Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 14

BERJALAN di sebelah Aril rasa seperti seorang pengapit pengantin. Apa tidaknya? Mereka mendapat perhatian yang sangat luar biasa. Terutamanya pada Aril. Hadi pelik dengan Aril yang tiba-tiba berubah fikiran untuk makan tengahari di kedai makan berhampiran ofis mereka. Bukan kerana kondisi kedai itu tetapi Aril jarang makan di situ.

Sepanjang dia berkawan dengan Aril, Aril tidak pernah menyombong atau riak dengan status yang dia ada. Aril seorang yang rendah diri walaupun dia bekerjaya tinggi. Prinsip hidupnya adalah untuk hidup dalam serba sederhana. Kadang-kadang itu, adalah dia membelanja Haikal dan dirinya makan besar.

Dia dan Aril sudah seperti adik-beradik. Di kala kebosanan pada hujung minggu, Aril akan mengajak Hadi untuk bersantai di rumahnya. Ibu bapa Aril juga sudah menggangap Hadi seperti anak sendiri memandangkan Hadi membesar di depan mata mereka. Setiap kali menjelang Hari Raya, pasti mereka akan menyambut bersama kerana Hadi merupakan anak yatim piatu.

Sudah berulang kali Puan Liza dan Encik Nizam mengajak Hadi untuk tinggal bersama mereka tetapi Hadi menolak secara lembut. Dia mahu berdikari dan berdiri di atas kaki sendiri. Dia menghargai jasa baik Puan Rania dan Encik Nizam namun, dia tidak mahu menyusahkan mereka.

“Kau biar betul nak makan sini?” tanya Hadi tidak percaya.

“Yalah. Kenapa? Tak boleh?” Aril sudah menapak masuk kedai itu. Penuh dengan orang bekerja. Maklumlah, sekarang ini kan waktu makan.

Aril sudah temui sasarannya dari jauh. Dia menyuruh Hadi mengikutnya walaupun ada meja kosong untuk dua orang. Tidak mahu bercakap banyak, Hadi hanya menurut.

Aril dan Hadi kini sudah berada di meja yang diduduki Hannah. Hadi sudah tidak kena gaya. Aril akan menghalau mereka keluar ke?

“Boleh kami duduk sini?” Aril menanya sopan.

Meja yang dikhaskan untuk enam orang itu masih ada tiga tempat duduk kosong. Dia yakin mereka tidak akan menolak.

“Boleh.” Faz senang hati menjemput.

“Tak boleh!”

Hannah dan Faz menjawab serentak. Kemudian mereka memandang sesama sendiri. Aduh Faz ni. Tahulah yang dia syok pada Aril tapi tak usahlah sampai ke tahap ajak duduk semeja.

Aril dengan senang hati menarik kerusi kosong bertentangan dengan Hannah. Dia tersenyum melihat wajah Hannah yang bagaikan cacing kepanasan. Jelas, Hannah tidak senang dengan kehadirannya.

“Saya tanya kawan awak, bukan tanya awak.” Aril memeluk badan, memandang Hannah tepat di matanya.

“Awak tak boleh ke duduk meja lain? Tak penat asyik pandang muka saya?” Dahi yang berkerut seribu itu menandakan dia marah dengan sikap Aril yang senang-lenang membuat keputusan.

“Awak ingat saya nak sangat ke pandang muka awak? Makcik jual nasi lemak tu lebih cantik kut.” Balas Aril penuh keyakinan.

“Pergilah duduk dengan dia. Duduk sini kenapa? Buat menyemak aje. Buat sakit mata saya.”tutur Hannah, seakan menghalau.

Sesaat setelah mengeluarkan kata-kata itu, kakinya ditendang oleh seseorang. Dari ekspresi wajah, Hannah sudah dapat meneka siapa orangnya. Siapa lagi bukan Faz? Marahlah tu sebab Hannah sakitkan hati ‘Arilnya’.

