Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 21

HANNAH membancuh kopi yang dipesan dengan semangat yang terbang. Dia diberi tempoh tiga hari untuk membuat keputusan. Hari ini adalah hari yang kedua. Esok hari terkakhir dan dia harus memberi jawapan kepada papa.

Haikal melihat Hannah dari jauh. Dia tahu ada sesuatu yang menggangu emosi Hannah. Walaupun Hannah ceria seperti biasa, dia tahu Hannah sedang menyembunyikan sesuatu. Dia dapat rasakan yang kegembiraan Hannah dibuat-buat. Tidak seperti hari-hari yang lalu.

Dia sebagai seorang majikan bukannya hendak menyibuk dalam urusan peribadi Hannah tetapi sedikit sebanyak, dia terasa melihat Hannah begitu. Adakalanya, Hannah akan termenung jauh. Walaupun Hannah bukanlah seperti Faz yang kecoh dan bising itu, Hannah adalah seorang periang. Sesiapa yang ada bersamanya pasti akan terhibur dengan kecomelan dirinya.

“Hannah.” Haikal memanggil.

“Ya?”

“Boleh buatkan saya caramel ice blended? Lepas tu hantar dekat dekat bilik saya ya.” Pinta Haikal.

“Boleh.” Hannah menjawab laju. Tanpa membuang masa, dia terus membancuh kopi tersebut.

Tujuan dia menyuruh Hannah masuk ke bilik adalah untuk berbual dengan Hannah. Dia faham semua orang perlukan ruang privasi. Memanglah dia masuk ke dalam biliknya untuk menyelesaikan beberapa hal kafe tetapi pada masa yang sama, dia mahu tahu apa yang menggangu fikiran Hannah.

Hannah diarahkan masuk sebaik sahaja dia mengetuk pintu bilik Haikal. Haikal memang jarang menyuruh orang membuatkannya kopi. Jika dia mahu, dia akan melakukannya sendiri. Maklumlah, yang pakar berbanding yang baru. Sudah tentulah rasanya berbeza. Hannah meletakkan cawan kopi itu penuh hati-hati agar tidak tertumpah mengena kertas kerja Haikal.

Baru saja dia mahu membuka pintu bilik untuk keluar, Haikal memanggilnya sekali lagi. Dia tersalah buat kopi ke? Atau rasanya tidak kena dengan Haikal? Dia mengetap bibir, takut.

“Awak ada masalah ke?” tanya Haikal prihatin.

“Apa masud awak?” soal Hannah kembali, kurang mengerti dengan maksud soalan Haikal.

“Saya tengok awak diam aje hari ini. Tak seperti selalu. Ada apa-apa yang menggangu fikiran awak?”

Hannah tertawa kecil. “Selalunya saya bising ke, Haikal?”

“Bukanlah macam tu tapi saya rasa awak macam ada masalah. Saya sudi mendengarnya, Hannah.” Haikal berbahasa. Dia risau melihat Hannah yang seperti ada masalah gangguan emosi.

Ketara sangat ke perubahan moodnya sehingga Haikal sendiri perasan? Dia bukannya sengaja tetapi ia tidak boleh dikawal. Setiap masa, dia teringat akan lamaran Aril terhadapnya. Itu saja yang mengisi ruang mindanya saban waktu. Menyemakkan fikiran!

“Terima kasih Haikal tapi betul, saya tak ada masalah.” Tipu Hannah. Dia tersenyum lalu menghilangkan diri di sebalik pintu. Meski begitu, dia terharu kerana Haikal mengambil berat terhadapnya.

Bukannya hendak menipu tetapi dia bukannya jenis yang akan menceritakan tentang masalahnya kepada sesiapa sahaja. Hanya orang-orang tertentu yang dipercayai saja dia kongsikan masalahnya. Selebihnya, dia banyak memendam perasaan walaupun pada zahirnya dia tidak kelihatan seperti itu.

“Hannah, Hannah, Hannah! Kau tengok tu siapa yang tengah berjalan nak ke kafe ni!” dengan penuh semangat Faz menarik tangan Hannah, menunjuk ke arah seseorang.

