Home Cerpen Cinta Tolong! Hatiku Dicuri!
Tolong! Hatiku Dicuri!
Qaseh Husna Husna
22/12/2012 23:14:16
4,736
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Setelah meletakkan semua barang-barang yang dibeli tadi ke dalam bonet kereta, aku menghidupkan enjin, sudah bersedia untuk pulang.Inilah pekerjaan sambilanku, membeli-belah. Namun, bukan selalu aku dapat begini. Tabiat ini tidak boleh diikutkan sangat. Makan jari jawabnya hujung bulan jika berterusan begini. Tak pun, makan maggi! Baru saja aku hendak keluar dari lot kereta itu, keretaku dan sebuah lagi kereta berperang hon. Mujur aku sempat menekan brek, jika tidak, sia-sia saja keretaku mencium keretanya. Aku menenangkan diri sebelum keluar dari kereta. Mahu cari gaduh ke pemandu ni? Mustahil tak nampak aku keluar! Tarik nafas, buang nafas Lisa.

Aku keluar dari perut kereta dengan lagak tenang walaupun aku sudah bersedia untuk bergaduh. Lambat pula lelaki ini keluar. Minta kena tendang tayarnya! Aku berdiri di hadapan keretaku, mencari-cari jika akan calar-balar sambil menunggu pemandu itu keluar. Andai ada ‘kecelakaan’, aku sudah pasti minta ganti rugi.Tatkala dia keluar, aku diam seribu bahasa. Sabar ya Lisa, jangan kalut, jangan tunjukkan yang kau terpersona tengok dia. Aku memujuk diriku untuk bersabar. Indahnya ciptaan Tuhan.

“Maaf, saya pandu laju sangat, tak nampak awak nak keluar.” Lelaki itu bersuara, memohon maaf.

“Saya pun salah. Tak tengok kanan kiri,” balasku bersahaja.

Ingin saja aku menyepak-nyepak mukaku kerana berlembut. Rancangan awal ingin memarahi lelaki ini, siap nak pancitkan tayar lagi tetapi tatkala berdiri di hadapan lelaki ini, aku kaku. Kenapa hatiku berdebar-debar ya? Nadi jantungnya berdecup kencang. Aku jadi tidak keruan melihat kekacakkan lelaki ini. Pantas aku menunduk. Jangan Lisa, jangan! Selama ini aku melihat lelaki kacak, tidak pula jantungnya berdegup kencang.

“Rasanya kereta kita tak bercium. Saya minta diri dulu,” aku mengundur diri tanpa berasa marah atau benci kepada lelaki yang membuat aku terperanjat.

“Assalamualaikum,” usai memberi salam, lelaki itu tersenyum dan mengganguk.

Aku membalas salamnya dan meloloskan diri ke dalam kereta. Aku menunggu si dia mengundurkan keretanya barulah keretaku meluncur laju untuk pulang. Sampai di rumah, aku duduk menemani mama di balkoni. Sempat dia memberiku ceramah percuma kepadaku dek membeli-belah. Selepas itu, aku menaiki ke bilik untuk mandi. Kakiku lenguh, kocekku berlubang. Tidak mengapa, terapi untuk menghiburkan diri. Fikirannku melayang mengingati lelaki tadi. Wahai encik BMW, mengapa engkau yang mengisi ruang fikiranku? Sudahlah Lisa, pertemuan engkau dengan dia hanya setakat itu saja. Kalau ada jodoh, kita jumpa lagi ya Encik BMW.

Malam itu, Nadia menelefonku seperti biasa. Sehari tidak mendengar ngomelannya aku terasa seperti sesuatu kosong walaupun telingaku sudah mengaku kalah. Aku menceritakan kepadanya apa yang terjadi tadi walaupun aku tahu dia akan heboh sedunia. Nadia yang mendengar ceritaku terlebih ceria.

“Hari ini juga aku berhenti diet sebab ada lelaki mampu mencairkan hati kawan aku yang sekeras batu ni!” dengan semangatnya Nadia berjanji. Aku hanya mampu ketawa.

“Alah setakat muka kacak, tak heranlah aku.” Aku mencebik, cuba menafikan bahawa hati itu sudah tertarik.

