Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 17

SAMPINGNYA diperkemaskan agar tampak rapi. Songkok hitam itu sudah pun terletak cantik di kepala. Hannah keluar dari kereta itu dengan perasaan gementar tahap maksima. Kenal sesiapa di situ memanglah tidak, kenal pengantin jauh sekali. Semuanya dia lakukan hanya kerana Aril.

“Awak...” Hannah memanggil lembut.

Hannah tidak jadi menghabiskan ayatnya sebaik sahaja dia melihat Aril. Aril benar-benar mengota janji dengan memakai samping dan songkok. Dan...baju mereka sedondon dengan rona warna yang sama? Aduh, macam mana boleh jadi macam ni? Setahunya, dia tidak berjanji untuk memakai warna sama.

Harus dia akui, Aril tampak kacak dalam pakaian Melayu itu. Dia kalah. Dia fikir Aril tidak akan menyahut cabarannya itu.

“Kenapa? Ada masalah ke?” Aril bertanya, mendekati Hannah.

Hannah menggeleng laju. Dia tidak jadi bertanyakan apa yang bermain di mindanya sebentar tadi. Aril sememangnya hebat dalam mengocakkan perasaannya.

Mereka berjalan seriring ke ballroom hotel itu. Majlis yang disambut di hotel itu memang tampak gah dan eksklusif. Ramai yang datang untuk memeriahkan lagi majlis persandingan raja dan pemaisuri sehari itu. Majlis yang gah ini sudah seperti majlis di kalangan orang berada dan artis-artis lagaknya.

Hannah percaya yang jemputan yang hadir juga bukan dari calang-calang orang. Pasti dari orang korperat atau berada. Terasa dirinya kerdil di antara mereka yang ada di sini. Tiba-tiba dia tertanya-tanya siapakah sebenarnya Aril ini. Kalau dia yang berkahwin, buat di luar rumah saja rasanya. Pasang khemah, gotong royong sekeluarga. Lebih seronok!

“Awak, jangan tinggalkan saya...” pinta Hannah separuh berbisik.

“Tak akan.” Kata-kata yang seakan janji itu membuatkan Hannah terasa dilindungi. Sekurang-kurangnya, dia ada seseorang untuk berdamping dengannya di waktu kekok sebegini.

Aril bersalaman dengan kawan-kawannya yang juga turut hadir di majlis itu. Senyuman penuh makna mereka membuatkan Hannah tidak selesa. Apa kena dengan mereka ini? Pasti mereka fikir bukan-bukan tentang hubungannya dengan Aril. Janganlah salah anggap, dia ini hanya kawan kepada Aril. Pendamping Aril untuk beberapa jam sebelum tugasnya selesai.

Lega Hannah apabila mereka tiba di meja yang ingin ditujui. Meja bulat untuk enam orang itu sudah diduduki oleh satu pasangan. Mereka bersalaman tanda hormat antara satu sama lain. Kebetulan mereka juga merupakan kawan Aril. Ramai betul kenalan Aril di sini. Terkenal bagaikan artis! Katanya.

“Kau dah lama sampai ke Kamal?”

“Lebih kurang setengah jam gitulah. Wah, diam-diam ubi berisi kau ni, kalau kahwin jangan lupa jemput kita.” Usik Kamal. Dia tumpang bahagia andai jodoh Aril bersama perempuan sopan dan ayu ini. Tidak seperti perempuan-perempuan lain yang menggilai Aril.

Hannah terkejut dengan pernyataan lelaki yang dikenali sebagai Kamal itu. Bukan, dia bukan pasangan Aril. Banyak yang sudah salah faham nampaknya. Biasalah kalau ke majlis perkahwinan dengan seorang teman, pasti dianggap kekasih. Tapi, bukankah itu lazimnya? Jadi, dia tidak sepatutnya marah kerana dia yang mengundang masalah. Kalau ramai yang salah anggap dan andai mulut mereka masin, aduhai, tidak tahu bagaimana kesudahan ceritanya nanti.

“InsyaALLAH.” Balas Aril tanpa rasa bersalah. Hannah yang tidak sangka dengan tindak balas Aril, menendang kaki lelaki itu geram.

“Benda baik tak elok dilambat-lambatkan. Dirikan masjid tu kan sunnah?” seloroh Aril, separuh berbsik dengan wajah seriusnya.

“Tapi bukan dengan awak.” Hannah menjawab, mengikut kata akal. Kata hati pula bagaimana? Seiringan dengan kata akal ataupun sebaliknya?

Aril merenung dalam anak mata Hannah sebelum menjawab. “Tunggu dan lihat.”

Hannah memejam mata, menahan sabar dengan perangai Aril yang tidak serius. Tahulah dia ni suka melawak tetapi bab perkahwinan memang bukan bahan gurauan. Apakah yang dimaksudkan dengan tunggu dan lihat? Ternaik bulu romanya mendengar perkataan itu.

“Oh ya, kenapa awak beria-ia suruh saya pakai baju kurung, samping dengan songkok ni hah? Kat sini, tak ada seokor kumbang pun pakai macam ni selain pengantin tau tak?” dengan semangatnya Aril meluahkan ketidak puashatinya kerana harus memakai sebegini.

