Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 13

HANNAH memandang kosong ke hadapan. Tadi semasa ingin keluar dari rumah, macam-macam yang berada di kotak fikirannya tetapi ada pula mak Mah sebagai penghalang. Jika tidak, memang mereka sudah berperang mulut di hadapan rumahnya tadi. Sekarang ini, lidahnya kelu tidak terkata. Mencari mood dulu mungkin.

Kekok apabila berada di dalam kereta berdua-duaan dengan Aril. Kalau dikirkan kembali, dia langsung tidak kenal dengan lelaki ini. Setakat bertukar kata dan bertikam lidah. Untuk digelar sebagai kawan, memang tidak layaklah kerana mereka dari mula bukan seperti itu.

“Awak ingat tadi tu pesta hon ke?” Hannah memulakan biacara, marah dengan perbuatan Aril.

“Dah saya suruh awak turun tapi awak degil.” Balas Aril selamba, menghalakan fokusnya pada jalan raya. Bagaikan tidak bersalah pula dia menekan hon berkali-kali. “Sunyinya rumah awak, mak ayah awak mana?”

“Tak ada.”

“Inalillahiwainahi rojiun.” Ucap Aril, simpati.

Tersentak Hannah mendengar Aril mengucap sebegitu.

“Mama meninggal sejak umur saya tujuh tahun. Papa masih ada, sihat wa’alfiat insyaAllah. Outstation dekat Penang.” Hannah memperbetulkan fakta yang telah membuatkan Aril tersalah anggap. Pandai-pandai saja Aril ni.

“Oh, saya minta maaf.” Aril memohon maaf atas keterlanjuran kata.

“Tak apa. Kereta saya, bila siap?” Hannah bertanya cara baik memandangkan Aril meminta maaf buat pertama kalinya.

“Lusa.” Aril menjawab lambat.

Sebenarnya, hari ini sudah boleh diambil tetapi sengaja dia katakan lusa kerana ingin meluangkan lebih masa bersama Hannah. Kalau dia tidak bocorkan rahsia, Hannah tentu tidak akan tahu. Biar pecah di perut, tapi jangan di mulut.

“Hah teruk ke? Habislah saya macam ni.” Hannah mengeluh kecil.

“Apa susah? Saya kan ada. Tak payah nak susahkan abang awak yang awal-awal lagi dah pergi kerja.” Aril menawarkan diri, tersenyum. Dia mempunyai rancangan sendiri sebenarnya.

“Sindir saya? Lagipun tu bukan kereta saya. Tu kereta papa. Nanti kalau dia balik, kereta dia tak ada, mesti dia susah nak ke kerja.” Hannah berpaling, merenung Aril yang menumpukan perhatiannya pada jalan raya. Salah satu perwatakkan Aril yang dia suka adalah, Aril seorang yang tenang walaupun kadang-kala dia sangat menyakitkan hati. Cakap dengan intonasi yang sedap didengar walaupun sedang marah.

Senyuman di wajah Aril membuatkan hatinya semakin berdegup kencang. Senyuman itu juga yang membuatkannya turut tersenyum.

“Eh mana ada. Saya bercakap bedasarkan fakta.” Aril membelokkan keretanya tatkala mereka melalui simpang.

“Saya tak nak susahkan awak lagi. Dah banyak sangat saya terhutang budi pada awak.” Hannah bertutur ikhlas. Tidak tahu lagi bagaimana untuk membalas kebaikkan lelaki itu. Ya, Aril selalu membantunya tetapi caranya sering mengakibatkan mereka berdua bergaduh.

“Awak nak balas budi saya?”

Hannah mengganguk. “Saya tak nak awak ungkit kemudian hari.”

Seriously? Awak ingat saya lelaki macam tu ke?” jelas, Aril tidak percaya dengan kata-kata Hannah sebentar tadi. Dia tidak sejahat yang Hannah sangkakan.

“Siapa tahu?” Hannah menduga.

“Nampak sangat awak tak kenal saya ni jenis lelaki macam mana.” Balas Aril.