Lagi lama aku melayan Nadia, lagi banyak aku melayan karutnya. Akhirnya aku menamatkan perbualan dan melayan perasaan di atas katil. Esok hari Sabtu, maknanya hari cuti. Akhirnya! Walaupun aku sayang dengan kerjayaku, tetapi penatnya kadang-kadang meragut tenagaku. Impian menjadi arkitek sudah tercapai, impian menjadi isteri? Ah, berangan jauh kau ni Lisa! Selamat malam dunia, semoga bertemu di mimpi Encik BMW...

PAGI-PAGI lagi rumahku sudah riuh bagaikan ada perang. Siapa lagi jika bukan abang. Abang kalau ada di rumah bisingnya seperti ada sepuluh orang sejenisnya. Kalau dia tiada, rumah itu sunyi-menyepi. Siapa lagi dia hendak sakat kalau bukan aku? Umur sudah meningkat tetapi perangai tetap tak ubah seperti anak tadika. Geram aku dibuatnya kadang-kala.

Memandangkan aku tiada apa-apa rancangan hari ini, aku bercadang ingin ke MPH untuk membeli novel. Semenjak sudah bekerja, aku jarang ada masa untuk membaca. Aku menyuarakan hajatku untuk keluar ke mama namun ada saja yang menyibuk.

“Ma, jangan kasi dia keluar ma. Anak dara nak keluar sorang...” abang Hafi menyampuk.

Mataku merenung abang tajam dengan isyarat menyuruh dia diam. Dia dengan selambanya mengangkat bahu tanda tidak tahu. Makan hati aku dengan abang aku yang seorang ini. Mujur ada satu, kalau tiga, tinggal secebis biskut hatiku ini jawabnya!

“Kalau dia nak pergi, mesti ada teman. Biar Hafi yang teman. Ma, penyangak kat luar sana banyak ma. Perempuan senget macam Lisa ni pun boleh jadi mangsa!” dengan penuh semangat dia berbicara.

Aku menampar lengan abang geram. Sesuka hati saja memanggil aku senget. Alah bukannya aku tidak tahu. Abang sengaja mencari alasan untuk keluar. Semalam mama dan papa sudah memesan kepadanya untuk duduk di rumah sehari, tidak boleh keluar. Aku menentang keras cadangan abang untuk keluar berdua. Namun, aku kalah. Mama sebetulnya tidak kisah aku keluar sendiri tetapi mulut abang yang celupar itu mengeluarkan perkataan penyangak, mama jadi bimbang. Akhirnya, aku terpaksa keluar dengan bertemankan abangku yang menyakitkan hati ini.

Malas memandu, aku menyuruh abang membawa kereta. Di dalam kereta, ada saja yang ingin dibicarakan. Katanya dia sayang terhadap adiknya yang satu ini. Kalau tidak sayang, dia tidak ambil peduli.

“Untungnya Lisa dapat abang macam abang ni kan...Dahlah kacak, baik hati, menyakitkan hati pula tu! Untung siapa dapat dia sebagai isteri,” aku memerli, merangkul bahunya.

Seperti yang dirancangkan tadi, abang keluar berjumpa kawannya, aku pula ke MPH. Aku terus menuju ke rak-rak buku yang disusun rapi dengan novel-novel Alaf 21. Satu persatu buku di situ aku belek. Membaca sinopsisnya, yang mana menarik perhatianku. Buku biru yang bertajuk Rindu Di Awan Biru itu menarik perhatianku. Baru saja aku ingin mencapai buku itu, ada tangan yang juga menyinggap di buku itu.

Aku pantas mengangkat muka. Berderau darahku melihat empunya tangan itu. Encik BMW! Aku menarik tangan dan membetulkan tudung untuk mengelakkan rasa kalut. Berbeza dengan pertama kali aku melihatnya, dia tetap segak walaupun hanya dengan jeans dan t-shirt. Benarlah kata orang, orang kalau sudah kacak, pakai apa pun tetap nampak kacak.

Kebetulan pula buku itu hanya tinggal satu. Maknanya salah satu daripada kami yang bakal memiliki buku itu.

