Home Cerpen Cinta Mekanik Pujaan Hatiku
Mekanik Pujaan Hatiku
Qaseh Husna Husna
9/4/2013 17:28:18
5,172
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

PERLAHAN-LAHAN, Nabihah memberhentikan keretanya di tepi jalan. Aduhai, masa-masa macam ni pula dia nak mogok. Lambatlah dia ke kerja nanti. Enjin kereta dimatikan dan dihidupkan semula. Apa kena pula dengan kereta ni? Nabihah keluar dari kereta untuk memeriksa kereta itu. Dia melihat tayarnya. Tidak pancit pun. Jadi apa masalahnya sekarang?

Hendak perbaiki sendiri, dia memang tidak tahu. Nampak gaya harus hantar ke bengkel jugalah kereta ini. Kebetulan, dia terlihat sebuah bengkel yang berhampiran dengan jalan raya itu. Dia bersyukur kerana urusannya dipermudahkan.

“Assalamualaikum.” Nabihah memberi salam. Dia meninjau-ninjau ke dalam bengkel itu. Tiada orang ke di dalam?

“Wa’alaikumsalam. Ya Cik? Boleh saya bantu?” Akid menjawab salam sambil mengebas-ngebas tangannya yang sedikit kotor.

“Kereta saya...tiba-tiba rosak tak tahu kenapa. Awak boleh tak tengokkan kenapa?” pinta Nabihah lembut. Dia mengerling ke jamnya. Sudah jam 10 pagi. Memang lambat habislah dia hari ini.

Akid mengganguk setuju. Sementara Akid memeriksa kereta itu, Nabihah membuat panggilan ke pejabat untuk memaklumkan bahawa dia masuk lambat hari ini. Semuanya gara-gara kereta kesayangannya itu.

“Parah ni Cik. Enjin dalam rosak teruk. Kurang-kurang empat hari baru boleh siap sebab kita masih ada banyak kereta nak diperbaiki.” Beritahu Akid setelah memeriksa. Gadis yang dihadapannya kelihatan ayu sangat. Sedap mata memandang.

“Oh ya? Hari ni tak boleh siap ke? Saya nak guna kereta saya ni. Tak pun, saya bayar lebih.” Tawar Nabihah. Bayar lebih? Memang tidak sayang mulut tetapi apakan daya, kereta itu penting baginya untuk bergerak ke sana ke mari.

“Awak ingat awak seorang ke nak guna kereta? Orang lain pun nak guna kereta mereka. Kalau tak boleh tunggu, awak boleh ke bengkel lain. Saya tak hadap duit awak.” Fahim yang tiba-tiba muncul entah dari mana menyampuk perbualan mereka.

Panas hati Maya mendengar kata-kata lelaki ini. Dia berurusan dengan Akid. Kenapa lelaki ini sesuka hati mahu masuk campur? Pula tu, bertutur dengan bengis. Kurang ajar betul. Tiada adab. Dia tu sama taraf dengan Akid, kenapa nak tunjuk kuasa seperti dia bos? Dia merenung Fahim penuh marah.

“Apa masalah awak ni? Awak siapa nak tunjuk kuasa dekat sini?”

“Dan awak siapa nak tunjukkan kuasa kononnya duit awak besar sangat dekat sini?” Fahim mencabar kembali.

Akid yang menjadi orang tengah terngaga melihat perbalahan antara Nabihah dan Fahim. Sebentar tadi, elok saja dia berbual dengan Nabihah. Aduh Fahim ni, gentlemanlah sikit. Awek cun ni. Dia tidak tahu apa motif sebenar Fahim melakukan ini.

“Chop chop chop! Kau orang berdua tak payahlah nak gaduh kat sini. Perkara kecil je ni. Kereta Cik ni memang tak boleh siap hari ni. Saya minta maaf.” Akid cuba meredakan suasana.

“Okey. Saya datang lagi empat hari. Tapi saya jumpa bos awak.” Nabihah berkompromi dengan agenda yang tersirat.

“Bos...”

“Bos sibuk. Kenapa? Nak ngorat bos saya ke?” Fahim memotong kata-kata Akid yang tidak sempat dihabiskan.

“Akid, bos mana?” Nabihah menghiraukan Fahim yang menyakitkan hati itu.

“Err...” Akid teragak-agak untuk memberitahu. Lantas, dia memandang muka Fahim.

“Saya dah kata bos tak ada. Kalau awak nak sangat jumpa dia, datang esok.”

Mendengar kata-kata Fahim, Nabihah bersetuju walaupun ianya membuang masa. Tidak mengapa, dia mahu berjumpa bos mereka untuk melaporkan betapa biadapnya Fahim terhadapnya. Pekerja seperti Fahim elok saja dipecat.

