Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 7

PAGI itu, Hannah keluar untuk ke kerja lebih awal dari biasa. Dia ingin tahu jam berapa lelaki itu sampai ke kerja. Memang aneh. Lelaki yang dia tidak suka itu juga yang dia tercari-cari sekarang ini. Dia menahan ngantuk di dalam kereta menunggu lelaki itu yang tidak muncul-muncul dari tadi. Menyesal pula keluar rumah awal.

Apabila penantiannya tidak membuahkan hasil, dia keluar dari kereta. Kebetulan dia ternampak Faz dan Nabil yang sedang berjalan menuju ke kafe. Namun, mereka memandangnya dengan wajah yang terkejut. Kenapa pula ni?

“Kau parking kereta kau dekat lot tu?” tanya Faz hairan.

“Ya, kenapa?” jawab Hannah tidak bersalah.

“Kau tahu tak siapa yang selalu parking dekat situ?” Nabil pula menyoalnya.

“Siapa?”

“Mamat tu lah!”

“Siapa?” sememangnya dia masih tidak mengerti.

“Lelaki yang leka tengok semalam!” Faz mengingatkan.

“Ya ke? Tak ada tulis pun nama dia dekat lot tu? Lagipun apa dia nak buat kalau aku parking dekat situ pun? Dia nak alih kereta aku? Ke nak angkat guna satu tangan macam Hulk?” Hannah tidak faham kenapa dia tidak boleh memarkir keretanya di situ. Kenapa sampai lot parkir itu dikhaskan untuk lelaki itu pula? Macamlah dia empunya tempat ini.

Terbuntang mata Faz dan Nabil mendengar kata-kata Hannah. Apa Aril hendak buat? Hah, tunggu dan lihat. Kalau sudah terkena, jangan pula Hannah mencari mereka. Siang-siang lagi mereka sudah memberi amaran untuk mengalihkan keretanya tetapi Hannah tetap tidak mahu.

“Hish cari masalahlah kau ni!” dengus Faz.

Kenapa lelaki itu diberi penghormatan yang tinggi di sini meski dia tidak bekerja di kafe ini? Adakah dia pelanggan istimewa di sin? Tetapi mengapa mereka takut sangat dengan lelaki itu? Tidak ada tertera di mana-mana nama lelaki itu di parkir. Jadi, Hannah tidak bersalah dalam hal ini.

“Hannah, masuk sekejap bilik saya.” Arah Encik Haikal ketika dia lalu di kaunter itu.

Hannah yang tersedar dari lamunan, diri menegak. Untuk kesekian kalinya, mereka semua melihat Hannah dengan pandangan seribu makna tersirat. Ini yang dia tidak suka kalau bos sudah panggil masuk. Mesti ada apa-apa yang tidak kena. Baru hari kedua bekerja sudah ada kesilapan? Tidak patutlah Encik Haikal ni.

Pintu bilik Encik Haikal diketuk sebelum masuk.

“Pukul sebelas nanti ikut saya jumpa supplier.” Haikal menyelak fail di atas meja.

“Hah? Tapi saya bukan PA Encik Haikal. Hannah membalas lancang. Aduh, ingin sekali dia menyepak-nyepak mulutnya yang sudah terlanjur cakap.

“Siapa bos? Saya ke awak? Lagipun bukan awak bekerja sebagai seorang barista? Tak nak naik pangkat? Tak perlu belajar macam mana nak kendalikan klien?” Haikal membalas dengan soalan-soalan seperti peluru.

Hannah tertunduk malu. Kawal diri tu sikit Hannah Natasha. Jangan nak memberontak saja.

“Okey, pukul sebelas!” Hannah memberi persetujuan laju kerana takut dileter lagi.

‘Kau ni Hannah, memang suka sangat cari pasal dengan bos. Lain kali, apa dia kata, turutkan saja. Kau tu baru dua hari bekerja. Nanti dia lapor dekat abang, kau juga yang susah!’

Haikal tersenyum. Selama dia bekerja di sini, tiada seorang pun pekerjanya melawan cakap dengannya. Hannah berbeza. Telatah gadis itu comel dan selalu membuatkan hatinya senang meski mereka hanya bertemu untuk dua hari saja. Ada sesuatu yang menarik dan istimewa tentang Hannah. Senyuman gadis itu membuatkan dia tidak senang duduk.

