Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 4

KEESOKKAN harinya, mereka ke tempat-tempat bersejarah di Bali. Selepas itu, mereka ke Monkey Forest. Pendek kata, hutan yang dipenuhi dengan monyet-monyet berkeliaran. Mulanya apabila Lia memberitahu mereka akan ke sana, Hannah menolak mentah-mentah kerana takut, tetapi apabila dipujuk akhirnya dia bersetuju.

Sebelum masuk ke Monkey Forest, Lia sudah diberi amaran untuk tidak meninggalkannya seperti semalam. Semalam hanya secara kebetulan dia bertemu dengan lelaki itu, hari ini, dia tidak tahu lagi. Menyebut tentang lelaki itu, sampai sekarang dia tidak tahu lagi nama sebenar lelaki itu. Asyik berawak-saya saja modalnya. Biarlah. Dia pun tak tanya nama Hannah.

Masuk saja ke Monkey Forest, Hannah melihat banyak monyet berkeliaran. Perasaan takutnya melebihi segala-galanya. Jalan setapak, dia disambut dengan monyet-monyet. Lemah jantung dibuatnya. Oleh kerana terlalu takut, dia menggengam kuat lengan Lia, tidak mahu melepaskannya.

Lia tidak dapat menahan gelak melihat reaksi Hannah yang takut itu. Memandangkan dia sudah sering ke sini, dia tahulah sedikit sebanyak tentang monyet-monyet ini. Asal jangan diberi makan, dia akan selamat. Lucu betul Hannah yang terjerit-jerit kerana monyet berkeliaran sekeliling dia. Mukanya yang memerah serta mata yang ingin menahan nangis itu sangat comel. Namun, setelah melepasi itu semua, pemandangan di dalam sangat indah.

Setelah penat menjerit-jerit kerana monyet, mereka mengisi perut yang lapar dah tekak yang dahaga. Habis suara Hannah memekik. Sempat dia meminta belas kasihan monyet itu supaya tidak menggangunya. Aneh-aneh saja si Hannah ini! Sampai saja di restoran itu, mereka terus memesan makanan. Apabila sudah lapar, semuanya tampak sedap. Setiap kali membuat pesanan, airnya pasti Teh Botol sehingga Lia pun pelik dengan Hannah. Naik bosan dia melihat Hannah meminum Teh Botol. Apa yang sedap sangat pun dia tidak tahu.

Hannah terdetik, selama tiga hari dia berada di situ, pasti dia terserempak dengan lelaki itu namun tidak pada hari ini. ‘Eh, kenapa aku tiba-tiba fikir pasal dia ni? Semakkan fikiran aje.’Cepat-cepat dia membuang perasaan itu. Kalau jumpa asyik bergaduh nak buat apa.

“Hoi termenung!” Lia mengetuk meja sekaligus mematikan lamunan Hannah. Tersentak Hannah dengan bunyi yang mengejutkannya itu. Dia mengerut dada, mujur tidak dapat serangan jantung.

“Buat macam tu sekali lagi, aku hentak kepala kau nanti.” Hannah merungut marah.

“Alah sorrylah. Habis tu daripada tadi aku bercerita, tahu-tahu aku berbual sendiri. Geram aku.”

“Kau cakap pasal apa?”

“Ingat tak aku pernah cerita pada kau pasal kawan aku yang kahwin umur 20 tahun tu?” Lia menanya. Setelah melihat kepala Hannah mengganguk barulah dia menyambung ceritanya kembali.

“Dia sekarang dah mengandung. Seronok kan! Bahagia dah aku tengok dia sekarang. Sekurang-kurangnya, dia gembira walaupun kena kahwin dengan pilihan keluarga.”

“Umur lebih muda dari aku dah kahwin? Hebat! Lia,kau cuba bayangkan kalau akulah berada di dalam situasi dia...” Hannah mula berangan. Andai betul terjadi, dia terpaksa berkahwin dengan pilihan keluarga pada umur 23 tahun ini, tidak tahulah macam mana.

Memanglah dia bercita-cita hendak kahwin muda tetapi kalau betullah terjadi, bagaimana agaknya nasibnya. Dengan lelaki tak kenal? Bagaikan tinggal di dunia asing berdua. Hish, jangan nak fikir bukan-bukan Hannah!

PETANG itu, Lia mendera Hannah dengan menghabiskan wangnya. Apa lagi jika bukan membeli-belah. Jika kelmarin mereka ke pasar Kuta, hari ini mereka akan ke gedung membeli-belah. Ianya menjual barangan tradisional dan kraftangan Bali, baju-baju, makanan ringan, buah tangan dan macam-macam lagi. Yang paling penting, harga di situ adalah harga tetap. Tidak perlu berdebat untuk mendapatkan harga yang murah.