“Siapa?” tanya Hannah acuh tak acuh. Dia melihat ke luar tingkap, ramai orang yang berjalan. Siapa yang dimaksudkan Faz?

“Hish, tengoklah betul-betul!” ngomel Faz, kini menunding jari ke arah lelaki itu.

“Alamak!” Hannah berubah panik. “Faz, kalau dia datang cari aku, cakap aku tak ada ya. Cakaplah aku sibuk ke keluar ke tak datang kerja ke.”

Hannah memberi alasan. Sepantas kilat dia menyembunyi di bawah kaunter agar tidak dilihat Aril. Apa pula lelaki itu mahukan pagi-pagi sebegini. Tidak kerjakah dia? Atau dia mahukan jawapan? Kan belum tiga hari?

“Yang dia nak datang cari kau kenapa?” tanya Faz pelik.

Sedar dirinya terperangkap, dengan pantas dia menjawab. “Err, kan hari tu aku pernah curi lot kereta dia. Agaknya nak marah akulah tu! Dah, dah pandang depan, janganlah pandang bawah sini!”

Pintu kafe itu ditolak dan tujuan utama Aril adalah ke kaunter. Sempat dia melihat sekeliling, mencari bayangan Hannah tetapi tidak kelihatan. Mustahil Hannah tidak bekerja hari ini. Hari ini kan hari Isnin?

“Ya Encik Aril, boleh saya bantu?” suara Faz bergema.

Hannah di bawah kaunter berkerut kening. Encik Aril? Entah apa-apa saja si Faz ni. Dengan Aril cakap bukan main lembut, dengan dia dan Hadi, mimpi sajalah.

“Saya cari Hannah. Dia ada?”

Hannah memejam mata. Janganlah Faz terlepas cakap. Dia belum bersedia untuk berempat mata dengan Aril.

“Err...Hannah, Hannah tak ada.” Faz beralasan. Hadi di suatu sudut tersenyum. Permainan apa yang dimainkan Hannah dan Aril ni? Kata tidak kenal antara satu sama lain, kenapa pula cari Hannah sampai ke sini?

“Tak ada? Okey tak apalah. Terima kasih.” Aril mengukir senyuman manis, membuatkan Faz tidak keruan.

Kemudian dia memberi isyarat jari, menyuruh Faz senyap dan ikut saja apa yang bakal dia lakukan. Dia ke pintu itu dan berpura-pura keluar. Setelah itu, dia kembali ke kaunter itu, memeluk tubuh. Menunggu puteri kayangan muncul.

“Dia dah pergi ke?” Hannah berbisik.

Faz memandang Aril yang beria-ia menyuruhnya mengganguk.

“Ha’ah, dah. Bangunlah. Takkan nak sembunyi kat bawah tu selama-lamanya?” tutur Faz, menyuruh Hannah bangun.

Percaya dengan kata-kata Faz, Hannah berdiri memandang tingkap. Tiada pun kelibat Aril. Cepat benar dia berjalan balik ke pejabat. Namun, saat dia berpaling ke hadapan, terkejut tidak terkata.

“Argh!” terjerit Hannah melihat Aril berdiri di hadapannya. Dia mengurut-ngurut dada untuk menghilangkan rasa terkejut itu.

Aril hanya berpeluk tubuh memandang Hannah. Semakin hari, dia semakin terhibur dengan kehadiran Hannah.

“Awak nak apa datang sini?” hendak sorok ke mana lagi pun dia tidak tahu. Sudah kantoi terang-terangan.

Sempat Faz menyiku Hannah. Agak-agaklah kalau hendak bercakap dengan lelaki kacak ini. Ini tidak, asal jumpa Aril saja, pasti Hannah akan marah-marah.

“Macam ni ke awak layan pelanggan?” Aril sengaja bermain dengan perasaan Hannah.

“Maaf. Selamat pagi Encik. Boleh saya dapatkan pesanan Encik?” Hannah memperbetulkan soalannya tetapi ia lebih berbaur kepada sindiran.