“Bos nak apa dengan kau?” tanya Faz tidak sabar.

Hannah sedikit tercenggang. “Pasal aku masuk bilik bos pun kau orang nak kecoh ke?”

“Kau tahu tak, dah lama aku kerja dekat sini, jarang-jarang bos panggil aku masuk bilik.” Terang Faz.

“Ya ke? Yang kau nak sangat masuk bilik dia tu kenapa? Tak ada apa istimewa pun bilik dia.” Cebik Hannah.

Pelik dia dengan orang-orang ini. Dia paling tidak suka jika disuruh masuk ke dalam bilik Encik Haikal. Lain pula halnya dengan Faz dan Nabil. Teringin sangat untuk masuk ke bilik Encik Haikal. Masuklah, dia tidak kisah pun.

“Nanti aku cadangkan pada Encik Haikal supaya jemput kau orang masuk bilik dia ya. Buat kenduri sekali nak?” Hannah berloyar buruk.

Geram dengan Hannah yang mempermainkan mereka, Faz dan Nabil serentak mencampakkan bebola kertas yang telah digumpal. Tidak sempat Hannah mengelak, bebola kertas itu sudah mengenanya. Dia hanya mampu tertawa.

TEPAT jam 11, Haikal keluar dari biliknya. Setelah memastikan semua barang dia yang perlukan sudah sedia,dia keluar dari bilik. Dari jauh dia melihat Hannah sedang mengelap kaunter.

“Jom.” Hanya perkataan itu saja yang keluar dari mulutnya namun, jelas untuk Hannah fahami. Lintang-pukang Hannah membuka apronnya dan mencapai beg sandangnya.

Tidak sempat dia menjawab soalan Faz dan Nabil tentang kemana dia akan pergi bersama Encik Haikal. Kalau keluar dengan bos, tidak boleh banyak berbicara. Takut pula dia dimarahi dengan Encik Haikal. Keluar berdua dengan bos? Memang seperti dalam mimpi!

Sampai di tempat parkir, matanya terbuntang. Keretanya diparkir di antara kereta lelaki itu dan Encik Haikal? Memang cari nahas. Secara kebetulan, lelaki itu keluar dari pejabatnya dan berjalan ke arah keretanya. Masak! Mana dia hendak lari sekarang ini?

Andai Aril nampak dia, perang dunia ketiga boleh tercetus. Apabila Aril semakin hampir, dia sembunyi di sisi kereta Encik Haikal. Semoga Encik Haikal tidak memanggilnya pada saat-saat genting seperti ini.

“Aril. Dah lama tak nampak kau. Mana menghilang?” Haikal menegur sambil berjabat tangan.

“Eh Kal...Tak hilang pun. Aku pergi Bali aje kelmarin. Hari Ahad aku balik.” Lelaki yang dipercayai bernama Aril itu menjawab dengan suara serak-serak basahnya.

Bali? Benarlah dia lelaki yang Hannah jumpa di Bali. Kecil betul dunia ini. Namun, mengapa harus Hannah takut untuk bersemuka dengannya? Bukankah di Bali, dia berani mengalahkan pahlawan?

“Oh, kau nak pergi mana ni?” Haikal bertanya.

“Nak pergi tapak projek sekejap. Eh nanti lunch sama? Hadi pergi Port Dicksonlah. Lagipun, dah lama tak borak dengan kau.” Cadang Aril.

Hannah mengerut dahi, panik. Kalau dia mahu makan tengahari dengan Encik Haikal, maknanya Hannah harus cari jalan keluar supaya dia tidak ikut serta. Dia masih belum bersedia untuk berjumpa dengan Aril. Pandang dan amati dari jauh bolehlah.

“Boleh juga. Nanti aku dah habis mesyuarat, aku telefon kau.” Haikal memberi kata putus sebelum mereka berpisah.

Baru sahaja Hannah mahu berdiri...

“Eh tunggu! Kau tahu tak kereta siapa ni?” tanya Aril, menunjuk ke arah kereta Hannah.

Hannah menggigit jari. Alamak!

“Tak tahu. Tapi bukan ke kau yang selalu parking sini?

“Tulah pasal. Hantu raya mana entah kebas lot aku.”