It’s okay you can have it,” suaranya memecah keheningan di antara kami, menyedarkan aku di alam realiti.

“Eh tak apa, awak ambillah. Saya dah ada buku tu dekat rumah, saja nak belek-belek.” Aku menipu.

‘Ya ampun Lisa! Dah apa kena dengan kau hah? Puas engkau cari buku itu, sekarang dah dapat, senang-senang nak bagi ke mamat ni?’ Mahu saja aku menumbuk-numbuk diri sendiri. Bagaikan bukan aku yang berbicara tadi. Aku menjadi geram sendiri tatkala lelaki itu senyum sambil memegang buku itu.

“Terima kasih,” seraya dengan ucapan itu, dia berlalu.

Aku pula? Menahan geram kerana kelantangan bicaraku tadi. Itulah, bercakap sebelum mimikir, kan dah terlepas. Ah, tidak gentleman langsung Encik BMW ini! Akhirnya aku memilih buku lain dan ke kaunter untuk membuat bayaran. Ada juga aku meninjau-ninjau melihat kelibat si dia, tetapi sudah hilang entah ke mana.

“Cik, ini ada kiriman untuk cik dari seseorang.” Perempuan yang bertugas itu memberiku sebuah bungkusan. Pelik aku jadinya, siapa pula yang beri?

Apabila aku bertanya kepada perempuan itu, katanya si pengirim ingin berahsia sehingga aku membuka bungkusan itu sendiri. Aku membuka bungkusan itu dengan hati-hati.

Maybe being gentleman is too mainstream. I’m sure you love surprises. - Amir

Nota itu diselitkan di halaman pertama buku Rindu Di Awan Biru. Aku tersenyum penuh makna.

SUDAH seminggu mama dan papa berangkat ke Perth. Selama seminggu itulah, aku ditinggalkan dengan abang. Adakala aku masak di rumah, adakala abang mengajak makan di luar. Jika makan di luar, apa lagi, peluang akulah untuk merasa duit abang. Malam itu, aku dan abang makan di rumah memandangkan aku sudah masak. Ayam masak merah, sayur campur dan telur dadar. Abang mengajakku untuk mengikutnya ke perlawanan bolanya esok. Mulanya aku menolak dengan alasan banyak kerja yang harus aku bereskan tetapi apabila difikirkan kembali, kerja apa yang aku bawa pulang ya?

Alasan kedua, aku hendak bertemu dengan Nadia. Malangnya ditolak. Kata abang jumpa Nadia esok lusa pun boleh tetapi perlawanannya hanya sekali saja. Alasan ketiga, aku ingin berehat. Alasan itu juga ditolak, katanya anak dara tidak bagus tidur siang. Akhirnya aku mengalah. Bangun pagi-pagi hanya untuk menyaksikan perlawanan bola. Di bawah panahan matahari pula tu!

Seawal lapan pagi kami sudah berangkat ke Royal Selangor Club. Sempat aku mengomel ke abang jika kulitku gelap, ini semua gara-gara abang.

“Kalau Lisa gelap, abang akan taja satu set krim penyerah kulit okey!” janji abang. Mungkin sudah penat mendengar aku mengomel.

Mujur ada kawan-kawan abang yang membawa isteri atau teman wanita mereka. Ada juga aku teman untuk berbual. Yang abang pula bawa adik. Abang sempat memesan untuk berdiri di padang untuk menyokong dia dan kumpulannya. Lelaki, jika sudah di dunia bola, tidak ingat sekeliling!

“Maaf ya tuan-tuan yang dihormati, aku lambat, jalan sesak, kereta mogok.” Suatu suara mengejutkanku dari belakang.

“Yang lambat belanja makan!” salah seorang dari mereka menjerit.

Aku berpaling untuk melihat gerangan lelaki itu. Kerusi yang tiada penghuni itu ditarik dan diletakkan di sebelahku. Amir! Tidak sepertiku yang terkejut setengah mati, dia kelihatan tenang memandangku.

“Di awan rindu keseru namamu agar terubat rasa rindu ini,” Amir separuh membisik kepadaku. Waktu itu, semua pemain sudah ke padang dan aku berdiri di paling belakang.