“Saya nak Hazelnut Latte, minum sini.”

Hannah mengganguk faham. Di dalam hati, sempat dia mengomel. ‘Hish dia ni, tak ada kerja ke nak buat, main terjah-terjah kafe orang.’

Hazelnut Latte.” Hannah memaklumkan pesanan itu kepada Faz. Baru saja Faz mahu mencapai cawan, Aril bersuara lagi.

“Saya nak Hannah yang buat.” Pinta Aril, kemudian mengambil tempat duduk.

Berdesing telinga Hannah mendengarnya. Mengada-ngada pula lelaki ini. Sebelum dia kerja sini pun Hadi dan Faz yang membancuh kopinya, jadi apa masalah dia sekarang? Geram, Hannah mengukir lukisan chipmunk di Latte dipesan Aril. Sempat dia meletakkan smiley face.

Hannah menghantar kopi yang dipesan Aril ke mejanya. Pandai Aril memilih meja yang paling hujung dan belakang. Ada sedikit privasi. Pasti dia tidak mahu sesiapa untuk mendengar perbualan mereka. Kali ini perasaan untuk berdepan dengan Aril sangat berbeza. Terasa kekok apabila lelaki ini melamarnya untuk menjadi isteri. Perasaannya bercampur aduk. Marah, segan, geram semuanya diadun menjadi satu.

“Tunggu. Saya ada hal nak bincang dengan awak sekejap.” Aril menghalang Hannah daripada terus berlalu pergi.

“Aril, saya tengah kerja ni.” Hannah mengingatkan. Dia bukannya seperti Aril yang boleh mencuri tulang. Silap hari, dia dibuang kerja oleh Haikal nanti.

“Haikal, aku pinjam staf kau sekejap boleh tak?” secara kebetulan, Haikal baru keluar dari biliknya. Tepat pada masanya!

“Boleh, silakan. Tapi jangan macam-macam.” Haikal memberi izin sambil mengusik. Lagipun, ini bukanlah masa yang sibuk dan tidak banyak pelanggan di kafe buat masa ini. Namun, mengapa Aril hendak berbual dengan Hannah? Ada apa antara mereka berdua? Secubit perasaan cemburu berjaya menyelinap masuk ke ruang hati Haikal.

Mahu tidak mahu, Hannah menarik kerusi dan duduk semeja dengan Aril. Untuk bertentangan dengan Aril, dia tidak berani. Maka dengan itu, matanya hanya tertumpu kepada lantai. Pelik betul dia dengan sejenis kuasa dipanggil perasaan.

“Saya dengar awak minta tempoh tiga hari.” Aril memulakan perbualan.

“Ya.”

“Kenapa?”

“Awak ingat awak hero bila awak buat macam tu? Masih ada lagi banyak perempuan yang sesuai dengan awak, Aril.”

“Tapi saya pilih awak.” Aril memandang tepat ke anak mata Hannah.

“Tapi saya tak suka awak.” Bangkang Hannah.

“Awak akan suka saya.” Jamin Aril.

“ Saya tak cintakan awak.” Tambah Hannah penuh yakin.

“Cinta boleh datang nanti.” Aril mensyorkan.

“Saya tak perasaan terhadap awak.”

“Malu tu pun sejenis perasaan. Macam awak sekarang ni. Malu untuk pandang saya.” Ujar Aril, mengusik Hannah.

Hannah terdiam untuk seketika. Menarik nafas dalam. Nampaknya Aril tidak menunjukkan tanda-tanda untuk menyerah. Dia mahu Aril tahu dia tidak akan sesenang itu untuk menerima Aril di dalam hidupnya. Alasan berkawan bukanlah passport untuk mereka bernikah.

“Aril saya serius ni. Berkahwin bukan perkara yang boleh dibawa main. Saya tak kenal awak dan awak tak kenal saya. Saya tak akan kahwin dengan awak sewenang-wenangnya.” Hannah menegakkan keputusannya.

