Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 10

ESOK genap seminggu sudah dia bekerja di kafe itu. Setakat ini semuanya berjalan dengan lancar. Bos baik, teman-teman pun baik. Tidaklah dia malas untuk datang ke kerja hari-hari. Dapat minum kopi percuma setiap hari, siapa yang tidak suka.

Yang paling penting, dia teruja setiap kali melayan pelanggan. Jika mereka berpuas hati dengan kopi yang dibuat itu, Hannah juga akan turut gembira.

Tentang misteri pencuri lot itu masih menjadi rahsia Hannah. Datang awal ke kerja dan pulang sebelum Aril. Tiap pagi, dia hanya mampu melihat Aril dari jauh. Pelik. Bila jauh, terasa ingin berdekatan. Rindu untuk bergaduh dan bertikam lidah.

Berbeza dari hari-hari biasa, Hannah pulang agak lewat kerana terpaksa menolong Haikal menyelesaikan beberapa perkara berkaitan dengan stok. Faz dan Nabil sudah pulang jadi, tinggal dia sahaja. Memandangkan dia tiada apa yang perlu dilakukan di rumah, dengan rela hati dia menolong.

Sudah kenapa pula dengan keretanya hari ini? Tadi elok saja, sekarang semput pula jadinya. Habislah jika Aril pulang waktu-waktu sebegini. Dia keluar untuk melihat apa yang tidak kena pada enjin kereta. Masak dia kali ini. Pasti papa akan soal-siasatnya tentang kerosakkan kereta ini.

Usahanya sia-sia. Bagaikan tikus membaiki labu. Dia sememangnya tidak arif dalam bidang ini. Selalunya dia akan hantar ke bengkel ataupun suruh abangnya yang memeriksa. Hendak buat apa ni?

“Kereta rosak ke?” suara serak-serak basah itu menyapa telinganya.

Pantas Hannah berpaling. Aril. Habislah! Mahu sembunyikan muka di mana pun tidak tahu.

“Oh...awak rupanya. Misteri hantu raya yang mencuri lot ini dah terjawab akhirnya.” Ujar Aril saat melihat wajah Hannah. Tidak sangka dia dapat bertemu dengan Hannah hari ini. Langkah kanan.

Hannah terdiam, tidak tahu harus menjawab apa. Melawan tidak guna. Dia malas mahu bergaduh sekarang. Jika dia tidak beredar dari tempat ini sekarang, malam akan semakin larat dan gelap. Dia takut untuk berada di sini sendirian tanpa sebarang teman. Faz dan Nabil sudah pun pulang. Agaknya sedang seronok makan malam.

Melihat Hannah menyepi, Aril mendekati.

“Tepi sikit.” Arahnya tegas. Hannah bagaikan lembu mencucuk hidung, menurut.

Aril melihat apa yang tidak kena dengan kereta itu. Sesekali dia memegang spare partskereta itu. Entah apa yang digodamnya,tangan yang bersih itu sudah menjadi kotor. Atas dasar simpati, Hannah menghulurkan tisu basah dari begnya ke Aril. Tisu itu disambut lalu Aril menutup bonet depan itu.

“Masalah enjin ni, nak kena hantar ke bengkel.” Tutur Aril bersahaja tanpa senyuman.

“Hah?” bagaimana pula dia mahu pulang sekarang. Jam di tangan kirinya dikerling.

“Jomlah, saya hantar awak balik. Dah nak gelap dah ni. Bahaya kalau perempuan macam awak ada dekat sini sorang.” Aril memperlawa dengan wajah yang berkerut.

“Tak...tak apa. Saya balik naik teksi.” Hannah sedikit gugup ketika menjawab. Kenapa dia tiba-tiba baik dengan aku?

“Kawasan sini teksi jarang masuk. Lagi-lagi waktu macam ni.”