“Memang saya tak kenal awak dan saya pun tak faham kenapa kita boleh ditemukan kembali. Yang paling penting, kenapa saya berada di dalam kereta awak sekarang ni. Boleh jadi gila saya dibuatnya.” Hannah meluahkan isi hati. Dia sendiri serabut memikirkan bagaimana dia boleh kenal dengan Aril dan kemudian menerima pertolongan Aril walaupun dia tidak mahu.

“Jangan persoalkan takdir.” Sebaris ayat yang dikeluarkan oleh Aril mampu membuatkan Hannah terdiam. Dia mengaku salah kali ini.

“Kita nak ke mana ni?” tanya Hannah apabila dia sedar ini bukan jalan yang biasa untuk ke kerja.

“Jangan persoalkan ke mana kita hendak pergi.” Gurau Aril dengan nada mendatar.

“Awak! Saya serius ni!” Hannah terjerit kecil mendengar jawapan Aril.

“Saya pun serius.”

“Mana ada! Awak selalu sakitkan hati saya dengan lawak-lawak bodoh awak.” Hannah memeluk tubuh, makan hati dengan Aril.

Sedar yang dia tidak akan menang tiap kali berdepan dengan Aril, Hannah hanya mendiamkan diri. Kenapa semakin jauh dia cuba menjauhkan diri, semakin dekat dia kepada Aril. Contohnya sekarang. Mengapa dia berada di dalam kereta ini walhal dia boleh saja mengelakkan diri daripada keluar rumah tadi. Biar lambat ke kerja asal tidak dengan Aril.

Mulanya Aril ingin membawa Hannah untuk bersarapan tetapi ditolak Hannah. Bersungguh-sungguh dia meyakinkan Aril bahawa dia tidak lapar dan andai dia terasa lapar, dia akan mengalas perut dengan apa-apa bahan makan yang ada di kafe.

Tidak mahu memaksa, Aril menurut kata-kata gadis itu kali ini. Dia bukannya apa, dia terasa bersalah mendengar perbualan antara mak Mah dan Hannah tadi. Betulkah jika gadis ini tidak bersarapan, dia akan pitam? Atau mungkin dia ada gastrik? Semua ini gara-gara dia yang hendak menjemput Hannah awal.

“Janji dengan saya awak akan alas perut di kafe.”

“Kenapa saya perlu berjanji dengan awak? Awak bukan suami saya pun.” Hannah menjawab lantang. Dia tidak faham kenapa dia larus melaporkan perkara itu kepada Aril. Aril bukan sesiapa dalam hidupnya.

“Awak nak ke saya jadi suami awak?” uji Aril. Tubuhnya menghadap Hannah, merenung anak mata gadis itu dalam. Dia menekan brek apabila kereta itu sudah terparkir di tempat yang sepatutnya. Hari ini dia mendapatkan kembali lotnya yang dirampas Hannah.

“Okey janji!” jawab Hannah laju, tidak mahu Aril memanjangkan isu itu. Terkejut dia dengan soalan Aril. Dengan sajanya Aril bertanya kepadanya begitu.

Aril membuka pintu belakang untuk mengambil beg dan lukisan rekaannya. Kemudian Aril memakai sutnya. Dia memperkemaskan bajunya dan butang jika patut. Dengan mencerminkan cermain kereta, dia perbetulkan tali lehernya. Dia harus dilihat kemas kerana ini merupakan mesyuarat terpenting untuk syarikatnya.

“Awak, terima...” ayatnya tidak mampu dihabiskan tatkala matanya mendarat melihat Aril. Kagum dia melihat Aril yang segak dalam sutnya. “Terima kasih.”

Cepat-cepat Hannah berlalu pergi, mengorak langkah menuju ke pejabatnya. Dia tidak mahu Aril membalas ucapannya. Malu pula kerana terpersona seketika. Apabila difikirkan kembali, lelaki kacak sebegitu, mesti sudah berpunya. Tidak pun, perempuan keliling pinggang.

Mengapa dia tidak pernah terfikir tentang status Aril sebelum ini? Bagaimana jika salah satu hari ini, dia diserang oleh wanita yang digelar kekasih kepada Aril. ‘Hish Hannah, luas betul imaginasi kau. Biarlah. Suka hatilah dia kalau dia nak ada 10 perempuan pun. Itu hak dia, hidup dia. Kata tak suka, buat apa nak ambil tahu? Kau cemburu?’ desis Hannah di dalam hati.