“Tapi papa awak nampak seperti dia bersetuju.” Aril menggunakan kuasa minda.

Hati Hannah semakin dicengkam. Bahasa apa lagi perlu dia katakan kepada Aril? Kumbang bukan seekor, bunga bukan sekuntum. Hannah memandang sekeliling sebelum dia meneruskan kata-katanya. Takut sesiapa terdengar tentang topik perkahwinan ini.

“Yang hendak dikahwinkan itu saya bukan papa. Saya hargai kalau awak hormat keputusan saya, Aril. Saya tak cintakan awak, macam mana saya nak sehidup semati dengan awak? ” Hannah berkeras. Harus apa lagi dia dengan Aril ini?

“Are you saying no to me?”

“Yes!”

“Yes to marying me?” Aril cuba memerangkap malangnya ia gagal. Malah ia semakin membuat Hannah berang.

“Hish awak ni dah kenapa? Boleh jadi gila saya tahu tak kalau awak terus begini! Ergh!” marah Hannah lalu berdiri, ingin berlalu dari tempat itu.

“Hannah.” Aril menahan Hannah. Tangan gadis itu dipegang, menyuruh Hannah kembali duduk.

Terkejut dengan tindakan berani Aril, Hannah dengan cepat melepaskan tangannya. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia duduk kembali. Aril kalau tidak memaksa bukan Aril namanya.

Aril memandang Hannah tenang. Dia tahu di hadapannya sekarang adalah gadis yang sedang memberontak. Dia percaya hati Hannah ini tidaklah sekeras mana, dikena air, pasti lembut. Jika kena dengan gayanya, lembutlah dia nanti.

“Tak salah kalau kita mencuba. Cuba kenal antara satu sama lain. Saya nak jaga awak Hannah, saya nak lindung awak. Saya tak mahu lelaki lain pandang awak selain saya. Niat saya adalah untuk menghalalkan hubungan ini. Saya janji pada awak, say tidak akan sia-siakan awak sebab itu adalah perkara terakhir yang saya akan lakukan.” Aril memujuk dengan nada suara yang lembut. Dia tidak bergurau lagi sekarang, dia serius.

Terserlah juga aura lelaki Aril. Hannah tertunduk, menasihati hati agar tidak termakan dengan kata-kata Aril sebentar tadi. Memang membuaikan perasaan tetapi bolehkah dia percaya? Ikhlaskah Aril?

“Saya harap awak pertimbangkan.” Ujar Aril penuh mengharap.

Hannah memandang Aril sekilas sebelum meninggalkan lelaki itu seorang diri tanpa jawapan. Goyangkah pendiriannya hanya kerana pujukkan manis Aril? Dia buntu. Di saat-saat begini, dia ingin sekali mama ada bersamanya, membantu membuat keputusan. Dia rindu untuk berkongsi segala sesuatu dengan mama. Ya Tuhan, engkau tunjukkanlah jalan yang benar kepadaku.

“DIA reject kau? Biar betul?” Hadi terus duduk menegak. Tidak percaya dengan apa yang baru dia dengari.

Hebat Hannah ini. Tidak pernah dalam sejarah lagi mana-mana wanita menolak Aril. Dia harus menabik hormat kepada Hannah yang berjaya membuat Aril gusar, kalah buat kali pertama.

“Dia saja nak jual mahal tu,” Aril menyedapkan hati sendiri.

“Tapi kan, kalau aku jadi dia pun, aku tak nak kahwin dengan kau. Lebih-lebih lagi kalau aku tahu...”

“Tapi dia tak tahu, jadi aku tak rasa ada apa-apa masalah. Kau jangan risaulah, tunggu aje nanti. Dia takkan tolak aku sebab aku akan buat dia jatuh cinta dengan aku.” Aril tersenyum.

Hendak seribu dayah, tidak mahu seribu dalih. Jika hendak sesuatu, haruslah bekerja keras. Usaha adalah tangga kejayaan, maka tidak rugi jika kita bekorban sedikit masa dan tenaga. Semuanya akan baik-baik sahaja.

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.