Hadi, Nabil dan Faz tercenggang mendengar perbualan antara Hannah dan Aril. Bergaduh tidak ingat dunia. Sekurang-kurangnya, pandanglah kiri kanan, ingat orang. Ini tidak, mereka bagaikan tidak wujud saja.

Mereka juga pelik bagaimana Hannah dan Aril berbual seperti mereka sudah kenal lama. Setahu Hadi, Aril tidak pernah bercerita tentang mana-mana gadis yang baru ditemuinya. Faz dan Nabil juga termangu melihat mereka bertikam lidah.

“Kau orang ni dah kenal ke?” Nabil bertanya, untuk menjawab soalan yang bermain di minda mereka bertiga.

Hannah membisu. Sudah kenal kah mereka? Setakat tahu nama, tahu kereta apa dia pakai, bolehkah itu dianggap sebagai kenal? Siapa orang tua Aril, apa pekerjaan Aril, semuanya tidak tahu. Serba salah harus jawab apa.

“Kita kenal ke?” Aril bertanya Hannah memberi riak muka yang keliru.

“Tak.” Hannah menggeleng kepala.

“Ha’ah, kita tak kenallah.” Aril menyokong jawapan Hannah. Kemudian dia pura-pura sibuk dengan halnya sendiri.

Hadi, Nabil dan Faz nyata tidak percaya dengan kata-kata mereka. Konon nak capai kata sepakatlah tu. Kata tidak kenal tetapi berbual seperti orang sudah kenal lama. Pasti ada yang Hannah dan Aril sembunyikan daripada mereka semua. Musykil mereka dibuatnya.

“Kau tak cerita pada aku pun pasal perempuan ni.” Hadi mencelah.

“Tak penting pun.” Aril menjawab. Matanya sibuk membaca menu yang ada. Mahu makan apa ya?

Tak penting dia kata? Diam-diam ubi berisi rupanya Aril ni. Tidak sangka, dalam diam, dia sudah berkawan dengan perempuan cantik ini. Sayang, mengapalah bukan dia yang bertemu dengan Hannah dulu? Wajah Hannah memang tidak jemu dipandang setiap detik.

“Awak pesan apa?” Aril menolak menu itu ketepi. Wajahnya diangkat, memandang Hannah.

“Tanya saya ke? Atau tanya kawan saya?” perli Hannah, menunding jari ke dirinya sendiri dan kemudian ke Faz.

“Tanya awak, sayang.” Ucap Aril lembut.

Air yang baru saja diminum Nabil, tersembur tatkala mendengar perkataan itu. Habis basah wajah Faz terkena dek tempias. Hadi yang sibuk memikirkan apa yang harus dia pesan terus mengangkat muka Aril. Faz pula sibuk memarahi Nabil kerana menyembur air limau ais ke mukanya. Dan Hannah? Diam tidak terkata.

Kenapa dia tidak mampu melawan Aril seperti biasa dia lakukan? Apakah perkataan sayang itu memberi impak yang hebat kepada dirinya walhal dia dan Aril tiada apa-apa hubungan. Yang dia tahu, ada sesuatu perasaan yang sukar ditafsir menyelinap masuk ke kalbu hati, membuatkannya lena dibuai mimpi seketika.

“Hish! Kau ni tak senonohlah. Habis basah baju aku. Bersemut nanti, siapa nak jawab?” ngomel Faz bersungguh-sungguh.

Sorrylah. Aku tak sengaja. Aku terkejut!” Nabil kalut meminta maaf.

Bukan saja Nabil yang terkejut, semua orang di meja itu terkejut dengan pernyataan Aril. Tadi beria-ia kata tidak kenal antara satu sama lain, sekarang ini pula sudah memanggil sayang. Memang ada yang tidak kena antara mereka berdua.

“Ahaha...Aril..Aril memang kuat bergurau.” Hannah buat-buat tertawa. Dia cuba meredakan suasana dengan alasan Aril kuat bergurau. Apabila terjaga dari lamunan, barulah dia sedar bahawa ini bukan bahan mainan.