Nabihah keluar dari bengkel itu dengan hati yang sebal. Sudahlah keretanya buat hal, terjumpa pula dengan orang biadap. Malang betul nasibnya. Fahim menghantar gadis itu dengan pandangan mata. Kemudian dia tersenyum mengenangkan apa yang baru terjadi tadi.

**

SEPERTI yang dijanjikan, Nabihah datang ke bengkel itu jam enam petang. Baru habis kerja terus dia ke bengkel. Jika tidak kerana mahu membuat aduan terhadap Fahim, tidak ingin dia menjejakkan kaki ke bengkel. Perutnya terasa lapar. Tadi dia tidak sempat makan tenghari kerana kerja yang bertimbun lebih memerlukan perhatiannya.

Setelah membayar tambang teksi, Nabihah keluar dari kereta itu. Akid dan lelaki menyakitkan hati itu tidak kelihatan. Yang ada, pekerja lain yang tidak dilihat semalam. Mungkin mereka berdua cuti ataupun sibuk membaiki kereta lain. Jika lelaki menyakitkan hati itu tiada, baguslah. Aman dunia!

Hah! Itu pun Akid. Baru saja dia mahu memanggil, Fahim muncul dari belakang. Aduh. Kalau sehari tidak jumpa dia tidak boleh ke? Kalau setakat nak berbalah dengan dia, baik tak payah. Nabihah malas mahu bergaduh lagi. Dia datang ke sini bukan untuk berjumpa dengan Fahim. Di dalam hati, dia meminta jasa baik Fahim untuk pergi dari situ.

Kenapa tiba-tiba semua pekerja lesap? Ke mana mereka mahu pergi. Tolonglah jangan tinggalkan dia dengan Fahim di waktu-waktu sebegini. Hatinya semakin tidak keruan. Minyak wangi diapakai Fareeq menusuk ke kalbu. Dia tidak berpakaian kotor seperti semalam.

Dia memakai jeans dan t-shirt. Mungkin sudah bersedia untuk pulang. Nampak segak. Eh Nabby! Tak payah nak puji sangatlah mamat ni. Tak dapat apa pun kalau puji dia kacak.

“Cari bos ke?” tanya Fareeq. Kali ini, suaranya tidak sebengis semalam. Entah mengapa, hati Maya sejuk mendengar suara itu. Kalau dari mula, dia bercakap begini, tidaklah Nabihah naik angin semalam.

Nabihah mengganguk, mengiakan soalan Fahim.

“Bos baru aje balik. Awak lambat.” Beritahu Fahim.

“Ya ke? Kalau macam tu saya balik dululah.” Ujar Nabihah, meminta diri. Buang tambang teksi saja dia ke sini. Bos Fahim tiada.

“Balik naik apa?” soalan Fahim mematikan langkang Nabihah.

“Teksi.”

Fahim hanya mengatakan okey. Dia membiarkan gadis itu berlalu pergi kemudian dia menghidupkan enjin kereta. Setelah memaklumkan kepada Akid dan yang lain dia mahu pulang, kereta itu berderum meninggalkan perkarangan bengkel.

Hon yang berbunyi mengejutkan Nabihah. Siapa pula yang menekan hon ni? Buat terkejut orang. Sudahlah tempat ini sunyi. Banyak lelaki pula tu. Satu teksi pun tiada. Kereta Proton Saga itu berhenti di tepi Maya. Tingkap kereta diturunkan.

“Kawasan sini teksi tak masuk.Masuklah, saya hantar awak balik.” Fahim menawarkan ikhlas. Dia masih berkeprimanusiaan. Tidak mungkin dia biarkan gadis ini di sini seorang diri.

Nabihah menggeleng, menolak. “ Tak apalah. InsyaAllah ada teksi.”

“Lelaki belakang awak tu, dia tak betul sikit. Kalau dia datang kacau awak, jangan cakap saya tak beri amaran.” Ujar Fahim, menunjukkan ke arah lelaki itu.

Apabila Nabihah pusing, lelaki itu tersenyum kepadanya. Seram sejuk dia dibuatnya. Tanpa memikir lama, dia terus membuka pintu dan masuk ke dalam kereta itu. Fahim tersenyum menang..

“Saya lapar, belum makan. Jom teman saya makan.” Ajak Fahim.

“Saya tak lapar. Saya nak balik.” Nabihah mulai kesal mengikut Fahim. Lelaki itu memandai-mandai mengajaknya keluar makan walhal mereka tidak kenal sesama-sendiri.

“Ke malu keluar dengan mekanik macam saya?” duga Fahim. Kemudian dia menyambung. “Saya tak boleh nak memandu kalau saya lapar.”

Nabihah berkerut dahi mendengar alasan yang diberikan Fahim. Tidak masuk akal langsung!