Aku gugup mendengar sebaris ayat yang tertulis di buku Rindu di Awan Biru itu. Aku memandangnya dengan seribu satu persoalan bermain di minda. Amir hanya tersenyum dan berlalu.

Sepanjang perlawanan bola itu, fikiranku melayang mengingati bait-bait yang dikatakan Amir. Selain dari itu, cara permainan Amir juga tidak kurang hebatnya. Aku terasa begitu dekat dengan pemain-pemain itu memandangkan tiada penghalang di antara kami. Tiba-tiba Amir ke tepi untuk membuat ‘throw-in’. Walaupun bola itu ditangannya, sudah bersedia untuk dicampak, Amir tidak mencampaknya. Sebaliknya dia memandangku. Aku juga begitu.

“Ehem!” pakcik yang dibelakang kami berdehem dengan isyarat kembali ke alam nyata!

Aku dan Amir bersilih ganti berdehem untuk menghilangkan kekalutan suasana. Akhirnya aku tertawa sendiri. Malunya aku! Tamat sudah permainan itu, abang terus mendapatkanku. Sempat dia mengusikku tentang adegan tadi. Ternyata bukan aku, Amir dan pakcik itu saja yang melihat malah semua orang melihat.

Abang mengemas barang-barangnya dan membersihkan boot bolanya. Aku hanya duduk di sisi abang, tidak ingin bertembung dengan Amir lagi. Malu aku nanti! Mengikut rancangan, mereka semua akan pergi makan bersama, termasuk abang. Aku sempat mengerling ke Amir yang sibuk mengemas-ngemas juga. Sebelum kami berpisah ke kereta masing-masing, dia sempat mengucapkan sesuatu.

“Cukup dari pandangan mata awak, saya yakin degupan jantung kita serirama. Semoga langit menjadi saksi agar ikatan ini kekal abadi.”

Aku kaku tidak terkata. Kakiku bagai digam ke tanah. Apa maksudnya dengan ikatan ini kekal abadi? Amir, awak penuh dengan kejutan!

TERNYATA pertemuanku dengan Amir terhenti di sini. Sudah sebulan aku tidak bertemu dengan Amir apalagi terserempak. Terasa seperti ingin memainkan lagu ‘Terhenti Di Sini’ oleh Asfan saja. Namun aku tidak mungkin meraung meninginkan dia. Di dalam hidup ini, tidak semua yang kita mahukan kita akan dapat. Suka tidak semestinya cinta. Cinta tidak semestinya bersama. Aku harus akur dengan takdir. Hidup harus diteruskan.

Seminggu yang lalu, mama ada memberitahuku tentang berita yang amat mengejutkanku. Berita mengenai masa depanku. Aku bakal dipinang seseorang. Seseorang yang mama tidak mahu beritahu aku siapa. Menurut mama lelaki iu baik dan mama percaya yang dia dapat menjagaku dengan baik. Tambah papa, dia amat berharap agar aku dapat terima pinangan ini.

Duniaku terasa mahu terbalik. Kenal pun tidak, bercinta jauh sekali tiba-tiba mahu serumah dengan lelaki itu dan memegang judul isteri. Semua ini terlalu cepat. Melihat wajah mengharap papa dan mama aku jadi tidak sampai hati mahu menolak. Namun, perasaan aku bagaimana? Haruskah aku tetap bertahan kepada lelaki yang bernama Amir atau lupakan saja dia?

ENTAH angin apa hari ini, mama masak lebih daripada biasa. Katanya ada tamu hendak bertandang. Bila ditanya siapa, katanya kawan. Tanpa banyak soal, aku meringkan tangan untuk membantu. Aku bertambah pelik melihat abangku ada di rumah pada hari Sabtu sebegini. Selalunya dia akan menghabiskan masa dengan kawan-kawannya.

“Apa mimpi abang duduk rumah hari ni?” soalku.

Dahi abang berkerut memandangku.

“Duduk...” abang tidak sempat menghabiskan ayatnya apabila aku memotong.

“Duduk rumah salah, keluar kena soal siasat. Tak apa, Lisa faham.”

