Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 9

ARIL tersenyum senang sambil bersandar di kerusinya. Plan reka di atas meja tidak disentuh semenjak tadi. Wajah Hannah sering melayang di minda. Siapa sangka mereka akan bertemu di Malaysia, tanah tumpah darah sendiri? Hannah rupanya nama gadis itu. Hendak berahsia sangat konon.

Semakin Hannah marah, semakin itu dia galak menyakat. Selagi tidak melihat wajah Hannah kemerah-merahan, dia tidak akan berhenti. Itu sajalah cara untuk berkomunikasi dengan gadis ini.

“Encik Aril.”

Iffah yang berdiri di hadapannya membuatnya tersentak, terkejut. Laju saja dia menegakkan badan daripada bersandar. Bila masa pula Iffah masuk ke biliknya?

“Apa ni Iffah? Kenapa tak ketuk dulu sebelum masuk?” bentak Aril tidak puas hati kerana aksi tersenyum sendirinya dilihat oleh Iffah. Namun suaranya tidak meningking mahupun meninggi.

“Sa...saya dah ketuk banyak kali tapi Encik Aril tak dengar.” Terketar-tekar Iffah menjawab dek disoal dengan Aril.

“Lain kali ketuk berkali-kali. Ketuk sampai pintu pecah pun tak apa.” Bebel Aril.

Biar pintu itu pecah. Dia rela ganti tapi dia tidak rela stafnya melihatnya tersenyum sendiri. Malu setebal kamus! Tidak tahu mana nak letak muka ni.

“Saya cuma nak kasi Encik Aril fail yang Encik Aril minta tadi.” Iffah menghulurkan fail itu takut-takut.

“Hmm...”

“Kalau tak ada apa-apa saya keluar dulu.”

“Lain kali ingat! Ketuk dulu.” Aril mengingatkan lagi.

Iffah menggaguk kepala tanda faham. Sudah apa kena dengan bosnya hari ini? Marahkah dia kerana tidak mengetuk pintu ataupun dia melihat Encik Aril tersenyum sendiri? Pelik bosnya hari ini.

Encik Aril tersenyum, memang aneh. Malah, sesekali jika dia tersenyum, boleh luruh jantung gadis-gadis ini. Selalunya Encik Aril tidak sebengis ini. Walaupun dia tegas dalam soal kerja, dia tidak sombong dengan para pekerja. Lelaki bekerjaya dan kacak ini menjadi pujaan wanita-wanita di dalam ofis. Namun, tiada seorang pun dilayan Encik Aril.

SAKIT di hatinya masih berbekas. Geram dengan perangai Aril yang suka mencari pasal dan menyakitkan hati itu. Tidak bolehkah lelaki itu menegurnya cara baik? Cara sopan? Ini tidak, main langgar ikut sedap mulut saja.

“Dari tadi masamnya muka. Tertelan cuka ke?” tegur Faz, mengemas barang. Dia sudah bersedia ingin pulang. Hari ini, dia akan makan malam bersama tunangnya.

“Kalau tahu dari tadi kenapa sekarang baru tanya?” muncung Hannah sudah sedepa.

“Tak beranilah nak tanya, takut kau marah.”

“Memang aku tengah marah pun!”

Faz dan Nabil memandang sesama sendiri. Garang pula si Hannah tiba-tiba.

“ Haikal marah kau ke?” tebak Nabil. Pulang saja Hannah bersama Haikal, gadis itu tidak bertutur sepatah kata pun. Melihat mukanya yang berkerut seribu, tidak berani pula mereka ingin bertanya.

“Tak.”

“Habis tu gaduh dengan siapa pula ni? Pakwe?

“Tak. Dengan mamat senget yang kerja dekat ofis depan.” Sejurus menjawab, Hannah terus berdiri. Dia tiada mood untuk bercerita tentang Aril. Semakin dia teringat tentang hal itu, semakin itu dia bertambah marah.

Faz dan Nabil terbeliak. Hannah bergaduh dengan Aril? Biar betul? Tertelan pil berani ke Hannah ni? Tidakkah Hannah tahu siapakah Aril itu? Sememangnya, kenyataan Hannah amat mengejutkan mereka. Melihat Hannah jalan keluar dari kafe itu, mereka lintang-pukang mengikut.