“Kalau macam tu, berhentikan saya dekat sini. Saya boleh naik teksi. Tak pun saya telefon papa.” Balas Nabihah. Tiba-tiba dia perasan. Sekarang ini mereka berada di lebuh raya. Cadangan yang bodoh. Kot ya pun, tunggulah kalau keluar dari lebuh raya.

“Suka sangat kan menyusahkan orang? Betul nak berhenti dekat sini?” tanya Fahim meminta kepastian. Dia memperlahankan keretanya.

Geram Nabihah dengan Fahim. Memaksa orang saja kerjanya. Andai Fahim betul-betul memberhentikannya di sini, habislah dia. Cari masalah namanya. Akhirnya, dia bersetuju untuk bermakan malam bersama Fahim. Lagipun, dia juga lapar. Lapar sangat!

Fahim memberhentikan keretanya di gerai makanan di tepi jalan. Saat dia keluar, Nabihah masih berada di dalam kereta. Tidak mungkin dia mahu membuka pintu kereta untuk gadis ini. Dia mengetuk cermin kereta itu.

“Kenapa tak keluar? Geli ke makan dekat sini?” provok Fahim.

“Mana ada? Jomlah!” Nabihah menyangkal tuduhan Fahim dan keluar dari perut kereta.

Fahim mengangkat kening melihat Nabihah makan dengan begitu selera. Gadis ini tidaklah sesombong yang dia sangkakan. Malam itu, mereka berborak kosong. Siapa Nabihah dan siapa Fahim.

“Kalau nak jumpa bos, datang pukul 12 tengahari esok. Tak boleh lambat seminit.”

Itulah kata-kata terakhir Fahim, pemisah malam hari merka. Nabihah masuk ke dalam rumah dengan perasaan bercampur aduk. Fahim tidaklah seburuk yang dia sangka. Dia masuk ke dalam bilik dengan senyuman yang terukir di bibir.

**

NABIHAH tiba di bengkel itu jam 12.02 tenghari. Berharap sangat yang bos Fahim berada di bengkel. Biasalah, jalan sesak. Sebab itulah dia terlambat. Jika dia masih tidak dapat berjumpa dengan bos Fahim, memang ianya tidak masuk akal. Tidak mungkin tunggu untuk dua minit pun tak boleh?

Memandangkan Fahim yang seorang saja berada di situ, dia mendekati Fahim.

“Bos dah keluar. Saya dah kata jangan lambat walaupun seminit.” Beritahu Fahim acuh tak acuh.

Nabihah mengeluh kecil. “Kenapa dengan bos awak hah? Takkan tunggu dua minit pun tak boleh? Ridiculous!

You don’t make people wait. You arrive early.” Balas Fahim.

Terkejut Nabihah mendengar Fahim berbahasa Inggeris. Mekanik seperti Fahim boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Hebat.

“Hey, saya pun lulus SPMlah.” Fahim bersuara, menyedarkan Nabihah dari lamunan. Aik, macam tahu-tahu saja aku tengah bercakap tentang dia.

Mujurlah hari ini dia datang bertemankan Hana. Dia menumpang kereta Hana untuk ke sini. Cadangnya setelah berjumpa dengan bos Fahim, dia akan pergi makan tengahari dengan Hana.

“Oh ya kereta awak belum siap lagi. Tambah tiga hari lagi.”

“Hah?! Awak tau baiki kereta saya ke tidak ni? Kenapa lama sangat?” Nabihah tidak puas hati dengan apa yang baru dia dengar. Dia perlukan kereta dia!

“Manalah saya tahu. Kereta ni banyak masalah macam tuan dia. Awak dah lama ke tak servis?” Fahim hanya membuat muka kosong sementara muka Nabihah sudah merah menahan marah.

“Sengal!” seraya dengan kata-kata itu, Nabihah berlalu pergi.

**

JIKA tidak kerana dokumen yang tertinggal di keretanya, tidak ingin dia mahu ke bengkel ini sekali lagi. Sebolehnya, dia mahu menyuruh abang untuk mengambil keretanya nanti apabila genap seminggu.

“Awak ni kalau rindu saya, cakap ajelah. Tak payahlah nak usha-usha saya, datang sini tiap hari.” Usik Fahim tatkala melihat Maya di bengkelnya keesokkan hari.

“Tsk!” Itu saja yang mampu Nabihah katakan. Betulkah dia rindu Fahim? Betulkah dia rindu untuk berborak kosong dan melayan karut Fahim?

“Orang yang selalu mengelak dari menjawab soalan tu, selalunya cuba menafikan sesuatu.” Usik Fahim. Dia seronok melihat Nabihah yang merah menahan malu.

