Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 30

Hannah mengisi susu ke dalam bekas yang dikhaskan. Kemudian dia memeriksa bahan mana yang tidak cukup supaya ditambah. Dia terlalu fokus melakukan kerjanya sehingga tidak perasan yang ada sepasang mata yang memerhatikannya.

“Amboi kau ni. Lama tak datang kerja, ambil cuti kahwin ke?”

Hampir tersedak Hannah mendengar soalan Faz. Faz sedang beserkap jarang atau dia benar-benar sudah tahu? Macam mana ni, haruskah dia jawab? Ataupun diam saja? Tapi kata orang, diam bermakna setuju. Namun, dia tidak mahu terlintas untuk menipu.

“Pelik kau ni. Kalau ambil cuti panjang aje maknanya cuti kahwin? Aku ada hal keluargalah.” Dalih Hannah. Tidak menipu, mahupun berterus-terang.

Kening Faz terangkat sebelah, meragui kata-kata Hannah.

“Eh betullah! Dahlah, malas aku nak layan kau.”

Haikal memandang dari jauh, ingin mencuba nasib hari ini. Belum cuba, belum tahu. Namun, dia takut. Takut dia tolak mentah-mentah oleh Hannah. Maka dengan itu, dia memikir sejenak bagaimana untuk mengajak Hannah keluar. Langkah pertama memang mengerunkan Haikal, tidak mengapa. Usaha tangga kejayaan!

“Hannah, kau tonton tak drama semalam?” tanya Faz, menukar topik perbualan mereka memandangkan Hannah tidak mahu bercerita.

“Cerita apa?”

“Cinta Jannah. Ada Aeril Zafrel woi! Ya Allah Hannah, kacaknya dia! Suara dia...boleh buat aku jatuh terduduk!” bersungguh-sungguh Faz bercerita tentang hero pujaannya.

Hannah tertawa kecil. “Sudah-sudahlah tu. Tak payah nak meroyan sangat. Dia bukannya kenal kau pun.”

“Eleh, kau pernah dengar tak istilah jauh di mata dekat di hati?” Faz bertanya, memberi peribahasa yang sesuai dengan perasaannya sekarang.

“Kau pernah dengar tak orang muntah darah sebab meluat?” Hannah berkata dengan selamba.

“Kau ni memang. Tapi tak apa kalau ada tak dapat Ariel Zafrel, sekurang-kurangnya ada orang yang bernama Aril kenal aku juga.” Faz menjeling.

“Siapa?”

“Aril kerja pejabat depan tu.” Faz memuncung menunjuk bangunan bertentangan dengan mereka.

“Lelaki macam tu, nak ke dekat perempuan biasa-biasa?”

Dia sengaja mahu tahu pendapat Faz tentang Aril yang ramai peminat itu. Faz, kalau Aril memasuki kafe ini, pinggan mangkuk di belakang akan ditinggalkan semata-mata hendak melayan Aril. Dasyat tu. Seperti angau tahap dewa.

“Dia tu kacak, baik hati, bercakap dengan sopan, bekerjaya dan pokoknya, dia lelaki impian.” Faz memuji Aril melangit.

Hannah tersenyum. Oh macam tu ya? Sengaja dia membiarkan Aril dipuji melangit. Beginikah menjadi pesaing kepada wanita-wanita di luar sana kerana memiliki suami impian semua?

Sepanjang mereka berkahwin, Aril selalu menyakatnya. Namun, dia tidak dapat menafikan bahawa kadang-kadang Aril adalah lelaki paling romantis pada waktu-waktu tertentu. Dia tidaklah seteruk mana, mungkin kerana Hannah belum kenal siapa Aril sebenarnya?

Hannah dan Faz serta-merta terdiam saat Haikal datang menghampiri mereka. Bukannya takut tetapi hormat. Ada masa mereka bergurau, ada masa mereka serius.

“Hannah, awak boleh teman saya jumpa wakil Rohan Tradings? Saya nak bincang tentang biji kopi yang baru dengan mereka.” Tanya Haikal, memberanikan diri. Inilah dinamnya, sambil menyelam minum air.

“Bos, saya free kalau awak nak saya temankan!” Faz mengangkat tangan, menawarkan diri.

“Atau saya patut tukar struktur soalan saya. Hannah saya mahu awak teman saya pergi jumpa wakil Rohan Tradings.” Ujar Haikal serius, menekan perkataan ‘mahu’ dengan kuat.