Teruja Hannah melihat barang-barang di situ. Harganya jauh lebih murah berbanding dengan harga yang di pasar Kuta. Maklumlah, ramai pelacong yang akan singgah ke pasar Kuta itu. Rambang mata dia melihat baju-baju yang teramat murah jika ditukar ke wang ringgit Malaysia. Hanya di dalam satu gedung, dia boleh dapat bermacam-macam barang untuk mak Mah, papa dan abangnya. Seronok bagaikan anak kecil!

“Aku kalau tinggalkan kau dekat sini lepas tu malam aku ambil balik belum tentu kau dah keluar kan!” perli Lia apabila melihat Hannah yang sakan berbelanja.

Dia sudah masak dengan perangai Hannah ini. Hannah bukannya jenis yang suka membeli-belah. Keluar rumah jarang sekali. Dia lebih selesa duduk di rumah, melayan drama-drama dan membaca buku. Payahnya mengajak Hannah keluar, hanya Tuhan saja yang tahu. Dia hanya akan keluar jika ada perlunya atau terasa seperti mahu berjalan-jalan.

Puas hatinya apabila sudah mendapat barang-barang yang dia mahu. Bukan selalu dia berbelanja begini. Daripada satu gedung, Lia mengajak Hannah ke gedung lain walaupun ditolak Hannah. Buatnya duitnya habis hari ini, esok-esok gigit jarilah nampaknya.

LIA memarkir keretanya agak jauh sedikit dengan pasar Sukawati. Hannah menyerah, katanya dia hanya akan cuci mata saja selepas ini. Sepanjang jalan, Hannah diusik dengan lelaki-lelaki yang menjaga kedai itu. Bukannya satu tetapi berderet dan sepanjang jalan itu jugalah dia diberi salam. Salam mereka dijawab satu-persatu, membuatkan Lia tertawa.

“Untung kau! Semua orang suka. Aku tinggal dekat sini dah lama dah, tak ada satu pun usik aku. Bab kau aje, Assalamualaikum sepanjang jalan.” Lia sekadar mengusik. Tidak hairanlah jika lelaki suka melihat wajah cantik Hannah ini.

“Kau jangan nak macam-macam ya. Aku kan pelancong, nanti apa pula kata mereka. Kau nak yang mana satu, mari aku tolong tanyakan,”

“Aduh, manisnya senyumannya...” puji seorang lelaki.

Hannah tertunduk tersenyum. Mahu tergelak pun ada. Dia tidak selesa sebenarnya namun apakan daya. Senyum sajalah. Namun tiada siapa dapat menduga apa yang akan terjadi. Hampir-hampir Hannah terjatuh dek jalan yang licin.

Hannah dan lelaki itu sama-sama terkejut. Untuk menghilangkan rasa kalut, Hannah tertawa. Sememangnya, begitulah dia. Kalau orang terjatuh, dia ketawa. Kalau dia terjatuh, dia juga akan mengetawakan dirinya. Pelik bagaimana dia tergelincir walhal dia memakai kasut. Apabila diberitahu ke Lia, apalagi, Lia gelak tidak ingat dunia!

TERASA cepat betul masa berlalu. Apabila kita sibuk melakukan sesuatu perkara, kita tidak akan sedar dengan masa yang bergerak. Selama dia berada di Bali, banyak perkara yang dia perolehi. Tidak semua orang dilahirkan senang. Orang-orang disini susah-payah mencari rezeki untuk menampung keluarga namun mereka tidak pernah merungut. Senyuman yang tidak lekang di bibir bagaikan sinar hidup mereka.

“Kita ke Beach Walk ya?” ajak Lia sambil menghidupkan enjin kereta.

“Huh? Nak buat apa malam-malam buta ni jalan dekat pantai. Tak naklah aku. Dahlah gelap! Tak mahu, tak mahu!” Hannah menolak keras.

“Alah tak ada apa-apalah. Rilekslah.”

Hello? Yang kau bawa ni anak dara orang okey...”

“Takut?” Lia mengacah.

“Mana ada!” Hannah bangkang. Tak mahu kalah!

Lia tersenyum. Beach Walk yang dimaksudkan bukanlah berjalan-jalan di pantai. Beach Walk adalah seperti Pavilion. Tinggal lagi, ia terletak berdekatan dengan pantai. Saja dia ingin main-mainkan Hannah. Cari nahaslah namanya kalau dia mengajak Hannah ke pantai malam-malam begini. Silap-silap mamanya berleter panjang nanti.

Tiba saja di Beach Walk, Hannah memandang Lia dengan mata yang mengecil. Nampak sangat dia dipermainkan. Namun, dia lega Lia tidak membawanya ke pantai. Dia rela duduk di dalam kereta! Penat berjalan-jalan, mereka duduk di Coldstone Creamery untuk menikmari aiskrim pada malam hari.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.