Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 6

GEMENTAR di dada memang tidak terkata. Inilah hari pertama Hannah mula bekerja. Awal pagi lagi dia sudah bangun agar tidak terlambat untuk ke kerja. Hanya memakai bedak dan sedikit pencerah pipi, Hannah sudah siap untuk ke kerja. Bajunya diperkemaskan di hadapan cermin.

Beg dicapai, pintu bilik ditutup dan dia terus turun ke bawah untuk bersarapan. Di atas meja, sudah terhidang sarapan untuk dia dan abang. Dia ke dapur untuk menolong mak Mah apa yang patut, namun semuanya telah siap.

“Orang nak pergi kerja mak Mah, semangat bangun awal.” Sindir Aiman sambil menyendok mi goreng itu ke pinggannya.

Mak mah tertawa kecil mendengar kata-kata Aiman. Aiman sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Aiman dan Hannah membesar di hadapannya.

“Tolong sikit. Kalau tak pergi kerja pun Hannah memang selalu bangun awal kan mak Mah?” Hannah membela diri.

“Sudah-sudah, makan cepat. Nanti lambat nak ke kerja. Mak Mah doakan semuanya berjalan lancar untuk Hannah.”

“Amin!” Hannah meraup muka. Semoga doa itu terkabul. Dia memang takut untuk berhadapan dengan bosnya. Andai saja papa ada di sini, tidaklah dia setakut ini.

Usai makan, Hannah menyalam mak Mah dan abangnya. Hannah menghidupkan enjin kereta Honda papa. Beginilah selalunya. Jika papa tiada di sini, Hannahlah yang akan menggunakan kereta ini. Sekali-sekala, apa salahnya. Hendak beli kereta sendiri, papa tidak izinkan.Alasannya, kerana Hannah selalu bawa laju.

MASUK saja ke kafe itu, semua orang memandangnya. Seperti pelik sangat kehadiran dia di sini. Dia pakai baju terbalik ke? Atau bajunya koyak? Hannah jadi paranoid sendiri. Namun tidak salahlah jika mereka memandangnya, memang selama ini wajah ini tidak pernah dilihat di sini. Dia hanya mampu tersenyum. Cepat-cepat dia berjalan mendapatkan seorang wanita yang sedang mengelap meja.

“Encik Haikal ada di dalam? Saya Hannah Natasha.” Hannah memperkenalkan diri ke wanita yang dia percaya adalah salah satu pekerja kafe itu.

“Oh, tunggu sekejap ya.” Wanita itu menunjukkan jalan ke bilik Encik Haikal. Pintu itu diketuk beberapa kali sebelum melangkah masuk. Setelah memperkenalkan Hannah dengan Encik Haikal, wanita itu berlalu pergi.

“Duduk.” Suara garau itu mempersilakan Hannah duduk.

Seperti lembu dicucuk hidung, Hannah hanya menurut. Haikal memerhatikan Hannah. ‘Kenapalah dia tidak kerja di sini sejak dulu lagi. Dah kahwin agaknya aku sekarang ini.’

“Saya rasa minggu lepas saya dah terangkan apa yang patut kan?” Haikal inginkan kepastian.

Hannah mengganguk-angguk kepalanya menandakan ya. Huih, mudanya pemilik kedai ini. Ingatkan sebaya dengan papa. Bolehlah masuk dalam kategori lelaki idaman Malaya.

“Kalau ada apa-apa, jangan segan tanya pada sesiapa dekat sini.”

Maya mengganguk.

“Awak ni bisu ke?” soal Haikal. Sedari tadi dia hanya melihat Hannah mengganguk dan menggeleng. Teringin juga dia mendengar suara emas milik Hannah.

Hannah sedikit tersentak dengan teguran Encik Haikal. Nasib baiklah dia bos, jika tidak memang dah lama kasut ni melayang dekat muka dia ni! Suka-suka hati saja panggil orang bisu.

“Kalau tak ada apa-apa, saya keluar dulu.” Hannah meminta izin, bersedia untuk berdiri. Kau ni nak bergaduh saja Hannah. Tak boleh, dia ni bos kau!

“Baiklah. Kalau tak selesa, bilang saya.”

“Terima kasih.” Ucap Hannah sebelum berlalu pergi.

“Hi! Aku Fazura, panggil Faz aje. Dia ni Nabil.”

Fazura menghulurkan tangan untuk bersalaman. Hannah dengan senang hati menyambutnya. Orang baru tidak boleh sombong. Nanti dikata apa pula.

