Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 8

HANNAH menarik kerusi di restoran dengan malas. Ikutkan hati memang dia mahu cabut lari sekarang ini juga. Siapa kata dia tidak berani? Cuma dia tidak mahu cari pasal dengan Encik Haikal saja.

Haikal mengangkat tangan kanan, memanggil pelayan restoran untuk membuat pesanan. Sementara menunggu Aril, dia ingin membasahkan tekak yang kering. Apabila Aril tiba nanti, barulah mereka sama-sama memesan makanan.

“Kenapa gelisah semacam ni? Takut ke pergi dating dengan saya?” Haikal mengusik. Ini bukan waktu kerja jadi tidak salah untuk dia mengajukan soalan peribadi.

“Huh? Eh mana ada dating. Awak kan bos, saya perkerja. Lain.” Sangkal Hannah walaupun agak terkejut dengan soalan Haikal. Hannah bijak memberi jawapan.

Haikal sedikit kecewa dengan jawapan diberikan oleh Hannah. Dia tahu ianya terlalu awal tetapi dia mahu Hannah tahu yang dia tidak memikirkan soal status dalam sesebuah perhubungan. Seperti yang dikatakan, ini semua terlalu awal. Dia masih mempunyai banyak masa untuk melembutkan hati gadis ini.

“Assalamualaikum.”

Mendengar salam yang diberi, Hannah dapat mengajak siapakah gerangan suara itu. Dia memejam mata. Inilah realiti yang harus dia hadapi.

“Haikal, saya nak pergi tandas sekejap.” Hannah membisik ke telinga Encik Haikal. Seboleh-bolehnya,dia tidak mahu Aril melihat wajahnya.

Melihat Haikal mengganguk, dia terus melangkah laju ke tandas. Aril hanya memandang gadis yang berlalu pergi dalam keadaan kelam-kabut itu. Malas mengambil tahu, dia terus mengambil tempat duduk di hadapan Haikal.

“Dah lama ke sampai?”

“Sampai kebulur aku tunggu kau.” Haikal memerli membuatkan Aril tertawa kecil.

Beg tangan siapa pula di tempat duduk ini? Beg tangan itu diangkat untuk bertanyakan Haikal namun Haikal lebih senang mengambil beg itu sebagai jawapan.

“Sejak bila kau bawa beg tangan perempuan?” Aril mengangkat beg tangan yang terletak di tempat duduknya ke udara untuk menunjuk Haikal.

“Bawa sini beg tu,” pinta Haikal, tidak mahu memanjangkan cerita. Aril menurut. Entah beg siapa yang dibawa Haikal. Tukar selera kot kawannya seorang itu.

Aril tidak menunggu lama untuk membuat pesanan. Dia sudah lapar. Berada di bawah matahari terik membuatkan perutnya lapar dan tekaknya haus. Sudah dapat masuk kereta yang berhawa dingin itu saja sudah cukup nikmat.

Hannah melihat kedua lelaki itu dari luar tandas. Haruskah dia keluar dari tempat persembunyian sekarang? Dia tidaklah takut dengan Haikal tetapi dengan lelaki sebelah Haikal. Lama dia memikir, akhirnya dia berjalan menuju ke meja mereka.

“Lamanya. Awak bertapa ke dalam tandas tu?”perli Haikal saat Hannah mendekati mereka, menarik kerusi.

Aril mengangkat muka mendengar bunyi kerusi ditarik. Di hadapannya kini berdiri seorang gadis yang cantik dan comel. Untuk seketika, dia terleka.

“Cari harta karun!” balas Hannah bersahaja. Beg tangan yang dihulurkan Encik Haikal diambil dan diletakkan di atas riba.

Dia tidak berani menatap mata Aril yang sudah duduk di tempatnya tadi. Payah jika harus duduk bertentangan sebegini. Memang tidak boleh lari kemana.Aril berdehem memberi isyarat kepada Haikal untuk sesi pengenalan. Siapa perempuan ini dan apa dia buat di sini?

“Lupa. Kenalkan, ini kawan saya, Zafril. Dan Aril, ini Hannah.”

Hannah tersenyum kelat mengganguk manakala Aril tidak melepas pandang raut wajah gadis ini. Kulit putih mulus gadis ini sekejapan saja sudah merona merah. Malu mungkin.

Aril menyepi. Perempuan ini, seperti dia pernah bertemu tetapi dimana ya? Wajahnya seperti dia kenal.Puas dia meiliti wajah gadis yang dikenali sebagai Hannah ini. Ketara di wajah Hannah yang dia tidak selesa. Bagaikan tidak kena gaya.

Setelah sekian lama menyerabutkan kepala demi mendapatkan jawapan, akhirnya dia ingat. Inilah gadis yang dia temui di Bali. Yang suka cari pasal dan cari gaduh dengannya setiap kali jumpa. Patutlah wajah dia ketat semacam.

“Kekasih nombor berapa ni Kal?” Aril mengusik Haikal, memandang Hannah.

