Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 3

JIKA semalam mereka ke pantai Kuta, pagi ini pula mereka ke pantai Sanur. Ianya sedikit jauh dari vila yang mereka tinggal berbanding dengan pantai Kuta. Hari ini, Hannah berpakaian ringkas. Dia mengenakan jeans dan baju ‘I LOVE BALI’ yang dibeli semalam. Puas dia bertanyakan Lia mengapa mereka ke sini tetapi Lia tetap dengan rahsianya. Huh, rahsialah sangat!

Setelah dua puluh minit barulah mereka tiba. Ingin berbasikal rupanya! Tiba-tiba dia teringat. Dia memandang kakinya. Dia hanya memakai selipar. Kasutnya dia tinggalkan di vila kerana kononnya ingin berpakaian santai dan selesa sewaktu bercuti ini.

“Lia, aku pakai selipar ni, boleh ke?”

“Apa pula tak boleh? Semua orang dekat sini pun pakai seliparlah. Tak ada anehnya!” jawab Lia sambil menghulurkan kad pengenalannya kepada wanita yang menyewakan basikal itu kepada mereka.

Kalau ingin menyewa, hanya perlu tinggalkan kad pengenalan salah seorang daripada mereka. Sebagai jaminan apabila memulangkan kembali basikal itu. Untuk sejam hanya lima ribu rupiah dan jika hendak berbasikal sepuasnya pula sepuluh ribu. Murah sangat tu! Selesai saja menyewa basikal, Lia sudah ke hadapan. Memang patut pun kerana Hannah tidak menahu tentang tempat ini.

Namun, ada sesuatu yang menarik perhatian Hannah. Dia ternampak seekot anjing di hadapannya. Hatinya berdegup laju tidak terkata. Bukan saja dia takut dengan anjing, malah dengan kucing pun dia takut. Dia pernah bermimpi suatu ketika dahulu yang seekor kucing pernah menggigit kakinya sehingga kakinya putus. Mulai dari hari itu, ketakutannya terhadap binatang yang bergigi menjadi-jadi.

Kata orang, Melayu selalunya tidak takut pada kucing tetapi tidak padanya. Boleh menangis dia dibuatnya kalau kucing itu datang dekat padanya. Ini baru kucing, belum harimau atau singa. Kalau dihadapkan dengan situasi begitu, selamat tinggal sayanglah jawabnya.

Untuk berbasikal, mereka harus memasuki sebuah lorong kecil. Itulah yang susahnya. Lia sudah jauh kehadapan. Yang ada, seekor anjing putih yang besar menantinya di gerbang masuk lorong itu. Macam tahu-tahu saja dia takut dengan anjing, sekarang pula ia mahu muncul. Geram dia dengan Lia yang meninggalkannya. Bukannya nak tolong orang, berdesut ke hadapan pula!

Orang-orang yang disitu bukannya mahu menolongnya. Atau mungkin mereka pelik kenapa Hannah begitu takut dengan anjing itu walhal mereka biasa-biasa saja. Memanglah, kebanyakkan orang Bali bukan terdiri daripada umat Islam meski wajah mereka seperti orang Jawa. Majoriti yang disini beragama Hindu. Kalau sudah terkena, payahlah mahu sertu dan bersihkan segala. Lebih baik mengambil langkah keselamatan sebelum terkena.

Langkah keselamatan untuk diri sendiri. Dia lebih takut jika anjing itu menggigitnya daripada harus membersihkan dirinya. Jadinya, dia mengeliling 360 darjah untuk mengelak daripada anjing itu. Mujurlah ada basikal sebagai penghalang. Jika dia sendiri, kemana dia mahu sembunyi? Mahu lari, takut dikejar.

Perlahan-lahan, dia memasuki lorong itu selepas memastikan anjing itu sudah berlalu pergi. Dengan lajunya dia mengayuh untuk mendapatkan Lia. Siap kau Lia! Apabila sudah sampai ke tempat Lia, habis dia mengomel siap beri amaran kepada Lia agar tidak meninggalkannya lagi. Mulanya tiada apa yang istimewa di tempat itu tetapi apabila mereka makin jauh mengayuh, barulah pandangan indah itu dapat dilihat.

Rupanya, kawasan itu kawasan vila-vila yang kebanyakkan jadi tempat menetap untuk pengunjung-pengunjung Bali. Kebanyakkannya orang-orang mat salehlah. Kalau tidak berenang, mereka berjemur. Tidak mengapa, dia sayangkan kulitnya ini. Tidak kuasa hendak berjemur. Vila yang berhadapan dengan pantai itu sangat cantik. Bukan saja satu vila tetapi lebih dari 50 buah vila ada di situ. Sepanjang jalan itu, Hannah asyik mengangumi panaroma yang indah ini.

Siap berangan lagi, andai kata dia sedang berbulan madu sekarang, pasti seronok. Alangkah romantiknya jika berada di sini dengan suami. Namun, itu semua angan-angan. Dia baru 23 tahun. Memanglah jika diikutkan, dia mahu kahwin awal, tetapi dengan siapa? Jika sudah sampai jodohnya, kahwinlah. Ramai yang menanya apakah kriteria yang harus ada pada lelaki yang dia suka itu. Jawapannya senang, jika hati sudah suka, tiada istilah kriteria lagi diperlukan. Asal lelaki itu baik,boleh memimpinnya dan menjadi imamnya ketika solat.