“Hi, saya Hannah.” Hannah menjawab takut-takut. Nak jawab pakai aku, kau atau pun awak, saya? Biasanya kalau orang baru kenal pakai awak, saya.

“Tak apa, guna kau aku pun boleh. Kau jangan terkejut, dia ni kasar sikit.” Giliran Nabil pula bersuara.

Hannah mengganguk faham. Sekejapan saja dia sudah bermesra dengan Faz dan Nabil. Faz yang banyak cakap membuatnya senang berada di kafe ini.

Hannah banyak belajar dari Faz dan Nabil yang rasanya sudah pakar di dalam industri ini. Dia saja budak baru belajar yang terkial-kial. Namun, seronok juga bekerja dengan Faz dan Nabil ini. Mereka banyak mengongsi ilmu seperti Encik Haikal. Meski dia pemilik kafe ini, dia tetap melayan pelanggan dan menolong mengambil pesanan. Seperti pekerja biasa walhal sebaliknya.

“JOM!” ajak Faz, berdiri di sisi Hannah.

Hannah terhenti mencuci cawan. Ketika itu juga, Encik Haikal lalu di kaunter mereka.

“Faz, saya nak keluar sekejap. Ada hal.” Haikal memaklumkan tentang kepergiannya.

Fazura hanya mengganguk tanda faham.

“Pergi mana?” soal Hannah setelah Encik Haikal berlalu pergi.

“Pergi makan tengaharilah. Tahulah kau ni budak baru, tapi tak payah nak rajin sangat. Jom, hari ni Nabil belanja.” Faz dengan senang hati berbicara.

“Huh? Ya ke Nabil?”

“Cepatlah, aku dah lapar ni!” jawab Nabil, tidak memberi kata putus.

Orang yang sibuk mengajak mereka keluar makan, masih terhegeh-hegeh mengambil beg sandangnya. Pada hari-hari biasa, salah satu daripada mereka akan keluar untuk mencari makan untuk mereka semua. Namun, memandangkan hari ini hari pertama Hannah, Encik Haikal memberinya sedikit kelonggaran untuk mengikuti Faz membeli makan.

Sekurang-kurangnya dia tahu-menahu serba sedikit tentang kawasan di sini. Waktu makan tengahari mereka juga berbeza. Jika orang lain makan tengahari jam 12 petang, mereka makan jam dua. Alasannya mudah. Oleh kerana kafe ini terletak di antara bangunan syarikat-syarikat di sini, maka kafe ini menjadi pilihan sesetengah orang jika mereka mahu makanan ringan atau minum kopi.

Tiba di depan pintu, Hannah terhenti. Dari jauh, dia melihat seseorang yang seperti dia kenali. Otaknya berfikir laju dimanakah dia pernah berjumpa dengan lelaki itu.

“Hoi cepatlah sikit. Nama kau saja Faz, tapi tak fast langsung!” ngomel Nabil yang sudah jenuh menunggu.

Hannah tertawa kecil mendengar kata-kata Nabil. Pasti mereka sudah berkawan lama sehinggakan kata-kata itu tiada impak pada Faz. Matanya masih tertumpu kepada lelaki itu. Dia kelihatan sangat segak dalam kemeja biru disemat kemas ke dalam seluar. Rambutnya yang dicacaknya dan kulitnya yang cerah menarik perhatian Hannah.

Lama dia memikir, barulah dia teringat. Inilah lelaki yang dia jumpa di Bali ketika dia bercuti. Alamak, dia kerja sini ke? Aduh, tiada lelaki lain ke aku nak jumpa? Lagi-lagi dia! Kemana aku pergi, pasti bertemu dengan dia.

“Jauh termenunung! Dah sampai bulan ke?” sergah Faz. Mata juga mengikut ke arah dimana Hannah memandang. Oh, lelaki itu rupanya. “Jangan bilang aku, kau pun dah jatuh hati dengan dia.”

“Siapa ‘dia?’” Hannah pura-pura tidak tahu. Malu apabila aksinya memerhatikan lelaki itu diketahui Faz dan Nabil.

“Alah buat-buat tak tahu pula.” Faz mencebik, dia menolak pintu itu untuk keluar.

“Kau kenal dia ke?” kali ini Hannah memberanikan diri untuk bertanya.

“Siapa tak kenal dia? Jangan cakap Faz, semua perempuan kat sini tergila-gilakan dia tau tak.” Nabil memberi penjelasan.

