Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 2

SETELAH puas bergambar di pantai Kuta, mereka ke pasar Kuta pula. Pasar Kuta yang dimaksudkan bukanlah pasar yang menjual ikan, ayam, daging atau sayur-sayuran. Pasar Kuta di Bali ibarat Petaling Street atau Masjid India di Malaysia. Kata Lia, harga yang diletakkan bukanlah harga tetap jadi kita haruslah pandai-pandai menawar. Jika tidak, bersiap-sedialah untuk diketuk.

Rambang mata Hannah melihat baju-baju di situ. Jika ke Bali dan tidak membeli baju tie-dye, bagaikan tidak sahlah. Bali terkenal dengan baju tie-dye mereka. Murah-murah pula tu. Baru hari pertama sudah berbelanja. Bahaya!

Hannah dan Lia berjalan di dereten kedai pasar Kuta. Hampir setiap kedai yang mereka lalu, pasti ada jejaka yang memberi salam. Fahamlah Lia yang tujuan mereka ingin berkenalan. Tidak jawab nanti dikata sombong, kalau jawab nanti mereka fikir dia melayan. Akhirnya Hannah menjawab atas dasar hormat.

“Gila! Aku tinggal sini dari kecil sampai besar tak ada orang pun tegur aku bila aku jalan sini. Aku jalan dengan kau aje ada nak menyelit daun.” Ngomel Lia, perasan akan situasi yang mereka hadapi.

“Kau ingat seronok ke? Seram tau tak!”

“Menangis papa kau nanti kalau bawa balik menantu dari Bali!” Lia berseloroh.

“Hish, merepeklah kau ni. Kau nak yang mana satu, sini aku tolong kenalkan.” Gertak Hannah. Laju saja Lia menggeleng, menggoyangkan kedua belah tangan tanda tidak mahu.

Perut yang kosong sudah bergendang-gendung dari siang tadi. Penat berjalan dari siang ke malam tetapi tidak fikirkan makan pun. Setelah semuanya selesai, barulah perut terasa lapar. Hannah kalau bab-bab makan tidak cerewet, semuanya dia makan. Kalau diajak makan tepi jalan pun dia tidak kisah asalkan tempat itu bersih.

Lia memarkir keretanya sedikit jauh daripada tempat makan memandangkan sudah tiada tempat kosong. Jadi, mereka perlu berjalan kira-kira tiga minit lagi. Tidak jauh mana pun. Sampai saja di warong ‘Nasi Pedas’, Hannah melihat barisan yang panjang dek orang beratur. Menurut Lia, kata orang-orang kalau datang ke Bali tetapi tidak makan nasi pedas, tidak lengkaplah percutian mereka itu. Hannah tertarik untuk mencuba apa hebatnya nasi pedas yang hebat diperkatakan itu.

Fikir Hannah, mereka perlu layan diri dan mengambil lauk sendiri yang disediakan ala buffet tetapi tidak. Setiap pelanggan akan dilayan oleh pekerja di sana. Tiba giliran Hannah pula, dia tiba-tiba jadi buntu mahu makan apa. Tidak mahu mengakibatkan giliran orang-orang tergendala, dia memilih lauk-pauk itu secara rawak. Dia memilih ayam kicap, abon dan sejenis makanan yang umpanma cucur. Cucur itu berlainan kerana ia berperisa jagung. Tidak lengkaplah jika nasinya tidak ada sambal.

Baru sesuap nasi yang masuk ke dalam mulutnya, mata Hannah sudah terbeliak memandang Lia. Pedasnya tidak terkata. Cepat-cepat dia mencapai airnya dan minum untuk menghilangkan rasa pedas. Itulah, ingat terer sangat nak ambil sambal sebegitu banyak. Namun, bukan salahnya. Manalah dia tahu sambalnya sepedas itu? Bukannya dia tidak boleh makan pedas tetapi sambal ini sudah tahap maksima.

Hannah tertawa melihat wajah Lia yang menahan pedas. Jika dibandingkan Lia dengan Hannah, Hannahlah yang lebih tahan pedas. Tetapi, kalau sekarang ini Hannah saja sudah menyerah kalah, apatah lagi Lia. Cucur jagung itu terasa begitu enak. Mujurlah ada cucur itu, tidaklah pedas sangat nasinya apabila dicampur dengan ayam, sambal dan nasi. Dalam pada menahan pedas, Hannah tidak dapat menahan diri daripada mentertawakan Lia yang sudah menyerah kalah.