Tiba-tiba dia ternampak seekor anjing di hadapan. Aduh, macam mana ni? Dia perlu lalu anjing itu untuk meneruskan perjalanannya. Sempat dia memujuk anjing itu agar jangan mendekatinya tapi macamlah anjing itu boleh faham kata-katanya. Lia ni pun satu, tadi kata tak banyak anjing. Tipu! Banyak betul anjing berkeliaran di sini. Melihat giginya saja bulu romanya sudah ternaik. Melihat lidah yang terjelir, dia terasa mahu menangis. Tolong, jangan dekat dengan saya.

Mahu memekik nama Lia, terasa segan dan tidak sopan pula. Mahu minta tolong orang, dia tidak berani. Sedang dia memikir, seorang lelaki berbasikal lalu di sebelahnya. Sempat mereka memandang sesama sendiri sebelum lelaki itu berlalu pergi. Tiada peliknya jika melihat Hannah berhenti di tepi namun tiada siapa yang tahu sengsaranya. Ini semua salah Lia. Sudah berkali-kali dipesan jangan tinggalkannya, tetap ditinggalkan. Geramnya!

Lelaki itu seperti dia kenal, tapi siapa ya? Fikir punya fikir barulah dia teringat. Lelaki itulah yang melanggarnya semalam. Macam mana ni, nak minta tolong ke? Dah lah semalam aku cari pasal dengan dia, hari ini nak minta tolong pula. Pasti dia mengata aku nanti! Ah, tidak mengapa, yang penting aku selamat.

“Awak!” laung Hannah memanggil lelaki itu. Memanglah tidak sopan memanggil begitu tetapi dia tidak tahu nama lelaki itu kerana dia tidak pernah mengenali lelaki itu.

Aduh, mamat ni, tak nak pusing pula. Sudah dipanggil tiga kali tetap tidak menyahut. Ini tidak boleh jadi ni! Kalau dia tidak berhenti, makin jauhlah dia pergi nanti. Nak campak selipar ke tak eh?

“Awak yang langgar saya semalam!” laungnnya sekali lagi. Semoga saja lelaki itu berhenti.

Tepat jangkaannya. Lelaki itu berhenti berbasikal. Berbunga-bunga hatinya apabila dia berjaya menarik perhatian lelaki itu. Namun, lelaki itu hanya memandangnya tetapi tidak datang menolongnya.

Aril memandang wajah Hannah dengan wajahnya yang seposen. Huh, nak panggil aku tapi panggil macam tu. Tak adanya aku nak tolong. Lagipun, bukan aku yang langgar dia semalam, dia yang langgar aku. Tak apa Aril, kau tunggu saja dia panggil kau sekali lagi. Dia mesti panggil punya, dia seorang diri kat sini, nak minta tolong pada siapa kalau bukan kau? Satu, dua, tiga!

“Okey fine, awak yang saya langgar semalam.” Hannah memperbetulkan panggilannya terhadap Aril dengan harapan dia akan bertolak ansur. Sudah tidak tahu nama, takkanlah nak marah kot.

Aril tersenyum mendengar panggilan itu. Pandai pun! Dia memusingkan basikal itu dan menolaknya, menuju ke arah Hannah. Mana pergi kawannya? Bukankah mereka berdua semalam? Bahaya jika berada di sini sendiri.

“Hah, macam tu lah, baru betul fakta tu.” Kata Aril saat dia berada di hadapan Hannah.

“Ei, mengada-ngada!” gumam Hannah tertunduk. Jika tidak kerana dia mahukan bantuan, tidak mungkin dia memanggil lelaki itu.

“Oh, mengada-ngada...” Aril menggertak untuk pergi. Fikirnya Aril tidak mendengar apa yang dia kata. Ternyata dia silap. Terkuat pula gumamannnya.

“Okey, okey! Maaf. Awak boleh tolong saya tak? Jalan tepi saya, jadi pelindung saya terhadap anjing tu yang tengok saya macam nak makan.” Hannah meminta tolong. Aduh, malunya! Hannah menutup wajahnya dengan kedua belah tangannya.

“Kawan awak mana?” Aril bertanya. Takut anjing rupanya perempuan ni.

“Entah, dah hilang kat depan.” Hannah mencebik, mengingati Lia yang tidak menunggunya jauh sekali datang untuk menolongnya.

Di suatu sudut, Lia menjadi penonton setia babak antara Hannah dan Aril. Sudah jauh ke hadapan barulah dia perasan yang Hannah tiada di belakang. Apabila dia patah balik, dia lihat Aril berada di sebelah Hannah. Tidak ingin kacau daun, dia hanya memerhati daripada jauh. Seronok juga melihat Hannah yang teragak-agak ingin meminta tolong itu.