“Tak. Aril tak pernah bergurau kalau...”

“Hadi.” Nama Hadi dipanggil tegas untuk menghalangnya dari terus berkata-kata.

Sebaris ayat Hadi yang tergantung membuatkan Hannah tertanya-tanya apakah kesudahannya. Apa maksud Hadi? Namun, dia tidak mahu mendesak. Berada di dalam situasi ini memang kekok. Mana dengan renungan tajam Faz, wajah lapar Nabil memandangnya. Kusut, kusut!

“Err, saya pesan kway teow goreng.” Ujar Hannah tatkala makanannya sudah sampai.

“Kak, tunggu. Bagi saya kway teow goreng satu, milo ais satu. Kau, Hadi?” Aril membuat pesanan.

“Saya nak nasi goreng kampung dengan bandung satu.”

Apa yang dimakan Hannah, Aril juga memesan yang sama. Sebenarnya, dia tidak tahu apa yang sedap di sini. Dia jarang benar makan di sini kerana dia malas menunggu. Memandangkan kedai ini berhampiran dengan ofis mereka, maka sesaklah tempat ini sewaktu makan tengahari. Namun hari ini lain, dia membuat inisiatif untuk keluar awal dan ekori Hannah.

USAI makan, Aril menyelesaikan bil. Alang-alang membayar untuk dirinya dan Hadi, dia membelanja Hannah, Nabil dan Faz sekali. Bukan untuk mengampu atau menunjukkan dirinya megah, tetapi saja dia hendak berbelanja. Duit menggunung jika tidak digunakan, tidak guna juga. Kalau mahukan duit masuk, haruslah keluarkan ia juga.

Faz, Nabil dan Hadi sengaja berjalan di hadapan untuk memberi ruang kepada Aril dan Hannah. Hadi yang mulanya tidak berapa kenal dengan Faz dan Nabil kini sudah seperti kawan rapat memandangkan mereka ini peramah orangnya.

“Ni duit saya makan tadi.” Hannah menghulurkan nota sepuluh ringgit kepada Aril.

“Simpan ajelah. Kumpul buat kenduri kahwin.”

“Tengok tu. Melawak lagi. Ambillah, saya tak nak terhutang budi dengan awak.” Duit yang ditolak oleh Aril, dihulurkan kembali.

“Tak habis-habis dengan budi awak. Apa yang saya buat, saya ikhlas. Lagi satu, awak betul nak balas budi saya?”

Hannah mengganguk. Rasanya sudah banyak kali dia katakan perkara yang sama.

“Tunggu petang ,balik saya cerita. Saya tunggu awak dekat kereta nanti.” Aril sengaja membuatkan Hannah suspen dan ternanti-nanti.

“Saya suruh abang saya ambil nanti.”

“Awak memang suka saya kalau saya tekan hon kan?” soal Aril. Dia yakin, kali ini Hannah pasti menurut. Gadis itu memang tidak tahan menjadi tumpuan orang ramai.

“Gila lah awak ni! Menyampah saya!” bentak Hannah, berjalan laju ke hadapan.

“Menyampah? Ke suka?” Aril tersenyum nakal.

“Benci!”

“Pantang nenek moyang saya kalau kata benci. Percaya tak kalau kita benci seseorang tu, lama-lama kita jatuh sayang pada dia?” Aril berhujang. Hatinya digeletek geli melihat wajah Hannah yang berubah cuak. Padan muka kau! Jangan nak menyombong sangat dengan aku.

Psiko, Aril memang psiko! Semakin lama dia kenal dengan Aril, boleh jadi gila dia dibuatnya. Melayan kerenah Aril yang selalu membuat hatinya panas. Andai hatinya diperbuat dari biskut, pasti sudah retak dan berkecai seribu kerana kegeraman.

‘Sabar ajelah aku dengan perangai Aril ni.’

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.