“Yang kau menangis ni kenapa? Tadi beria-ia ketawakan aku,” ujar Lia panik. Cepat betul Hannah berubah emosi, sekejap gembira, sekejap sedih.

“Pedaslah...”jawab Hannah sambil mengesat airmatanya. Sempat pula dia mentertawakan dirinya sendiri.

Lia menggeleng-geleng melihat telatah kawannya. Hannah ini orangnya periang. Selalu bergembira. Makanya tadi apabila Hannah menangis, dia panik. Hannah jarang sekali menangis malah sepanjang mereka berkawan. Kalau menangis pun kerana di sedang menonton drama Korea atau drama Melayu yang sedih. Dia senang melihat sikap Hannah yang sentiasa ceria tetapi adakalanya menyakitkan hati juga apabila menyakat orang.

Hannah yang manja ini amat disenangi semua. Wajahnya yang bagaikan berdarah kacukan itu mampu memikat mana-mana lelaki. Cuma Hannah saja tidak endah.

“Hari Isnin ni kau mula kerja kan?”

Hannah mengganguk.

“Kenapa kau tak kerja aje dekat pejabat papa kau? Tak payah susah-susah nak cari kerja.” Soal Lia.

“Sebab aku nak relaks dulu. Nak menikmati hidup.”

“Banyaklah menikmati hidup kau. Kau ingat kerja dekat kafe tu relaks ke?” bangkang Lia.

“Sekurang-kurangnya aku akan jumpa orang yang berbeza tiap-tiap hari. Tak adalah aku terperok dalam pejabat aje.” Hannah memberi alasan atas mengapa dia memilih untuk bekerja di kafe kopi.

“Suka hati kaulah. Tapi ingat, gaji pertama, belanja aku makan okey.” Lia membuat perjanjian.

“Bukan aku ke yang selalu belanja kau makan?” Hannah berkerut kening, mengusik.

“ Maksud aku, aku nak merasa duit susah kaulah.” Balas Lia geram dengan usikkan Hannah itu.

Hannah tertawa mengejek. Panas hati dengan sikap nakal Hannah, dia menyakat Hannah dengan lelaki yang melanggarnya di pantai Kuta. Serta-merta Hannah terdiam. Tidak suka dirinya dikaitkan dengan lelaki itu lagi. Buat sakit hati.

USAI makan, mereka bersembang-sembang tentang kehidupan. Bagaimana dengan kekasih hati Lia, pujaan hati Hannah dan macam-macam lagi. Lia kalau sudah berbiacara tentang Haikal, perut yang lapar pun boleh jadi kenyang. Kelmarin, Lia menemani Hannah untuk ke temuduga. Dapatlah dia melihat Haikal dari jauh.

Sudahnya, dia yang terlebih angau terhadap Haikal. Katanya, kalau dia dapat bos sebaik Haikal, tidak malas dia jadinya untuk ke kerja. Malah lebih bersemangat! Mulalah Lia dengan idea gila-gilanya. Kononnya hendak menjenguk Hannah di kerja walhal hendak melihat Haikal.

“Kau rasa mamat yang langgar aku tadi lebih tua dari Haikal ke?” soal Hannah tiba-tiba.

Tiada angin, tiada ribut tiba-tiba berbual tentang lelaki tadi. Sudah apa kena dengan Hannah ni? Tadi bukan main lagi nak cari pasal siap mahu bertumbuk. Katanya lah.

“Aik, rindu ke?” usik Lia. Ingat juga Hannah terhadap lelaki tadi.

“Tak kuasa okey! Aku tanya je, jawablah. Tak payah nak kelontong sana sini,” rungut Hannah.

“Amboi, aku pun tanya aje. Okey, balik pada soalan kau, aku rasa dia umur dia lebih kurang sama dengan Haikal kot. Mungkin sebaya dengan abang kau, tapi dia nampak mudalah. Dalam 26 tahun mungkin. Ahhh, abang kau yang kacak tu,” puji Lia sambil berangan-angan.

“Kan? Aku pun rasa dia sebaya dengan Haikal. Kau tu, mulalah berangan dengan abang aku.” Hannah bersetuju.