Itulah, semalam nak sangat cari pasal dengan mamat tu. Hari ini, mamat tu juga yang tolong dia. Kalau ada popcorn ni, wah seronok! Kalah drama yang bersiaran di televisyen. Dapat tonton siaran langsung pula. Dia tersenyum-senyum sendiri.

“Kenapa pula saya nak kena tolong awak?” soal Aril dengan kening yang terangkat. Dia memeluk tubuh. Hah, sekarang ini giliran dia pula menyombong dengan Hannah. Saja dia ingin bermain tarik tali.

“Alah, kita kan sama-sama orang Malaysia? Satu Malaysia!” Hannah cuba memujuk dengan mempamerkan wajahnya yang tersengih-sengih. Jarinya menunujuk nombor satu tanda satu Malaysia.

“Oh, satu Malaysia. Semalam tu?” Aril sengaja berdalih-dalih.

“Alah, please, please, please. Saya janji tak nakal-nakal, tak cari pasal dengan awak lagi!” janji Hannah bersungguh-sungguh, mengangkat tangan kanan tanda janji apabila melihat anjing itu mula mendekati mereka. Sempat dia memusing ke belakang untuk membuat aksi muntah. Geli dengan janji sendiri. Andai ada tembok di sini, sudah lama dia memanjat tembok itu.

“Boleh pakai ke janji awak ni?” tanya Aril tidak yakin.

“Tak janjilah, saya cuba kurangkan.” Hannah tersengih nakal.

Aril diam seketika. Andai saja semalam dia tidak bergaduh dengan gadis ini, pasti sekarang ini mereka sudah berteman. Tak apa Aril, semuanya perlukan masa. Jika diikutkan hati, dia ingin mengenali gadis ini tetapi dia tahu ia tidak sesenang yang dia sangkakan.

Aril akur dengan permintaan Hannah. Dia dan Hannah jalan beriringan sambil menolak basikal. Sewaktu mereka lalu anjing itu, Aril menyergah Hannah membuatkan Hannah terjerit dek terkejut. Geram berbuku di hatinya. Aril tergelak melihat reaksi Hannah. Sekarang ini, satu- kosong!

Sampai di hadapan, Lia menunjukkan diri. Pura-pura mencari Hannah yang tidak ditemui. Seronok dia melihat Hannah yang harus merayu-rayu meminta tolong Aril tadi. Dia segera meminta maaf dengan Hannah saat melihat wajah Hannah yang masam mencuka memandangnya.

“Terima kasih tolong saya,” ucap Hannah teragak-agak. Aril hanya menggaguk tanda ucapan itu diterima.

“Saya pun nak ucapkan terima kasih pada abang dah tolong kawan saya ni. Kalau tak, dah kena baham dengan anjing agaknya tadi!” giliran Lia pula bersuara, sempat dia bergurau mengusik Hannah.

“Hish mulut kau tu celupar betul. Alah aku rasa anjing tu nak sampai hati kot nak baham aku bila aku buat muka kesian aku tu,” Hannah memujuk diri sendiri membuatkan Aril mengerut dahi.

Pandai pula memujuk diri. Merajuklah tu! Nak kata muka dia comellah sebab tu anjing itu tak sampai hati nak baham dia. Manis, ayu tanpa sebarang mekap, dia terpesona. Namun, dia tidak mahu menunjukkan, takut pula gadis ini lebih-lebih. Pujian itu, dia telan sendiri.

Aril meminta diri dan meneruskan perjalananannya manakala Hannah dan Lia berhenti seketika. Cantik sungguh pemandangan laut di sini. Berbeza dengan pantai Kuta, ombak di sini agak perlahan. Tidak seperti pantai Kuta yang berombak ganas. Di sini pula, mat saleh yang menginap di vila-vila ini kebanyakkan tergolong daripada warga emas.

Jika hendak mencari yang muda-muda, ke pantai Kutalah jawabnya. Mungkin mereka lebih senang mencari ketenangan dan sukakan tempat yang jauh dari kota. Mungkin ini masanya untuk mereka berehat, biarlah yang muda berseronok. Hannah mengeluarkan kameranya dan memetik gambar laut. Tidak sahlah jika dia juga tidak bergambar sekali.

“Kau paggil mamat tu apa tadi? Abang?” tanya Hannah.

“Yalah, dia kan lagi tua dari kita. Aku hormat dia, tak macam kau.” Lia menjawab lurus soalan Hannah.

“Suka hati kau lah...” Tergelak Hannah apabila mengingati Lia memanggil lelaki itu abang. Geli!

Lagipun, dia tidak kenal lelaki itu, kenapa pula dia harus memanggil lelaki itu abang. Satu-satunya lelaki yang dia memanggil abang adalah abangnya sendiri, abang Aiman. Selain itu, tiada orang lain. Kekok rasanya kalau memanggil lelaki itu abang. Dia tersenyum sendiri, andai kata dia memanggil dengan panggilan abang, apa agaknya reaksi lelaki itu. Pasti dia tergelak sama kot.

Bukannya dia tidak pernah memanggil orang abang tetapi hanya untuk yang selayaknya. Jika dia terasa orang itu cocok dipanggil abang, barulah dia panggil abang. Namun untuk Aril? Hish, tak mungkin!

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.