Hannah tersentak mendengat soalan itu. Amboi, aku belacankan mulut kau tu baru tau!

“Memandai aje kau ni. Aku bukan kasanova okey. Ni staf baru akulah.” Terang Haikal.

Hish Aril ni, nak perangkap aku pula. Buatnya Hannah percaya aku ni kasanova, mesti dia tak mahu percayakan aku lagi. Nak berkawan jauh sekali! Jaga kau Aril.

“Patutlah tak pernah nampak. Pemalu staf kau ni...” dalam diam, Aril mengenakan Hannah.

Pemalu? Memang tidak! Dia tahu Hannah sengaja berdiam diri kerana tidak sangka dengan pertemuan ini. Mana pergi suara berani yang selalu ingin bergaduh dengannya? Melihat renungan Hannah yang tajam menikamnya, dia tersenyum.

Nafas Hannah turun naik. Nampak gaya dia harus lebih banyak bersabar apabila berada dengan lelaki ini. Tunggu dulu Hannah, jangan melawan, jangan beraksi. Bermain dengan masa, itulah penyelesaian yang terbaik. Sekarang ini, berdiam diri adalah senjatanya.

Hannah tidak mahu masuk campur dalam perbualan kedua lelaki itu. Dia menyibukkan diri dengan menjamu hidangan yang ada di depan mata. Sesekali, dia mencuri pandang lelaki yang kononnya hebat di pandangan Fazura dan perempuan-perempuan di pejabatnya. Kacak, terutama sekali apabila dia tersenyum. Kenapa ya melihat lelaki ini tersenyum, hati Hannah terusik?

Namun apabila Aril melirik ke arahnya, dia terus tertunduk. Menyampah pula melihat wajahnya yang perasan bagus. Pelik bagaimana dia boleh suka dan menyampah seseorang lelaki itu pada waktu yang sama. Menyampah tatkala Aril merenungnya? Walaupun Aril tidak bersalah dalam hal ini? Memang pelik.

Telefon bimbit yang berbunyi tanda ada mesej yang diterima, dikeluarkan dari beg. Hannah tersenyum melihat isi mesej itu.

Hoi! Takkan keluar sekejap dengan Haikal dah lupa kat kami kot? Tak patut, tak patut!

Hannah menaip sesuatu dan menekan butang hantar.

Eh makcik! Kau ingat aku suka eh? Jiwa aku sengsara tau tak! Aku nak balik!!!

Tidak sampai seminit, telefonnya kembali berbunyi.

Kita cuma makan nasi campur. Entah-entah kau makan Steak.

“Jom!”

Teguran Haikal membuatnya tersentak. Mujur telefon bimbit di bawah meja itu tidak terlucut dari tangan. Itulah, kusyuk sangat berbalas mesej sehingga tidak sedar perbualan Encik Haikal dan Aril sudah tamat.

“Awak dengan Aril tunggu di luar. Saya pergi buat bayaran.” Arah Haikal. Hannah hanya mengganguk.

“KECIL dunia ni kan? Nak lari mana pun tak tahu.” Ujar Aril ketika mereka berdiri di luar restoran itu. Mulutnya sudah gatal ingin mencari pasal dengan Hannah. Tadi di dalam dia tidak berkesempatan kerana adanya Haikal.

Fikir Hannah, hanya perempuan saja tahu berkias ketika berkata-kata. Lelaki pun pandai!

Melihat Hannah diam, Aril menambah. “Tengah cuba nasib goda Haikal ke?”

Kali ini, Hannah tidak mampu menyepi lagi. Melampau sudah lelaki ini. Dia dan Encik Haikal memang tiada hubungan. Dia tidak terfikir pun untuk ada hubungan bersama Encik Haikal. Seperti dia katakan, Encik Haikal itu majikannya.

“Mulut awak ni macam tak ada insurans kan. Macam makcik suka gossip!” Hannah berlawan kata.

“Eh, terasa ke?”

“Eee! Otak awak ni merenglah!” Hannah menjerit kecil, kegeraman. Menyesal dia ikut Encik Haikal hari ini jika dia terpaksa berjumpa dengan Aril.

“Mereng-mereng saya pun saya tak ada menyusahkan orang bila saya takut nak lalu anjing.” Sakat Aril, mengingatkan Hannah kembali tentang kejadian di Bali.

Tidak tahan, Hannah ingin menghayunkan beg tangannya ke badan Aril. Baru saja tangannya terangkat...

“Kenapa ni?” Haikal datang menegur.

“Lalat!” Hannah meyimpang, tidak mahu memberitahu perkara sebenar.

Saja dia menghayun tangannya ke kiri dan ke kanan kononnya sedang menghalau lalat. Drama sangat! Masa-masa macam ini, pandai pula kedua-duanya berlakon. Aril ke kutub, Hannah ke utara. Bagaikan tiada apa yang berlaku sebentar tadi. Haikal dan Aril sempat berborak sebentar sebelum masing-masing membolos ke kereta sendiri.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.