam. Melihat Aril menunggunya di tempat tadi, dia mempercepatkan langkah.

“Maaf, buat awak tunggu.” Ucap Hannah menghadiahkan sebaris senyuman ikhlas buat Aril. Tanda terima kasih barangkali.

Aril turut tersenyum dan mengajak Hannah ke kereta. Hannah bertutur dengan sopan santun dengannya tadi. Mungkin kerana baru selesai solat. Maksudnya, dia harus menunggu selepas Hannah solat setiap kali untuk berbual dengan Hannah? Biar tidak gaduh-gaduh dan perbualan mereka aman-aman sahaja? Pelik Hannah ni.

“Nak ke mana pula? Hantar saya balik ke?”

“Awak lapar?” Aril tidak menjawab soalan Hannah malah ditanya kembali soalan lain.

“Lapar.” Hannah menjawab laju.

Kemudian Aril tergelak, membuatkan Hannah tertanya-tanya.

“Kenapa? Apa yang kelakar sangat?” berkerut dahi Hannah ingin tahu.

“Saya tanya awak, papa awak apa khabar bukannya awak lapar ke tidak...” kata Aril dengan tawa yang bersisa.

Hannah tercenggang. Alamak! Betul ke? Tapi bukankah Aril bertanya jika dia lapar? Hish, malu betul! Tidak pasal-pasal dia mengadu lapar dengan Aril. Pasti Aril fikir yang dia saja mahu meluangkan lebih masa bersamanya. Aduhai!

Lama terdiam, barulah Hannah menjawab. “Tapi saya yakin awak tanya saya lapar ke tidak. Bukannya pasal papa...”

Hannah membela diri, tidak menerima kekalahannya ini. Sakit hati dia melihat Aril tersenyum sumbing. Entah apa-apa saja yang berada di dalam fikiran Aril sekarang.

“Saya gurau ajelah. Kita nak makan dekat mana?” ujar Aril, membuatkan Hannah sedikit lega. Kurang asam punya Aril. Suka sangat mempermainkan orang.

“Awak ni kan! Hish!” Hannah memukul tangan Aril geram, tepat mengena lengan Aril.

“Aduh, apa ni. Eh saya tengah memandu lah,” rungut Aril, menggosok-gosok tangannya yang dipukul Hannah. “Cepatlah, kita nak makan dekat mana ni? Your choice.

“Saya tak kisah kat mana saja.”

“Okey.” Aril sudah mendapat idea ke mana harus mereka pergi. Penatlah jika ingin bermain tanya-menanya tidak henti mahu makan ke mana. Salah seorang harus membuat pilihan.

Terlupa terus tentang Haikal yang sedari tadi bermain di minda. Mengapa dengan Haikal dia terasa bagai ada penghadang di antara mereka tetapi bersama Aril, dia bebas berbual. Nyata, dia lebih selesa dengan Aril meskipun lelaki itu sudah banyak meninggalkan luka di hati.

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.