Otak Aril meligat laju menangkap sesuatu. “Or are you giving me a hint?

Kemudian Aril tersengih. Tidak...dia tidak suka dengan sengihan Aril kali ini. Kelihatan nakal sangat. Barangkali memikirkan perkara yang tidak sepatutnya ada di minda.

No, no. Not a hint definitely. Jangan nak perasan. Saya sebenarnya suka tengok lelaki pakai baju kurung Melayu macam ni. Lagipun, tak salah kan? Awak tolong saya, saya tolong awak.” Hannah menjelaskan perkata sebenarnya. Tidak ada kaitan langsung dengan andaian Aril.

“Suka tengok aje? Tak suka orangnya?” duga Aril. Dia suka melihat wajah Hannah merona merah menahan malu. Maka kerana itulah, dia suka menyakat dan mencari gaduh bersama Hannah. Hannah kelihatan comel ketika sedang marah, kalah Winnie The Pooh!

Tiba-tiba datang tiga perempuan menyapa Aril. Siapa pula mereka ni? Memandangkan Hannah tidak kenal, dia memilih untuk diam dan tidak campur urusan mereka. Mesra lain macam saja. Seperti sudah kenal lama. Entah mana satu agaknya kekasih hatinya. Melihat Aril begini, tidak ubah seperti seorang playboy. Namun, walaupun mereka mesra bagai , mereka berkau-aku dengan Aril. Aneh.

“Nasib baik dia orang beritahu kita yang kau ada dekat sini. Kalau tak, memang tak akan jumpa kaulah.” Salah seorang daripada mereka bersuara.

“Siapa ni Aril? Kekasih kau ke?” perempuan yang berdiri di tengah pula bertanya. Soalan itu berjaya membuatkan wajah Hannah terangkat.

“Err, bukan. Dia kawan aku...” jawab Aril teragak-agak.

Mereka kelihatan terangguk-angguk mendengar jawapan Aril. Lega mungkin yang Aril ini bukan milik gadis biasa seperti dia. Pakai pun tidak semegah mereka. Dua minit selepas itu, mereka berlalu pergi meninggalkan pasangan itu.

“Dia orang tu kawan saya masa dekat kolej dulu.” Terang Aril.

“Oh. Saya tak tanya pun...”

“Saja bilang. Takut awak cemburu.” Hannah mengerut dahi tanda tidak setuju dengan jawapan Aril. Tidak masuk akal. Siapalah dia untuk cemburu? Dia bukannya kekasih, tunang atau isteri Aril yang mempunyai hak untuk berasa cemburu. Dia hanya...peneman Aril ke majlis ini.

“Aril, isteri kawan awak ni tengok saya semacam aje dari tadi. Takutlah saya...” Hannah separuh membisik kepada Aril. Mujurlah mereka memainkan lagu di majlis itu, maka tidaklah nampak sangat yang pasangan itu menjadi bahan perbualan mereka.

Dari tadi dia sedari yang dia sedang diperhatikan. Bagaikan dia telah buat silap terhadap mereka. Renungan isteri Hadi itu membuatkannya lebih seram.

“Awak kenal isteri dia ke?”

“Tak.”

“Tak payah takutlah. Saya kan ada dekat sini dengan awak.” Ucap Aril penuh makna.

Buat kedua kalinya hari ini, Aril memberi jaminan menerusi kata-katanya. Tidak dia harus merasa apa. Jantungnya tadinya berdegup kencang, kini beralun seperti ombak di pantai. Menenangkan.

“Maaflah kalau akak bertanya. Awak ni Hannah Natasha ke?” akhirnya Ayu bertanya, setelah sekian lama memikirkan siapa gadis yang kerap bermain di fikirannya.

“Ya, saya.” Jawab Hannah takut-takut. Kenapa pula ni? Siap tanya nama bagai.

“Awaklah model Safiya Hijab kan?”

Lah, ingatkan apalah sangat tadi. Buat orang takut saja kak Ayu ni!

“Ya.”

“Hah, betullah tu bang. Saya tak silap orang. Aril, cantik betul kekasih you ni. Muka dia macam anak patung. Her features are perfect and her skin is flawless!” Ayu memuji Hannah senang hati.

Hannah dan Aril memandang sesama sendiri. Dia malu dengan pujian yang diterima itu.

“Eh jangan cakap macam tu kak. Segan saya. Saya ni biasa-biasa aje. Semua ni mekap aje.” Hannah merendah diri.

Aril mengerling ke arah Hannah. Dia setuju yang Hannah ini cantik tetapi dia bukannya jatuh hati hanya pada paras rupa Hannah tetapi dia mengikut naluri hati. Lagipun, Hannah bukannya cantik ketika bermekap saja. Gadis itu mempunyai kecantikkan asli meski tanpa mekap.

“Akak cakap betul ni. Tak jemu akak pandang Hannah. Kalau you nak tahu Aril, setiap hari I buka website Safiya Hijab untuk tatap muka Hannah ni. Moga-moga baby dalam perut ni terkenan, ikut muka Hannah. Untung you Aril, dapat tatap muka dia hari-hari.”