“Tak apalah, saya boleh balik sendiri.” Hannah menolak lembut sekali lagi. Dia sebenarnya ragu-ragu dengan kebaikkan Aril sekarang ini.

“Okey.” Aril akur dengan permintaan Hannah. ‘Nak sombong pula dengan aku waktu-waktu macam ni. Tak apa.’

Dia membuka pintu keretanya yang terletak di sebelah Hannah. Beg dan plan reka bangunannya diletak di tempat duduk penumpang. Enjin dihidupkan agar penghawa dingin itu terasa. Dia memandang sekilas ke Hannah yang sedang gelisah tidak menentu.

Jarinya laju memicit sesuatu di telefon bimbitnya. Apabila kenalan yang ingin dicari ditemui, dia melekapkan telefon itu di telinga. Perbualannya diperhatikan oleh Hannah. Sesekali dia melihat Aril mengerling ke jam. Kemudian dia terangguk dan akhir sekali dia menamatkan perbualan itu.

Hannah merengus. Dia betul-betul nak pergi? Fikir Hannah, tadi Aril hanya mengacah ingin meninggalkannya. Kalau sudah tahu tempat ini bahaya, kenapa masih mahu pergi? Lelaki ke macam tu? Kut ya pun, pelawalah sekali lagi.

‘Eh Hannah. Kau juga yang tolak pelawaan dia mentah-mentah. Sekarang ni bila dia nak pergi, kau mengamuk pula. Apa kena dengan kau ni?’ Hannah harus memikirkan jalan keluar. Dia harus berdikari tapi apa yang harus dia lakukan. Nombor telefon seorang mekanik pun dia tak ada.

“Saya dah telefon mekanik saya. Tinggalkan kereta awak dekat sini, nanti dia ambil.” Suara Aril yang datang dari belakang mengejutkan Hannah.

“Awak buat keputusan tanpa tanya saya? Habis tu saya ni macam mana?”

“Saya dah kata saya hantar awak balik. Sekarang ni boleh tak Cik Hannah Natasha masuk kereta saya sekarang? Panaslah dekat luar ni.” suruh Aril dengan nada menyindir. Bajunya dikibas-kibas kononnya berasa panas. Rasanya sudah dua kali dia kata yang dia akan menghantar Hannah balik.

Hannah serba salah. Dalam masa-masa kesusahan sebegini, lelaki yang dia menyampah inilah yang tampil ke hadapan untuk menolong. Namun, dia ragu-ragu. Dia tidak kenal dengan Aril. Bolehkah dia mempercayai lelaki ini?

“Sekejap.”

Hannah berjalan agak jauh sedikit untuk membuat panggilan. Penat menunggu, Aril berdiri menyandar di keretanya. ‘Leceh betullah minah ni. Orang dah nak tolong pun banyak songeh. Aku tinggalkan dekat sini sorang-sorang, baru padan muka.’

“Abang, kereta papa rosak. Abang boleh ambil Hannah tak?” harapannya diletak setinggi gunung. Moga-moga dia tidak perlu menaiki kereta Aril.

“Abang masih ada kerjalah Hannah. Hannah dekat mana ni?” jawab Aiman. Terasa bersalah kerana tidak dapat menjemput adiknya. Oleh kerana mesyuarat yang berpanjangan tadi, kerjanya tertanggu jadinya.

“Hannah masih dekat tempat kerja. Enjin pula buat hal tapi ada lelaki ni nak tolong hantar Hannah balik.” Hannah berpaling untuk melihat Aril. Kacak bersahaja, bermain dengan telefon bimbitnya.

“Lambatnya balik hari ni. Lelaki mana pula ni? Abang kenal?” Aiman bersuara prihatin.

“Ingat lagi tak mamat sengal yang Hannah selalu gaduh tu? Dialah tu.” Beritahu Hannah.

“Kereta dia warna apa?”

“Hitam.”

“Model?”

“BMW.”

“Nombor plat?”