Tiba di muka pintu, mereka bersurai dan mengucapkan selamat tinggal. Kebetulan tunang Faz sudah pun tiba. Hannah menyuruh Nabil jalan terlebih dahulu. Dia harus memeriksa keadaan. Lihat jika-jika Aril muncul di depan mata.

Tidak. Bukannya dia takut Aril memarahinya kerana mencari lot keretanya tetapi dia mahu bermain dengan masa. Andai Aril boleh menyakitkan hatinya, dia mahu melihat sejauh mana lelaki itu boleh bersabar jika lotnya dirampas Hannah.

Kepalanya tertoleh ke kiri dan ke kanan. Pandangannya jauh memancing ke pejabat Aril. Apabila memastikan Aril tiada di mana-mana, seperti lipas kudung dia berlari menuju ke keretanya. Dengan sekali tekan punat di kunci kereta, dia membuka pintu dan terus membolos. Laju saja dia mengundur kereta dan meninggalkan perkarangan kafe itu.

Selang lima minint, Aril yang keluar dari pejabat hanya mampu memandang lot kosong di sebelahnya. Sudah pergikah pemandu ini? Maknanya, dia lambat setapak. Dia tidak kira, esok dia harus mencari pemandu ini. Suka-suka nak ambil lot orang. Awas!

HANNAH bersandar di sofa, menyertai abangnya yang sedang bermain FIFA 13 di xbox. Sudah besar panjang sebegini pun masih juga melayan permainan ini. Sudah namanya lelaki, mana boleh dipisahkan dengan bola sepak. Kusyen itu dipeluk. Ingin ditumbuk-tumbuk saat membayangkan wajah Aril yang tiba-tiba menjengah di fikiran.

“Siapa suruh parking dekat situ?” setelah mendengar Hannah yang rancak bercerita tentang kejadian tadi, Aiman bertanya.

“Bukan ada tulis nama dia pun. Macamlah bangunan tu bapa dia yang punya!” marah Hannah sepenuh hati.

“Kalau betul bapa dia yang punya macam mana?”

“Hannah tak heran pun.” Hannah membuat memek muka menyampah. Apa masalahnya pun jika bapanya empunya bangunan itu? Rekaan semata-mata!

“Kenapa suka sangat cari pasal dengan orang?”

“Dia tu yang ting-tong. Tiap kali jumpa Hannah aje, adalah tu nak cari pasal. Kurang asam punya mamat tempoyak.” Dengan semangat Hannah meluahkan perasaan marahnya.

Aiman tertawa kecil. Mamat tempoyak? Kasihan lelaki itu.

“Tiap kali? Maknanya Hannah pernahlah jumpa lelaki ni sebelum ni?” Aiman menangkap sesuatu.

“Pernah, masa dekat Bali hari tu.” Beritahu Hannah dengan suara mendatar.

“Jodoh...” gumam Aiman perlahan.

“Apa dia?” Hannah pura-pura tidak dengar.

“Tak ada.”

“Hish, tolong eh! Tak mahu Hannah!” protes Hannah laju.

Kusyen itu dicampak ke sofa dan dia terus naik ke bilik. Dia menghempas badan tanda tidak senang. Namun, andai betul jodohnya tertulis dengan Aril, siapa dia untuk menidakkannya?

Tidak mungkin. Hannah menggeleng-geleng kepala. Kenal pun tidak, bercinta jauh sekali. Jauh di sudut hati, memang dia terdetik ingin berkawan dengan lelaki bernama Aril. Bukan kerana rupanya atau kereta yang dia pakai tetapi ada sesuatu tarikkan yang ada pada lelaki itu yang membuatnya tidak mampu menolak.

Meski begitu, mereka tidak pernah berdamai. Setiap kali berjumpa, pasti tidak sekata. Bergaduh mengalahkan anjin dan kucing. Masing-masing tidak mahu mengalah. Adakah sinar harapan untuk mereka walaupun menyampah tiap kali bersua?

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.