Bukan Lia seorang yang beranggapan abang Aiman itu kacak, malah semua kawan-kawannya kata abangnya kacak. Pernah suatu hari itu, kereta rosak, justeru itu, dia meminta abangnya menghantarnya ke kolej. Riuh bagai satu kampung hangat memperkatakakan kekasih Hannah kacak. Untung Hannah mendapat kekasih seperti itu. Mahu tergelak guling-guling dia. Apabila diberitahu kepada abang, hah, mulalah kembang apabila dipuji.

“Susah-susah, kau kahwin aje dengan mamat tu. Lagipun bukannya tak ada yang nak, kau yang memilih!” Lia memerli. Namun, dia bangga dengan sikap Hannah yang punya prinsip diri walaupun manja. Dia tidak senang-senang berkawan dengan lelaki dan cukup menjaga batas dengan lelaki.

“Nak beli coklat pun harus pilih, inikan pula calon suami.” Ujar Hannah. Eceh, tiba-tiba saja dia menjadi matang. Mahu tergelak dia memikirkan kembali apa yang dia katakan tadi. Namun betullah, hidup ini berlandaskan pilihan. Kita yang pilih hidup kita tetapi Tuhan yang menentukannya.

“Boleh saya duduk saya sini?” suara garau seorang lelaki membuat kedua gadis itu berhenti berbual.

“Eh boleh, silakan!” Lia dengan penuh ramah menjemput lelaki itu duduk.

Saat Hannah mengangkat muka untuk melihat siapa, dia terkejut. Hish! Lelaki ini macam lalatlah, mana-mana pun dia ada. Atau lelaki itu mengekori mereka ke mana saja mereka pergi? Menyibuk!

“Banyak kot meja kosong dekat kedai ni, kenapa nak juga duduk sini?” soal Hannah, tidak senang dengan kehadiran lelaki itu.

“Kipas.” Aril tersenyum. Jari telunjuknya menunding ke arah kipas di siling itu.

Hannah mendengus. Namun itulah alasan yang sama mereka duduk di tempat ini. Kerana ada kipas di siling. Tapi, dia lelaki. Takkan panas sikit pun tak boleh? Lia yang bertentangan mengganguk faham malah rancak berbual dengan lelaki itu.

Hannah pula mengigit jari geram. Banyak-banyak tempat di sini, di sebelah Hannah juga yang dia pilih untuk duduk. Rimas!

“Awak datang Bali untuk bercuti ke bekerja?” Lia bertanya, ingin tahu.

“Bercuti.” Jawab Aril sepatah.

Lia terbuai dengan senyuman manis Aril. Sungguh, lelaki ini boleh membuat mana-mana perempuan dalam dunia ini lemah melihat dia. Pasti dia kegilaan ramai gadis di KL,

Sepanjang mereka berdua berbual, Hannah sibuk bermain dengan telefon bimbitnya. Diajak Lia untuk pergi, Lia tidak mahu. Sudahnya, dia bermain Facebook.

“Kawan awak ni, bisu ke?” Aril sengaja mencucuk sarang tebuan. Dia ingin mendengar suara emas Hannah.

“Amboi awak ni. Duduk tak dijemput, datang tidak diundang. Mulut tu patut kena balut, jangan sampai awak saya tendang.” Hannah berpantun. Makan hati dia dengan sikap Aril yang bersahaja itu.

Sweet. Saya memang suka perempuan yang pandai berpantun. Melayu sangat!” ujar Aril, terusik dengan sikap comel Hannah.

Hannah menahan geram. Lia pula sudah tertawa melihat telatah Aril dan Hannah itu. Suka dia melihat Hannah yang marah-marah tetapi terpaksa melayan.

“Jomlah Lia, kita balik. Dah malam ni.” Ajak Hannah, sudah berdiri.

Kelam-kabut Lia mengambil begnya dan berjalan cepat mendapatkan Hannah yang sudah berjalan itu.

“Awak!” Aril memanggil.

Entah mengapa, Hannah tergerak hati untuk berhenti berjalan dan berpaling.

“Selamat malam.” Ucap Aril romantis.

Terbuai Lia dengan ucapan Aril walaupun dia tahu ucapan selamat malam itu dituju untukHannah. Hebat lelaki itu, mampu membuat dia tidak keruan. Tetapi, Hannah buat tidak endah dan terus berjalan keluar. Tak ada perasaan ke apa perempuan ni? Pelik Lia melihatnya.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.