“Fahim, stop it.” Pinta Nabihah. Apabila mendegar gelak tawa Fahim, dia jadi tidak keruan. Mengapa hatinya berdebar-debar tidak tentu pasal? Melihat senyuman Fahim untuk pertama kalinya membuat jantungnya terasa lemah. Aduhai...

“Tak apa, saya tak kisah. Tengoklah puas-puas. Nanti dah tak dapat tengok, rindu.” Sekali lagi Fahim mengusik sambil tersenyum nakal.

“Dahlah saya nak balik pejabat ni. Bye. Assalamualaikum.” Nabihah berlalu pergi.

Salam yang diberikan dijawab oleh Fahim.

“Nanti malam saya telefon.” Ujar Fahim lembut. Nabihah mengetap bibir, oh hati tabahlah dikau!

**

“KAU betul ke dah suka dengan mamat mekanik tu?” tanya Hana. Sedari tadi dia melihat Nabihah termenung jauh.

“Mana ada. Mengarutlah kau.” Nafi Nabihah keras.

Sudah dua hari Fahim tidak menelefonnya. Telefon yang dipegang ditatap sekali lagi. Adakah Fahim sudah melupakannya? Mengapa Fahim berbaik dengannya jika Fahim mahu pergi begitu saja.

Andai Fahim saja mahu mempermainkan perasaan Nabihah, gadis itu tidak mampu berbuat apa-apa. Semalam sudah genap seminggu keretanya diperbaiki tetapi dia tidak dapat ambil kerana semalam dia terlalu sibuk Sampai rumah jam lapan. Rancangannya, hari ini baru dia mahu ambil.

Nabihah tiba di bengkel dengan hati yang berat. Bayang Fahim tidak kelihatan pun di bengkel itu. Inikah padahnya kerana terlalu sombong dengan Fahim? Kalau orang dah tak sudi, tak mungkin dia terhegeh-hegeh kan? Hidup perlu diteruskan.

Hon yang berbunyi membuatkan Akid dan Nabihah berpaling serentak. Lexus RX359 yang berhenti di hadapan bengkel itu tidak menarik perhatian Nabihah. Dia mendapatkan keretanya.

“Kid, mana barang yang aku suruh kau simpan tu?” suara itu menyapa telinga Nabihah. Seperti dia kenal suara itu. Dia pusing untuk melihat gerangan suara itu.

Adakah dia berpijak pada bumi nyata? Inikah lelaki yang dirindui? Inikah suara lelaki yang menyapa tadi? Kini Fahim dan Nabihah sama-sama terkejut. Fahim tidak sangka yang Nabihah berada di bengkel ini. Bukankah semalam keretanya sudah boleh siap diambil?

Nabihah menghapiri lelaki yang segak berpakaian dalam pakaian seragam Malaysia Airlines (MAS). Apa matanya kabur ataupun ini benar-benar Fahim? Fahim seorang juru terbang? Tidak mungkin!

“Kenapa awak ada dekat sini?” tegur Fahim setelah agak lama mereka berdiam.

“Agaknya Tuhan nak tunjukkan saya siapa awak sebenarnya. Tak mahu saya tertipu.” Balas Nabihah.

“Kenapa awak nak marah bila tahu saya juru terbang? Bukan ke tu perkara gembira buat awak? Mekanik kan tak ada standard?” Fahim membalas kata-kata Nabihah.

“Jadi apa motif awak sembunyikan saya hal sebenar? Yang awak bos bengkel ni?” Nabihah memberanikan diri untuk melawan cakap dengan Fahim.

“Saja. Saya nak uji awak. Nak tengok awak ni materialistik ke tak. Terbukti awak tak, jadi awak lulus untuk jadi kekasih saya.” Fahim bergurau untuk keluar dari keadaan tegang ini.

Nabihah tertawa kecil. Tidak guna marah-marah kerana ia tidak mengubah apa pun.

Seriously Fahim?” tidak percaya dengan kenyataan di depan mata.

“Salah awak juga. Sombong sangat. Lepas tu pandang saya sebelah mata. Tengok sekarang ni siapa yang tergila-gilakan siapa.” Sakat Fahim lagi.

“Eish tolonglah! Saya tak minat juru terbang yang pandu kereta Lexus macam awak.” Nabihah mencebik memandang Fahim.

“Oh ya ke? Habis tu minat siapa sekarang?”

“Saya lebih suka mekanik saya yang bawa Proton Saga.” Nabihah tersenyum senang.

“Ha ha. Tu kereta sewa. Kereta Akid!” Fahim tertawa.

Nabihah hanya mampu menggeleng-geleng kepalanya. Tidak sangka Fahim sangup melakukan semua itu hanya untuk menguji dia. Sekarang ini, tidak kisahlah Fahim ni bos bengkel ke, juru terbang ke, mekanik ke, perasaannya tetap sama untuk satu orang yang sama.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.