“WXY 8523. Eh apa ni abang, tanya macam-macam?”Hannah berkerut kening mendengar soalan-soalan pelik dari abangnya.

“Dia tinggi ke rendah? Cerah ke gelap?” Aiman menghiraukan soalan adiknya dan terus bertanya.

“Tinggi sikit dari abang, berkulit cerah. Hish! Ingat ni filem Taken ke? Orang tak kena culik lah.” Geram dengan abangnya yang berlagak hero dalam filem Taken.

“Kenalah berwaspada. Dah makan ke belum ni?”

“Belum.”

“Pergilah ajak dia makan.” Saran Aiman. Dia tidak mahu Hannah menanggung lapar apabila tiba di rumah. Mak Mah terpaksa pulang awal kerana ada kecemasan menimpa keluarganya. Dia pula malas untuk menyinggah kemana-mana selepas kerja nanti.

“Yalah. Bye.”

“Kalau dia tak hantar Hannah dengan selamat, nahas dia. Tapi kalau dia hantar Hannah tanpa segaris luka di kulit sampai depan pintu, cakap pada dia, abang ucap terima kasih. Bye, take care.” Aiman mengakhiri perbualan.

Hannah memandang telefonnya dengan riak aneh. Apa pelik sangat abang aku seorang ni? Lagi satu. Abang menyuruhnya mengajak Aril keluar makan? Habislah nanti mamat tu ingatkan dia perasan pula. Tidak mengapa, dia rela berlapar. Balik nanti, masaklah apa yang ada di dalam peti ais tu. Maggi pun okey juga.

Hannah menapak berat ke arah Aril. Lambat laun, dia bersetuju untuk dihantar pulang oleh Aril. Kenapalah tiada orang lain yang datang untuk menghulurkan bantuan kepadanya? Kenapa harus dia? Rasa malu bersarang di dalam hati. Mengutuk orang tak ingat dunia, bila susah, dia jugak yang tolong kau. Ah, serabut!

BAU pengharum udara di dalam kereta Aril menenangkan jiwa. Kereta itu bersih dan rapi di bawah jagaan lelaki itu. Tiada surat atau sampah sarap bersepahan. Lihat cara pemakaian Aril saja, dia dapat mengagak lelaki ini jenis yang teliti dan prihatin dalam apa yang dia lakukan.

Jika tadinya dia segak dengan kemeja lengan panjang bewarna putih, disemat kemas ke dalam seluar, kini lengan baju itu dilipat hingga ke paras siku. Agak santai kerana waktu kerja sudah tamat.

“Teman saya pergi makan.” Aril bersuara sebaik saja lampu merah itu bertukar merah.

“Saya tak nak. Saya nak balik.”

“Saya tak minta pun pendapat awak.” Ucap Aril selamba, membuatkan Hannah panas hati.

“Apa masalah awak ni?”

“Apa masalah awak?” tekan Aril, menanya kembali soalan itu kepada Hannah.

“Kalau awak tak nak hantar saya, awak boleh aje berhentikan saya dekat tepi ni. Saya boleh balik sendiri.” Makan hati dia dengan ajakkan Aril yang berupa paksaan. Dia mahu pulang. Dia penat bekerja sehari suntuk hari ini dengan ragam Haikal.

Aril menghiraukan kata-kata Hannah dan menumpukan perhatian ke jalan raya. Dia membuat muka tidak peduli sebagai balasan. Tidak ambil pusing langsung dengan gertakan Hannah untuk memberhentikan perempuan itu di tepi jalan.

Meski dia selalu menyakitkan hati gadis itu, dia masih berhati perut untuk mencampak tepi anak dara orang di tengah-tengah jalan raya ini. Dia sudah berjanji untuk menghantar Hannah pulang, dia akan kotakan janjinya. Cuma dia lapar, dia ingin makan. Susah sangatkah untuk Hannah makan malam bersamanya?

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.