Mama tertawa mendengar jawapanku membuatkan abang geram dan menarik rambutku. Ah geram aku, rambutku selalu menjadi mangsa kegeramannya.

“Alah kalau dah kahwin, abang dah tak ada kuda dah nak tarik tocang dia...”ujar abang sedih tetapi kata-katanya seperti biasa menyakitkan. Kuda dia panggil aku?

“Pukul berapa tamu mama nak datang ma?” aku berdalih, cuba mengelak daripada terperangkap dalam hal kahwin. Abang tertawa mengejek mendengar soalanku.

Katanya nampak sangat aku ingin melarikan diri daripada hal kahwin. Tamu mama akan sampai malam nanti. Makan malam bersama seraya mengenal keluarga masing-masing dengan lebih rapat. Aku masih tidak percaya yang istilah perkahwinan yang ditentukan keluarga masih wujud. Aku setuju dengan pinangan itu, semuanya kerana mama dan papa. Selama ini mama dan papa telah berikan aku yang terbaik dan aku percaya pilihan jodohku tidak akan mengecewakan aku. Semoga aku dapat menjadi isteri yang solehah dan mencintai lelaki itu selepas bernikah.

Ah, aku ni lagak saja besar tetapi sebenarnya aku takut menghadapi kenyataan. Aku akan kahwin tidak lama lagi dan aku masih belum bertemu dengan bakal suamiku! Persiapan kahwin yang dibuat membuat aku tambah takut.

Bunyi loceng yang bagaikan keramat berbunyi malam itu menandakan ada orang yang datang. Aku dan abang berdiri di belakang mama dan papa, turut menyambut tamu. Pasangan itu seumur mama dan papa, tetapi aku tidak pernah lihat mereka sebelum ini. Tatkala aku menyalam wanita itu, dia tersenyum kepadaku dengan penuh makna tersirat.

“Iskandar mana?” tanya mama.

Iskandar? Siapa pula Iskandar ni? Anak pasangan ini mungkin. Aku ke dapur untuk menyiapkan air untuk tamu. Dulang itu aku tatang dengan hati-hati. Buatnya terbalik, malu aku! Tatkala aku sudah sampai ke meja tamu, ada suara yang memberi salam. Semua yang ada di situ berpaling, termasuk aku. Andai aku masih menatang dulang sekarang, pasti sudah hancur berderai dek terkejut melihat Iskandar. Drama betullah kau ni Lisa! Aku berlagak tenang. Bukankah lelaki ini Amir? Atau pelanduk dua rupa?

“Lisa, kenalkan, inilah bakal suami Lisa. Amir Iskandar.”

Hanya Tuhan saja yang tahu bagaimana rasanya hati ini tatkala mendengar nama itu. Melihat orangnya, aku sudah tidak keruan. Sesungguhnya, rancangan Allah itu indah.


KINI, aku bergelar seorang isteri kepada lelaki yang mencuri hatiku dalam diam. Amir Iskandar.

“Boleh saya tahu kenapa awak pilih saya jadi isteri awak?” aku memberanikan diri menanya soalan itu kepada Amir. Amir memandangku dan tersenyum.

“Sebab saya nak ajar awak macam mana nak keluar dari lot kereta tanpa perlu mencium kereta orang,” dengan selambanya suamiku berjenaka. Orang serius, dia buat lawak pula!

“Seriously?!” aku mengecilkan mata memandang Amir.

“Sebab niat saya ikhlas, kasih saya suci dan cinta saya tulus ingin memperisterikan awak. Semoga hubungan ini terpelihara ya...sayang.” Amir menjawab sambil merenung anak mataku dalam. Dia mengucup dahiku lembut dan sekejapan aku sudah berada di dakapannya.

“Saya nak lima anak boleh?” Amir bersuara.

“Awak!” terjerit aku mendengar permintaannya.

Syukur, semuanya kini selesai. Andai ini jodoh yang ditentukan, maka aku beterima kasih kepadaMu. Jika inilah dinamakan bahagia, aku tidak minta lebih. Cukup sekadar ini.

*Dapatkan antologi Hujan Turun Lagi di pasaran sekarang...(:

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.