Benar kah? Hebat sangat ke lelaki itu sehingga menjadi pujaan semua wanita di sini? Memanglah dia mempunyai paras rupa yang menarik tetapi apabila teringatkan insiden di Bali tempoh hari, dia jadi meluat. Namun, dalam pada meluat, dia harus akui, dia sedikit tertarik kepada lelaki itu.

“Nasib baik kau dah tunang.” Ucap Hannah selamba. Eh, mustahil dia jatuh hati pada lelaki menyakitkan hati itu.

“Apa dia?” Faz dan Nabil bersuara serentak.

“Tak ada, aku cakap kalau dapat mi udang sedap kan?” tutur Hannah, menutup malu sendiri.

Mujurlah Faz tidak bertanya lebih. Dia ingin mengetahui lebih lanjut tentang lelaki itu. Oleh kerana bangunan pejabat mereka bertentangan, mereka seringkali bertembung dengan pekerja-pekerja dari syarikat itu.

TAMAT saja waktu kerja, Hannah laju meninggalkan kafe. Dia ingin pulang dan rehat! Penat rupanya bekerja ni. Sewaktu dia berjalan menuju ke kereta, dia ternampak lelaki itu di tempat parkir. BMW hitam itu milik dia rupanya. Sempat Hannah mencuri pandang lelaki itu dari dalam kereta.

‘Kenapa mulut aku bagaikan tiada insurans semasa di Bali kelmarin? Kalau tidak, kan sekarang ini aku dah berkawan dengan dia?’ desis Hannah. Wajahnya yang serius yang tidak pernah tersenyum itu membuat Hannah ingin terus memandangnya. Sudah jatuh hati ke dia pada lelaki itu? Tidak mungkin!

Sampai di rumah, Hannah menjingkit kaki ke dapur. Perlahan-lahan dia menyergah mak Mah di dapur. Mujur sudip yang dipegang mak Mah tidak terpelanting ke muka Hannah.

“Hish budak ni! Berilah salam ke apa. Ini tidak, main sergah-sergah mak Mah pula. Kalau mak Mah kena serangan jantung tadi macam mana?” mak Mah bersungut, mengurut dada.

“Assalamualaikum...alah maaflah mak Mah. Hannah gurau aje tadi...” Hannah memeluk mak Mah erat, ingin bermanja. “Mak Mah masak apa tu?”

“Nasi ayam. Hannah lapar ke?”

“Lapar!” teruja Hannah apabila mendapat tahu mak Mah memasak nasi ayam hari ini.

“Kalau macam tu, pergilah mandi dulu. Nanti boleh makan sama-sama dengan abang.” Cadang mak Mah. Ayam yang digoreng itu dibalik-balikkan.

“Okey bos!” Hannah menabik hormat kepada mak Mah sebelum naik ke bilik.

Mak Mah menggeleng-geleng kepala melihat telatah Hannah. Gadis itu manja dan sentiasa menghormati dia. Tidak pernah dia disuruh-suruh atau dibentak. Jika inginkan pertolongan, kedua beradik itu akan meminta dengan sopan. Tidak sia-sia Puan Rania dan Encik Nizam mendidik anak mereka.

Setelah menolong mak Mah membasuh pinggan di dapur, Hannah menyertai abangnya yang sedang menonton televisyen di ruang tamu. Dia duduk di sebelah abangnya. Meski rumah ini hanya dihuni tiga orang, kecohnya seperti ada sepuluh orang. Semuanya gara-gara Aiman yang kuat menyakat.

“Macam mana kerja tadi? Dah jumpa Haikal?” Aiman bertanya prihatin.

“Dah. Abang bukan nak bilang Hannah yang Encik Haikal tu muda.”

“Kenapa? Suka ke?” Aiman berserkap jarang.

“Mana ada! Mati-mati Hannah ingatkan dia sebaya dengan papa.”

“Baik-baik. Dia tu bujang lagi. Jangan tersangkut dengan bos sendiri sudahlah.” Usik Aiman.

“Merepeklah abang ni!”

Tidak mungkin dia jatuh hati pada Encik Haikal meskipun Encik Haikal tidak kurang hebatnya. Sekarang ini, misi dia hanya tertumpu kepada lelaki itu. Pelik bagaimana lelaki itu yang sering menyakitkan hatinya tetapi lelaki itu jugalah yang sering menjengah fikirannya.

Ah serabut! Tidak mungkin dia sudah jatuh suka pada lelaki itu? Di Bali beria-ia bergaduh. Teringat sesuatu, Hannah lekas-lekas mencari kameranya. Tangannya laju menekan punat sehinggalah ianya berhenti di gambar lelaki itu. Perasaan apakah yang sedang bertaktha di jiwa.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.