Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 39

MELIHAT Aril memasuki ruang pejabatnya, Hadi lintang-pukang ikut serta. Dia mahu tahu kenapa Aril tidak masuk kerja semalam. Tidak pernah-pernah lelaki itu ambil cuti atas sebab ‘saja’ sepanjang mereka berkawan. Pasti ada sesuatu yang terjadi yang membuatkannya begini. Tidak pun, pasti ada sangkut-paut dengan Hannah, isterinya yang cantik itu.

Jujur, dia gembira untuk Aril yang sudah pun mendirikan rumah tangga. Langkah Aril memang tidak salah. Daripada Aril terus dihimpit kenangan lama bersama Sofea, mengambil Hannah sebagai isteri adalah keputusan yang sepuluh kali lebih baik!

Pintu bilik Aril diketuk sekali lalu dan dia terus memasuki bilik itu tanpa menunggu izin daripada Aril. Dengan senyuman yang membawa seribu makna, Hadi mengambil tempat duduk di hadapan Aril. Banyak rahsia yang dia mahu korek daripada Aril. Semenjak bertemu Aril di restoran makan tempoh hari, dia ingin tahu perkembangan tentang Aril dan Hannah.

Dulu, selalu sangat bergaduh. Adakah sekarang ini mereka sudah berubah hati? Kalau ya, baguslah begitu. Jika tidak, memang Aril harus diasah hatinya supaya memberi peluang untuk cinta Hannah bertakhta.

Aril yang sudah masak dengan perangai Hadi, berpura-pura sibuk. Jika sudah tersenyum sumbing kalahkan kambing, pasti ada sesuatu yang dia mahukan. Selalu sangat Hadi buat kerja begini. Entah apa saja yang dia mahukan kali ini.

“Tak payahlah nak buat-buat sibuk dengan aku. Ni aku nak tanya, kenapa semalam kau tak masuk kerja?”

“Saja.”

“Kau jawab lagi sekali ‘saja’, aku sepak juga mulut kau sekarang. Kau pergi dating dengan Hannah eh?” tanpa beralas, Hadi terus menembak Aril dengan soalan pertama.

Lelaki, tidak pandai berkias-kias. Apa yang dia mahukan, dia tanya. Straight to the point!

“Hari-hari pun aku dating dengan dialah. Tak perlu tunggu semalam.”

“Habis tu, kenapa semalam kau tak masuk kerja? Bengang aku dengan kau ni. Sepuluh kali aku tanya, sepuluh kali kau tak nak jawab.” Terasa mahu hentak-hentak saja kepala Aril ke dinding. Lelaki ini bagaikan tiada perasaan.

“Kau pun sama kepo macam Hannahlah. Dia jatuh, kaki cedera. Jadi aku jaga dia semalam. Puas?”

“Romantiknya kau! Bro, kau dah betul-betul jatuh cinta dengan dia kan? Kalau tak kau tak akan ambil cuti semata-mata nak jaga dia tau tak. Tak pernah seumur hidup kau ambil cuti nak jaga perempuan.” Beria-ia Hadi berbual.

“Aku yang buat dia jatuh, jadi akulah bertanggungjawab. Tu saja.”

“Huih, mesti dia cair kan kau buat macam tu. Kalau akulah jadi Hannah, memang aku jatuh habis!” akhirnya, setelah berkali-kali didesak, Aril memberitahu alasan sebenar dia tidak ke kerja.

“Nasib baik kau bukan Hannah.” Aril mendengus. Cukuplah hanya ada satu Hannah di dalam hidupnya.

“Kau tahu tak sekarang ni kita tengah berkawan. Pelik ke tidak?” soal Aril.

“Habis tu kau terima?”

Aril mengganguk. “Sekurang-kurangnya aku ada housemate. Daripada dia tak anggap aku siap-siapa.Ada best friends that share everything together.

“Kau tunggu dan lihat. Jangan satu hari kau datang pada aku dan kata I’m lucky I’m in love with my best friend.”Hadi tergelak jahat.

“Kau ni pagi-pagi dah merapu kan. Pergilah buat kerja!” Aril ‘menghalau’ Hadi keluar dari biliknya.

Tiba-tiba fikirannya mengimbas semula detik-detik bersama Hannah semalam. Teringat wajah Hannah marah, wajah Hannah tersenyum dan cara tidur Hannah. Memang tidak pernah dibuat orang.

Fokus Aril, fokus! Tak payah nak ingat sangat pada perempuan tu. Buat kerja kau tergendala sahaja. Mujurlah semalam dia sudah menyiapkan separuh kerja-kerjanya di rumah. Dia memang tidak suka menyimpan kerja.

TEPAT jam 12.30, Hadi muncul kembali di bilik Aril. Kali ini untuk mengajak lelaki itu keluar makan. Tanpa berlengah kedua-dua lelaki itu keluar dari pejabat. Hari ini mereka mahu makan di restoran yang agak jauh sedikit. Dengan selamba, Aril berjalan menuju ke kereta Hadi. Nampak sangat dia tidak mahu memandu.

Sampai saja di restoran, Aril sudah tahu apa yang mahu dia pesan. Dari pejabat tadi dia terbayang-bayangkan nasi kandar dan ais limau. Mujur masih ada tempat kosong di waktu-waktu sesak seperti sekarang.