“Ya ALLAH akak, janganlah puji melangit. Segan saya. Yang baik semuanya datang dari ALLAH. Akak pun apa kurangnya...” dia memohon kepadaNya agar dengan kata-kata dari kak Huda ini, dia tidak menjadi seorang insan yang riak dan sombong.

“Aril kau tahu tak, Ayu ni, kalau tak pandang muka Hannah ni sehari, tak sah tau.” Kamal pula menambah.

“Ya ke? Samalah kita kalau macam tu.” Balas Aril bersahaja.

Aril penuh dengan kejutan hari ini. Bukan tentang kata-kata kak Huda tetapi pernyataan terakhir Aril. Adakah ini bermakna yang Aril mencuri lihat dia setiap hari di kerja? Tetapi bila? Kenapa dia tidak sedar akan perkara itu?

Tidak lama kemudian, jurucakap yang mengendalikan majlis itu membuat pengumuman yang mereka akan memainkan video perkahwinan pengantin itu. Semua yang berada di sana teruja tatkala mendengar lagu permualaan video itu.

Sepanjang video itu dimainkan, Hannah dibuai perasaan. Dia tumpang gembira untuk pasangan ini. Mereka kelihatan padan bersama. Di dalam video tersebut, mereka menceritakan bagaimana mereka kenal antara satu sama lain, apa yang membuatkan mereka tertarik dan bagaimana timbulnya rasa cinta di hati.

Romantis. Itulah perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkan situasi sekarang ini sehingga tidak sedar yang dia tersenyum sendirian menonton video itu. Mungkinkah bakal suaminya akan melakukan perkara yang sama?

Aril berdehem. “Seronok sangat ke sampai tersenyum sendiri?”

Pertanyaan Aril membawa Hannah ke alam nyata. Aduhai, malunya ditangkap tersenyum di hadapan Aril! Pasti dia memikirkan perkara yang tidak sepatutnya. Terasa mahu menyepak-nyepak dirinya. Itulah, berkhayal lagi melayan perasaan!

“Saya terharu tengok lelaki romantik macam tu.”

“Romantik saya awak belum rasa.” Balas Aril berbisik.

Tidak tahu mahu ketawa, tersenyum, rasa terharu ataupun muntah. Hannah memandang Aril tidak percaya, kemudian tertawa kecil. Dia geli hati.

“Jom jumpa pengantin lepas tu saya hantar awak balik.” Aril mengajak. Dia tidak berniat untuk berlama-lama di sini.

Hannah bangun dan menyalam kak Ayu sebelum mengikuti langkah Aril. Sempat kak Ayu minta untuk bergambar bersama Hannah.

“Baik-baik, ada tangga dekat depan tu.” Aril memberitahu, menunjuk ke arah tangga di pelamin tersebut.

Wah, prihatinnya Aril tiba-tiba! Hannah memandang Aril tidak percaya. Dia benar-benar nak kotakan janji yang dia juga boleh menjadi lelaki romantis ke?

“Kalau jatuh nanti, susah saya. Tak larat nak angkat awak.” Melihat Hannah terdiam, Aril menambah. Kemudian dia mengetap bibir, menahan dirinya dari tersenyum.

Hannah serta-merta berpaling tatkala mendengar Aril berkata begitu. Oh, ada udang di sebalik batu rupanya! Faham sudah dia sekarang. Lagipun, Aril ini bukan boleh dijangka pun.

Ingin mengusik, Aril menghulurkan tangan untuk menolong Hannah menaiki tangga yang setakat dua tingkat itu. Hannah menjeling melihat tangan itu. ‘Dia ingat aku apa?’ Hish geram betul dengan sikap Aril yang main-main ini.

“Selamat pengantin baru.” Ucap Aril, menyalam pengantin lelaki itu. Hannah turut melakukan perkara yang sama tetapi dia menyalam pengantin perempuan.

“Kau bawa hadiah baik punya untuk aku hari ini! Cepat-cepatlah ganti tempat duduk aku ni ya.” Sakat Dani, membuatkan Hannah terasa malu dengan kata-katanya. Aril yang di sisi tertawa kecil. Dia tersenyum penuh makna.

“Tunggu kad kahwin aku tau.” Aril hanya melayan Dani, mengikut arus usikkan kawannya itu. Hannah pula hanya memakan hati. Dia sedar dia tidak boleh berbuat apa-apa kepada Aril saat ini. Sabar sajalah.

“Bang, tolong ambilkan gambar pakai handphone saya.” Pinta Aril, menghulurkan telefonnya kepada jurugambar yang baru sahaja memetik gambar mereka bereempat.

Hannah terbeliak mendengar permohonan Aril. Nak buat apa pula dia simpan gambar aku di dalam telefonnya? Bukanlah dia hendak perasan tetapi dia musykil dengan tindak-tanduk Aril yang semakin pelik lagi aneh. Saat kiraan itu mencecah ke nombor tiga, Hannah tersenyum, menciptakan sebuah cerita di dalam sekeping memori dinamakan gambar.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.