HARI ini Hannah mencuba sesuatu yang baru. Dia melorek lukisan di atas latte yang dibuat. Bermacam-macam lukisan telah dia cuba sehingga ia menarik perhatian Haikal. sempat Haikal menyuruh Hannah melukis wajahnya di atas latte itu.

Namun, dia ada banyak lagi yang harus dia pelajari dari yang mahir seperti Haikal. Menurut Haikal, Hannah seorang barista yang cepat menangkap sesuatu apabila diajar. Senang menangkap ilmu. Setakat ini, Hnnah tidak memberinya sebarang masalah baik dari segi pekerjaan mahupun disiplin.

Meja yang agak berselerak dengan krimer, serbuk kopi dan susu, dia kemaskan. Sakit mata memandang meja yang tidak rapi itu. Teringat dia kepada kata-kata pensyarahnya sewaktu di kolej dahulu. Katanya, bagaimana keadaan meja kita, begitulah lambang diri kita. Contohnya, jika meja kita berselerak, maknanya kita ini orangnya jenis yang tidak rapi menjaga diri dan juga penampilan. Kita tidak tertip dalam membuat sesuatu pekerjaan. Ini hanyalah pandangan orang semata-mata.

Namun Hannah percaya pada istilah, bagaimana kita berpakaian mencerminkan siapa diri kita sebenar. Kalau seseorang itu selekeh, ia sudah mampu menunjukkan perwatakkan jenis apa seseorang itu ada.

Hari ini Haikal membenarkan, Hannah untuk keluar makan tengahari bersama Faz dan Nabil. Malas untuk keluar dari kawasan pejabat, mereka hanya ke kedai makan berhampiran. Perut yang berkeroncong dari tadi semakin menjadi-jadi tatkala dia menapak ke dalam kedai makan itu. Seperti boleh menghidu adanya makanan saja.

Milo ais yang dipesan dikacau-kacau agar susu, air dan serbuknya sebati. Dia dan Nabil menjadi pendengar setia pada cerita Faz. Adakala dia mengganguk, menggeleng, ada masa pula dia bersuara memberi pandangan.

“Eh, eh! Kau orang tengok tu siapa datang!” kalut Faz mengalihkan tumpuan Hannah dan Nabil ke sesuatu yang mengejutkan.

Hannah dan Nabil berpaling untuk melihat gerangan yang kecoh diperkatakan Faz. Sanggup dia berhenti bercerita semata-mata untuk...Aril? Aduh, tiada tempat lain ke lelaki ini mahu makan tengahari? Tadi pagi jumpa dia, sekarang ni pun tengok muka dia.

“Lah dia tu. Ingatkan perdana menteri ke Adi Putra yang datang tadi.” Ujar Hannah tidak minat.

“Hish! Kau ni tak fahamlah.” Ngomel Faz. Nabil di sebelah hanya membuat hal sendiri, bermain telefon bimbitnya. Mungkin dia juga tidak kuasa seperti Hannah. Lebih-leih lagi, dia seorang lelaki.

“Memang aku tak faham. Tolong fahamkan aku.” Balas Hannah.

“Dia tu, mana pernah makan tempat-tempat macam ni. Tempat dia tu, dekat hotel, restoran sana. Apahal pula dia buat dekat kedai makan pangkat kita ni?”

“Yang kau sibuk sangat dia nak makan dekat sini tu kenapa? Suka hati dialah.” Hannah membalas acuh tak acuh.

“Penatlah aku berbual dengan kau ni. Sekarang ni jangan kacau aku, aku nak tatap muka dia puas-puas!” Faz tersenyum bagaikan dilamar seseorang.

“Hoi, ingat sikit. Kau tu dah bertunang. Nanti tak pasal-pasal, tunang kau yang ngap kau puas-puas.” Nabil bersuara, menyindir. Hannah tertawa.

Aril memang kegilaan ramai gadis di sini. Tengok saja situasi di kedai makan ini, sudah cukup. Ini baru Aril yang masuk, kedai makan itu sudah kecoh sedunia. Mungkin mereka juga hairan seperti Faz mengapa Aril tiba-tiba memasuki kedai makan ini.

“Hoi korang, dia datang sinilah!”

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.