Hannah terkebil-kebil memandang Haikal. Dari tadi tak bilang pun? Kenapa tiba-tiba? Lagi satu, kalau Faz mahu temankan, biarlah dia yang pergi. Tak kuasa dia mahu keluar dari kafe ini. Malas.

Melihat Haikal sudah menolak pintu kafe lalu keluar, Hannah lintang-pukang mengejar. Kalau dengan Aril, bolehlah dia memujuk untuk bekompromi tetapi ini bersama Haikal. Bosnya. Nanti tidak pasal-pasal, dia dibuang kerja.

“Pukul berapa kita kena berjumpa dengan wakil Rohan Tradings?” tanya Hannah sebaik sahaja dia berada di dalam kereta Haikal.

“12 petang.”

“Hah?! Sekarang baru pukul 10.30 kot. Kenapa awak keluar awal sangat?” Hannah terjerit, membuatkan Haikal menutup telinga kirinya.

“Tak apalah, kita boleh keluar makan dulu. Awak tak lapar ke? Anggap ni, early lunch.” Balas Haikal bersahaja.

Memang ianya terlalu awal, malah masih boleh dianggap sarapan lagi. Macam-macamlah Haikal ni. Banyak songeh!

“Kenapa tak ajak Faz? Kan dia nak ikut tadi?” soal Hannah, ingin tahu.

“Sebab awak pekerja baru. Lemah dan masih banyak harus belajar. Jangan ingat awak dah tahu buat kopi, awak dah pakar. Faham?”

“Ya.” Hannah menjawab acuh tak acuh.

“Faham ke tidak? Saya tak dengar?” sengaja Haikal menguatkan suaranya, membuat Hannah sedikit terperanjat.

“Ya!”

Perlahan-lahan, Haikal memaling wajahnya ke kiri dan tersenyum. Hah, tahu takut. Orang dah cakap elok-elok masih mahu diprotes, masih mahu membantah. Degil Hannah seorang ini.

“Awak ni dah berkahwin ke?” Haikal mencucuk jarum.

Mendengar soalan itu, Hannah sedikit gelabah. Dia teringat kata-kata Aril supaya tidak memberitahu sesiapa tentang perkahwinan mereka. Katanya oleh sebab mereka hanya menjemput keluarga terdekat, tidak perlu mereka sebarkan kepada orang ramai. Mengapa semua orang seperti berpakat menanyakan soalan sama ni?

“Hah? Apa maksud awak?”

“Tu.” Haikal menunjuk jari Hannah yang tersarung cincin.

“Oh, ini. Dah lama saya pakai. Awak aje tak perasan.” Tipu Hannah, membuat helah.

“Ya ke?”

Hannah mengganguk laju. Perlahan-lahan, dia menyembunyikan tangannya. Aduhai, macam mana pula boleh terkantoi hari ini? Lebih-lebih lagi Faz yang kepo itu.

Haikal tidak bertanya lanjut. Jika Hannah tiada yang punya, maka legalah dia. Haikal terus memandu ke restoran makan berhampiran untuk mengisi perut seperti yang dikatakan tadi. Peluan keemasan sebegini tidak boleh dilepaskan begitu saja.

ARIL memandang luar tingkap. Bukannya boleh melihat Hannah pun. Yang ada, papan tanda kafe tersebut. Mungkin dia agak terbiasa dengan kehadiran Hannah sehari dua ini, jadi apabila berjauhan dengan Hannah untuk beberapa jam, dia gelisah. Rindukah dia?

Telefon bimbit di meja itu, dicapai dan dia mula mendail nombor Hannah. Jika tidak melihat orangnya, dengar suaranya pun jadilah. Namun, panggilan itu tidak diangkat. Apa yang tidak kena? Selalunya jika dia tidak boleh menjawab panggilan Aril, dia akan reject dengan tanda dia sedang bekerja. Setelah dia agak lapang, barulah dia membalas mesej Aril.

Berkali-kali ditelefon, tetap tidak diangkat. Memanglah sakit hati tetapi Aril bukan jenis yang cepat melenting. Dia berfikir positif. Mungkin dia terlalu sibuk ataupun baterinya mati? Tidak pun, telefon tertinggal di beg. Tidak mengapalah, malam nanti tetap jumpa. Bukannya lari pun Hannah itu.

Dia terbayang jika Hannah tidak bekerja di kafe itu. Senang-senang saja dia boleh mengajak isterinya makan tengahari bersama. Dia faham, masa bekerja di kafe dan pejabat lain. Jadi, ingin mencuba untuk menjadi suami mithali, Aril akur dengan fakta itu. Hannah, ku kirimkan rindu.

Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.