“Kau dah bagitahu Hannah pasal rancangan bulan madu kau orang?” tanya Hadi.

“Belum. Biar surprise!”

Berbulan madu bersama Hannah? Memang tidak pernah dia bayangkan seumur hidup. Bagaimana agaknya rasanya untuk keluar berdua, berjauhan dari keluarga bersama pendamping hidup kita.

“Belum? Kira nak beri dia kejutanlah ni? Kau orang nak pergi mana hah?”

“Memang aku selalu bagi dia kejutan. Baru thrill. Mana kita nak pergi adalah rahsia. Minta maaf...” Aril mengejek Hadi yang mahu tahu kemana mereka akan tuju.

Rancangnya, dua hari sebelum pergi barulah dia mahu beritahu Hannah. Percutian ini sudah lama dia rancang tetapi sengaja tidak mahu beritahu Hannah. Saja.

“Banyaklah kau punya thrill. Jangan lupa oleh-oleh aku!” pesan Hadi.

Mata Aril tertumpu kepada sesuatu. Adakah matanya mempermainkannya ataupun ini memang kenyataan? Dia bukannya jenis yang panas baran atau cepat marah, tetapi hatinya seakan membara melihat adegan di hadapannya. Orang adalah risau tentang dirinya tetapi dia seronok keluar dengan lelaki lain.

Hadi yang sedar daripada tadi dia hanya berbual seorang diri, mengekori anak mata Aril. Aril tertumpu kepada sebuah pasangan lelaki dan perempuan. Yang perempuan, jalannya terhinjut-hinjut. Selangkah demi selangkah dia berjalan dengan bantuan lelaki itu. Apa kaitan Aril dengan pasangan itu? Atau...itu adalah Hannah? Melihat wajah Aril yang bagaikan ayam berak kapor itu, Hadi sudah dapat mengagak apa yang berada di dalam fikiran sahabatnya.

“Aku dah pesan dia banyak kali, jangan keluar sebab kaki dia belum baik betul tapi dia degil.” Ucap Aril tenang.

Hadi sekadar mendiamkan diri. Walaupun dia selalu tertanya-tanyakan tentang rumah tangga mereka, dalam situasi sekarang, dia tidak layak untuk berkata apa-apa. Dia tidak mahu jadi batu api yang akan menyemarakkan keadaan yang panas ini.Namun dia tabik dengan Aril yang masih mampu bertenang walaupun hati bergelora. Aril yang dikenali memanglah akan membebel tetapi jarang sekali dia akan marah dan naik angin.

Aril lebih suka bersikap rational dan memikir sebelum bertindak. Seperti sekarang ini, dia hanya meneliti pasangan itu. Jika dia ikutkan hati dan melenting, dia juga akan dapat malu. Serasanya dia dia di tempat Aril, memang dia tidak dapat mengawal perasaan seperti Aril. Aril sangat tenang dan penyabar baginya.

“Kau marah dia keluar ke kau cemburu dia dengan lelaki lain?” provok Hadi.

Cemburukah dia kepada Hannah? Betulkah dia hanya berasa marah hanya kerana Hannah keluar rumah meski dipesan berkali-kali? Ataupun dia sebenarnya tergugat kerana ada lelaki yang berdampingan dengan Hannah. Dimanakah maruahnya sebagai suami? Dia keliru dengan perasaan ini.

Fokus mereka masih kepada pasangan itu yang menunjukkan belakang mereka. Sehingga sekarang ini, mereka masih belum lihat muka wanita itu tetapi Aril sudah benar-benar pasti itu adalah Hannah.

“Eh kau nak pergi mana ni?” Hadi sudah gelabah melihat Aril berdiri.

“Aku nak azankan sikit lelaki tu.” Aril berlawak selamba.

“Hoi kau jangan main-main. Masa-masa macam ni pun nak bergurau.” Hadi menahan. “Eh, eh, perempuan tu nak duduk dah. Kita tengok muka dia ya.”

Inilah saat yang ditunggu-tunggu sedari tadi. Satu, dua, tiga! Tergelak-gelak Hadi memandang Aril. Aril yang berdiri kembali terduduk. Adoi, malu! Salah orang rupanya. Pelanduk dua serupa. Memang sebijik macam Hannah! Kantoi sudah. Hadi yang sedang gelak sakan menutup mukanya. Andai saja dia boleh rakam wajah Aril yang ketat tadi, sepuluh kali lihat pun tetap akan ketawa!

“Dahlah tu, tak payah gelak lagilah.” Aril mengacau-ngacau airnya, serperti tidak bersalah apa pun. Malu besar!Bayangkan kalau dia benar-benar menegur pasangan itu.

“Kau cemburu kan sebenarnya? Aku bilang Hannah boleh tak?” tanya Hadi dengan tawa sisanya.

“Kau jangan nak cari pasal eh nak bilang-bilang Hannah! Aku rebus kau baru tau.”

Andai dibilang Hannah tentang perkara ini, pasti Hannah akan turut mentertawakannya tiga hari tiga malam. Sukalah Hannah dapat mengusik Aril. Geram Aril dengan Hadi ni, nak makan pun masih boleh tergelak. Aduhai, memang teruk gila bayang Aril ni!

Previous: Bab 38
Next: Bab 40

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.