‘Hantu raya dia panggil aku? Tunggulah aku naik hantu, baru kau tahu!’ Nafas Hannah turun naik mendengar kata-kata pedas dari Aril. Baru sahaja dia ingin berdiri, bersemuka dengan Aril, dia membatalkan hasratmya. Dia kembali menyangkung di tepi kereta itu.

Rupanya pagi tadi Faz dan Nabil tidak berjenaka tentang lot parkir Aril ini. Tidak mengapa, kalau dia tidak beritahu bahawa ini keretanya, tiada sesiapa pun akan tahu. Jadi, dia tidak usah berlagak pandai. Hanya perlu buat bodoh saja! Habis cerita.

Jika dia bersemuka dengan Aril sekarang, pasti Encik Haikal akan lambat untuk ke mesyuarat. Lagipun, dia mahu bermain dengan masa untuk berhadapan dengan Aril. Buat sekarang ini, dia lebih selesa bermain mata, berpandangan dari jauh saja.

Setelah mendengar Encik Haikal dan Aril sama-sama mengucapkan selamat tinggal, Hannah berdiri. Lega apabila kereta Aril meninggalkan perkarangan parkir itu. Pintu kereta ditutup perlahan ketika sudah berada di dalam. Takut pula kereta mahal Encik Haikal pecah dek kekasaran dirinya. Kalau kereta Myvi, bolehlah dia hantar pergi servis. Kereta Lexus Encik Haikal, memang tidak mampulah. Gaji pertama pun belum diterima.

Melihat cara Encik Haikal berhadapan dan menerangkan butir-butir maklumat kepada klien ini, Hannah faham mengapa dia boleh menjadi usahawan yang berjaya pada usia yang muda. Jika Hannah saja sudah kagum apa lagi orang luar?

Bukannya mudah untuk menguruskan bisnes sendiri dan sudah tentunya Encik Haikal telah membuktikan mereka salah. Bak kata pepatah, jika ada kemahuan, pasti ada jalannya. Antara kita rajin berusaha atau tidak sahaja.

“Encik Haikal nak pergi mana lepas ni?” Hannah bertanya setelah mesyuarat itu tamat. Klien mereka sudah pun beredar pergi. Encik Haikal pula sedang menyimpan kertas kerja yang berada di atas meja.

“Kan saya dah pesan, jangan panggil saya Encik Haikal. Panggil aje Haikal.” Terasa tua pula apabila Hannah memanggilnya Encik.

“Tapi saya tak biasa. Encik Haikal kan bos.” Ujar Hannah.

“Biasakan.” Tegas Haikal bersuara. Maya menelan liur. Jangan melawan lagi Hannah!

“Okey tapi kita nak ke mana ni?”

“Makan tengahari.”

“Kalau macam tu, kita jumpa dekat kafe sajalah. Saya balik sendiri.” Siang-siang lagi Hannah sudah memaklumkan yang dia tidak mahu ikut.

“Habis tu nak balik naik apa?” Haikal memandang Hannah, inginkan jawapan. Dia pergi bersama gadis ini, dia harus pulang dengan gadis ini.

“Teksi kan ada. Tahan saja, mesti ada yang berhenti!” Hannah menjawab lurus, membuatkan Haikal sedikit benggang.

“Jangan nak mengada. Jom ikut saya sekali.” Arah Haikal lalu terus membuka pintu untuk keluar.

“Tak apa, saya boleh makan dengan Faz dan Nabil.” Tolak Hannah sekali lagi.

“Saya pun boleh telefon dia orang cakap awak tak boleh datang.” Haikal menggunakan strategi lain untuk menghalang Hannah dari pergi.

Hampa. Nampaknya Encik Haikal tidak mahu berkompromi. Habislah dia kalau terpaksa jumpa Aril sekarang. Dia masih belum bersedia. Geram dia dengan Encik Haikal sekarang. Mentang-mentanglah dia bos! Sekarang ini kan waktu makan, jadi suka hati dialah mahu kemana pun.

Haikal membiarkan Hannah dibelakang. Dia tahu gadis itu saja mahu menunjuk protes dengan berjalan setapak demi setapak. Namun, ini baru permulaan. Jika tidak sekarang, bila lagi dia dapat keluar berdua-duaan dengan Hannah? Peluang keemasan tidak datang selalu. Melihat wajah Hannah yang masam itu, dia tersenyum kecil.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.